Aku dah baca ketiga-tiga buku, dan aku terus review trilogi Takdir di sini.
Bagi aku, Takdir tiada isu yang terlalu besar. Cumanya ia tidak berapa kena dengan citarasa aku.
Disebabkan penulis ingin berdakwah dalam karyanya, dan menggunakan unsur Islam, maka jalan ceritanya menjadi terlalu simplistik dan terlalu mudah untuk dijangka. Baik lawan jahat, hitam lawan putih, Islam lawan bukan Islam.
Maka, apabila menggunakan naratif baik lawan jahat, penamatnya sudah dijangka bagaimana bentuknya. Sudah tentulah baik akan menang, takkan Islam akan kalah, ya tak? Oleh itu, ia membuatkan aku tak begitu teruja untuk baca kerana aku tahu pasukan mana yang bakal menang.
Citarasa aku juga tidak berapa berkenan dengan penamat yang terlalu 'happy ending'. Aku sukakan penamat yang lebih kepada 'bittersweet', yang apabila habis membacanya, ia mewujudkan satu perasaan yang bercampur baur-- gembira dan tenang, mahupun sedih marah. Ini lebih realistik, pada hemat aku.
Perkembangan watak-wataknya juga, pada pandangan aku, kurang menarik. Seperti yang aku katakan tadi, Takdir ini terlalu hitam dan putih, tiada yang kelabu. Sesetengah watak yang berhijrah dari jahat ke baik, berhijarah dalam perjalanan yang sangat mudah. Ya, hidayah itu milik Allah, tapi berbicara tentang sebuah cerita yang seharusnya lebih mendebarkan, ia tidak mempunyai perkembangan yang kuat untuk kita selami watak itu.
Dari segi penulisan pula, aku rasa macam agak banyak teknik yang diulang-ulang. Repetitive. Aku bukanlah penulis yang hebat, cuma style penulisan penulis sedikit membosankan kalau dibandingkan dengan penulis-penulis lain.
Walau bagaimanapun, ia merupakan satu trilogi dakwah yang baik. Macam aku kata, ia hanyalah citarasa aku. Dari keseluruhan -- menggabungkan elemen Islam, lokasi tanah-tanah suci Arab, latar belakang teknologi futuristik serta pertarungan yang seumpama anime -- ia satu novel dakwah (dan cinta) yang baik.
Ini percubaan pertama aku membaca tulisan Hilal Asyraf. Aku akan cuba baca yang lain. Dengar kata, saga Hero lebih sedap, ya?