Di seberang jalan itu tiada kisah-kisah besar, cuma cerita orang-orang kecil yang mahu merdeka fikiran dan bebas daripada penjajahan kaliptalis dunia yang kian menghimpit. Sepak terajang politik yang selali menjadikan mereka, ketidakadilan perspektif dunia terhadap orang yang tidak punya kuasa menjadi cerita di angin lalu di warung kopi. Mereka tersentum dan tertawa meraikan kehidupan. Di jalan kecik itu mereka menulis makna hidup yang dengan anehnya mengubah hidup orang besar-besar di seberang jalan.
Dilahirkan di Hospital Queen Elizabeth dan dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah. Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik, suka melancong dan membaca. Pada tahun 2006 menang tempat pertama peraduan mengarang cerpen sempena kempen Budi Bahasa Budaya Kita anjuran Kekwa, pada tahun 2008 menang Hadiah Sastera Sabah 2006/2007, kategori novel remaja menerusi novel Gadis Adikara dan pada tahun 2009 menang tempat kedua Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 menerusi novel Jendela Menghadap Jalan. Manakala Waris Pejuang menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011 juga di tempat kedua.
Aki, Iman dan Jaafar tiga watak utama dalam novel ini saling berkait. Sudahlah jatuh ditimpa tangga menggambarkan kehidupan Aki yang hilang serba serbi namun dia masih memberi hatta secebis hati didermakan untuk membantu Iman. Iman pelarian Moro yang ingin mati tetapi Aki sentiasa menjadi penyelamat. Betapa Iman bencikan Aki yang baik tanpa batasan. Jaafar anak tunggal yang ditatang bagai minyak yang penuh. Bagai layang-layang yang asyik ditarik oleh tuannya. Dia ingin cuba berdikari. Nama Aki disebut oleh ayahnya lalu dia ingin mengenali Aki.
Tiga kisah melalui tiga watak berbeza. Iman, Aki dan Jaafar yang datang daripada pelbagai latar yang berbeza. Tiga kisah yang mengisahkan sebahagian cerita-cerita di pinggir ibu kota tatkala menghadapi bingit-bingit kesesakan jalanraya.
Iman yang disuruh ibunya bagi melarikan diri ke Sabah akibat peperangan di antara bangsa Islam Moro dengan Filipina. Aki yang hidupnya berbudi kepada masyarakat walaupun hidup sendiri terumbang ambing. Manakala, Jaafar, seorang anak tunggal yang datang daripada keluarga elit.
Kisah ini merupakan kisah yang hidup. Kisah mengenai berbagai kumpulan masyarakat. Kisah segelintir manusia yang menghadapi perit getir kehidupan di tengah kotaraya.
Bagi aku, tema utama bagi jalan cerita novel ini sangat menarik. Mengetengahkan cerita-cerita yang mungkin agak picisan mengenai sepak terajang yang dihadapi sebahagian manusia semasa zaman kapitalisme bercambah naik.
Selain itu, penyusunan peralihan setiap cerita bagi watak-watak ini disusun agak kelam kabut. Malah, ia membuatkan seolah-olah perjalanan novel ini menjadi perlahan.
Secara keseluruhannya, idea utama yang menjadi gagasan penulis yang ditulis di dalam novel ini bagi aku agak luar biasa. Cerita-cerita yang jarang didengari mengenai masyarakat-masyarakat bawahan yang jarang kita dengari. Cerita yang bukan sekadar tipikal seperti TV3
Tiga watak yang berbeza dalam satu cerita yang berkait antara satu sama lain. Aki, yang sentiasa dirundung masalah tetapi sentiasa merasa sabar dan cukup apa adanya. Iman, yang terbuang dari keluarga hampir berputus asa dengan hidup dan sentiasa memarahi takdir kerana tidak mematikan jasadnya. Jaafar, anak orang kaya yang merasa lelah hidup senang dan ingin merasa pengalama hidup susah. Akhirnya, ketiga tiga watak ini dipertemukan dalam satu cerita tentang kehidupan yang penuh dengan nilai betapa perlunya hidup sederhana dan sentiasa merasa cukup dengan apa adanya.
Ruhaini Matdarin dengan penulisan yang tenang dan hangat di dalam hati. Sentiasa merasa dipeluk dengan semua ayat yang ditulisnya. Sentiasa penulis kegemaran saya. Sentiasa.
Boleh saya simpulkan bahawa novel ini mempunyai kesamaan dengan novel Ruhaini sebelumnya berjudul Kotak. Di Seberang Jalan seperti juga Kotak merupakan perjuangan orang-orang kecil dalam memaknai kehidupan sehari-harian. Kisah orang-orang biasa yang masih menjadikan kejujuran, keikhlasan dan keluhuran sebagai akar dan kemudian diuji dengan menerima setumpuk wang yang banyak. Di sebalik kata orang banyak yang menyuruh mereka menggunakan wang itu untuk keperluan peribadi, seboleh-bolehnya watak utamanya hendak memulangkan wang yang diterimanya kepada pemiliknya semula.
Barangkali 2 novel ini ditulis dalam jeda waktu yang sama dengan mengambil kira beberapa perkara dalam usaha menjadikan sedikit berbeza di antara keduanya.