Sesungguhnya padanya ada tanda kekuasaan-Nya bagi orang yang berfikir. (Surah An-Nahl, ayat 49)
Lebah sentiasa mampu kembali ke sarang walaupun selepas ditiup ribut. Semut mengorbankan dirinya demi anak-anaknya yang akan datang. Baju renang yang dibuat daripada teknologi sirip jerung memecahkan rekod dunia. Kerana lalat, CCTV jadi lebih efektif. Lalat buah pula menginspirasikan teknologi robot. Burung Ababil jadi inspirasi jet tanpa pemandu. Kupu-kupu mempunyai teknologi wireless secara semula jadi. Teknologi sirip paus membolehkan prestasi kincir angin meningkat 40 peratus. Haiwan dan tumbuhan cukup ajaib, sehingga mengkajinya akan meningkatkan iman kita.
Profesor Madya Dr. Umi Kalthum Ngah bertugas sebagai ahli akademik di Universiti Sains Malaysia sejak tahun 1981. Kini beliau menyemai bakti di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kejuruteraan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Di samping tugas harian sebagai ahli akademik, beliau juga meluangkan masa menghasilkan buku dan bahan penulisan di akhbar harian, khususnya ruangan Jendela Hikmah dan Bicara Hati, Berita Harian. Malah menghasilkan bahan penulisan adalah cara beliau menangani tekanan dan kebuntuan, yang mana usaha ini dimulai ketika menyudahkan tesis doktor falsafah beliau dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia yang baru diterimanya.
Beliau tidak mendapat pendedahan formal dalam bidang penulisan tetapi berkat tunjuk ajar dan menghadiri kuliah berkala anjuran PTS dan bimbingan Puan Ainon Mohd, beliau berjaya menghasilkan beberapa buku yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa, buat tatapan remaja dan kanak-kanak.
Bentuk sarang lebah juga dijadikan ilham bagi mereka bentuk tayar kenderaan pertahanan. Tidak seperti kenderaan biasa, kenderaan pertahanan perlu tahan lasak, mampu menampung peralatan berat, tidak terjejas sedikit pun akibat serangan IED (Improvised Explosive Device), dan seterusnya masih mampu memecut sehingga kelajuan 50 kilometer sejam. Tayar ini tidak memerlukan sebarang udara bagi mengembang, oleh itu tayar ini tidak mengempis. Ciri-ciri ini mempunyai banyak kelebihan dan dapat menyelamatkan anggota tentera daripada terkorban di medan perang.
Pereka bentuk tayar ini adalah Resilient Technologies dan Wisconsin-Madison's Polymer Engineering Center. Apabila meneliti sarang lebah yang dibina mengikut bentuk heksagon, mereka mendapati yang bentuk itu kukuh dan stabil. Malah, bentuk heksagon pada tayar dapat memastikan berat kenderaan dapat diimbangi secara sekata. _(Bab 2 : Aplikasi Teknologi Berilhamkan Haiwan)
Buku ini mengupas persoalan antara haiwan dan juga alam sekitar serta hubung kaitnya yang mampu mengubah lanskap dunia. Baca dan fahami apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Menarik cuma tidak sesuai untuk ditelaah oleh mereka yang kurang menggemari aspek teknikal !