Orang sudah benci, namun kenapa hati masih mengharap?
Benarkah gadis cantik bernasib malang? Irina dicintai bosnya, Firdaus yang sudah mempunyai kekasih. Irina mengambil keputusan menerima jemputan ayahnya yang sudah lama bermastautin di Switzerland. Tetapi perjalanan Irina untuk bertemu dengan ayahnya tidak semulus yang disangka. Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Zurich, dia diculik. Irina terperangkap dalam genggaman penculiknya, Steve yang membawa Irina ke rumah Bram untuk disembunyikan. Bram mempunyai satu rahsia yang tidak diketahui Irina. Namun dalam diam mereka saling jatuh cinta.
Cinta yang kian berkembang dalam hati Bram membuatkan lelaki itu mulai memikirkan masa hadapan lalu menerima peluang kerja di Bern. Di Bern, Irina bertemu dengan Yazid. Persahabatan menjadi erat lantaran rasa persaudaraan sebangsa dan seagama. Permusuhan, kebencian dan dendam Bram pada Abu Bakar atau Thomas Burns menghancurkan hubungan cinta dan kasih sayang. Irina kembali ke Malaysia bersama hati luka. Lalu Firdaus datang membawa penawar luka dan duka Irina. Siapakah yang menjadi pilihan antara tiga jejaka yang telah mengisi hati Irina?
“Salah! Aku yang lebih dulu belajar menyayangi kau. Tak! Bukan belajar tapi aku terus saja mencintai kau sebab kau seorang yang kacak, jujur dan baik hati. Kau menjaga aku seperti aku ni kristal yang mudah pecah. Kau menyayangi aku lebih daripada menyayangi diri sendiri.” - Irina
“Aku sanggup lakukan apa aje demi cinta aku pada kau, Irina. Aku mencintai kau sampai mati. Aku mencintai sepenuh hatiku. Apa jua halangan akan aku hadapi asalkan kau bersamaku.” – Bram
“Kalau awak sayang dan cintakan Bram, awak pilihlah dia.” –Yazid
Cinta Semanis Carrot Cake - Naskhah ini membawa kita mengenal si gadis Irina. Impiannya ingin bertemu mata dengan ayah kandung akhirnya menjadi realiti. Namun, tiada siapa menduga, impian itu terhenti sekerat jalan pabila dia diculik musuh ayahnya. Fikir Irina, hidupnya pasti kelam. Namun, bertemu Bram, perlahan-lahan kelam itu berganti sinar. Tapi... saat bahagia mula muncul, mengapa derita itu tetap juga datang?
Secara keseluruhan, novel CSCC ini boleh dihadam ditambah pula dengan lenggok bahasa yang mudah difahami. Tidak terlalu membebankan fikiran walaupun naskah ini saya kira tiadalah seromantis seperti tajuk novel. Apa-apa pun novel ini bagi saya sebuah naskhah yang dikarang dengan baik.
Kisah cinta yang tak berapa sweet tapi menarik.. Irina yang ke luar negara kerana ayahnya namun diculik.. Duduk serumah dengan lelaki asing tidak membuatkan Irina lupa akan agamanya.. Walaupun Irina cantik namun dirinya sentiasa diduga.. Saat bahagia bersama Bram, Irina diduga dengan kemunculan ayahnya.. Bram yang membenci ayah Irina kerana peristiwa lampau tak mampu menerima Irina.. Apakah kesudahan cinta mereka? Puan penulis berjaya memberikan satu kisah cinta yang disulami konflik keluarga dan juga rumah tangga.. Memang menarik..
Kisah seorang gadis yang terbang ke luar negara untuk bertemu dengan ayahnya yang telah lama menghilangkan diri.
Semuanya menjadi kucar-kacir setelah dia menjadi mangsa culik sebaik tiba di bumi Switzerland. Identitinya dicuri, menjadikan dia seorang pelarian.
Ada Bram yang mencuri hatinya. Juga ada Yazid, jejaka yang turut menaruh hati. Manakala di Malaysia, Firdaus tidak jemu mengejar cinta Irina.
Ini kisah Irina yang harus meneruskan hidup di bumi asing, mempertahankan prinsip hidup, menyimpan harapan bertemu ayahnya dan mendengar kata hati dalam memilih cinta sejatinya.
Novel ini merupakan novel bergenre action-romance pertama yang aku baca yang ditulis penulis. Novel ini ringan dibaca dan adegannya mudah dibayangkan. Detail deskripsi dari berbagai ‘aksi’-nya tidak membuat kita jemu membaca, malah sebaliknya, membuat pembaca terus menerus membaca halaman per halaman yang penuh kejutan hingga tak terasa sudah tiba di halaman terakhir.