Ulama yang mewarisi Nabi, mereka akan mengambil sikap seperti sahabat yang berjumpa dengan Huzaifah alYAmani (penjaga senarai nama orang munafik) dan bertanya, "apakah aku dalam senarai orang munafik atau tidak?"
Ini berbede dengan ulama yang tidak mewarisi sifat Nabi, kerana mereka akan bertanya, "apakah si fulan itu, si fulan ini tersenarai orang munafik atau tidak?"
Dunia akan aman, apabila ada ulama yang mewarisi Nabi. Tetapi kehancuran sering terjadi, apabila ada yang mendakwa bahawa mereka adalah pewaris Nabi, walaupun umat manusia sendiri secara fitrah menilai tindakan mereka adalah sebaliknya.
Nama : Wan Ji bin Wan Hussin (Pak Syaikh Muka Buku) Kelahiran : Rong Chenok, Pasir Mas, Kelantan Pendidikan : 1-Institut pendidikan al-Balaghul Mubin, pasir Mas Kelantan (tahfiz al-Quran); 2-Pondok Lubuk Tapah, pasir mas kelantan; 3-Karachi, Pakistan; 4-Al-Azhar, Mesir; 5-Universiti Malaysia Kelantan.
Meletakkan harapan yang tinggi pada buku ini, tapi ternyata buku ini sekadar himpunan artikel Ustaz Wan Ji seputar masalah dan sikap beragama kita. Aku mengharapkan beliau akan mengolah dan membahas secara terperinci akan konsep ulama itu sendiri, tapi ternyata meleset.
Bagi yang sudah biasa dengan idea-idea Ustaz Wan Ji, buku ini sekadar bahan bacaan ringan. Tapi bagi yang ingin membaca sudut pandang beliau dalam mengkritik cara beragama Muslim di Malaysia, buku ini bagus untuk mencabar minda dan mengasak akal kita dengan persoalan-persoalan yang mungkin tidak pernah dilontar sesiapa sebelum ini.
Tulisan pendek-pendek yang mudah. Aku ingat Wan Ji tulis secara serius dan menjawab persoalan. Tetapi ada kalanya memberi soalan kembali.
Untuk diriku yang agak tegar follow-up kejadian Wan Ji, buku ini ibarat ulangkaji sahaja apa yang telah Wan Ji sebut dalam blog dan Lepak Maqasidnya.
Satu-satu bab tidak dikupas secara total dan tuntas. Ada bab yang isunya sama dibincangkan. Dan ada isu yang hanya dipersoalkan tanpa diselesaikan.
Tapi buku ini enak dan lazat dikunyah oleh sang pemula pemikiran radikal Islam, kerana Wan Ji menulis dalam form yang mudah difahami.
Isu utama yang sebenarnya ingin disampaikan dalam buku ini, ialah menggambarkan ulama yang bukan pewaris nabi. Tetapi bila aku baca buku ini, rasa sensasi aku untuk membenci kaum ulama tidak sebegitu hebat berbanding aku membaca buku Astaghrifullah: Islam Jangan Dijual! oleh Eko Prasetyo.
Sebelum membacanya, saya menyangkakan buku ini akan menghadirkan kritikan yang keras dan idea kritikal kepada agamawan, namun sangkaan saya itu meleset.
Penulisan sangat simple, hujah yang longgar dan banyak pengulangan idea. Contohnya, isu autoriti menerangkan agama, kemudian membawa kepada mengkhilafi ijmak bukan larangan, bukan hanya ulama' boleh menerangkan Islam, pendapat ulama' bukan agama, Jakim bukan agama Islam dan sewaktu dengannya. Ia sesuatu yang sudah difahami lebih awal. Wan Ji patut memberi pendetailan yang lebih lagi kalau dia mahu tetap ingin menulis tajuk sebegini.
Mungkin, expectations terlalu tinggi, menganggap ia buku akademik yang sarat idea yang berat padahal cukup ringkas dan longgar. Tetapi, untuk pasaran tempatan, buku sebegini lebih laku dari pisang goreng.
Buku ini agak ringkas persembahannya. Namun persoalan yang terbit dari buku ini bersifat provokatif. Mungkin sesiapa menyangka membacanya akan menjadi 'radikal' tetapi tunggu dulu, ia tidak semudah itu sebenarnya. Masih banyak persoalan yang perlu digali dan jangan harapkan jawapan yang muktamad dan tuntas!
Hujah dan kritikan yang di usul oleh Wan Ji didalam buku ini harus dibaca. Penulis membawa kita kembali kepada akal dan berfikir kembali apa betul benar landasan sistem yang di guna oleh negara kita.
Kritikan penulis terhadap dogma kehidupan kita membuatkan kita berhenti sejenak dan menilai hujah-hujah nya. Penulis banyak memperincikan perihal hak kebebasan bersuara dan mengolah tentang kefleksibelan dalam beragama terutama agama Islam yang lebih menyeluruh. Tulisan nya juga merangkumi idea-idea penulis sendiri hasil dari penilikan dan penaakulan berbanding majoriti masyarakat kita yang hanya sekadar taklid buta malah jumud. Buku ini memberitahu bahawa kita harus berani berfikir dan tidak menafikan hak akal.
Good book for BBNU, ke arah pemikiran kritis tentang hal-hal beragama. Agama bukan hak milik JAKIM, agama bukan hak milik mana-mana parti politik atau jemaaah, bagaimana Tuhan menyarankan penggunaan akal dalam hal-hal agama sebab kalau kita tidak menggunakan akal atau takut menggunakan akal, makanya agama ini tidak akan berkembang dan terhenti.
