Mereka Yang Tertewas memenangi hadiah khas Hadiah Sastera Berunsur Islam 1988. Mengenai novel ini, Panel berpendapat, "Novel ini agak biasa temanya tetapi pengarang memperlihatkan keberkesanannya yang agak luar biasa dengan mempamerkan perkembangan perwatakan dan menampilkan gaya bahasa yang hidup - sesuai dengan latar dan perwatakan yang diketengahkan. Perkembangan ceritanya amat berkesan kerana setiap liku plot memperlihatkan "turning-point" dalam perincian persoalan dan perwatakan ..."
Hasanuddin bin Md Isa dilahirkan di kampung Kuala Atok, Raub, Pahang Darul Makmur pada tahun 1 Januari 1961. Bapanya, Md Isa bin Omar merupakan petani yang pernah belajar pendidikan Islam dan bahasa Arab di sebuah pondok pengajian Islam di Bunut Payung sebelum perang. Hasanuddin Md Isa mendapat pendidikan awal di kampung halamannya iaitu di Sek.Kebangsaan Kuala Atok pada 1967-1973. Beliau melanjutkan pelajaran ke Sek.Men.Kebangsaan Raub pada 1974-1977. Dengan berbekalkan A15 dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, beliau melanjutkan pelajaran ke Sek.Men.Teknik Kuantan 1977-78. Setelah itu, beliau melanjutkan pelajaran ke Sek.Men. Abdul Rahman Talib , Kuantan 1979-1980 di tingkatan 6 Sastera. Setelah mendapat pencapaian agak baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi 1981-1984. Seterusnya mulai tahun 1988-89, beliau mengikuti kursus diploma pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pada tahun 1992, beliau sekali lagi mengikuti kursus dalam bidang Pedogogi dan Metodologi Pembelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau telah berkahwin dengan Puan Nor Aliza bt. Mohamad Hanib pada November 1990. Hasil perkahwinannya itu dikurniai Allah empat orang cahaya mata.
Dalam kerjaya yang pernah dijalankannya, beliau pernah menjawat jawatan dalam sektor awam. Antaranya ialah:
i.GSTL di Sek.Men.Kebangsaan Alor Akar,Kuantan 1986-87 ii.GSTL di Maktab Rendah Sains Mara,Kuantan, 1987 iii.Kurator muzium Sultan Abu Bakar,Pekan, 1988 iv.Tutor Bahasa Melayu Program Khas Diploma Pendidikan, UIA 1989-90 v.Guru Bahasa Melayu/Ekonomi Asas di Sek.Men.Agama Pulau Tawar,Jerantut 1990 –96 (Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang JAIP) vi.Guru Ekonomi Asas di Ma’ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini. 1997-98 (Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang JAIP) vi.Guru Bahasa Melayu dan Ekonomi di Sek. Men. Agama Al-Ulum Ad-Diniah, Dong- 1999 – 2008 (Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang JAIP) vii. Pengetua Maahad As-Sultan Ahmad Shah Addini, Bandar Jengka 2008- 98 Februari 2011 viii. Pengetua Sek. Men. Agama Al-Falah Batu Talam, Raub mulai 9 Februari 2011 hingga kini.
