Buku yang realatif tipis untuk menyorot kumpulan yang masih menimbulkan enigma bukan sahaja kepada Barat, malah sebahagian umat Islam yang mudah dikelabui dengan slogan-slogan jihad kesan daripada kekosongan jiwa daripada makna Islam sebenar.
Daripada aliran yang turut diklasifikasikan sebagai Salafi-Jihadi, kumpulan IS, ISIS atau lebih digelar Daesh dalam lingo umat Islam, ironinya tumbuh kesan daripada cara Amerika Syarikat bertindak bukan sahaja terhadap golongan yang menentang pencerobohannya di Iraq, bahkan orang awam yang ‘kesalahannya’ hanya menjadi bystander tetapi dikirimkan ke penjara yang terkenal dengan penyeksaan. Namun, penjara Kem Bucca juga menjadi institut kaderisasi kepada golongan ekstremis termasuk Abu Bakar al-Baghdadi yang kelak mengisyitiharkan sebagai khalifah dan bakinya adalah sejarah.
Buku ini menyorot bagaimana ISIS terbentuk daripada cabang al-Qaeda yang kemudiannya menjadi anak derhaka kepada bapa yang sudah sedia ganas, mendapat sumber daripada geopolitik negara jiran terutama blok Arab Saudi dan UAE yang cuba membentuk hemogoni di Asia Barat dan mencatur politik serantau, selain tentunya pemain seperti Iran, Turki, AS dan Russia.
Malangnya, IS menunggang-terbalikkan Syria dan Iraq yang sudah sedia kacau yang turut menggoda umat Islam dari luar Asia Barat terutama Barat yang generasi muda diaspora Muslim di Eropah ibarat bunga teratai yang akarnya tidak berjejak di tanah dan terapung-apung antara Islamofobia dan rasisme masyarakat kulit putih.
Buku ini memudahkan pembaca untuk mengikuti perkembangan IS secara kronologi dan menempatkannya dalam konteks sejarah serta geopolitik.