Cumanya sedikit persoalan terhadap tulisan ini, penggunaan ayat "La Ikraaha Fiddin" - tiada paksaan dalam agama. Adakah memang ayat ini bertuju kepada tiada paksaan dalam mengamalkan agama dalam kehidupan setelah memeluk Islam? Atau tiada paksaan untuk memeluk agama Islam tu sendiri? Jeng jeng.
Membaca buku ini membuatkan akal kita dijentik dengan persoalan-persoalan dalam beragama. Ia juga membuka ruang untuk kita lebih memahami pemikiran si penulis.
Tidak dapat dinafikan kritikan, teguran dan pendapat penulis ada asasnya dan perlu kita ambil kira. Buku ini perlu dibaca oleh orang ramai terutama muslim bagi membuka minda dan mata mereka terhadap isu seputar agama Islam yang telah diinstitusikan di Malaysia ini.
Buku ini memberi pencerahan tentang realiti yang dialami umat Islam di Malaysia. Sedang sekian lama kita telah dijajah dan dimomokkan oleh penguasa, Ustaz Wan Ji telah menyatakan kritikannya yang bisa untuk kita merujuk kembali teks-teks asal dan menyelak kembali bagaimana pengalaman-pengalaman mereka yang terdahulu mengalmalkan Islam. Islam itu bersifat universal, dan kelemahan manusia yang gila akan kuasa memburukkan Islam itu sendiri. Sejarah telah membuktikan banyak pertumpahan berlaku dalam kalangan umat Islam itu sendiri kerana berbeza pendapat walhal perbezaan pendapat itu sendiri diraikan oleh Rasulullah S.A.W terutamanya dalam menyatakan kebenaran. Tetapi disebabkan pengaruh kuasa dan ego manusia akhirnya sehingga penyakit melabelkan dan mengkafirkan mereka yang tidak bersependapat dengan penguasa menjadikan imej Islam itu tercalar dan disifatkan sebagai agama yang kejam padahal pada pokoknya tidak. Buku ini perlu dibaca oleh masyarakat Malaysia tidak kira Muslim atau non Muslim kerana ianya menerangkan sifat suci dan universal Islam.
Pada saya, Buku Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi ini lebih kepada mengkritik orang-orang yang dilabel atau dianggap sebagai ulama' zaman sekarang. Semua Ustaz Wan Ji 'bantai' dalam buku ini. Sebagai pembaca, saya mengharapkan buku ini membincangkan secara mendalam tentang ulama yang dikatakan pewaris nabi dan yang bukan, beserta contoh pada zaman dahulu kala yang boleh dijadikan sebagai iktibar.
Buku ini boleh dikatakan bukan bacaan yang berat. Santai sahaja. Tapi okay untuk dibaca. Sesetengah orang mungkin tidak pernah nampak atau perasan perkara-perkara yang terjadi, yang Ustaz Wan Ji kritik dan bangkitkan dalam buku ini.
Cuma menurut saya, kritikan terhadap Bank Islam perlu di-counter dengan penerangan yang lebih mendalam supaya orang tidak salah faham dengan Bank Islam dan jihad orang-orang Islamic Banking di Malaysia ini. Namun tidak dinafikan, kritikan tetap perlu ada untuk penambahbaikan Bank Islam dari semasa ke semasa.
Buku yang berkisar tentang kritik terhadap golongan yang berjawatan ulama tetapi tidak bersikap seperti ulama malahan tersasar dengan sikap yang dianjurkan oleh Islam dan Nabi Muhammad. Antara isi penting yang boleh diambil dari buku ini 1. Terdapat pelbagai tafsiran dalam setiap situasi 2. Wala' secara membuta tuli hanya dengan kerana dia adalah 'ulama' satu tindakan yang tidak memanfaatkan akal untuk berfikir. 3. Hujah sepatutnya dilawan dengan hujah, bukan kekuasaan
Satu perkara yang saya terfikir lepas habis membaca- PAS bukan islam dan islam bukanlah PAS.
Saya beranggapan buku ni berat dengan fakta tetapi sebenarnya sangat ringan. satu malam boleh habis. Mohon Ust. WanJi tulis berat lagi lepas ni.
Tajuk buku ini sedikit kontroversi, ramai kawan-kawan yang bertanyakan adakah buku ini mengkritik PAS semata-mata (disebabkan gagasan Kepimpinan Ulama'), namun hakikatnya penulis memberikan kritikan umum terhadap badan-badan atau institusi yang berpaksikan islam.
Buku ini tidak berat, sekadar himpunan artikel-artikel pendek yang rasanya pernah dibaca di laman FB penulis. Isinya seolah-olah memprovok diri ini untuk berfikir dan mencari hujah ilmiah bagi menjawab idea-idea penulis yang sebahagiannya tidak aku setujui.
Antara bab yang menarik ialah 'Siapa yang Paling Benar,' 'Salah Faham Syariah dan Fekah,'Buku Bukan Kitab Suci' dan 'Anda Islam Liberal?'
Isi yang berat diulas dalam bahasa yang ringkas. Kalangan pembaca akedemik anggap menganggap buku ini terlalu ringkas, tapi rasanya sesuai untuk masyarakat umum berjinak-jinak untuk mengubah cara mereka berfikir. Ada yang berkata tajuk buku ini tidak sesuai dengan isi. Ia disebabkan persepsi bahawa buku ini akan mengulas secara terperinci maksud "ulama". Tapi sebenarnya buku ini mengulas tentang orang-orang agama yang dianggap sakral di negara kita. Bagi saya tajuk ini sesuai.