Buku ini tidak hanya menjurus kepada persoalan maulid yang adakalanya menimbulkan kekeliruan hasil daripada sekelompok yang menjadikannya masalah selepas ulama selesai membuat kesimpulan, bahkan turut menyentuh persoalan pembahagian bidaah di kalangan jumhur ulama yang mengkategorikan bidaah hasanah dan dhalalah.
Dengan menjawab artikel dalam majalah Panji Masyarakat yang menjadikan sambutan maulid sebagai sesuatu yang bermasalah, buku ini memperlihatkan kehadirannya sebagai karya yang cuba menenangkan masyarakat yang tiba-tiba dilanda keributan itu - hasil pandangan golongan ekstrim dan literalis.
Keseluruhan buku ini saya kira berjaya menyedarkan pembaca terhadap keagungan dan ketinggian martabat Rasulullah SAW sehingga melayakkan penghormatan diberikan setinggi-tingginya kepada Baginda SAW. Malah penghormatan yang umat Islam letakkan itu tidak pernah bercanggah dengan dasar dan hukum dalam Islam, sebaliknya berlandaskan pada sumber hukum yang jelas dan terang serta berpandukan kepada jawapan yang sudah disediakan ulama muktabar.