Jump to ratings and reviews

Eksploitasi

Alya Iskandar menyangka projek menulis biografi Sofea Amani akan menjadi rezeki terbesar dalam kerjayanya. Namun, figura glamor yang dipuja jutaan pengikut itu ternyata hanyalah topeng yang menutup pelbagai penipuan, ancaman dan identiti yang tidak pernah didedahkan.

Semakin Alya menyelami kehidupan Sofea, semakin kuat tekanan daripada Zenith Agency yang mahu mengekalkan imej sempurna kliennya. Pada masa yang sama, sahabatnya, Rizal pula semakin kerap berahsia. Dan Encik Zakuan, lelaki berkuasa di Zenith, seolah-olah mempunyai sebab peribadi memerhati setiap langkahnya.

Terperangkap antara kebenaran yang perlu dibongkar dan rahsia yang cuba disembunyikan, Alya mula sedar dunia influencer bukan sekadar glamor, tetapi juga medan eksploitasi dan manipulasi. Dalam dunia penulisan, kebenaran mampu menghancurkan atau menjadi titik mula kepada kehidupan baharu seseorang.

452 pages, Paperback

First published January 1, 2026

Loading...
Loading...

About the author

Ratings & Reviews

What do you think?

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
1 (3%)
4 stars
16 (59%)
3 stars
9 (33%)
2 stars
1 (3%)
1 star
0 (0%)
Displaying 1 - 18 of 18 reviews
Profile Image for Amie Orched.
9 reviews
May 8, 2026
Buku Eksploitasi antara buku yang mengangkat POV dari seorang penulis. Bagaimana seseorang penulis dapat membongkar kejahatan terutama jika seseorang sedang di eksploitasi untuk kepentingan orang- orang yang tamak tanpa memperdulikan kondisi orang lain.

Mungkin jarang berlaku tetapi bila baca buku nie membuatkan kita melihat orang sekeliling kita yang berjaya, adakah mereka sedang meniti kejayaan dengan cara yang betul atau mereka sedang di gunakan.

Walaupun cerita buku nie agak kurang dari segi trauma namun buku nie masih best untuk di layan jika ada yang mahu lari dari membaca genre yang sama.
Profile Image for caa.
85 reviews
September 3, 2026
naskhah ini mempunyai plot dan premis yang pada saya sebenarnya menarik, cuma sayangnya ia tidak digarap dengan cara yang benar-benar berjaya sampai kepada saya. ada beberapa babak yang sepatutnya membawa emosi atau ketegangan yang lebih kuat, tetapi akhirnya terasa sedikit hambar. mungkin kerana dialog antara watak terasa agak baku, jadi saya sendiri agak sukar untuk benar-benar menyelami emosi dan konflik yang mereka lalui.

salah satu sebab utama saya tertarik untuk membeli buku ni ialah tema ghostwriter yang dibawa. jarang juga saya jumpa cerita yang menjadikan dunia ghostwriter sebagai salah satu fokus utama, jadi saya memang curious nak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir kerjaya ni.

dan saya suka bahagian awal apabila kita mula diperkenalkan dengan dunia ghostwriter—bagaimana Alya bekerja, bagaimana dia menerima projek menulis biografi Sofea Amani dan bagaimana sedikit demi sedikit dia mula menyedari bahawa ada sesuatu yang tak kena dengan cerita yang diberikan kepadanya.

bukan itu sahaja, ada juga elemen konspirasi dan teori tentang “klon” Sofea Amani yang bagi saya sebenarnya menarik. cuma sayangnya, perkara ni tidak begitu ditekankan atau digarap dengan lebih mendalam. saya rasa kalau elemen tersebut diberikan lebih banyak ruang, ia mungkin boleh menjadikan misteri dalam cerita ni lebih kuat.

malangnya, apabila cerita mula bergerak lebih jauh dan masuk kepada konflik sebenar yang melibatkan Sofea Amani, saya mula rasa momentum cerita sedikit mendatar.

pada permulaan, cerita terasa agak direct dan straightforward. kita diberikan beberapa teka-teki dan persoalan yang membuatkan saya tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku. tetapi apabila konflik mula memuncak, ketegangan yang sepatutnya saya rasa sebagai pembaca tidak begitu sampai kepada saya.

saya tak begitu dapat merasakan cabaran yang Alya hadapi dalam cuba mengupas dan membongkar kehidupan Sofea. sedangkan daripada premisnya, saya menjangkakan proses tersebut akan menjadi sesuatu yang lebih mendebarkan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan rahsia, manipulasi dan ancaman.

malah, elemen thriller dan suspense merupakan antara perkara yang paling saya rasa kurang dalam naskhah ni. ancaman yang diterima oleh Alya dan Sofea ada disebut, tetapi saya sendiri tak benar-benar merasakan tekanan atau bahaya tersebut. ada beberapa situasi yang sepatutnya membuatkan saya rasa cemas atau tertanya-tanya tentang keselamatan mereka, tetapi kesannya tidak begitu kuat.

