APAKAH nilai sebuah cinta bagi seorang gadis berlesung pipit bernama Ifti Liyana? Sejak bertahun-tahun, sayangnya pada Fredo tidak pernah melimpah. Nalurinya sentiasa menidakkan, benarkah mereka bercinta? Akhirnya, mereka kian jauh dan lelaki itu membawa haluan sendiri. Dia sendiri pasrah! Namun, pandang pertamanya dengan Nazmi, memutikkan perasaan yang aneh. Lelaki itu yang sekejap ada dan hilang seperti menyeru-nyeru semangatnya. Dirinya ibarat mengejar bayang-bayang. Namun, keegoannya sering kali menepis kata hatinya. Tetapi bagaimana dengan rindu yang sarat ini? Berbolak-balik rasa hatinya. Antara keinginan untuk menyayangi dengan rasa pesimis terhadap kejujuran seorang lelaki. Dalam benci ada rindu, dalam sayang dia jadi keliru, apakah Nazmi benar-benar setia pada yang satu? Ah... sukarnya melafazkan kata maaf bila prasangka hampir meleburkan sebuah impian. Ifti Liyana akhirnya akur, cemburu buta dan hipokrit bukanlah sifat terpuji. Dia mengakui, Nazmi lelaki sejati yang diimpikan selama ini.
Anis Ayuni dilahirkan di Bentong, Pahang pada 1 April 1963. Mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya sehinggalah ke Tingkatan Enam di SMK Sulaiman, Bentong. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial dari Universiti Malaya 1986 (Pengajian Asia Tenggara). Kemudian melanjutkan pelajaran dan memperolehi ijazah Sarjana dalam bidang Perancangan dan Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Malaya (2004).
Kini beliau memegang jawatan sebagai Penyelia Petang di SMK Seri Saujana, Bandar Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur. Ibu kepada dua orang anak lelaki ini terus aktif menulis setelah novel pertamanya, Suara Hati (2002) mendapat sambutan yang menggalakkan dari para pembaca.
Dalam menghasilkan karya kreatif, beliau sedar garapan haruslah berupa gandingan antara fantasi dan realiti. Namun beliau sangat menitikberatkan logik dalam menggarap satu-satu peristiwa. Seboleh mungkin beliau cuba mengaitkannya dengan realiti yang biasa terjadi dan bukannya sekadar khayalan atau mimpi. Namun novel-novel beliau tidak lepas dari membicarakan soal cinta, sokongan ibu bapa dan keluarga serta prinsip seseorang dalam membuat keputusan. Dalam tawa, ada air mata dan sengketa. Itulah ramuan yang menyebabkan pembaca tidak jemu menatap hasil penulisan beliau.