Jump to ratings and reviews
Rate this book

Penjajahan Akal: Krisis Idea Dunia Islam Menurut Malek Bennabi

Rate this book
Buku ini menelusuri wacana besar tentang naratif declinism dalam sejarah Islam dengan memberi fokus kepada pemikiran Malek Bennabi, tokoh yang digelar "Ibn Khaldun era moden".

Ia membahaskan pergelutan intelektual Bennabi, pembentukan idea kemunduran, falsafah sejarah yang mendasari pandangannya, serta konsep kejatuhan Peradaban Islam menurut kerangka fikir beliau.

134 pages

Published June 1, 2026

Loading...
Loading...

About the author

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
1 (25%)
4 stars
3 (75%)
3 stars
0 (0%)
2 stars
0 (0%)
1 star
0 (0%)
Displaying 1 - 2 of 2 reviews
Profile Image for Farid Akram.
114 reviews17 followers
June 18, 2026
Pertama kali saya mendengar nama Malek Bennabi sekitar tahun 2013–2014, ketika wacana Nahda dan pemikiran sedang hangat dibincangkan.

Selepas 12 tahun, saya kembali menyelami wacananya melalui naskhah ini. Buku ini menganalisis idea dan gagasan Malek Bennabi berkenaan masalah umat berdasarkan teori "Declinism".

Bennabi mengatakan agama sebagai pemacu kepada peradaban dan kebudayaan yang tinggi. Kemudian, beliau meletakkan masyarakat sebagai pusat kepada peradaban. Dari sini, beliau berhujah bahawa terdapat tiga unsur asas pembentukan peradaban, iaitu manusia, tanah, dan masa. Bennabi turut memperkenalkan konsep Tiga Alam yang terkait dengan kitaran peradaban: Alam Kebendaan (Alam al-ashya'), Alam Manusia (Alam al-Asykhas), dan Alam Idea (Alam al-Afkar).

Menariknya, Bennabi juga memperkenalkan konsep Manusia Pasca-Muwahiddun. Ia merujuk kepada masyarakat yang telah hilang segala kehendak, iaitu daya kecurigaan, daya persoalan, serta daya kesedaran sejarah dan sosial.

Bennabi berpendapat bahawa perkembangan tamadun Islam memasuki fasa keruntuhan selepas jatuhnya kerajaan al-Muwahiddun. Namun begitu, konsep ini boleh dicabar kerana perkembangan tradisi keilmuan Islam masih subur selepas zaman tersebut, walaupun menghadapi pelbagai ujian.

Jika diperhalusi lagi dalam konteks Alam Melayu, abad ke-15 hingga abad ke-18 merupakan detik penting bagi berkembangnya Islam dengan pesat, termasuk jaringan keilmuan yang kukuh seperti yang diketengahkan oleh Azyumardi Azra dan sarjana yang lain.

Secara peribadi, gagasan Bennabi ini wajar dilihat lebih mendalam, sebagaimana wacana Pasca-kolonial yang semakin mendapat tempat kini. Namun begitu, soalan yang perlu difikirkan ialah sejauh mana gagasan ini bersifat dinamik agar mudah disesuaikan dalam konteks wacana peradaban di rantau ini.
Profile Image for Book Surgeon.
20 reviews3 followers
June 30, 2026
Kenapa Tamadun Runtuh?

Persoalan ini mula bermain di fikiran saya ketika cuba mempersiapkan diri untuk satu sesi podcast bersama seorang panel, pertengahan Jun nanti. Panel tersebut memilih Muqaddimah Ibnu Khaldun sebagai buku yang ingin dibincangkan. Namun, disebabkan saya masih belum ada buku agung tersebut, saya memilih membaca hal yang lebih kurang serupa tetapi daripada tokoh berbeza.