dari segi watak pula, chemistry antara mereka terasa sedikit kekok bagi saya. hubungan romantis antara Rizal dan Sofea, misalnya, terasa kurang meninggalkan kesan kerana latar belakang hubungan mereka tidak begitu diterokai. saya nak tahu lebih banyak tentang bagaimana hubungan mereka bermula dan apa yang sebenarnya membuatkan mereka begitu terikat antara satu sama lain. mungkin dengan lebih banyak ruang diberikan kepada backstory mereka, hubungan tersebut akan terasa lebih natural dan mudah untuk saya hayati.

begitu juga dengan konflik antara Alya dan Zakuan. saya boleh nampak bagaimana penulis cuba membina Zakuan sebagai seorang antagonis dan menunjukkan sisi jahatnya, tetapi kejahatan tersebut tidak benar-benar sampai kepada saya. saya sepatutnya rasa geram, takut atau tertekan dengan kewujudan dia, tetapi emosi tersebut tidak begitu muncul sepanjang membaca.

dan ada juga satu bahagian yang membuatkan saya tertanya-tanya—Alya ada menghubungi salah seorang wartawan yang diperkenalkan oleh Rizal, tetapi kemudian bahagian tersebut terasa macam tergantung. jadi sampai sekarang tertanya-tanya, Alya jumpa ke tak wartawan tu? dan siapa sebenarnya wartawan tu? 😭 atau saya terlepas pandang?

dari segi penulisan pula, ada beberapa bahagian yang terasa sedikit terlalu panjang bagi saya. saya sebenarnya suka fakta-fakta yang diselitkan dalam cerita ni, terutamanya apabila ia berkait dengan dunia ghostwriter dan perkara yang menjadi latar kepada cerita. cuma ada beberapa bahagian yang terasa seperti info dump dan sedikit unnecessary sehingga menyebabkan pembacaan saya jadi perlahan. namun ini mungkin lebih kepada personal preference saya.

secara keseluruhan, saya rasa naskhah ni sebenarnya mempunyai idea yang cukup menarik, cuma cara ia digarap membuatkan saya kurang terikat dengan cerita dan watak-wataknya. premisnya ada potensi, tetapi cara penyampaiannya masih belum cukup kuat untuk benar-benar meninggalkan kesan kepada saya.
Profile Image for Hamidah Effendi.
692 reviews11 followers
February 21, 2026
Eksploitasi oleh Vee Dia Yusof

Alya hadir sebagai seorang ghostwriter yang ditugaskan menulis biografi seorang influencer terkenal. Semua maklumat kononnya telah disediakan, namun sepanjang proses menyiapkan manuskrip, Alya mula menyedari ada banyak percanggahan dan kelompongan. Melalui sesi temubual dan siasatan kecil yang dilakukannya, semakin jelas bahawa ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

Novel ini membawa tema manipulasi dan eksploitasi — bagaimana sebuah organisasi memerah tenaga dan keuntungan daripada individu yang terikat dengan kontrak. Watak ghostwriter digunakan sebagai medium untuk merungkai kebenaran di sebalik dunia glamor yang tidak seindah yang dipaparkan.

Secara peribadi, saya beri 3/5. Plotnya agak boleh dijangka dan kurang cabaran yang benar-benar menguji watak utama. Saya mengharapkan lebih konflik daripada pihak organisasi — mungkin tekanan yang lebih berat atau strategi yang lebih licik. Namun, yang ada sekadar ugutan dan pemantauan dari jauh. Ada rasa seperti “baru nak naik, terus hilang momentum”. Saya berharap Alya diberikan cabaran yang lebih kuat supaya pembaca lebih berdebar.

Dari sudut lain, saya hargai bagaimana penulis memperkenalkan dunia ghostwriter — dunia yang tidak dikenali ramai. Mereka menulis, tetapi nama orang lain yang mendapat kredit dan anugerah. Bayaran pula bergantung kepada skop kerja, dan seorang ghostwriter perlu bijak menyesuaikan gaya penulisan mengikut klien. Bahagian ini sangat menarik untuk dibaca kerana ia membuka perspektif baru.

Cuma satu pesanan: baca buku ini selepas berbuka puasa 😅 Banyak bab yang membuatkan saya teringat nasi lemak Rizal!

Watak Alya sendiri digambarkan bukan sahaja berbakat, tetapi juga dikelilingi rakan-rakan yang menyokong dan melindunginya. Untung sungguh ada kawan sanggup sponsor tiket ke Korea — sedikit rasa cemburu di situ 🤭

Namun watak lelaki seperti Rizal dan Haris agak mengundang rasa geram. Terlalu baik dan terlalu melayan, sampai boleh menimbulkan salah faham. Dalam pergaulan, berpada-padalah supaya tidak memberi harapan yang tidak pasti.

