Jump to ratings and reviews

Belenggu

Tasha membesar dalam sebuah rumah yang sentiasa terasa sempit. Bukan kerana dindingnya, tetapi kerana adanya suara yang sentiasa merendahkan dirinya. Setiap pilihan hidup Tasha dipersoalkan. Setiap kesilapan, walau sekecil mana, dijadikan bukti bahawa dia tidak pernah cukup baik. Sehingga dia menginjak dewasa, Tasha masih terperangkap dalam kawalan seseorang yang masih tidak mahu melepaskan cengkamannya itu.

Perkahwinannya bersama-sama suaminya memberi sedikit ruang untuk Tasha bernafas. Namun ketenangan itu tidak pernah benar-benar hadir. Campur tangan demi campur tangan, rahsia demi rahsia, serta hubungannya dengan ibu dan adik-adiknya yang semakin retak memaksa Tasha berhadapan dengan satu persoalan yang paling menakutkan; adakah luka yang diwarisinya itu boleh diputuskan atau ia akan terus menjalar kepada generasi seterusnya?

Kemudian, apabila perkahwinan adiknya runtuh, Tasha dituding sebagai punca. Kebenaran diputar. Tasha sekali lagi dipaksa memikul kesalahan yang bukan miliknya. Dalam diam, dia menulis, bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk melepaskan kelelahannya.

Namun apabila kisah itu akhirnya dibaca oleh orang yang paling tidak disangka, Tasha sedar adakah dia masih mempunyai harapan untuk diterima semula? Siapakah mangsa? Siapakah pula yang sebenarnya harus dipersalahkan? Dirinya atau mereka?
Semuanya berpunca dari sikap narsisistik seseorang yang dekat dengannya. Dan akhirnya, mampukah dia membebaskan diri daripada narsisistik itu yang selama ini membelenggu hidupnya ?

Semuanya bergantung pada diri Tasha atau hanya membiarkan takdir menentukan segalanya. Tasha yang ada jawapannya.

400 pages, Paperback

First published March 1, 2026

Loading...
Loading...

About the author

Sue Oshin

13 books60 followers

Ratings & Reviews

What do you think?

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
0 (0%)
4 stars
5 (83%)
3 stars
1 (16%)
2 stars
0 (0%)
1 star
0 (0%)
Displaying 1 - 5 of 5 reviews
Profile Image for Sue Oshin.
Author 13 books60 followers
my-published-book
April 9, 2026

Cerita ni lahir daripada banyak rasa tentang sisi seorang anak yang terluka oleh ibu/bapa narsistik, rumah yang bukan lagi syurga & manipulasi emosi dan anak ini cuba membebaskan dirinya daripada belenggu hidup…

Kisah seorang anak yang hidupnya dibelenggu oleh seorang ibu narsisistik. Watak Tasha sudah berkahwin, sikap ibunya yang suka mengatur kehidupan anak-anak tetap menghantui hidupnya. Apa saja yang dilakukan Tasha pasti ada mata yang menghakimi setiap keputusannya untuk disalahkan.

Puan Tihani ada seorang anak kesayangan yakni adik Tasha bernama Tiara. Bagi Puan Tihani, sesiapa yang berani menyakiti dan menentang Tiara akan dianggap sebagai manusia busuk hati yang tidak senang dengan anak kesayangannya. Apa saja yang dilakukan Tiara tidak kira baik atau buruk, tetap mendapat pujian dan sanjungan dari emaknya. TAPI, keburukan yang Tiara lakukan pula akan dituding jari atas kesalahan kakaknya meskipun Tasha tidak tahu apa-apa.

Ada yang boleh relate? Kalau tuan puan suka cerita penuh emosi, konflik keluarga dan realiti hidup (slice of life/ secebis kehidupan) novel ni pilihannya. Jujur, proses menulisnya bukan mudah… tapi saya percaya setiap anak yang pernah rasa ‘terkurung’ akan faham isi hati Tasha.

Amat berbesar hati sekiranya tuan/puan yang sudah baca boleh tinggal review ikhlas untuk penambahbaian akan datang sekiranya terdapat mana-mana kekurangan dalam novel ini.
Profile Image for Aira Zira.
241 reviews5 followers
August 17, 2026
Bila rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling bahagia tapi sering rasa terasing dan terpinggir. Lama-lama rasa dalam hati pun mati. Segala harapan pun tak ada semangat nak kecapi. Berhadapan dengan orang tua yang narsisistik dan joy killer.

