Melalui 25 buah cerpen yang dimuatkan dalam buku ini, pengarang membawa pendekatan Islam dalam kebanyakan cerpennya, selain mengangkat pelbagai persoalan dan permasalahan hidup dalam lingkungan hidup masyarakat masa kini. Pemaparan nilai-nilai Islam yang menjadi asas kepada hubungan dan budaya masyarakat Melayu memberi kesan yang baik dalam penerapan nilai-nilai Islam dalam masyarakat, seterusnya menyumbang kepada pemikiran dan nilai ketamudanan yang seharusnya dimiliki oeh masyarakat Melayu dalam menghadapai suasana globalisasi sekarang ini.
Dato' Dr. Haji Ahmad Kamal bin Abdullah juga dikenali dengan nama Kemala. Selain pernah juga menggunakan nama A.K., Ahmad Jiwa, Dur Kasih, Nur Hiryati dan Nirwana.. Dalam dunia akademia, beliau lebih senang dikenali sebagai Dr. Ahmad Kamal Abdullah. Begitu juga apabila beliau menulis ilmiah, desertasi mahupun esei. Sebagai penyair, beliau menggunakan nama Kemala.
Dilahirkan pada 30 Januari 1941 di Gombak, Selangor, Malaysia. Mendapat pendidikan awal di sekitar Kuala Lumpur. Pernah belajar di Institut Dharma ( Inggeris ) pada tahun 1956. Menjadi guru pelatih di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak ( 1958-1962 ) Lulus Sijil Persekolahan ( 1962 ) dan Sijil Tinggi Persekolahan ( 1974 ) secara persendirian. Mengikuti pengajian luar kampus ( 1975-1980 ) di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda yang diikuti Sarjana Sastra ( 1985 ) dan Ijazah Doktor Falsafah ( 2000 ) dengan desertasinya berjodol Simbolisme Dalam Puisi Islam di Malaysia 1970-1990.
Pengalaman mengajar ( sebagai guru ) pada tahun 1962-1968 sangat mempengaruhi jiwanya sebagai pendidik. Biarpun kemudian beliau berpindah ke Dewan Bahasa dan Pustaka, menyelaras majalah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Majalah Perisa, sifat pendidik beliau sangat terasa. Sebagai Pegawai Perancang Bahasa Tingkatan Kanan, juga seorang penyair kawakan, beliau tetap merendah diri dan budiman terhadap karyawan muda.
Kegiatan penulisan Kemala sejak di bangku sekolah dasar. Cerpennya Pengembaraan Ahmad pernah memenangi hadiah di majalah Hiburan. Ketika di Maktab, beliau memestaskan Sri Lembayung. Namun puisilah bakat beliau yang sebenar. Sejak tahun 1960an lagi, puisinya terkandung dalam antologi bersama Laungan ( 1966 ) Telok Gong dan Suara Tujuh ( 1969 ) Antologi ini merupakan perjuangan hidup masyarakat bawahan kaum tani dan buruh.
Mulai tahun 1970an, Kemala tampil dengan keperibadiannya sendiri. Bersama Latiff Mohidin, Dharmawijaya, Zurinah Hassan, Baha Zain dan Muhamad Haji Salleh, nama beliau berada di puncak teratas. Keprolifikan Kemala berakhir dengan lahirnya kumpulan puisi Timbang Terima ( 1970 ) Meditasi ( 1972 ) Kaktus-Kaktus ( 1976 ) Ayn ( 1983 ) ERA ( 1985 ) Pelabuhan Putih ( 1989 ) Titir Zikir ( 1995 ) MIM ( 1999 ) Ziarah Tanah Kudup ( 2006 ) Syurga ke Sembilan ( 2009 ) yang mendapat sorotan luas sebagai penyair Melayu berjiwa Saadi, Rumi atau Khalil Gibran. Puisi kerohaniannya nalar seakan Abdul Hadi WM dan Taufiq Ismail sehingga tak cukup wangkang untuk memunggah karyanya ke bahasa asing seperti Inggeris, Rusia, Perancis, Jerman, Itali, Romania, Slovakia, Arab, Nepal, Serbo, Tamil, Cina, Thailand dan sebagainya.