Secara keseluruhan, tahniah kepada penulis atas karya ini. Ideanya menarik dan berpotensi besar, cuma plot boleh dikemaskan lagi agar lebih kuat dan berimpak. Kisah ini sedikit mengingatkan saya kepada gosip du Medsos tentang artis 'Arvil Lavinge' yang sekarang adalah orang lain — sekadar gosip, belum tentu benar 😉

Semoga terus berkarya dan memperhalusi kekuatan plot pada naskhah seterusnya.
Profile Image for meenie.
462 reviews3 followers
August 31, 2026
solid 4⭐

first and foremost, thank you karangkraf team untuk review copy ini. oh and btw, jangan risau ini bukan sugarcoating review hehe. so, saya nilai dengan hati yang telus dan jujur.

alya iskandar. seorang ghostwriter yang agak terkenal kerana telah berjaya melahirkan karya yang popular dan disukai ramai. prinsip alya ini mudah. menulis biar dari hati. kalau tak, pembaca bosan dan buat apa tulis panjang-panjang tapi tak sampai kan?
satu hari, alya dipertemukan dengan zenith agency. sebuah syarikat yang melahirkan ramai talents atau figure yang terkenal. mostly influencers. alya ditugaskan untuk menulis biografi tentang seorang influencer yang bernama sofea amani. jujur saya kata, saya bayangkan sofea ni sofeashra 😽 hehe - tapi, yang peliknya semakin banyak alya kaji tentang sofea, semakin pelik maklumat yang diperolehi. betul ke sofea amani tu the real sofea amani? kenapa rizal, kawan baik alya semakin misteri dan meninggalkan banyak tanda tanya? dan kenapa alya semakin dibelenggu ugutan?

banyak tanda tanya dalam menghabiskan kisah kali ini. mula-mula, saya geram dengan sikap rizal. oh ye, memang. sampai habis pun saya geram dengan rizal. saya rasa nak cekik rizal dan ternyata tak salah pun apa saya nak buat ahahah. rizal yang semakin misteri. saya tahu rizal ini cuba melindungi alya tapi kadang saya rasa lagi kau expose alya ke bahaya adalah.

berkenaan cerita pula, walaupun jalan ceritanya agak panjang tetapi sangat mudah untuk difahami. fast paced juga. memandangkan saya ni baran dan tak penyabar, fuh - kalini saya berpuas hati hehe. selain itu, saya suka apabila author menyelitkan tentang ilmu baharu juga. banyak sebenarnya yang kita dapat tahu mengenai jobscope ghostwriter ni. betul lah tu. saya rasa mostly org igt ghostwriter ni penulis pelik atau tidak mahu dikenali tapi sebenarnya lain dik, lain. oh, dan juga saya suka bila author tekankan nasihat tentang perkara lain juga. ini yang kita mahu 😘

akhir kata, saya berpuas hati dengan kisah kali ini. oh tapi satu je, ending itu saya rasa macam quite rushing. saya perlukan lebih huru-hara dan drama apabila watak jahat ditangkap dan rahsia dibongkarkan. baru syok!!!!! hehe tu je.

byeeeeeee jangan lupa dapatkan eksploitasi semua 💗💗💗
Profile Image for SS.
573 reviews10 followers
April 2, 2026
Sinopsis Ringkas:
Ghostwriter merupakan pekerjaan Alya Iskandar. Alya mendapat satu tawaran besar dari Zenith untuk menulis biografi seorang influencer terkenal : Sofea Amani. Sebagai seorang ghostwriter, Alya perlu mengetahui banyak details mengenai Sofea. Namun, semakin Alya mengali semakin terjunam kedalam. Sofea Amani bukan seperti yang disangka. Ditambah pula dengan ugutan misteri yang diterimanya. Menimbulkan lebih banyak persoalan. Apa yang terjadi sebenarnya?

Iya. Penulis membawa kita menyelusuri perjalanan Alya mengali identiti sebenar Sofea Amani. Menyiasat la senang cerita. Semuanya bertentangan dengan apa yang dilihat di depan mata. Malah selepas diteliti ada tahun yang Sofea menghilang tanpa dikesan/ditrace dan kemudiannya dia muncul semula. So suspicious. Dan suprisingly, Alya juga turut mendapat kejutan yang tidak disangka-sangka.

Kalau saya jadi Alya mungkin saya akan fikir banyak kali sebelum sign surat perjanjian. Syarat ketat & kena ikut telunjuk Zenith tu memang terang sangat. Tapi Alya as usual. Ambil sebagai cabaran. Lumayan juga apa yang ditawarkan.

Apa yang saya suka dalam Eksploitasi ni ialah bagaimana penulis tidak lokek memberi info dan ilmu mengenai dunia ghostwriter (from basic to wide view). Terisi juga otak saya ini. Penulis juga mengubah pandangan saya terhadap ghostwriter. Tidak mudah. Perlu amanah dan menjaga sehabis baik data client. Bukan hanya sekadar menulis dan berada di belakang tabir. Ingat senang ke nak sorok identiti? Kita menulis tapi orang lain dapat nama auch.

