Kepelbagaian merupakan satu kejadian alam yang membuktikan tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Tiada sesuatu yang ada di muka bumi ini melainkan semunya ditunjukkan dalam pelbagai bentuk, rupa dan pilihan. Kerencaman ini manandakan kejadian alam serta kejadian pada alam haiwan dan pada hari manusia sendiri.
Islam menerima realiti kepelbagaian (agama) secara wujudnya (existence) walaupun hanya Islam sahaja yang diyakini benar (oleh penganutnya) secara teologinya, amalannya dan syariatnya lantas bagi menjalani kehidupan dalam keadaan damai kerana wujudnya kepelbagaian agama yang berpotensi untuk menjadi konflik, Islam mewajibkan Rahmatnya bagi mengatasi dan menguruskan wujudnya kepelbagaian yang ada (peaceful co-existence).
Buku ini mengandungi tiga bahagian utama iaitu Rahmat Islam Dalam Kepelbagaian, Islam Dalam Kerangka Masyarakat Majmuk di Malaysia dan Menuju Negara Rahmat.
Dr. Mujahid Yusof Rawa, anak kelahiran Pulau Pinang merupakan Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Parit Buntar, Perak. Beliau merupakan anak kepada Mursyidul Am PAS yang pertama, iaitu Allahyarham Tuan Guru Yusuf Rawa yang pernah menjadi Presiden PAS dari 1982 hingga 1989. Beliau mewarisi kepimpinan bapanya dengan menyertai politik demi cita-cita mahu menyumbang kepada tanah air yang dicintai bertunjangkan Islam sebagai asas dan dasar perjuangannya.
Berkelulusan Ijazah Sastera Bahasa Arab daripada Universiti al-Azhar, Mesir, kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM). Akhirnya beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Siasah Syariah daripada Universiti Malaya (UM) melalui tesisnya yang bertajuk Pengurusan Konflik Dalam Parti dan Kesannya Kepada Perubahan Organisasi: Kajian Kes PAS di Melaka.
Buat julung kali terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pada 2005, jawatan tersebut disandang sehingga kini. Beliau merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat dan posisi itu telah memberi ruang kepadanya menerokai platform pembentukan Kelab Penyokong PAS pada 2004 yang berakhir dengan kelahiran Dewan Himpunan Penyokong PAS pada Mei 2010. Usaha bersungguh beliau yang tidak kenal erti jemu ini telah berjaya menarik minat masyarakat bukan Islam kepada PAS yang selama ini dianggap sebagai parti masyarakat Melayu-Islam semata-mata.
Selain keterlibatan politik, beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan seperti memegang pelbagai jawatan dalam NGO termasuk mewakili negara dalam banyak misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa serta menyampaikan kuliah-kuliah agama di seluruh negara terutama dalam bidang sirah. Beliau juga telah menulis hampir 10 buah buku.
Buku yang ringkas dan padat untuk memahami agenda Islam sebagai rahmat untuk semua. Buku ini ditulis pada tahun 2015, beberapa tahun sebelum penulis di angkat menjadi Menteri yang kini cuba membawa agenda ini dalam pentadbiran kerajaan.
Buku yang mempunyai segala dalil asas tentang Islam dan kepelbagaian, juga mengandungi beberapa aspek perlembagaan yang penting. Cukup ringkas dan asas untuk bagi yang baru bermula mahu memahami tentang konsep ini.