Dalam bidang penulisan, beliau telah mula menulis sejak di bangku sekolah menengah lagi. Hasil-hasil karyanya berbentuk sajak sering disiarkan di dalam majalah tahunan sekolah. Kemudian bakat penulisannya dilanjutkan dengan menulis rencana-rencana di dalam akhbar tabloid seperti Watan, Tanahair dan lain-lain juga menulis rencana dalam majalah ‘ Al-Muslimah’ (tahun 1980-an) dan majalah keluaran Pusat Islam Malaysia (Cahaya). Kerja-kerja penulisannya turut mendapat pengiktirafan. Beliau pernah memenangi anugerah iaitu: i. Anugerah Khas Budaya Negeri Pahang 1986 Bahagian Penulisan Rencana Budaya, ii. Hadiah Sastera berunsur Islam 1988 (DBP:Novel Mereka Yang Tertewas [dijadikan teks sastera SPM 1991-2001] iii. Sastera Berunsur Islam 2, 1990 (DBP: Novel Halangan dan Rintangan) iv. Novel Al-Abrar dipilih dalam penilaian peringkat akhir , Hadiah Sastera Nasional anjuran Utusan Publication & Distributors 1994 v. Memenangi hadiah utama pertandingan penulisan puisi tradisional (Syair: Masyarakat Madani mengharung zaman) anjuran Permodalan Nasional Berhad 1999 vi. Memenangi hadiah sagu hati pertandingan Penulisan Al-Manak 2001 (cerita rakyat : Puteri Indung Gunung Tahan) anjuran Nett Space Sdn. Bhd. 2000. vii. Tahun 2004, beliau diberi Anugerah Pengkaryawan Sastera oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) viii. Novel "Cebisan Mantera Terakhir" diangkat oleh Majlis Buku Kebangsaan sebagai antara 50 buku terbaik guru dan karya terjemahan guru sempena Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-42 IX. Novel "Sarjana Bangsa" mendapat tempat ke-2 kategori novel di Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2.
Setelah beratus buku berkesempatan saya hadamkan, Mereka Yang Tertewas pasti berada di 3 tangga teratas karya yang paling bermakna, paling memberi kesan, paling ampuh dari sudut keperibadian watak, lengkap dengan kisah yang mendepakan pelbagai sudut kehidupan, mampan dengan ilmu biarpun hanya di sebalik 211 mukasurat. Saya baca review seorang hamba Allah tadi yang menyatakan karya ini bermasaalah, menyiarap darah saya. Betapa!!! Mula-mula nak juga saya balas komen beliau dengan dua tiga puluh das peluru maki hamun atau sindiran, namun, selepas tarik nafas, dan mungkin masih dikesani dengan helaan nafas tenang Lebai Pa, saya tak jadi teruskan. Agaknya otak beliau perlu dibasuh dengan minyak tuba cap tengkorak - opppsss. Biarlah si polan itu terjun dengan labu-labunya.
Mereka Yang Tertewas saya temui selepas lebih setahun mencari. Dah lama Mereka Yang Tertewas 2 ada dalam simpanan, namun saya tidak mahu baca hingga dapat buku pertama. Alhamdulillah. Berjaya juga. Pada hemat saya yang berilmu cetek dan rendah di kalangan pendukung dakwah ini, buku ini sebuah permata. Mungkin, hanya jauhari mengenal manikam. Sejak mukasurat pertama lagi, saya sudah terbuai tertarik ketat oleh bait-bait kata penuh syahdu, menggamit keinsafan, apalagi yang lahir dari luahan kata hati Lebai Pa. Buku ini dan Imam karya sasterawan negara Abdullah Hussain, memang legendary.
Kebetulan saya baru baca buku Sang Bohemian, buku mengenai anak muda yang terjerumus ke lumpur kehidupan hingga mendatangkan kesakitan zahir dan batin, atas satu sebab. Apa sebabnya? Dilakarkan dengan penuh tertib bernada mesra oleh penulis Hasanuddin Md Isa melalui terjemahan laut fikir Lebai Pa.... saya kongsikan
"Lebai Pa berjalan mundar-mandir di halaman rumah. Dia juga tudak tahu apa yang perlu dibuat untuk menghadapi suasana yang seperti itu. Hatinya terus berbisik-bisik sendirian. Alangkah rosaknya kehidupan masyarakat Bukit Setugal . Alangkah tewasnya nilau-nilai akhlak yang baik dan alangkah megahnya nilai-nilai akhlak yang buruk dan keji... Peristiwa itu seolah-olahnya menunjukkan bahawa orang-orang berilmu di Bukit Setugal selama ini adalah orang yang bacul lagi pengecut".
"Berdiri di atas suatu kesedaran, Lebai Pa amat menginsafi bahawa menyeru kepada kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran, tidak mampu dilaksanakan berseorangan. Seorang Muslim itu merupakan binaan kepada yang lain, seumpama batu bata yang akan meneguh dan mengukuhkan antara satu sama lain."