Saya cuma rasa ada some part yang kurang intense & watak kurang emosi. Walaubagaimanapun, perasaan ingin tahu itu tetap ada sehingga berjaya buat pembaca tetap ingin menghabiskan pembacaan. Tapi apa pun. Tahniah penulis untuk karya ini. Satu percubaan yang baik.

📌 Oh ya. Personally saya suka watak sampingan si Mija. Saya perlukan kawan macam Mija. Yang sentiasa ada. Alert dengan keadaan rakan. Dan serba serbi menjaga rakan. Memang member dari syurga.
Profile Image for Mini.
86 reviews1 follower
September 7, 2026
Rating: 4/5 🌟

Kisah bermula apabila Alya Iskandar, seorang ghostwriter, menerima tawaran menulis biografi untuk figura glamor terkemuka, Sofea Amani. Di permukaan, kehidupan Sofea kelihatan penuh kesempurnaan. Namun, sebaik sahaja Alya mula menggali latar belakangnya, pelbagai kepalsuan, ugutan dan rahsia² lain mula terbongkar satu per satu.

Buku ni memang sebuah karya suspen dan misteri yg sangat memuaskan, terutamanya buat penggemar thriller yg suka akan gabungan isu realiti, media sosial dan selok-belok dunia ghostwriter.

Gaya bahasanya ringkas dan mudah difahami. Pacing cerita pula jenis fast-paced, dari awal lagi dah banyak suasana yg buat mendebarkan. Susunan plotnya membuatkan saya berterusan membuat spekulasi tentang apa yg akan berlaku seterusnya.

Watak Alya dibina dengan sangat baik iaitu seorang yg tabah dan berprinsip. Watak Rizal pula betul² memainkan emosi dengan tindak-tanduknya yg penuh rahsia dan pelik. Biasanya kita mesti terkejut dengan plot twist cerita kan? Tapi takye.. Saya terkejut dengan plot twist yg berlaku terhadap salah satu watak dalam buku ni! Tak percaya? Boleh tanya dengan Meen 🙂‍↕️

​Jalan cerita ini betul² membuka mata saya tentang kewujudan dan realiti dunia ghostwriter. Ya, saya tak pernah tahu pun kewujudan ghostwriter selama ini. Cuma itulah, besar juga cabaran serta risiko yg perlu dihadapi oleh seseorang yg menulis di sebalik nama orang lain.

Dari sudut pandangan peribadi saya, kalau bahagian ending dikembangkan dengan lebih terperinci, impaknya pasti bertambah padu berbanding fasa akhirnya yg terasa agak rushed. Pun begitu, secara keseluruhannya saya tetap berpuas hati! 😆
Profile Image for Snnaqiah.
25 reviews3 followers
April 13, 2026
Pengalaman saya membaca buku ni, pada awalnya terasa seperti sedikit hambar namun semakin dibaca semakin seronok. Boleh baca in one-sitting, plot laju dan mudah diikuti.

Saya suka cara penulis selitkan fakta-fakta & teguran umum (contoh: self claimed OCD). Penulis juga bawa kita 'bekerja' bersama-sama sebagai ghostwriter - seolah-olah kita pun jadi ghostwriter sekali. Ada juga buku-buku rujukan untuk seorang ghostwriter gunakan. Siapa yang ada cita-cita nak jadi ghostwriter tu, elok sangat baca buku ni untuk dapatkan vibe 😆

Di akhir bacaan, saya letakkan buku dengan rasa puas hati namun ada beberapa persoalan juga. Mungkin penulis sengaja, mungkin ada buku sambungan, kan?
Profile Image for Edziani Nabila.
130 reviews9 followers
June 18, 2026
Waktu saya sedang menaip ulasan ini, kebetulan dunia buku tengah kecoh tentang isu influencer yang menyalahkan ghostwriter apabila terdapat kesalahan dalam buku self-publish beliau.

Nasib baik saya dah selesai membaca Eksploitasi.
Bertambah empati saya terhadap dunia penulis upahan atau ghostwriter yang penuh dengan etika dan kerja belakang tabir yang jarang orang nampak.

Novel ni mengisahkan Alya, seorang ghostwriter yang menulis untuk beberapa individu terkenal tetapi namanya sendiri tidak dikenali.

Menariknya, penulis mengetengahkan bagaimana seorang ghostwriter perlu menjaga etika kerja termasuk merahsiakan identiti klien dan tidak sesuka hati mendedahkan kerjasama kepada umum.

Konflik mula timbul apabila Alya terpaksa menulis perkara yang berbeza daripada prinsipnya malah ada yang bersifat palsu demi menjaga nama dan reputasi Zenith Agency dan influencer yang terlibat.

