Hasanuddin bin Md Isa dilahirkan di kampung Kuala Atok, Raub, Pahang Darul Makmur pada tahun 1 Januari 1961. Bapanya, Md Isa bin Omar merupakan petani yang pernah belajar pendidikan Islam dan bahasa Arab di sebuah pondok pengajian Islam di Bunut Payung sebelum perang. Hasanuddin Md Isa mendapat pendidikan awal di kampung halamannya iaitu di Sek.Kebangsaan Kuala Atok pada 1967-1973. Beliau melanjutkan pelajaran ke Sek.Men.Kebangsaan Raub pada 1974-1977. Dengan berbekalkan A15 dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, beliau melanjutkan pelajaran ke Sek.Men.Teknik Kuantan 1977-78. Setelah itu, beliau melanjutkan pelajaran ke Sek.Men. Abdul Rahman Talib , Kuantan 1979-1980 di tingkatan 6 Sastera. Setelah mendapat pencapaian agak baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi 1981-1984. Seterusnya mulai tahun 1988-89, beliau mengikuti kursus diploma pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pada tahun 1992, beliau sekali lagi mengikuti kursus dalam bidang Pedogogi dan Metodologi Pembelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau telah berkahwin dengan Puan Nor Aliza bt. Mohamad Hanib pada November 1990. Hasil perkahwinannya itu dikurniai Allah empat orang cahaya mata.
Dalam kerjaya yang pernah dijalankannya, beliau pernah menjawat jawatan dalam sektor awam. Antaranya ialah:
i.GSTL di Sek.Men.Kebangsaan Alor Akar,Kuantan 1986-87 ii.GSTL di Maktab Rendah Sains Mara,Kuantan, 1987 iii.Kurator muzium Sultan Abu Bakar,Pekan, 1988 iv.Tutor Bahasa Melayu Program Khas Diploma Pendidikan, UIA 1989-90 v.Guru Bahasa Melayu/Ekonomi Asas di Sek.Men.Agama Pulau Tawar,Jerantut 1990 –96 (Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang JAIP) vi.Guru Ekonomi Asas di Ma’ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini. 1997-98 (Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang JAIP) vi.Guru Bahasa Melayu dan Ekonomi di Sek. Men. Agama Al-Ulum Ad-Diniah, Dong- 1999 – 2008 (Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang JAIP) vii. Pengetua Maahad As-Sultan Ahmad Shah Addini, Bandar Jengka 2008- 98 Februari 2011 viii. Pengetua Sek. Men. Agama Al-Falah Batu Talam, Raub mulai 9 Februari 2011 hingga kini.
Dalam bidang penulisan, beliau telah mula menulis sejak di bangku sekolah menengah lagi. Hasil-hasil karyanya berbentuk sajak sering disiarkan di dalam majalah tahunan sekolah. Kemudian bakat penulisannya dilanjutkan dengan menulis rencana-rencana di dalam akhbar tabloid seperti Watan, Tanahair dan lain-lain juga menulis rencana dalam majalah ‘ Al-Muslimah’ (tahun 1980-an) dan majalah keluaran Pusat Islam Malaysia (Cahaya). Kerja-kerja penulisannya turut mendapat pengiktirafan. Beliau pernah memenangi anugerah iaitu: i. Anugerah Khas Budaya Negeri Pahang 1986 Bahagian Penulisan Rencana Budaya, ii. Hadiah Sastera berunsur Islam 1988 (DBP:Novel Mereka Yang Tertewas [dijadikan teks sastera SPM 1991-2001] iii. Sastera Berunsur Islam 2, 1990 (DBP: Novel Halangan dan Rintangan) iv. Novel Al-Abrar dipilih dalam penilaian peringkat akhir , Hadiah Sastera Nasional anjuran Utusan Publication & Distributors 1994 v. Memenangi hadiah utama pertandingan penulisan puisi tradisional (Syair: Masyarakat Madani mengharung zaman) anjuran Permodalan Nasional Berhad 1999 vi. Memenangi hadiah sagu hati pertandingan Penulisan Al-Manak 2001 (cerita rakyat : Puteri Indung Gunung Tahan) anjuran Nett Space Sdn. Bhd. 2000. vii. Tahun 2004, beliau diberi Anugerah Pengkaryawan Sastera oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) viii. Novel "Cebisan Mantera Terakhir" diangkat oleh Majlis Buku Kebangsaan sebagai antara 50 buku terbaik guru dan karya terjemahan guru sempena Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-42 IX. Novel "Sarjana Bangsa" mendapat tempat ke-2 kategori novel di Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2.
Novel pertama karya Hasanuddin Md Isa yang saya baca, adalah Mereka Yang Tertewas. Jujurnya saya amat rasa tertekan dan terkesan membacanya lantaran puas lah saya mengklik dan mengetik puluhan posting ke hulu ke hilir social media juga di www mencari buku sambungannya. Sukar nak jumpa Mereka Yang Tertewas 2 ya, jangan tak tahu. Namun, saya ketemu juga. Harganya, walaupun buku terpakai, boleh tahan tinggi. Tapi, dek kerana kepingin membaca sambungan Mereka Yang Tertewas, saya tidak terlalu kisah. Malangnya, cerita Mereka Yang Tertewas 2 tidak se-best buku yang pertama. Maka jatuhlah semangat saya sedikit.
Entah di mana, saya terbaca bahawa buku-buku karya Hasanuddin Md Isa dicari ramai kerana kepelbagaian corak penulisan. Ini rasanya releven untuk mereka dari kalangan yang fasih dalam bidang sastera, profesional gitu. Apapun, saya cuba juga mengumpulkan novel karya Hasanuddin Md Isa. Salah satu yang saya baca beberapa tahun selepas buku Mereka Yang Tertewas 2, adalah novel bertajuk Al - Abrar. Yang ini, hebat tak ingat. Cerita kebanyakannya berlatarkan UKM dan Bangi, persoalan-persoalannya pula mengenai ilmu yang yang benar vs ilmu yang diselewengkan, memang kesukaan saya. Lagi susah nak dapat dan yang senaskah saya ada, memang saya tak jual melainkan nanti jumpa naskah kedua.
Apa tujuan saya menulis panjang tentang buku lain di sini? Sebenarnya, hanya nak maklumkan bahawa saya masih tercari-cari buku karya Hasanuddin Md Isa yang mengangkat isu-isu berat yang selalunya ditunjangi pengertian tentang ajaran agama Islam, ada adengan tohmahan dan kejian, dan adanya watak yang bertegang urat mempertahankan pendirian yang kompleks, sama macam buku Al Abrar atau Mereka Yang Tertewas. Namun belum berjumpa. Saya harpkan pada novel Titisan, hampa. Saya berharap pula pada novel Generasi ini, jumpa kecewa. Masih cerita cinta, putus cinta, sakit cinta, berebut cinta....Tidak mencabar emosi.
Maka saya akan terus mencari novel Hasanuddin Md Isa yang lain, kerana entah mengapa pula, saya percaya kepada ketokohan beliau sebagai Sasterawan. Begitulah.