Saya sebenarnya punya harapan besar terhadap novel yang laku keras ini kerana 1) ia ditulis oleh penulis kegemaran saya, Shaz Johar, dan 2) ia mendapat ulasan yang amat baik di media.
Naskah terakhir dari beliau yang saya baca adalah Mental, jadi saya meletakkan benchmark yang agak tinggi untuk Nota.
Nyatanya saya agak kecewa. Naskah ini dimulakan dengan perlahan, amat perlahan sehinggakan saya sudah sampai ke bab 13 dan saya masih tidak nampak apa motif Ray bersungguh benar hendak membongkar rahsia 'siapa bunuh siapa' dan 'apa yang sebenarnya berlaku' terhadap Intan.
Saya kecewa kerana hampir setiap revelasi yang dilakukan oleh Intan lewat cuplikan nota-nota kecil yang diberikan kepada Ray semacam 'too good to be true'. Pertama, bagaimana dia (Intan) boleh menceritakan hal lampau dengan sebegitu terperinci, siap dengan ulangan dialog dan senario dalam notanya, sedangkan dia hanya sekadar "menceritakan" semula apa yang berlaku? Bagaimana Intan mendeskripsikan ulangan senario lewat nota-notanya itu juga tidak konsisten; terkadang macam baca diari, terkadang macam tengok drama tivi, terkadang macam baca berita di akhbar. Jadi, pembacaan menjadi sedikit terganggu kerana 'suara' dalam nota itu tidak seragam.
Cara penyampaian cerita agak longgar di situ kerana konsep 'menceritakan semula' oleh Intan semacam terlalu bombastik untuk dipercayai.
Kalau saya di tempat Ray, saya akan berhenti melawat dia di rumah orang sakit itu dan bertukar ke subjek lain sahaja kerana cerita yang disampaikannya terlalu merepek.
Namun begitu, saya faham kenapa ramai yang menganggap karya ini sebagai 'mindfucked' dan menarik kerana penulisnya sekali lagi amat bijak mengatur plot penceritaan, hanya menceritakan cukup-cukup sahaja untuk waktu tersebut, memadai untuk memastikan pembaca terus melekat dan terus membaca sehingga selesai. Hal ini saya harus puji.
Tetapi jujur saya hendak katakan bahawa ada beberapa ketika saya hampir mahu putus asa dan berhenti baca kerana pergerakan ceritanya yang amat perlahan sehingga saya kebosanan. Tetapi seperti yang saya katakan tadi, hook yang ada pada penghujung cerita membuatkan saya teruskan juga sehingga ke halaman terakhir.
Naskah ini sudah ada sambungannya iaitu Nota:2, dan khabarnya (rumors) penulis sudah siapkan Nota:3.
Adakah saya akan terus membaca? Mungkin.
Mungkin Nota:2 lebih baik dari yang ini. Namun buat masa sekarang, saya agak kecewa dengan naskah ini.