Pada 21-25 Ogos 1986, beliau ke Struga Poetry Reading, Struga Macadonia. April 1990 ke Asean Voice in English di University Hong Kong, International Conggres og Conparative Literature Association, Tokyo ( 1991 ) International Writing Program di Iowa University, Amerika Syarikat.
Pencapaian dan hadiah yang dimenanginya lumayan banyak. Malam Perhitungan ( drama ) memenangi hadiah Majlis Drama Malaysia ( 1971 ) Puisinya, Laut dan Meditasi ( Hadiah Karya Sastra, 1972 ) Maknawi Itu, Kasihku ( 1975 ) Pada Setiap Kali kau Tiba, Ogos, Bahawa Cinta Itu Kasihku ( 1976 ) Lelabah, Laut dan Cekerawala ( 1982/83 ) Dalam organisasi pula, sebagai Ketua Satu Persatuan penulis Nasional Malaysia ( PENA - 1983-1984 ) Setiausaha Satu Gabungan Penulis National Malaysia ( GAPENA - 1972-1974 ) Menerima SEA Write Award di Bangkok pada 1986.
Temanya beragam-- fiksi politikal dan sejarah, sosial/budaya dan cara hidup, agama dan moral juga perhubungan dan keluarga (separuh cerpen di sini sudah aku baca di buku Mata, Rumah dan Merpati). Cerpen-cerpen perihal konflik harian dan sekitar serta sisi hidup masyarakat. Tertarik dengan karakter watak-watak pada cerpen penulis sebab rasa 'mewah' personaliti-- cara berucap dan berfikir, latar belakang dan sifat peribadi. Penceritaan yang kadang berlatar emosi ditulis kemas dan tak terlalu draggy (cerpen Peti, Masjid, Kaki dan Wak antara yang aku suka). Kurang serasi sikit dengan cerpen-cerpen di bahagian Dalam Dakapan Alifbata sebab rasa 'berat' kiasan dan isi cerita-- bahas politikal dan sejarahnya diseragam dalam hal-hal kesusasteraan jadi perlu baca berulang untuk faham keseluruhan cerita. Namun efisiensi bahasanya bagus juga huraian jalan cerita pada kebanyakan cerpen-cerpennya sederhana dan realis-- relevan dengan hal sehari-hari.
Laut Takjub, tajuk yang barangkali diilhamkan dari cerpen bertajuk Pantai Takjub menghimpunkan 25 cerpen – 13 daripadanya merupakan cerpen yang sama telah dihimpunkan di dalam Mata, Rumah dan Merpati – terbahagi kepada tiga bahagian: Dalam Dakapan Alifbata, dengan cerpen-cerpen yang lebih banyak memfokuskan cerita yang menyentuh isu politik dan patriotism; Wajah dalam Wajah, dengan cerpen-cerpen yang menjadikan cinta sebagai pusat cerita yang disadurkan dengan unsur-unsur keagamaan dan diberatkan dengan falsafah-falsafah hidup; dan juga Makna yang Kucari, dengan cerpen-cerpen yang mengandungi kisah-kisah dengan nilai-nilai kekeluargaan dan juga kemasyarakatan yang seperti kebanyakan cerpen di bahagian-bahagian sebelumnya juga kebanyakannya diselitkan nilai-nilai keagamaan.
Jika diperhatikan dengan teliti, keistimewaan cerpen-cerpen Kemala adalah bagaimana penulis berjaya menangkap realiti hidup keluarga dan masyarakat, khususnya mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam dan menjadikan kisah-kisah yang diceritakan terasa realistik dan dekat dengan pembaca yang mempunyai latar belakang yang sama. Kemala juga gemar mendampingkan unsur-unsur keagamaan dan ketuhanan di dalam setiap cerpen, termasuk di dalam cerpen yang mempunyai unsur kisah dongeng seperti cerpen Sayembara contohnya, sekaligus menyiratkan kepentingan agama dalam kehidupan seharian. Nilai patriotik juga pekat dicurahkan ke dalam beberapa cerpen yang dihimpunkan di dalam buku ini bagi menegaskan betapa pentingnya untuk setiap individu mempunyai semangat cinta akan tanah air sebelum melahirkan rakyat-rakyat merdeka yang sedia bersatu padu.
