"Tak simpatikah kau kepadaku wahai Camar? Aku sudah puas menderita kesepian! Kini kesan penderitaan itu berulang kali, lagukanlah lagu-lagu mersik buatku Camar ... lagukanlah wahai Camar semoga sepinya hatiku ini akan berakhir. Abangku Mail menjadi aruah setelah perahunya dihempas ombak ganas di Tanjung Batu sana. Abangku Hasan merana kerana pinangannya ke atas Siti anak Pak Uda Kamat ditolak, lalu dalam ombak yang mengganas seperti ini, dia melayari perahunya meninggalkan Kempadang ini, meninggalkan aku lalu kemudiannya tidak pernah ketemu lagi.
Itulah kesedihan yang ditanggung oleh Sheida yang diceritakan oleh Hasanuddin Md. Isa dalam novel sulung "Sheida". Tetapi kesepian itu tidak berlanjuatan apabila di suatu hari dia bertemu pemuda pengsan di pantai bernama Hartomo. Apakah kesudahan cerita gadis sepi ini?
Hasanuddin bin Md Isa dilahirkan di kampung Kuala Atok, Raub, Pahang Darul Makmur pada tahun 1 Januari 1961. Bapanya, Md Isa bin Omar merupakan petani yang pernah belajar pendidikan Islam dan bahasa Arab di sebuah pondok pengajian Islam di Bunut Payung sebelum perang. Hasanuddin Md Isa mendapat pendidikan awal di kampung halamannya iaitu di Sek.Kebangsaan Kuala Atok pada 1967-1973. Beliau melanjutkan pelajaran ke Sek.Men.Kebangsaan Raub pada 1974-1977. Dengan berbekalkan A15 dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran, beliau melanjutkan pelajaran ke Sek.Men.Teknik Kuantan 1977-78. Setelah itu, beliau melanjutkan pelajaran ke Sek.Men. Abdul Rahman Talib , Kuantan 1979-1980 di tingkatan 6 Sastera. Setelah mendapat pencapaian agak baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi 1981-1984. Seterusnya mulai tahun 1988-89, beliau mengikuti kursus diploma pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pada tahun 1992, beliau sekali lagi mengikuti kursus dalam bidang Pedogogi dan Metodologi Pembelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau telah berkahwin dengan Puan Nor Aliza bt. Mohamad Hanib pada November 1990. Hasil perkahwinannya itu dikurniai Allah empat orang cahaya mata.
Dalam kerjaya yang pernah dijalankannya, beliau pernah menjawat jawatan dalam sektor awam. Antaranya ialah:
i.GSTL di Sek.Men.Kebangsaan Alor Akar,Kuantan 1986-87 ii.GSTL di Maktab Rendah Sains Mara,Kuantan, 1987 iii.Kurator muzium Sultan Abu Bakar,Pekan, 1988 iv.Tutor Bahasa Melayu Program Khas Diploma Pendidikan, UIA 1989-90 v.Guru Bahasa Melayu/Ekonomi Asas di Sek.Men.Agama Pulau Tawar,Jerantut 1990 –96 (Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang JAIP) vi.Guru Ekonomi Asas di Ma’ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini. 1997-98 (Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang JAIP) vi.Guru Bahasa Melayu dan Ekonomi di Sek. Men. Agama Al-Ulum Ad-Diniah, Dong- 1999 – 2008 (Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang JAIP) vii. Pengetua Maahad As-Sultan Ahmad Shah Addini, Bandar Jengka 2008- 98 Februari 2011 viii. Pengetua Sek. Men. Agama Al-Falah Batu Talam, Raub mulai 9 Februari 2011 hingga kini.
Dalam bidang penulisan, beliau telah mula menulis sejak di bangku sekolah menengah lagi. Hasil-hasil karyanya berbentuk sajak sering disiarkan di dalam majalah tahunan sekolah. Kemudian bakat penulisannya dilanjutkan dengan menulis rencana-rencana di dalam akhbar tabloid seperti Watan, Tanahair dan lain-lain juga menulis rencana dalam majalah ‘ Al-Muslimah’ (tahun 1980-an) dan majalah keluaran Pusat Islam Malaysia (Cahaya). Kerja-kerja penulisannya turut mendapat pengiktirafan. Beliau pernah memenangi anugerah iaitu: i. Anugerah Khas Budaya Negeri Pahang 1986 Bahagian Penulisan Rencana Budaya, ii. Hadiah Sastera berunsur Islam 1988 (DBP:Novel Mereka Yang Tertewas [dijadikan teks sastera SPM 1991-2001] iii. Sastera Berunsur Islam 2, 1990 (DBP: Novel Halangan dan Rintangan) iv. Novel Al-Abrar dipilih dalam penilaian peringkat akhir , Hadiah Sastera Nasional anjuran Utusan Publication & Distributors 1994 v. Memenangi hadiah utama pertandingan penulisan puisi tradisional (Syair: Masyarakat Madani mengharung zaman) anjuran Permodalan Nasional Berhad 1999 vi. Memenangi hadiah sagu hati pertandingan Penulisan Al-Manak 2001 (cerita rakyat : Puteri Indung Gunung Tahan) anjuran Nett Space Sdn. Bhd. 2000. vii. Tahun 2004, beliau diberi Anugerah Pengkaryawan Sastera oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) viii. Novel "Cebisan Mantera Terakhir" diangkat oleh Majlis Buku Kebangsaan sebagai antara 50 buku terbaik guru dan karya terjemahan guru sempena Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-42 IX. Novel "Sarjana Bangsa" mendapat tempat ke-2 kategori novel di Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2.