Dunia sudah ditenggelami air dan daratan hanya tinggal secebis, lalu manusia menetap di lautan dengan membina stesen-stesen penempatan.
Stesen Universiti Skudai, seorang perempuan bersama-sama suami dan anak perempuannya sedang menunggu seorang kanak-kanak lelaki yang diambilnya sebagai anak angkat daripada Futurgen.
Di dasar Laut Timor seorang lelaki yang bernafas bagaikan ikan sedang menghampiri bangkai Cosuteaun Star untuk melaksanakan misinya.
Peristiwa demi peristiwa dilalui, Subjek Sifar @ Humam cuba mengenal diri, mencari asal-usul dan kewajaran dirinya diciptakan.
Nama penulis: SRI RAHAYU MOHD YUSOP Nama penuh: Sri Rahayu binti Mohd Yusop Tempat lahir: Tanjong Karang, Selangor Tarikh lahir: 18 Jun 1976 Pendidikan awal: Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 9, Tanjong Karang dari (1983-1988). Pendidikan Menengah: Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor (1989 -1993). Pendidikan Lanjut: Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras; University of Otago, New Zealand dan Dunedin College of Education, New Zealand (1994-1999) Karier: Guru Bahasa Inggeris di SMK Dato' Harun, Tanjong Karang (2000 - 2003), SMK Pandan Jaya, Ampang (2004-2020).
Hasil kerja yang telah diterbitkan:
1. 'Bukan Legasi Lalang' (Utusan Publications & Distributors, 2001)) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000, Hadiah Sastera Perdana 2000/2001 bagi kategori Novel Remaja. 2. 'Merdekakan Cinta Ratna' (Utusan Publications & Distributors, 2003) - memenangi tempat ketiga kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002. 3. 'Odisi Tanah Kencana' (Utusan Publications & Distributors, 2007) - memenangi tempat kedua Kategori Novel Remaja dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006. 4. 'Warisnya Kalbu' (Utusan Publications & Distributors, 2008) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007. 5. 'Kasih Nan Agung' (Utusan Publications & DIstributors, 2009) - memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008. 6. 'Impuls/Roh' (Utusan Publications & Distributors, 2010) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009. 7. 'Bimasakti Menari' (Utusan Publications & Distributors, 2011) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010, Kategori Novel Remaja dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011, teks Komponen Sastera (KOMSAS) subjek Bahasa Malaysia Tingkatan 5 bermula dari tahun 2016 di sekolah-sekolah menengah di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Melaka. 8.'Rimba Jiwa' (Utusan Publications & Distributors, 2012) - memenangi tempat ketiga Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011. 9. 'Equilibria' (Utusan Publications & Distributors, 2012) - memenangi Sayembara Penulisan Fiksyen Sains & Teknologi Universiti Teknologi Malaysia-Kumpulan Utusan Musim Kedua pada tahun 2012, Anugerah Buku Negara bagi kategori Fiksyen Sains & Teknologi pada tahun 2013. 10. 'Qalam Kalbu' (ITBM, 2013) - memenangi Sayembara Penulisan Novel-Cerpen-Puisi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia - Berita Harian - PENA Musim Pertama pada tahun 2014, Kategori Karya Umum (Buku) dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013. 11. 'Transgenik Sifar' (Utusan Publications & Distributor, 2015) - memenangi Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia-Kumpulan Utusan Musim Ketiga pada tahun 2015. 12. 'Empunya Kalbu' (Utusan Publications & Distributors, 2016) - memenangi tempat kedua Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015, Hadiah Sastera Perdana 2015/2016 bagi Kategori Novel Remaja. 13. 'Kronikel Empat Bahtera: Puteri Naga Tiberius' (Penerbit X, 2017) - novel pertama beliau yang terbit di luar sayembara. 14. 'Farewell, Elsinore' (Legasi Oakheart, 2018) - novel Bahasa Inggeris pertama. 15. 'Selendang Merah Balukhali' (Utusan Publications & Distributors, 2019) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2017. 16. 'ALGOJO' (Fixi, 2020) - memenangi hadiah utama Sayembara FIXI Musim Kedua. 17. 'Belati Cinta Zulaikha' (Utusan Publications & Distributors, 2004) - memenangi Hadiah Eceran Kategori Cerpen Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 bagi cerpen 'Reeves, Cormack dan Semak'.