Satu bacaan yang menarik. Cerpen Peti dan Kaki yang kedua-duanya juga turut dihimpunkan di dalam buku kumpulan cerpen Mata, Rumah dan Merpati merupakan antara bacaan terbaik, terutamanya jika dinilai dari sudut realiti kisah keluarga yang dipaparkan (dalam cerpen Peti) dan pembalasan serta penyesalan (untuk cerpen Kaki). Disarankan untuk turut membaca bahagian Pengenalan di dalam buku kumpulan cerpen Mata, Rumah dan Merpati yang mengandungi sedikit rumusan dan pandangan dari penulis mengenai 13 cerpen yang turut berada di dalam buku ini dan juga bagi sedikit sebanyak mengenali serta menghargai gaya penulisan dan penceritaan penulis dalam karya-karyanya yang lain.
Mula-mula agak susah nak memahami kisah pendek yang ditulis. Namun, lama kelamaan saya tenggelam dalam indahnya kata yang disusun oleh penulis hingga terbayang-bayang pelbagai watak di depan mata. Mungkin itulah cara penulis yang penuh dengan ilmu dan penghayatan dalam menulis.
Kebanyakkan kisah yang dibawa mempunyai unsur Islami, malah saya rasa hampir semua. Latar belakang adalah keadaan semasa rakyat yang menderita kerana cinta dan perang, semangat juang mempertahankan negara dari ancaman komunis, namun tidak terlepas dari mengikut hawa nafsu dunia.
Sebuah buku yang ringan dan berat dengan moral insani yang boleh diikuti sebagai bekal kehidupan.
Cuma terbit rasa ingin tahu dari saya yang hina ini pada sejauh manakah buku dan karya yang telah dihadam para Sasterawan Negara ini hingga dapat berkarya dengan begitu asyik sekali. Sekian.
Ahmad Kamal Abdullah atau lebih mesra disapa sebagai Kemala dalam karya-karyanya, merupakan Sasterawan Negara ke-11. Kekuatan beliau adalah pada puisi-puisi berunsur ketuhanan. Bahkan, V.I. Braginsky (seterusnya Braginsky) turut mengakui akan perkara ini. Hubungan Braginsky dengan Kemala pula boleh ditanggapi sebagai agak erat melihatkan kepada penghargaan yang Braginsky tujukan kepada sahabatnya ini dalam sebuah -antara- karya agung beliau, Erti Keindahan dan Keindahan Erti, manakala, Kemala merakamkan pula nama sarjana Rusia ini dalam beberapa puisinya. Mana Sikana pula menyatakan bahawa Rubaiat Ahmad Kamal Abdullah tidak kalah andai dibandingkan dengan Rubaiyat Omar Khayyam (walau saya berbeza pandangan).
Banyak lagi pandangan-pandangan daripada kajian lain yang mengangkat puisi-puisi Kemala, maka saya serahkan pada kalian untuk menilainya sendiri. Walaupun seseorang penulis itu diakui akan kekuatan penulisannya dalam puisi, namun tidaklah pula bermakna cerpen-cerpen yang beliau hasilkan baik. Saya berpandangan bahawa Kemala adalah antara penulis yang berada dalam kelompok ini.
Buku ini memuatkan 25 buah cerpen, namun cukuplah membaca ⅓ sahaja daripada keseluruhan cerpen… tidak terdaya saya menamatkan kesemuanya. Saya akui bahawa tidak adil untuk menilai sesuatu karya itu dengan hanya membaca sebahagian daripadanya sahaja, namun cukuplah pengalaman saya dengan Mata, Rumah dan Merpatiyang kurang baik. Saya tidak berhajat mengulangi pengalaman yang sama. Tidak mengapa andai kalian tidak bersetuju. Kalian bacalah kesemua cerpen ini sendiri dan nyatakan pula pendapat kalian untuk saya baca.
Macam mana dia kategorikan cerpen2 ni? Apa yang penting banyak perubahan dalam tulisan AKA. Dan tentunya yang positif. Beberapa watak berulang kemunculannya. Aku mengandaikan yang ada certain part itu berkisar tentang dirinya. First time aku baca kemala. Selalu baca esei di dewan sastera saja.