Kedalaman kematangan Pencak Seribu Kalimah, sama ada benar ada atau fiksyen, itu pun cabang ilmu yang tinggi nilainya bagi saya. Semoga khazanah ini dapat dinikmati manfaatnya dengan cetak ulang buku Mereka Yang Tertewas.
Novel ini sebuah karya yang evergreen. Ia mencakupi persoalan keagamaan, mengangkat falsafah perjuangan dan keteguhan jiwa dalam menghadapi penolakan masyarakat.
Ia mengisahkan perjalanan Tapa dari Kampung Padi Setempat yang membawa luka maruah akibat penolakan masyarakat terhadap niat sucinya untuk memperisterikan Mimah.
Dalam usaha mencari ketenangan dan makna hidup, Tapa berhijrah dan mendalami ilmu agama, lalu dikenali sebagai Lebai Pa. Di Kampung Bukit Setugal, Lebai Pa cuba menyebarkan syiar Islam dengan pendekatan lembut dan penuh hikmah. Tapi niatnya disalahertikan sebagai usaha untuk meraih kuasa dan menyebarkan ajaran sesat. Dia berdepan fitnah, tohmahan, dan penolakan, tapi tetap teguh dengan prinsip dakwah yang mencontohi akhlak Rasulullah SAW. Sokongan daripada watak - watak seperti Uda Puat, Mat Yasin, dan Pudin menjadi titik tolak perubahan masyarakat yang akhirnya mula sedar akan kesilapan dorang.
Lebai Pa adalah teras falsafah novel ini. Dia adalah simbol keteguhan iman dan lambang pengorbanan peribadi demi kebaikan masyarakat. Dia bukan nabi, tetapi tindak - tanduknya mencerminkan akhlak kenabian: sabar, hikmah, dan kasih sayang. Dia tak sempurna, tapi perjuangannya menjadikan dia figura moral yang kompleks dan menginsafkan. Jamilah, Uda Puat, Mat Yasin dan Pudin pula berfungsi sebagai cerminan masyarakat yang berubah daripada pasif kepada aktif, bukti bahawa perubahan sosial memerlukan sokongan akar umbi.
Gaya bahasa Tuan Hasanuddin Md Isa dalam novel ini hidup dan berlapis, sesuai dengan latar kampung dan perwatakan yang diketengahkan. Bahasa yang digunakan indah sebagai alat dakwah dan renungan. Dialognya sarat dengan pengajaran, sindiran sosial, dan refleksi keagamaan. Naratifnya tidak terburu - buru, mengalir dengan tenang seperti zikir yang meresap ke jiwa. Ini mengingatkan aku kepada karya SN Abdullah Hussain seperti Imam, yang juga menampilkan watak utama yang berjuang dalam senyap demi membetulkan masyarakat.
Falsafah yang diangkat dalam novel ini amat mendalam. Dakwah adalah perjuangan peribadi dan sosial, mengkritik masyarakat yang menolak kebenaran kerana ego, dengki, dan ketakutan terhadap perubahan adalah sejenis dakwah. Islam dalam novel ini tak dijadikan ritual semata, tapi sistem hidup yang meresap ke dalam struktur sosial. Lebai Pa menyedarkan aku bahawa kebenaran tidak semestinya popular, dan perjuangan tidak semestinya berakhir dengan kemenangan. Adakalanya, mereka yang “tertewas” sebenarnya adalah mereka yang paling berjaya - kerana mereka tidak menggadaikan prinsip.
Kalau kau terlepas novel ini sebagai bahan Komsas zaman persekolahan, grab dan baca (cuma mahar untuk buku langka seperti ini amat tinggi). Ini adalah cerminan realiti masyarakat Melayu - Islam yang bergelut antara tradisi, agama, dan moderniti seputar era novel ini diterbitkan. Watak Lebai Pa adalah manifestasi idealisme yang relevan dalam dunia yang semakin sinis terhadap nilai - nilai spiritual. Gaya bahasa dan naratifnya mendalam, sesuai kalau kau seorang pencari makna. Nilai pedagogi dan sasteranya tinggi, cuma naratifnya perlahan.
Masih adakah yang cukup berani untuk menegakkan kebenaran walaupun ditentang? Renung - renungkan.