Saya emosi betul dengan mak Tasha ni. Mereka tiga beradik baik-baik je tau. Yang menjadi punca semua si ibu. Tak ada satu masa pun yang hidup dia tak berhenti dari menyindir si Tasha, anak sulong. Semua serba tak kena. Dah lah pilih kasih. Orang tu berdikari pun salah. Tak pakai duit dia berbelanja pun salah. Laaa makcik ni kang.

Sepatutnya figura seorang ibu/ayah yang menjadi contoh terbaik buat anak. Tapi kes kali ni bila kau terpaksa jadikan figura mereka untuk hentikan perbuatan negatif tu dan jadi penguat kau melangkah ke depan. Break the chain! Cut off the toxic! Tak nak anak-anak kita pula yang lalui situasi yang sama. Kau ubah cara didikan. Yang tahu je tahu.

Apa yang saya suka tentang mereka tiga beradik. Walau diherdik, dihamun tetap jugalah pulang berkumpul dengan si ibu. Ibunya tetap syurga. Kerana mereka percaya sang ibu pasti akan berubah. Tasha lah manusia paling baik. Mungkin kerana didikan si arwah bapa.

Kisah keluarga yang membuka mata masyarakat. Adakala ibu bapa juga melakukan kesalahan. Terlalu berharap untuk kepentingan diri sendiri. Melarikan diri dari masalah dengan menekan kehidupan anak-anak tanpa sengaja. Buat anak-anak yang baik, semoga kalian tabah dan terus kuat. Kalian tak berseorangan.
Profile Image for farah.
14 reviews
September 4, 2026
Cerita ini bagi saya terasa dekat dengan pengalaman saya sewaktu membesar. Bukan ibu saya, tetapi salah satu daripada ahli keluarga terdekat saya. Ibu Tasha sebiji seperti ahli keluarga itu jadi setiap kali dialog atau nama Puan Tihani terpapar, saya mula rasa cemas dan kalau ikutkan hati, ingin saya lempar buku tu ke tepi. Kata-kata Puan Tihani sangat menusuk hati, teringat saya akan waktu-waktu yang saya pernah mendengar kata-kata yang sama. Disebab itu, saya sokong cadangan di dalam salah satu ulasan buku ini untuk meletakkan “trigger warning”.

Saya kagum dengan kesabaran dan kekuatan Tasha dalam menghadapi ibunya. Sebagai seorang yang mudah kecil hati, saya tidak akan terus berapat dengan ibu saya kalau saya berada di tempatnya. Cukup setakat bertanya kabar dan menjalankan tanggungjawab saya sebagai anak tetapi bukan sehingga dia dapat mengetahui aktiviti harian saya. Saya rasa ramai anak-anak lain juga akan bertindak sebegitu jika mereka telah mendapat kebahagian mereka daripada suami dan anak-anak mereka. Secara logiknya, setelah dituduh dan disepak ibu sendiri, orang lain mungkin akan menjauhkan diri mereka dan berhenti cuba untuk membuat sesuatu. Tapi bukan Tasha. Dia tetap mahu masuk campur dalam urusan perkahwinan adiknya. Sewaktu saya membaca salah satu bahagian buku ini, pemikiran saya adalah “Tasha yang kau masih nak sibuk buat apa? lantak lah biar diorang rasa sendiri perangai Fakrul macam mana. Ni tak. Mak kau selalu kutuk kau pun kau masih nak terhegeh-hegeh”.

Yang menyejukkan hati dalam cerita ini adalah kehadiran Ammar dalam hidup Tasha. Dialah lelaki idaman anak-anak yang disakiti oleh ibu bapa mereka. Dia menjadi kekuatan Tasha yang selalu menyokongnya apabila dikeji oleh ibunya. Namun sayangnya, dunia tak seindah novel. Saya tak rasa ada lelaki sebaik Ammar dalam dunia ini yang dapat menyokong isteri mereka dari segi emosi dan sentiasa tahu akan perkataan yang tepat untuk diucapkan dalam keadaan yang sempit.

Pengakhirannya pula walaupun tidak memuaskan hati, itulah realiti. Ibu yang narsissistik ini susah untuk berubah. Kenyataannya ialah mereka akan tetap bersikap seperti itu seumur hidup mereka kecuali jika mereka setuju untuk mendapatkan bantuan dengan kaunselling. Anak-anak hanya mampu bersabar dan berdoa agar mereka terbuka hati untuk berubah.

Profile Image for Chelsea_Yoshi.
95 reviews2 followers
June 30, 2026
Buku ni memang best. Kisah Tasha yang ada ibu narsisistik ni memang dekat sangat dengan saya. Walaupun perangai emak Tasha tak sama 100% dengan mak saya, tapi perasaan hidup dengan ibu yang macam ni... memang saya faham. Jenis yang selalu rasa diri paling malang, suka salahkan orang lain bila apa-apa jadi, dan tak pernah nampak salah sendiri. Penat.