Malek Bennabi menjadi pilihan, tokoh kelahiran Algeria pada tahun 1905 ini mempunyai cara pandang yang agak sama dengan Ibnu Khaldun, walaupun ada perbezaan yang ketara. Kebetulan, satu-satunya buku yang saya beli di PBAKL 2026 baru-baru ini adalah buku Penjajahan Akal – Krisis Idea Dunia Islam Menurut Malek Bennabi tulisan Tuan Amirul Asyraf.

Berbaloi! Itu komentar saya yang pertama.

Saya membaca buku ini dengan beberapa konteks dan keadaan di minda. Pertama, keadaan umat Islam yang dilihat bukan di tahap yang baik atau dalam perkataan lain, kita sedang jatuh! Politik dalaman negara yang terumbang-ambing, masalah antara kaum dan tidak ketinggalan masalah ekonomi yang meruncing, ditambah dengan galaknya masyarakat kita menolak ilmu jika dibandingkan dengan kepercayaan bulat-bulat kepada berita-berita panas, semua ini menyerabutkan otak!

Kedua, saya sedang menonton audiosiar antara Mehdi Hasan dengan Patrick-Bet David (PBD). Dapat saya lihat dengan jelas bahawa perbincangan tentang tamadun atau kuasa besar Amerika sangat relevan dengan perbincangan bagaimana tamadun runtuh. Sungguhpun agak tidak selesa dengan cara PBD berhujah balas kerana sangat cepat bertukar-tukar topik, tidak seperti Mehdi Hassan yang lebih teratur hujahnya, saya kira konteks ini turut memberi kesan terhadap kefahaman saya apabila membaca buku ini.

Ketiga, saya dalam usaha memahami lebih dalam berkenaan idea dan gagasan yang dibawa oleh Malek Bennabi. Dahulunya, pada tahun 2022, saya sudah membaca buku Krisis Intelektual Muslim, yang diterjemahkan daripada karya Malek Bennabi. Antara lain yang dibincangkan dalam buku tersebut adalah berkenaan takrifan budaya atau kebudayaan, tanpa saya mengenali latar belakang tokoh ini yang sebenarnya terkesan dengan didikan nenek beliau, terkesan dengan penjajahan Perancis terhadap Algeria dan turut terkesan dengan penghijrahan dari Constantine ke Tebessa, Algeria.

Semua konteks dan pengaruh ini saya adun dan gaulkan dengan pembacaan saya kali ini.

Antara hal yang menarik didedahkan dalam buku ini ialah Malek Bennabi pernah dipenjarakan pada tahun 1954, mungkin disebabkan beliau menyokong Revolusi Algeria. Selain itu, pertembungan idea antara Malek Bennabi dengan Syed Qutb yang juga merupakan seorang tokoh besar, amat berbaloi untuk diambil iktibar dalam buku ini. Betapa sebenarnya, pertembungan idea itu biasa, bahkan perlu, tetapi wajib dilihat isu apakah yang dibincang dan diperselisihkan. Teringat kata-kata, ‘Never wrestle with a pig. You both get dirty, and the pig likes it.’

Pengalaman saya merakam audiosiar bersama saudara Afiq Basaruddin berkenaan Rusia yang mengamalkan Rusifikasi terhadap negara lain yang ingin dijajahnya terlintas dalam fikiran ketika membaca buku ini. Di halaman 18, penulis menyatakan bahawa empat hal yang diamalkan oleh Perancis dalam menjajah Algeria adalah Kristianisasi, Francization, Tajhil dan al-Ifqar.

Perkataan Francization ini yang memberikan kesan besar kepada diri saya secara peribadi dan mengajar saya bahawa kuasa besar mempunyai persamaan dalam usaha menghilangkan budaya orang yang ingin dijajah atau penduduk asal sesebuah kawasan.