Transgenik Sifar ialah novel saya yang kesebelas. Saya hampir-hampir sahaja tidak menulisnya. Tetapi ia terjadi jua dan hasilnya bukanlah sesuatu yang sempurna. Namun begitu, saya kira ia boleh memuaskan hati peminat fiksyen sains kerana mempersembahkan latar tamadun manusia di bawah permukaan laut dengan sebab dan akibatnya. Di sebalik 'future terrain' yang luas dan gelap, novel memfokuskan kepada perjalanan hidup seorang budak lelaki transgenik bernama Humam. Walaupun dia kuat, hebat dan berpotensi menjadi ejen kebaikan, dia tetap seorang 'outsider' di dalam dunia yang memerlukannya. Saya rasa cerita ini adalah cerita 'coming-of-age' sebelum ia cerita fiksyen sains. Berbanding Equilibria, Transgenik Sifar adalah sebuah kisah yang melalui proses secara 'full circle'. Cubalah! Terima kasih.
Pengetahuan sainsnya amat meluas dan diadun dengan sastera yang penuh dengan estetika, poof!! Jadilah sebuah karya saifai (sains fiksyen) yang bagus. Cuma pengakhirannya seperti terburu-buru. Tak puas saya membacanya.
Menyelami dunia futuristik di bawah air, makhluk transgenik, makmal kajian yang canggih dan teknologi-teknologi yang tak terjangkau akal fikiran; anda perlukan imaginasi yang tinggi untuk menggambarkan keindahan dunianya. Mungkin boleh cuba menonton filem A.I Artificial Intelligence, arahan Steven Spielberg. Novel ini juga sarat dengan nilai-nilai kekeluargaan dan kemanusiaan.
Membaca novel ini, buatkan saya lebih dahaga untuk baca novel-novel saifai yang lain.
Terima kasih kerana memberikan novel ini dengan kesudahan yang amat baik 😭
Memula dan menamatkan sesebuah cerita, pada pandangan saya, pastinya yang paling sukar.
Persoalan-persoalan dikupas dengan baik dalam novel nipis ini. Saya tertunggu-tunggu bilakah prolog akan bertemu titik penghubungnya. Setelah melalui tiga novelnya, yang kebetulan dua daripadanya adalah fiksyen sains manakala satu lagi distopia, saya sudah nampak signature penulis ini.
I can't wait to read the next novel from the same author in my TBR pile.
My second science fiction novel involving genetic theme. The plot is awesome! I like reading these kind of theme: boundary of science, play-God, ethical concerns. The first half of this novel seems like a snapshot or memory bits of the 'whole' first part. I am not sure if this is the author's style or because of technical limitation for the Sayembara entry. I'd like to see this part to be more descriptive and allows for more character development. The second half is better than the first, with the pace of the story flowing more coherently. From an in-field position, I can see so much effort has been put into literature research prior to this writing.
Some editorial note: Considering this won the first prize for Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi Kumputan Utusan, there are many spelling errors and some other problems with it. Will submit an editorial suggestion to UTM Press editors.
Saya ambil masa lama untuk baca novel ini bukan sebab best/tak best. Ada komitmen lain antara selang masa itu. Beberapa catatan (bukan tepat pun) daripada novel ini:
1) Cara watak SF salahkan takdir: salahkan genetic make-up sendiri.