Jalan cerita novel ni ringan, plot tak terlalu kompleks terutama tentang dunia ghostwriter, eksploitasi dalam industri kreatif cuma satu perkara yang membuatkan saya sedikit overwhelmed - terlalu banyak mention makanan dalam buku ni (haha)
Profile Image for Qayiem Razali.
931 reviews89 followers
February 17, 2026
[08|2026]

Eksploitasi || Vee Dia Yusof


Buku ini berkisar tentang Alya, seorang ghostwriter yang punya cita cita besar, menghasilkan karya yang punya jiwa walaupun namanya tidak akan disebut-sebut pembaca. Jalan hidupnya berubah apabila dia menerima satu tugasan daripada sebuah agensi untuk menghasilkan karya bibliografi tentang seorang pempengaruh terkenal, Sofea.
Hari demi hari, projek yang dikiranya hanya sebuah projek biasa rupanya membawa dia semakin dekat dengan bahaya. Dapatkah Alya menyelesaikan tugasan yang diberikan? Apakah kebenaran bakal tersingkap atau kekal menjadi rahsia selamanya?

Tahniah buat penulis untuk karya ini. Ideanya segar. Setiap bab terisi dengan momen yang tidak sekadar mengisi kosong yang ada. Segalanya bagi saya ditulis dengan hampir sempurna. Kisah Alya dan teman-teman digerakkan dengan baik membuatkan saya sebagai pembaca terus memberi fokus sehingga ke halaman terakhir. Buat penggemar genre thriller, mungkin naskah ini perlu ada dalam senarai anda.
Profile Image for Mohamad Nasrul.
256 reviews7 followers
June 19, 2026
Eksploitasi

Alya Iskandar diamanahkan untuk menulis biografi seorang influencer terkenal, Sofea Amani. Sofea Amani diuruskan oleh Zenith Agency. Semakin dalam Alya Iskandar membuat kajian untuk tugasannya, semakin banyak hal di luar jangkaan yang dia dapati.

Dengan bantuan Rizal dan beberapa kawannya yang lain, mereka merencana untuk merungkai setiap persoalan di sebalik rahsia yang tersimpan. Dengan setiap jawapan yang ditemui, Alya harus memilih untuk meneruskan atau berhenti di tengah jalan?

Sebuah gambaran kisah ghostwriter yang diangkat menjadi watak utama dalam novel, sungguh menarik ceritanya. Setiap kali terbuka sebuah kebenaran, aku macam boleh jangka, jadinya macam kurang sikit teruja.

Walaupun tak cukup mengujakan aku, tapi tugas ghostwriter serta jalan ceritanya dilakar dengan baik sekali. It is still an interesting read.
Profile Image for Hanie Noor.
7 reviews5 followers
February 10, 2026
i truly enjoyed reading this book. the right amount of page turners, the characters were interesting enough and I feel like we have not seen the last of Alya.
Profile Image for bookmehnia.
390 reviews20 followers
September 30, 2026
(58/2026) 2.5/5🌟 Umum (Fiksyen) | 410 ms

“𝙄𝙖 𝙗𝙪𝙠𝙖𝙣 𝙨𝙚𝙠𝙖𝙙𝙖𝙧 𝙠𝙚𝙧𝙟𝙖𝙮𝙖. 𝙄𝙖 𝙨𝙖𝙩𝙪 𝙨𝙪𝙢𝙥𝙖𝙝 𝙙𝙞𝙖𝙢 𝙪𝙣𝙩𝙪𝙠 𝙢𝙚𝙣𝙪𝙡𝙞𝙨 𝙮𝙖𝙣𝙜 𝙗𝙚𝙣𝙖𝙧 𝙬𝙖𝙡𝙖𝙪𝙥𝙪𝙣 𝙩𝙞𝙙𝙖𝙠 𝙙𝙞𝙣𝙖𝙢𝙖𝙠𝙖𝙣. 𝙐𝙣𝙩𝙪𝙠 𝙢𝙚𝙣𝙖𝙞𝙥 𝙬𝙖𝙡𝙖𝙪𝙥𝙪𝙣 𝙣𝙖𝙢𝙖 𝙙𝙞𝙥𝙖𝙙𝙖𝙢. 𝙏𝙖𝙥𝙞 𝙞𝙩𝙪𝙡𝙖𝙝 𝙮𝙖𝙣𝙜 𝙢𝙚𝙢𝙗𝙚𝙯𝙖𝙠𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙣𝙪𝙡𝙞𝙨 𝙪𝙥𝙖𝙝𝙖𝙣 𝙗𝙞𝙖𝙨𝙖 𝙙𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙣𝙪𝙡𝙞𝙨 𝙥𝙧𝙚𝙢𝙞𝙪𝙢. 𝙔𝙖𝙣𝙜 𝙥𝙚𝙧𝙩𝙖𝙢𝙖 𝙢𝙚𝙣𝙜𝙚𝙟𝙖𝙧 𝙗𝙖𝙮𝙖𝙧𝙖𝙣. 𝙔𝙖𝙣𝙜 𝙠𝙚𝙙𝙪𝙖 𝙢𝙚𝙣𝙟𝙖𝙜𝙖 𝙟𝙞𝙬𝙖 𝙘𝙚𝙧𝙞𝙩𝙖.”