Sebuah novel yang memaparkan kisah masyarakat. Sebuah novel yang pernah di angkat menjadi teks Kesusasteraan Melayu SPM. Novel Karya Hasanuddin Md Isa ini memberi fokus kepada sebuah masyarakat yang menyimpang agak jauh dari landasan agama Islam. Perjalanan cerita yang lancar yang dipamerkan oleh penulis menjadikan novel ni menarik untuk di baca kepada pembaca yang meminati cerita berkisarkan masyarakat. Novel ini menyentuk konflik dalam masyarakat yang berpunca dari sifat dengki manusia yang membawa kepada penyebaran fitnah. Novel ini juga menyentuh kepentingan institusi agama di dalam membentuk keperibadian masyarakat. Melalui pemahaman pembacan, Mereka Yang Tertewas ini dilihat mengkritik sikap sesetengah orang dalam masyarakat yang tidak senang dengan kelebihan orang lain. Novel ini juga menceritakan kepada pembaca tentang keteguhan jiwa manusia untuk membetulkan kembali masayarakat yang telah lari dari landasan agama. Satu kisah yang padat dengan unsur-unsur pengajaran yang mampu menjadi pengajaran kepada kita.
Kalau kau rasa hidup kau susah, Lebai Pa lagi susah. Tertekan jugak aku dengan situasi awal Tapa. Lara sangat hidupnya sampai aku rasa macam cerita penarik beca pulak. Kemudian, dia mengambil keputusan bijak mengembara mengenal diri. Dan dari situ dia bertemu dengan isterinya. Di usia senja, mereka menghabiskan sisa hidup dengan berbakti kepada Islam dan masyarakat. Moral yang paling penting di sini ialah - bersedekah.
aku budak sains..tapi jiwa aku sastera.. buku ini membuatkan aku jatuh cinta dengan karya-karya agung dunia sastera.Aku jumpa diri ku melalui pembacaan buku ini..
Buku ini telah di filemkan berlatarbelakangkan penerapan Islam dalam hidup sebuah kelompok masyarakat di Kampung Bukit Setugal. Tapa dari Kampung Padi Setempat beralih arah berhijrah ke tempat lain setelah maruah diri dan keluarganya dicemuh dan dicaci apabila ingin memperisterikan Mimah. Tapa mengembara mencari penghidupan yang baru serta mendalami ilmu agama untuk melupakan masa silamnya.
Tapa kemudiannya berhijrah ke Kampung Bukit Setugal dan memperisterikan Jamilah anak murid tok gurunya dan fokus menyebarkan syiar Islam. Kesucian hati Tapa atau dikenali sebagai Lebai Pa disalahertikan oleh penduduk kampung tersebut kerana mereka beranggapan Lebai Pa telah menyebarkan ajaran sesat dan ingin berkuasa di dalam kampung tersebut.
Lebai Pa berusaha untuk mengembalikan pegangan agama penduduk Kampung Bukit Setugal yang semakin goyah dengan hiburan dunia sehinggakan kebanyakan anak-anak muda kampung tersebut terjebak dengan perkara maksiat. Usaha Lebai Pa tidak sia-sia apabila mendapat sokongan Uda Puat, Mat Yasin dan Pudin.
Tohmahan demi tohmahan dilemparkan kepada Lebai Pa sebagai usaha untuk menggagalkan hasratnya menyebarkan agama tetapi pegangan hidup Lebai Pa yang banyak mencontohi sikap Rasulullah S.A.W. dalam menyebarkan agama menyebabkan Lebai Pa lebih bersemangat dan bersabar. Akhirnya Lebai Pa mampu mengubah pemikiran penduduk kampung untuk menerima Islam dan sedar atas kesalahan yang pernah mereka lakukan ke atas Lebai Pa.
Buku ni bermasalah. Idea ada, tapi jalan cerita tunggang terbalik. Tiada perkembangan watak. Perkembangan watak Lebai Pa pula terlalu mendadak. Tiada antagonis yang mencabar. Kerap menggunakan ayat yang tidak perlu. Cuba berfalsafah tentang Islam.