Saya suka watak Tasha. Dia jenis lembut dan banyak mengalah, tapi bila melibatkan perkara yang betul-betul penting, dia tetap berani mempertahankan pendiriannya. Masa dia tak nak Fakrul kahwin dengan Tiara tu, saya suka dia tak tunduk. Ada beberapa dialog membalas ibunya yang memang puas hati baca. 😂

Masa Tasha tanya ayah dia sama ada mak dia benci dia, ayahnya menafikan, tetapi bagi saya, tindakan si ibu sepanjang cerita sudah cukup menjadi jawapan. Mengoyakkan penulisan Tasha, memperlekehkan bakatnya, dan berulang kali merendahkan harga dirinya bukanlah kesilapan yang berlaku sekali dua. Itulah yang membuatkan saya benar-benar bersimpati dengan Tasha.

Yang buat saya lega, Tasha ada Ammar. Suami yang sentiasa ada bila isteri tengah terluka, tak menghakimi, cuma mendengar dan menyokong. Memang green flag. Kalau saya jadi Tasha? Entahlah... rasanya saya lagi petty. Mungkin saya dah bawa diri jauh-jauh dan biarkan saja Tiara dengan Fakrul kalau itu sangat yang mak dia nak.

Cuma... pengakhiran cerita ni agak kurang menjadi untuk saya. Lepas si ibu baca novel tulisan Tasha, terus sedar salah dan berubah? Cepat sangat. Saya susah nak percaya orang yang bertahun-tahun melukakan anak dengan kata-kata dan layanan macam tu boleh berubah sekelip mata. Lagi satu, dia pun macam mudah sangat dimaafkan. Alasan hidup dia sengsara sebab tu dia jadi ibu yang kejam... maaf, saya tak boleh terima. Ramai orang hidup susah, tapi tak semua memilih untuk melukakan anak sendiri.

Overall, saya memang suka buku ni sebab berjaya menggambarkan kesan mempunyai ibu yang narsisistik terhadap seorang anak. Cuma ending dia terlalu manis untuk sesuatu yang lukanya dah dibina begitu dalam sepanjang cerita. Tapi tetap sebuah bacaan yang berjaya buat saya emosi dari awal sampai habis.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Profile Image for Shahin&Buku.
36 reviews1 follower
May 3, 2026
Ada sebab kenapa saya bagi penilaian 4 bintang. Watak utama novel ini teramatlah baik, sehinggakan saya rasa nak marah sebab saya tidak boleh menjadi sepertinya. Tak boleh nak jadi pemaaf sepertinya. Tasha berusaha menjadi orang yang lebih baik untuk keluarganya sendiri. Tapi, adakah realistik di dunia nyata?

Buku ini amat berat bagi saya sebab saya pun mengalami pengalaman yang sama seperti watak dalam novel ini. Tasha sering dihina, dipukul dan dipandang rendah oleh ibunya sendiri. Bayangkanlah, kita cuma mengemis secebis kasih sahaja daripada ibu kita. Salahkah kalau seorang ibu tu cukup sekadar mengusap lembut anaknya lagi-lagi dalam keadaan kita jatuh, sedih dan tiada siapa-siapa di pihak kita untuk membela kita?

Ibu itu syurga, tapi macam mana kalau syurga itu setiap hari menyumpah-seranah dan membakar hati anaknya sendiri?

Ibu Tasha sepatutnya bersyukur adanya anak sebaik Tasha. Tapi akhirnya, penulis menamatkan kisah ini dengan sebuah keinsafan daripada seorang ibu.

Tapi hakikatnya, di luar sana, masih ramai lagi anak-anak yang masih 'dibakar' oleh ibu sendiri. Salahkah kami lahir di dunia ini? Kami tak minta pun dilahirkan. Tapi kami masih berjuang untuk meneruskan sebuah kehidupan sebelum kembali kepada Pencipta Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Buku ini, saya simpan. Untuk buat pembacaan, mungkin akan ada hari pengakhiran yang bahagia untuk anak-anak seperti Tasha ini. Mungkin....

Saya rasa buku ini patut ada trigger warning, kerana saya agak kemurungan lepas baca buku ini. Haha, macam melampau saja kan? Mungkin kalau orang yang tak pernah melaluinya akan mempertikaikan kesannya...Tapi saya gembira sebab penulis memberi Tasha 'happy ending'. Saya harap saya boleh menjadi seperti Tasha
Displaying 1 - 5 of 5 reviews