Dalam sejarah perkembangan sastera Melayu moden, nama Hamzah pernah tercatat sebagai salah seorang penulis yang turut mengasaskan ASAS 50. Malah di sekitar tahun 1950-an, beliau banyak menghasilkan novel sehingga beliau pernah digelar sebagai "Pengarang Pujaan 1950" oleh majalah Mutiara keluaran 1 April 1953, menyaingi penulis terkenal yang lain pada waktu itu seperti Za'ba, Harun Aminurrasyid, Abdullah Basamih, Yusuf Ishak, Abdul Aziz Ishak, Awam-il-Sarkam dan lain-lain.
Dalam buku ini terkandung lima buah novel Hamzah yang telah dihasilkan sekitar tahun 1950-an iaitu Rumah Itu Dunia Aku, Pemburu Pulang ke Rumah, Rumah Kosong, Samseng dan Hujan Air Mata. Pada keseluruhannya, kelima-lima novel tersebut memaparkan persoalan hidup masyarakat semasa yang merangkumi soal cinta tak sampai, dendam tak sudah, kecurangan, penganiayaan, moral dan sebagainya.
Penyelenggara buku ini, S. Othman Kelantan melihat novel-novel Hamzah mempunyai satu pembaharuan dari segi struktur dalamannya seperti Rumah Itu Dunia Aku yang membawa aliran Realisme-Romantisme-Naturalisme dan juga Rumah Kosong yang banyak menerapkan unsur psikologi. Hamzah merupakan penulis berbakat besar dan telah memulakan satu pembaharuan yang amat bererti dalam perkembangan novel Melayu moden yang kemudiannya diteruskan oleh beberapa pengarang lain dalam dekad-dekad berikutnya.
Hamzah Hussain atau nama sebenar beliau adalah Hamzah Abdul Majid Bin Hussain. Beliau yang dilahirkan tanggal 27 Januari 1927 yang bertempat di Kandahar Street, Singapura. Hamzah menerima pendidikan awal di Sekolah Inggeris Victoria sehinnga lulus darjah lapan.Ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Hamzah sedang mendalami ilmu di Sekolah Agama Darul Ma'arif al-Islamiah iaitu di Singapura.
Anak kelahiran Singapura ini sebenarnya terkenal dengan konsep "Seni untuk Seni" pada awal tahun 50-an dulu. Konsep ini yang dipertahankan melalui jawatan yang disandang sebagai pengasas dalam Angkatan Sastera '50 yang lebih dikenali sebagai ASAS'50 begitu kuat pengaruhnya. ASAS'50 yang ditubuhkan pada 6 Ogos 1950 di Singapore turut melibatkan tokoh-tokoh sastera yang lain seperti Keris Mas, Jymy Asmara, Rosmera, Usman Awang dan ramai lagi. Penceburan beliau dalam ASAS'50 ini sedikit sebanyak telah menaikkan nama beliau ke peringkat yang lebih tinggi. Pada peringkat awal, Hamzah merupakan orang kuat persatuan tersebut tetapi kemudiannya telah mungundurkan diri bersama-sama Rosmera dan seterusnya menubuhkan Angkatan Persuratan Melayu Baru (PAPMB)
Nama Hamzah mula menanjak ketika beliau menggagaskan saranan "Seni Untuk Seni" yang bertentangan dengan sebahagian anggota Angkatan Sastera '50, terutama dengan Asraf yang menyarankan "Seni Untuk Masyarakat". Dalam penubuhan awal ASAS '50, Hamzah menjadi Ketua 1 tetapi kerana wujudnya perdebatan dan polemik mengenai dua slogan itu, Hamzah akhirnya keluar dari ASAS'50 dan menubuhkan Angkatan Persuratan Melayu Baru pada 17 April 1954. Walaupun Hamzah tidak terkenal dengan persatuan penulis yang ditubuhkan, tetapi beliau muncul sebagai penulis yang prolifik. Hamzah yang memulakan penulisannya dalam bentuk cerpen detektif dalam majalah Dunia Filem Melayu zaman pemerintahan BMA, telah meneruskan bakatnya dalam pelbagai majalah dan akhbar termasuk Utusan Zaman dan Mestika. Pada waktu yang sama beliau menanamkan minat kepada filem sebagai hasil daripada masanya yang banyak dihabiskan untuk preview filem bagi majalah yang dipimpinnya. Kemudian Hamzah berkecimpung terus dalam dunia perfileman sehingga akhir hayat beliau.