Alya Iskandar ialah seorang penulis, namun tiada pembaca yang mengenalinya, dan Alya lebih senang begitu - kerana Alya ialah seorang 𝘨𝘩𝘰𝘴𝘵𝘸𝘳𝘪𝘵𝘦𝘳. Baginya, memberikan jiwa kepada penulisannya lebih memberi makna dan kepuasan yang mendalam bagi penulis sepertinya.

Sehinggalah Alya mendapat satu tawaran projek menulis biografi Sofea Amani, seorang figura umum dan juga pempengaruh yang sangat terkenal, punyai jutaan peminat dan pengikut di laman media sosial. Bagi Alya, peluang menulis biografi orang terkenal ini tidak boleh dilepaskan.

Hanya setelah Alya menandatangani kontrak perjanjian bersama 𝘡𝘦𝘯𝘪𝘵𝘩 𝘈𝘨𝘦𝘯𝘤𝘺, iaitu syarikat yang menaungi Sofea Amani, barulah dia mengetahui bahawa dunia pempengaruh yang penuh glamor dan kemasyhuran itu hanyalah sebuah tipu daya. Sofea Amani yang berada di depannya, bukan seperti Sofea Amani yang terpapar di televisyen mahupun internet. Alya mengetahui terdapatnya perbuatan penipuan identiti.

Alya berada di persimpangan dilema samada dia perlu sahaja meneruskan penulisan mengikut acuan yang disediakan oleh 𝘡𝘦𝘯𝘪𝘵𝘩 𝘈𝘨𝘦𝘯𝘤𝘺, ataupun merungkai kebenaran di sebalik penipuan dan helah? Alya semakin menerima tekanan apabila dia mula menerima nota-nota misteri yang memberi amaran kepadanya untuk tidak menggali lebih banyak maklumat sekiranya dia mahu selamat. Alya juga sering rasa diperhatikan. Siapakah sebenarnya Sofea Amani, dan apakah rahsia yang disimpan sehingga nyawa Alya menjadi taruhan.

Alya telah berikan seluruh hati dan jiwanya kepada dunia penulisan yang sangat dicintai, namun apabila dia terpaksa melakukan penipuan, ianya telah melanggar etikanya sebagai seorang penulis. Mampukah Alya membuat keputusan yang tepat?
.
Secara keseluruhannya, saya berpendapat bahawa cerita ini mempunyai premis yang sangat menarik. Itulah juga punca mengapa saya tertarik untuk membeli karya ini apabila membaca sedikit latarbelakang cerita yang mengangkat tema penulisan 𝘨𝘩𝘰𝘴𝘵𝘸𝘳𝘪𝘵𝘦𝘳.
.
Namun, saya juga berpendapat terlalu banyak
subtema - seperti kekeluargaan, persahabatan, percintaan, dunia pempengaruh, dunia penulisan dan lain-lain - yang tidak digarap dengan baik untuk bersatu dengan tema utamanya dan adakala subtema ini mengaburi tema utamanya. Transisi daripada satu bab kepada bab yang seterusnya juga agak melompat-lompat dan mempunyai kesinambungan yang kurang baik, adakalanya saya terpaksa menyemak semula mukasurat sebelumnya bagi memastikan saya tidak hilang fokus. Sedikit ralat juga kerana saya menyangka akan ada elemen saspen atau 𝘤𝘳𝘪𝘮𝘦 dan 𝘴𝘱𝘺 𝘵𝘩𝘳𝘪𝘭𝘭𝘦𝘳 di sebalik pembongkaran misteri yang terungkai. Mungkin juga boleh diselitkan sedikit 𝘢𝘤𝘵𝘪𝘰𝘯 𝘮𝘰𝘥𝘦 di dalam usaha Alya membongkar maklumat dan mencari kebenaran. Saya juga sedikit hampa kerana bagi saya penamatnya mempunyai kesudahan yang agak mudah.
.
Pada pendapat saya, jalan cerita mungkin akan lebih menarik sekiranya ada beberapa latar penceritaan berkaitan watak-watak yang terdapat di dalam cerita ini. Selain Alya, saya juga tertarik dengan watak Rizal, Alpha dan Datin Mira sebenarnya, kerana mereka seolah-olah ada menyimpan rahsia lain, dan di penghujung cerita, adakah maksudnya ia bakal punyai sekuel? Hanya penulis sahaja yang mengetahuinya.
.
Sekiranya anda mahukan karakter-karakter bacaan anda mempunyai ciri-ciri yang lain daripada yang lain, karya ini mungkin untuk anda.
.
#justreaddontbawang #bookmehnia #September2026 #2026reads #SeptemberTBRs #bookstagrammalaysia #bookstagrammy #malaysiamembaca #bookstagrammer #bookgram #bibliophile #bibliophilemy #bookish #bookaddict #bookaesthetic #readersofinstagram #goodreads #bookrecommendations #bookreview #bookworm #eksploitasi #veediayusof
Profile Image for sansuriya82.
189 reviews2 followers
May 12, 2026
⭐ Rating peribadi aku: 4.3/5.

