Memang sukar hendak melelapkan pelupuk mata tatkala membaca buku al-Musyawwiq ilā al-Qirā’ah wa Talab al-‘Ilm (Pencinta kepada Pembacaan dan Pembelajaran) yang ala-ala kitab Qīmat al-Zaman ‘inda al-‘Ulamā’ oleh Syeikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah, ‘Asyiq oleh Dr. Aidh al-Qarni atau Biblioholisme oleh Shaharom T.M. Sulaiman ini kerana pengarang, Dr. Ali Muhammad al-Imran mengheret pembaca kepada jerih-perih ilmuwan Islam terdahulu yang karyanya mekar dan malar segar dibaca, dikaji dan dirujuk pada hari ini.
Selain "skeleton" buku yang berstruktur dan gaya bahasa yang menyamankan, di sinilah pembaca dapat menghirup kelazatan ilmuwan terdahulu dalam membaca dan menuntut ilmu. Contohnya, Jabir bin Abdillah al-Ansari RA sanggup mengembara ke Mesir dari Madinah untuk mendengar satu hadis, Imam al-Zarkasyi mencatat faedah daripada buku yang ditelaah di kedai buku, Ibn al-Jauzi membaca 20 000 buku dan lebih cintakan bukunya daripada berat buku tersebut jika ditukarkan kepada emas!
Tidak cukup dengan itu, Syeikh Ali al-Tantawi pula membaca purata 100 m/s sehari, Tha'lab meninggal dunia sehari selepas dilanggar kuda dek kerana terlalu asyik menghadap buku sambil berjalan, Syeikh Syafi’ Ali al-Kinani meninggalkan khazanah sekitar 20 buah stor yang dipenuhi dengan buku-buku nadir, "adib" Mesir terkenal, Mustafa Sadiq al-Rafi'i membaca 8 jam berterusan tanpa henti setiap hari dan mengkhatamkan Sahih al-Bukhari sebelum mula menulis, Ibn Manzur buta pada akhir hayatnya dek kerana terlalu kerap membasuh matanya dengan air pada waktu malam apabila diserang kantuk dan Imam al-Bukhari yang terjaga malam sebanyak 18 kali lalu mencatatkan faedah-faedah ilmu.
Buku ini merupakan cetakan ketujuh dan ianya sarat dengan rujukan berautoriti semisal Ibn Jarir, Khatib al-Baghdadi, Ibn Abd al-Barr, Imam al-Baghawi, Ibn Qudamah, al-Nawawi, Ibn Daqiq al-Id,Ibn Taimiyyah, al-Zahabi, Ibn Rajab, al-Sakhawi, al-Syaukani, Imam Murtadha al-Zabidi, al-Jahiz, al-Nuwayri, al-Maqrizi, Syeikh Abd al-Hayy al-Kittani, Syeikh Abd al-Azhim al-Dib, Syeikh Abd al-Salam Harun dan Syeikh Basyar Awwadh dan kitab-kitab muktabar dalam tamadun Islam seperti Tāj al-‘Arūs, al-Fawā’id, A'lām al-Muwaqqi'īn, Kitāb al-Hayawān, Nihāyat al-’Arab, al-Tarātīb al-Idariyyah, Tabyīn Kazib al-Muftarī, Risālah fī Tarīq ilā Thaqāfatina, Kasyf al-Zhunūn dan al-Muwāfaqāt.
Pesan-pesan yang turut dititipkan dalam buku ini juga perlu ditaammul seperti pesan Aqqad, "Membaca sebuah buku (agung & berautoriti) sebanyak tiga kali lebih bermanfaat daripada membaca tiga buah buku dalam topik yang sama.", kepentingan kesepaduan ilmu seperti yang terpahat pada Imam al-Syatibi yang berfatwa daripada kitab Sibawayh selama 30 tahun, pesan Imam al-Nawawi iaitu muzakarah sejam yang efektif lebih baik daripada menghafal dan mengulangkaji sendiri berjam-jam hatta sehari serta peri pentingnya bersegera untuk menguasai dan mencapai puncak ranum sesuatu disiplin ilmu itu sendiri.
Inilah "Gerakan Keilmuan" yang cuba diberikan nafas semula oleh penulis seperti yang disebut pada awal buku ini.