Buku yang diadun secara organik. Falsafah dan diksi seperti kebiasaannya telah membuatkan pembaca seakan-akan kembali kepada buku pertamanya, Alien Mencari Cinta(AMC) kerana beliau masih tidak menggunakan kata-kata yang besar untuk mengungkapkan idea yang besar sepertimana konsep buku ini yang begitu minimalis. Bagi pembaca yang akrab dengan puisi beliau, tentu ada yang menyedari akan persamaan beberapa inti puisi/falsafah dari buku pertama beliau(AMC) dengan buku Dari Cinta Kepada Cinta(DCKC). Misalnya, perhatikan puisi“Janji Sampai Mati” dalam dari AMC, ms 41 dan puisi "Sungai di Celah Kota Plastik" dari buku DCKC, ms 12. Tidak salah juga jika ada pembaca yang mengatakan puisi yang mempunyai persamaan inti/falsafah tersebut merupakan sambungan beberapa puisi dari AMC. Selain itu, penggunaan ilmu bantu dalam penulisan puisinya juga masih ketara. Menurut Awang Azman Awang Pawi (2003) Licentia Poetica Puisi Mutakhir Malaysia, beliau memfokuskan unsur-unsur konvensi, pembaharuan, penyimpangan dan unsur licentia poetica dalam kumpulan puisi penyair muda terpilih Malaysia dan menyatakan bahawa penyair muda cenderung menggunakan ilmu pelengkap di dalam karya mereka. Dalam konteks ini, penulis merupakan seorang ahli klimatologi. Tidak hairanlah jika kita masih menjumpai unsur-unsur alamiah dan sains dalam buku ini seperti puisi Giring-Giring Merpati Gili Trawangan. Namun, jumlah unsur geografi secara spesifik dalam buku DCKC ini tidaklah sebanyak buku pertama beliau. Justeru membuktikan bahawa Pemenang Hadiah Utama Hadiah Sastera Perdana Malaysia kategori kumpulan puisi ini telah mula mencipta gaya penulisan yang tersendiri. Mohd Sahlan Saman (2012) menyatakan dalam konteks sastera, hal yang berkaitan gaya menulis yang dipersembahkan secara tekal atau konsisten oleh pengarang pada suatu jangka masa yang cukup panjang hingga menjadikan gaya itu sinonim atau mendekatkan dengan keperibadiannya. Neon, burung, bulan, duri, sukma, samudera, puspa, duka, luka, pantai, dan cinta boleh dikatakan diksi-diksi yang menjadi gaya dan identiti penulis. Sebagai contoh, di Malaysia ada gaya kepenyairan Usman Awang dan Muhammad Haji Salleh(tidak dapat dihujahkan dengan lanjut kerana saya bukanlah seorang pengkaji stilistik. Kepakaran tersebut memerlukan usaha bertahun-tahun secara tekun dan tekal seperti Allahyarham Mohd Sahlan Saman). Akhir kata, semoga para pembaca dapat menikmati buku yang mempunyai pelbagai falsafah dan epigram ini.