Eksploitasi ni antara novel yang buat aku rasa tak selesa untuk baca pada permulaanya kerana tajuknya seperti terlalu berat… tapi dalam masa yang sama susah nak berhenti membaca setelah bermula dihalaman pertama. Dari awal lagi, vibe dia memang dah berat dengan unsur manipulasi, rahsia, dan sisi gelap dunia influencer yang selama ni orang nampak cantik dekat media sosial je.

Aku tertarik nak baca sebab tajuk dia sendiri — Eksploitasi. Tajuk tu macam terus bagi hint yang cerita ni bukan sekadar pasal glamor atau populariti, tapi tentang bagaimana manusia boleh dipergunakan demi nama, duit, dan perhatian. Dan bila masuk beberapa bab awal, memang terus terasa tekanan psikologi tu.

Watak Alya sebagai penulis yang cuba menyelami kehidupan Sofea Amani buat aku rasa macam sedang membuka satu persatu pintu rahsia yang sebenarnya tak patut disentuh. Lagi dia cuba cari kebenaran, lagi banyak benda pelik dan disturbing yang muncul. Aku suka cara penulis bina rasa curiga dekat setiap watak sebab sampai satu tahap aku sendiri tak tahu siapa yang boleh dipercayai.

Apa yang paling best bagi aku ialah cara novel ni sentuh realiti dunia sekarang. Kadang-kadang kita tengok influencer dekat media sosial nampak bahagia, sempurna, hidup mewah… tapi novel ni tunjuk yang di sebalik semua tu mungkin ada tekanan, manipulasi, dan orang yang ambil kesempatan. Itu yang buat cerita ni terasa dekat dengan realiti.

Gaya penulisan Vee Dia Yusof pula senang nak masuk. Tak terlalu berat tapi cukup untuk buat pembaca rasa tegang. Ada beberapa bahagian yang buat aku rasa anxious sebab suasana misteri dia menjadi. Plot dia pun jenis perlahan-lahan tarik kita masuk sebelum mula bongkar satu demi satu rahsia besar.

Cuma kalau nak dibandingkan dengan thriller yang sangat fast pace, novel ni lebih fokus pada permainan emosi dan psikologi watak. Jadi kena baca perlahan dan hayati setiap petunjuk kecil.

Secara keseluruhan, aku rasa novel ni sesuai untuk pembaca yang suka thriller moden dengan tema media sosial, manipulasi, dan rahsia identiti. Ending dia pula memang tinggalkan rasa “eh… manusia memang boleh jadi seteruk ni ke?”
Profile Image for Hani~.
185 reviews4 followers
February 24, 2026
Buku ini menarik perhatian saya pada peringkat awal kerana memaparkan watak utama seorang ghostwriter – kerjaya yang jarang diteroka dalam dunia fiksyen. Ditambah elemen misteri pada cover buku, tentunya saya letak expectation yang tinggi terhadap novel ini.

Watak Alya, seorang ghostwriter 'premium' menurut gelaran yang diberi sahabatnya, ditawarkan projek besar – menyiapkan memoir seorang pempengaruh tersohor berdasarkan maklumat yang disediakan pihak agensi pengurusan.

Seiring masa, Alya dapati ada banyak yang tidak konsisten dalam maklumat tersebut. Begitu juga perwatakan subjek tulisannya – Sofea Amani. Ini membawa pembaca kepada satu realiti pahit dunia penuh 'tipu-tipu'. Manipulasi. Eksploitasi. Kebebasan dan jati diri tergadai di sebalik wang dan populariti.

Semua ini menyediakan ruang luas untuk pembaca hook dengan kisah ini. Namun bagi saya, ia kurang kesampaian lantaran chemistry antara watak yang terasa kurang natural. Elemen suspen juga kurang menonjol. Walau diulang-ulang bahawa ia melibatkan ancaman nyawa dan keselamatan, saya tak nampak tekanan tersebut begitu serius daripada pihak antagonis.

Walau apapun, pada akhirnya semua akan berbalik kepada citarasa dan expectation masing-masing sebagai pembaca. Bacalah buku ini kerana anda mungkin akan lalui pengalaman yang berbeza berbanding saya.
Profile Image for Salmiah Awang.
34 reviews
June 15, 2026
Novel ni mengisahkan tentang Alya Iskandar, seorang ghost writer telah ditawarkan menulis biografi seorang influencer bernama Sofea Amani

Alya dapati agensi dan Sofea Amani ni macam pelik dan mula menyelongkar rahsia disebaliknya.