2) Cara watak SF bercinta: cari watak transgenik lain.
terima kasih Puan Sri dan Biblio kerana sudi menerbitkan semula naskhah ni. saya rasa sangat beruntung dapat membaca cerita tentang Humam! ini antara bacaan terbaik saya pada tahun 2026 👏🏻 karya Puan Sri sentiasa mempunyai cara tersendiri untuk membuatkan saya terus terpaut dengan penceritaan dan mesej yang ingin disampaikan melalui naskhah-naskhahnya. cukup saya kagum!
plot cerita ni pula bagi saya sangat menarik dan unik. kita dibawa mengikuti kehidupan Subjek Sifar, seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang berasal dari Futurgen—manusia transgenik pertama di dunia yang lahir daripada hasil kajian Ayah Hiori dan diklasifikasikan sebagai H.U.M.A.M. dan kemudiannya dikenali sebagai Humam.
melalui perjalanan Humam, kita dapat melihat bagaimana dia cuba mengenali dunia, memahami kehidupan dan pada masa yang sama mencari jawapan tentang dirinya sendiri. konflik dalaman yang dilalui Humam bagi saya cukup menyentuh hati kerana dia perlu memahami sesuatu yang selama ini tidak pernah benar-benar dia rasai—erti menjadi manusia.
dan antara perkara yang paling menyedihkan bagi saya ialah rasa kesunyian yang hadir dalam perjalanan Humam. bayangkan menjadi manusia transgenik pertama di dunia dan tidak mempunyai sesiapa yang benar-benar boleh berkongsi pengalaman yang sama dengan kita. walaupun dia mula mengenali kehidupan dari sudut yang berbeza, persoalan tentang tempatnya dalam dunia ini tetap ada.
selain itu, saya sangat tertarik dengan gambaran bumi selepas kejadian Bah. banyak perkara tentang fenomena alam yang diselitkan terasa sangat dekat dengan keadaan dunia kita yang semakin tenat sekarang 🥲 malah ia benar-benar membuka mata saya.
dari segi penceritaan pula, saya rasa rentak dan momentum cerita ni agak laju. mungkin ada beberapa bahagian yang memerlukan sedikit masa untuk dihadam kerana dunia yang dibina agak kompleks, tetapi tidaklah sampai membuatkan saya sukar untuk memahami atau membayangkan dunia tersebut.
malah, fakta tentang haiwan, nama saintifik dan fenomena alam yang diselitkan sepanjang cerita bagi saya sangat menarik. banyak benda yang saya pelajari sepanjang membaca dan semuanya membuatkan saya lebih tertarik untuk terus menyelami dunia yang dibina oleh Puan Sri.
secara keseluruhannya, Transgenik Sifar bagi saya bukan sekadar cerita tentang manusia transgenik atau kehidupan selepas bencana alam. semakin saya membaca, semakin saya rasa naskhah ni sebenarnya banyak bercakap tentang kemanusiaan, identiti, penerimaan, eksploitasi dan nilai sesebuah kehidupan.
malah banyak perkara yang membuatkan saya berhenti sekejap dan berfikir, dan mungkin itulah antara sebab kenapa cerita tentang Humam ni begitu melekat dengan saya.
Transgenik Sifar, itulah panggilan mereka buatnya. Dia tidak dianggap manusia namun cuma sekadar aset Futurgen. Namun Haifa yang melihat keadaannya tidak sampai hati untuk membiarkannnya begitu dan terus dijadikan anak angkatnya.
SH suka dengan latar cerita ini. Dunia yang hampir tenggelam dan tanah menjadi semakin kecil. Dunia kini bertempat di dalam lautan. Dan SH rasa ini tidak mustahil untuk terjadi andai kita penghuni bumi ini tidak menjaganya. Banyak yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan kepanasan global yang mampu mencairkan ais-ais di kutub.
Walaupun Humam adalah hasil dari ujikaji namun sifatnya lebih manusiawi daripada sebahagian manusia yang hidup berpandukan nafsu sahaja di dunia ini. Yang melakukan kerosakkan, yang membunuh musuh mereka tanpa rasa belas, yang meranapkan seluruh negeri hanya untuk menghapuskan apa yang mereka tidak suka. Dan keluarga Haifa juga memberi sedikit sebanyak pengaruh kepada pertumbuhan Humam. Tanpa keluarga Haifa tentu hidupnya akan lebih sunyi.
