Dalam satu forum anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), saya mengatakan Za'ba membina aliran bahasanya tersendiri yang mengimbangi Ahmad Ya'kub al-Johori (condong kepada gaya Arab) dan Mejar Said Sulaiman (condong kepada gaya Inggeris).
Keberanian Za'ba dalam menegakkan jalan bahasanya tersendiri tersurat di dalam buku ini.
Suluh Pendeta — seperti yang dinyatakan oleh penulis — bertujuan "mendekatkan keahlian seorang sarjana bangsa yang telah memberi banyak sumbangan dalam lapangan bahasa, persuratan, pemikiran, pendidikan, agama dan semangat kebangsaan."
Maka, usaha penyusunan semula riwayat pendeta yang hebat ini daripada penerbitan yang lalu dengan dapatan terkini sangat membantu kita untuk mengenal jalan hidup seorang Za'ba.
Menariknya, bab buku ini disusun mengikut garis masa hidup Za'ba. Sangatlah ia membantu saya mengenalinya dengan lebih mendalam terutamanya pada waktu beliau sangat kritikal dalam isu cara beragama dan ekonomi orang Melayu.