Ternyata ada eksploitasi terhadap nama Sofea Amani ni. Agensi cuba menutup kebenaran dengan mengugut Alya. Tapi boss agency tu pulak adalah pakcik Alya sendiri.

Ceritanya suspen jugak. Tapi suspen tak bertempat. Sebab apa yang saya bayangkan tidak terjadi. Agaknya sebab dah biasa baca novel thriller kot... Saya memang expect lebih. Hahaha

Apapun, Novel ni memperkenalkan saya apa itu ghost writer dan ada juga skop tugasan seorang influencer yang nampak manis tapi penuh cabaran.

Selamat membaca
Profile Image for Vida Ariff.
205 reviews
May 28, 2026
Mendalami perjalanan kerjaya Alya sebagai seorang ghostwriter. Mendapat satu projek menulis biografi Sofea Amani, satu nama yang gah dan glamour.

Namun, projek itu menyingkap banyak tanda tanya yang membawa kepada satu rahsia besar yang selama ini disimpan rapi daripada orang ramai.

Alya berada dalam dilema, sama ada hanya menutup mata dan hanya perlu menulis sebagaimana yang diminta; selayaknya dia sebagai ghostwriter yang sinonim dengan watak senyap dan 'tidak wujud' dalam penghasilan sesebuah buku/karya,
Ataupun bertindak melondehkan rahsia besar, namun boleh menjadikan nyawanya sebagai taruhan.
Profile Image for Bella.
26 reviews
April 26, 2026
Alya Iskandar, freelance ghostwriter yang bersemangat dalam menghasilkan karya yang berkualiti. Bagi Alya, walaupun namanya tidak akan disebut pada sesuatu karya, tapi integriti dan kejujuran sangatlah penting dalam menyiapkan hasil kerja yang boleh memberi impak dan rasa terhadap pembacanya.

Kredibiliti Alya yang baik akhirnya sampai ke pendengaran Zenith Agency, agency hiburan yang menaungi influencer dan artis terkenal.

Seperti klien lain, tugas Alya sama sahaja. Dia diminta menghasilkan biography Sofea Amani, influencer muda yang sedang meningkat naik di bawah agensi tersebut. Bayaran pun tinggi, jadi tanpa fikir panjang. Kontrak dipersetujui

Sepanjang tempoh menukang manuskrip, Alya tak pernah bertemu muka dengan Sofea Amani walaupun berkali Alya request untuk interview. Mungkin, tugas seorang influencer terlampau sibuk sehingga tak mampu menyusun jadual. Mungkin.

Lagipun, hampir kesemua maklumat Sofea boleh diperolehi di hujung jari dan daripada Zenith Agency sendiri.

Tapi, sekejap. Kenapa semua maklumat yang dirabur berkenaan artis tersebut semuanya meragukan? Seolah-olah semuanya terlalu perfect. Possible ke manusia terlampau sempurna? Atau Sofea Amani memang seseorang yang hidupnya serba sebi sempurna

Tapi, hati kecil Alya masih berdalih. Seolah ada maklumat yang dah dipadam seseorang.

Tak puas dengan maklumat yang diperolehi, Alya tekad mendapatkan maklumat lain dengan caranya tersendiri.

Tapi kenapa makin dalam dia gali, makin banyak persoalan dan klu yang mula menuju satu pengakhiran. Makin lama dia siasat, makin kerap rasa diperhatikan

Siapa Sofea Smani sebenarnya

Sayaa sukalah buku yang bergenrekan psiko-thriller ni. Seolah-olah bukan Alya je yang jadi sasaran rahsia gelap, tapi dia minta saya untuk sama sama rungkai apa yang jadi.

Serius macam tengok drama - tense, adrenaline rush waktu bacaa tu asyik buat tak berhenti selak page seterusnya. Saya sampai nervous nak tahu apa yang jadi seterusnya.

Cuma, saya rasakan semua rahsia terlampau cepat dibongkar. Jadi perasaan excited yang awalnya tadi maksima perlahan-lahan menurun jadi kadar yang normal.

Tapi masih berbaloi untuk tamatkan pembacaan sebabb masih ada sesuatu yang menanti Alya dan kita di hujung penceritaan.

Cuma, kadang kadang saya perasan yang dialog Alya agak baku berbanding dialog watak lain, untuk beberapa kali.

Saya suka sebabb banyak susun kerja tentang seorang ghostwriter yang kita boleh belajar dalam Eksploitasi. Plus, semua pesanan yang penulis sampaikan memang bermakna.

Untuk keseluruhan, saya rate 4/5 ✨
Displaying 1 - 18 of 18 reviews