Kasihan melihat Humam yang masih kecil menjadi mangsa manipulasi Futurgen tanpa dia sedar. Dan SH tak faham macam mana ada orang yang boleh terfikir untuk mencantumkan DNA haiwan ke dalam DNA manusia hanya kerana ingin mencari kesempurnaan.
Naskah ini ada banyak emosi yang bermain di dalamnya. Geram dengan Futurgen. Sedih melihat Humam patah hati. Sedih melihat Haifa yang kadangkala teringat kematian anak kecilnya. Tapi pengakhirannya membuatkan SH tersenyum lebar tanda suka dan seronok.
Tentang perjalanan "manusia ciptaan", Subjek Sifar atau Humam menyelesaikan objektif penciptaannya dalam dunia yang sudah berbeza. Lautan memonopoli daratan.
Manusia yg tiada takdir. Manusia yg sifar takdir. Di "ciptakan" bagaikan robot. Melakukan perkara yg terhad dilaksanakan oleh robot dan manusia normal.
Namun, manusia tetap manusia. Kekuatan fizikal dan mental mungkin mampu ditransgenik kan, tapi tidak nadi manusia itu sendiri. Perasaan. Jiwa.
Perasaan kasih sayang sesama manusia, kekeluargaan, cinta lelaki dan perempuan tidak dapat diubah. Ia hadir secara alami.
Humam ditakdirkan berjumpa keluarga angkat, Haifa, suaminya serta anak perempuannya akibat peristiwa yg mencetus trauma dlm hidupnya. Penciptanya mahu merawat trauma tersebut bkn kerana sifat manusiawi tetapi demi mencapai objektifnya.
Bersama keluarga tersebut, Humam dapat menjalani kehidupan normal manusia dan merasai perasaan manusia yang normal.
Namun, Humam tidak dapat membuang hakikat yg beliau tetap "bukan manusia normal". Perasaannya tidak dapat diperjuangkan hanya keranan beliau "tidak normal".
Seksanya kehidupan manusia yg "bukan manusia" tetapi perasaannya tetap manusia. Sedih, sadis, perit, derita.
Akibat perasaan itu, tetap jua la Humam kembali pd "penciptanya" melaksanakan objektif dan misi yg telah di tetapkan.
Kisah ini membuatkan diri rasa bersyukur dgn had kurniaan Illahi. Rasa bersyukurdgn nikmat daratan yg Allah kurniakan utk manusia. Rasa bersyukur dgn nikmat keluarga dan kasih sayang. Serta kisah ini juga memberi peringatan jangan menzalimi apa yg ada, kelak diri sendiri juga yg menjadi mangsa.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Bagaimana jika manusia bukan lagi sekadar manusia?
Dalam dunia masa depan yang sebahagian besar daratannya telah ditelan lautan, manusia membina kehidupan baharu di bawah air. Teknologi berkembang pesat, tetapi persoalan paling penting masih sama, sejauh mana manusia sanggup pergi demi kemajuan?
Di tengah-tengah dunia itu muncul Subjek Sifar.
Namun semakin saya membaca, semakin saya tertanya-tanya...
Adakah dia sekadar eksperimen?
Atau sebenarnya manusia yang cuma dilahirkan dengan cara berbeza?
Apa yang paling saya suka ialah bagaimana novel ini tidak hanya memfokuskan kepada teknologi genetik dan dunia futuristik, tetapi juga hubungan kekeluargaan, kasih sayang, pengkhianatan, kebebasan memilih dan erti sebenar menjadi manusia.
Subjek Sifar bukan sekadar watak yang kuat. Dia juga watak yang membuatkan saya simpati, geram dan berharap dia akhirnya dapat menentukan hidupnya sendiri.
Latar dunia bawah laut yang dibina penulis juga sangat menarik. Mudah untuk dibayangkan seperti filem-filem sains fiksyen Hollywood, lengkap dengan penempatan manusia, pengangkutan dan cabaran hidup dalam lautan.