“Francization adalah pemaksaan untuk memakai Bahasa Perancis sebagai bahasa utama dengan cara paksaan. Antara cara paksaan kepada rakyat Algeria adalah melalui penukaran bahasa rasmi Algeria daripada Bahasa Arab kepada Bahasa Perancis.” (Halaman 18)

Huraian berkenaan idea Ibnu Khaldun tentang tamadun atau bangsa yang sedang merudum turut disinggung dalam buku ini. Penulis menyatakan bahawa Ibnu Khaldun menumpukan perbahasan dalam konteks negara atau daulah, tetapi Malek Bennabi meluaskan perbincangan di luar konteks negara (halaman 72).

Malek Bennabi menjelaskan kitaran tamadun tapi dalam semangat yang berkaitan dengan agama. Tiga peringkat dalam kitaran tamadun yang disusun oleh beliau ialah Peringkat Ruh, Peringkat Akal dan Peringkat Naluri. Penjelasan ini menarik kerana dapat dilihat Malek Bennabi mementingkan wahyu atau unsur mesej daripada Tuhan yang akan membuatkan sesuatu tamadun itu bergerak ke arah kemajuan. Lama kelamaan apabila ruh agama itu sudah semakin longgar mengawal akal, maka akal akan terlepas sedikit demi sedikit sebelum akhirnya naluri manusia akan mengawal semua tindak-tanduk, sedang akal dan ruh agama tidak lagi dipedulikan. (Boleh diteliti di halaman 86)

Bagi saya, idea ini besar dan penting untuk kita faham bersama.

Sebelum saya kongsikan satu lagi bahagian yang memberi kesan kepada saya dalam buku ini, satu pengakuan jujur perlu saya buat. Beberapa bahagian dalam buku ini yang mempunyai kesilapan ejaan (contohnya halaman 49,52,71, 114, 122) dan penggunaan istilah pinjaman dari Bahasa Inggeris (saya kira) atau ‘jargon’ di halaman 55 dan 56, agak mengganggu kelancaran pembacaan saya.

Andai boleh dimurnikan semula bahagian kritikan saya ini, saya rasa buku ini akan lebih selesa dibaca oleh orang awam dalam hal sosiologi atau ketamadunan, seperti diri saya.

Saya sudah mengajukan beberapa soalan kepada penulis secara peribadi, andai ada jawapan yang sesuai dikongsikan, saya akan menulis satu lagi hantaran berasingan, Insyaallah.

Terakhir, saya amat tertarik dan pada masa yang sama, bimbang dan takut ketika membaca pandangan Malek Bennabi berkenaan lima ciri-ciri masyarakat yang mudah dijajah oleh orang lain, di halaman 108.

Ciri-cirinya termasuk banyak bercakap dan kurang bertindak, menganggap diri sudah sempurna hanya disebabkan kesempurnaan agama Islam, mengagungkan masa silam yang gemilang, berdebat tidak kunjung sudah dan cara fikir atomisme atau yang saya faham sebagai perangai mementingkan diri sendiri yang sangat menebal sehingga bertindak mengasingkan diri daripada pergaulan dengan masyarakat (saya mungkin salah dalam takrifan ini).

Saya kira ianya satu hal yang amat menakutkan apabila kita boleh lihat kelima-lima ciri ini terdapat dalam masyarakat kita atau dalam diri saya sendiri. Maka, keperluan untuk berubah dan keluar dari sikap-sikap seperti ini sangat penting. Seperti saya, saya pasti anda juga tidak mahu melihat tamadun kita ini jatuh atau terus merudum walaupun ruang untuk memperbaiki tamadun itu wujud jika kita memahami bahawa tamadun sebenarnya berada dalam kitaran, bukannya garis lurus.

Saya amat galakkan sesiapa yang meminati perbincangan tamadun untuk membaca buku ini. Semoga manfaatnya terbang lebih jauh.

Nak beli buku ini?
Hubungi : 011 2090 5048

Sekian, terima kasih.

Talhah Wasabi,
Salah seorang Book Surgeon.
Displaying 1 - 2 of 2 reviews