Jika anda sukakan: • Sains fiksyen • Eksperimen genetik • Dunia masa depan • Konflik kemanusiaan • Pengembaraan dan aksi bawah laut
maka novel ini mungkin sesuai untuk anda.
Kerana persoalan sebenar yang dibawa bukanlah "apa yang boleh dilakukan oleh teknologi", tetapi "apa yang berlaku apabila manusia mula bermain sebagai pencipta?"
Meskipun secara peribadi dirasakan ada 'plothole' yang boleh menjejaskan cerita, tetapi inti cerita dan dunia yang dibina oleh penulis menyebabkan pembaca dapat berimaginasi dengan baik. Saya membayangkan sekiranya ini novel awal dewasa (young adult) dari penulis barat, watak-watak pasti akan diberi perwatakan yang lebih dalam, malah perincian mengenai dunia pascaapokalips yang dibentuk akan tambah mengujakan - saya hanya mampu membayangkan bagaimana cerita ini dapat diperkembang lagi dari aspek-aspek kecil ini.
Apapun, novel ini sangat baik dalam mengutarakan persoalan keinsanan dalam memperkembang teknologi dalam membina peradaban.
*Agak kecewa dengan baaanyaknya kesalahan ejaan (typo) dalam buku ini. Sedang membaca Leksikon Ledang dan setakat ini hampir tiada kesalahan ejaan dijumpai.
Sepeerti novel Equilibria, novel hasil nukilan Sri Rahayu ini menggunakan konsep distopia dalam novel ini. Selayaknya novel ini menjadi hadiah pertama Sayembara Novel Sains Fiksyen dan Teknologi UTM - Utusan. Apa yang aku terkesan adalah ketika Humam - Subjek Sifar terpaksa menerima hakikat yang Dian hanya menganggapnya sebagai abang sedangkan Humam - lelaki transgenik yang diambil Haifa sebagai anak angkat mendambakan cinta adik angkatnya itu.
Dalam proses Humam untuk menjiwai jiwa manusia, dia terkesan bahawa setiap lelaki dan wanita itu sudah pun ditentukan pasangannya dan dia hanya perlu bersabar untuk berjumpa dengan pasangannya yang mungkin pernah ditemuinya suatu ketika dahulu.
Sebuah novel yang menarik yang aku habiskan dalam 2 hari saja.
Sebuah karya saifai yang 'selamat', meletakkan konsep kekeluargaan selaku jiwanya, dan transhumanisme selaku sainsnya.
Satu bintang yang tiada itu, aku letakkan pada garapan akhirnya yang masih dirasakan terburu-buru. Penutupnya menenangkan.
Andai ada sedikit selingan kisah Hiori & Yuhori Hajime diceritakan dan diberi 'jiwa'nya sepertimana yang diberi pada keluarga Rasydan dan ditambah lagi opsyen kepada kebergantungan LeMarchel pada Yuhori Hajime untuk menyempurnakan manusia transgenik, mungkin cerita ini akan jadi lebih epik.
Namun cerita ini tetap menarik bagi aku, jangan salah faham. Aku cuma boleh bayangkan versi yang lagi sedap.
Tahniah kepada penulis, kerana berjaya menghasilkan karya saifai yang ada jiwa.
Underrated book. Sains futuristik sebagai tema. Bayangkan satu hari manusia hidup dalam bah besar. Saintis genetik berusaha untuk menghasilkan manusia yang bernafas menggunakan insang dan paru-paru. Isu etika dan moral menjadi perdebatan. Le Marchel sebagai simbol ketamakan manusia yang takkan mati, akan sentiasa ada manusia yang menyalahguna ilmu. Aku suka konsep keterhadan yang diketengahkan— keupayaan manusia ada limitasi, Tuhan saja yang Maha Berkuasa. Penceritaan yang baik dengan penggunaan kata yang tinggi nilai sastera. Cuma ada beberapa persoalan terbuka, anak dia mewarisi genetik apa? Adakah projek Eve masih diteruskan?
This entire review has been hidden because of spoilers.
Ahh mengapa hanya ada lima bintang? Cerita Transgenik Sifar, bagi saya bertaraf 50 bintang. Penulis Sri Rahayu Mohd Yusop betul-betul hebat mengukir senario dan menyulam kisah Humam, Haifa, Rashdan, Dian, Ammar dan Le Marchel menjadi satu cerita hebat. Anda terjumpa buku Transgenik Sifar? Silalah jangan lepaskan peluang membacanya.
Mengisahkan perjalanan hidup Humam @ Subjek Sifar, seorang lelaki transgenik yang dicipta hasil gabungan DNA manusia & haiwan (seperti ikan jerung dan ikan lumba-lumba).
Pelbagai peristiwa dan dugaan yang dilalui dalam kehidupannya, Humam cuba mencari asal-usulnya dan kewajaran dirinya diciptakan.
Kisah fiksyen sains yang berlatarkan tamadun manusia di lautan selepas daratan ditenggelami air akibat bongkah ais di Lautan Artik dan Lautan Antartika cair sepenuhnya. Kisah ini juga mengutarakan mengenai ancaman terhadap keinsanan dalam membina kehidupan.
Paling saya sukai ialah kata-kata Rasydan sewaktu majlis graduasi Humam yang juga boleh dijadikan pengajaran : "Pergilah keluar sana, pergilah melihat dunia dan perjuangkanlah apa-apa yang kamu percaya baik untuk semua makhluk Tuhan yang hidup di muka bumi ini. Yang paling penting, berjuanglah untuk mempertahankan keinsanan manusia."
Ideanya besar dan menarik. Begitu juga persoalan yang dibawanya. Tapi, dalam pandangan peribadi saya, plotnya terlalu kecil dan terlalu mudah untuk menampung idea dan persoalan itu. Kalau dipanjangkan lagi dan dirumitkan sedikit plotnya, mungkin dapat mencapai potensi penuhnya
Prosanya pula ada bau kebaratan, seolah-olah Sri Rahayu menulis dulu dengan bahasa Inggeris dalam kepalanya sebelum dia salin balik dalam bahasa Melayu pada Word. Saya menyukai gaya bahasanya pada bab-bab awal tapi berkurang menjelang bab-bab akhir. Rasa seperti penulis nak cepat habiskannya.
Apa pun, saya kagum dengan persoalan, idea, falsafah yang disuntik ke dalam novel ini. Tak lupa juga dengan dunia yang digambarkan Sri Rahayu.
[Tambahan: saya akan lebih suka kalau pertarungan di akhir cerita bukanlah antara Humam dengan Grillo tapi antara Humam dengan makhluk transgenik hasil eksperimen LeMarchel yang gagal (ala-ala raksasa Frankenstein).]
Spoiler! Saya baca entri blog Puan Sri Rahayu dahulu tentang pengalaman menulis beliau untuk buku ini dan secara jujurnya, saya ingin belajar bagaimana beliau menjadikan saranan-saranan 'ganas' Alan Watt dalam buku 90-Days Novel menjadi 'humble' dan tawaduk.
Saya kira Transgenik Sifar adalah karya yang memiliki struktur cerita bagi setiap watak yang sempurna, bagaikan satu titik yang bergerak dan akhirnya membentuk bulatan. Setiap watak dilukis dengan baik dan adil, memiliki sebab dan rasional tersendiri untuk menzahirkan tindakan-tindakan yang akhirnya menggerakkan cerita, baik watak Humam, Dr Haifa, LeMarchel, Rasydan dan Sigyn!
Aku tak pernah puas setiap kali membaca karya-karya Sri Rahayu, sekejap je dah habis :-( mahu lagi dan lagi.
Di m/s 114 ada menyebut teori konspirasi transhumanisme, yang aku tahu teori ini berkait dengan mengabungkan manusia dan robot, macam filem Chappie. Gabungan DNA manusia & haiwan dalam novel ini bagi aku lebih menarik untuk mencipta manusia unggul.