Yamashita dan Pervical dua susuk "besar" dalam sejarah Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu dan Singapura. Akan tetapi, Sebalik Yamashita dan Percival bukan semata-mata berkisah tentang kedua-dua keadaan yang tercatat dalam sejarah itu. Novel ini sebenarnya turut berkisar tentang limpahan peristiwa yang berbangkit daripada kedua-dua keadaan itu terhadap kehidupan penduduk Tanah Melayu dan Singapura yang beraneka bangsa, keturunan, agama, dan budaya itu.
Sebalik Yamashita dan Percival yang bertapak atas tema cinta dan peperangan ini diadunkan dengan teliti, rinci, dan berimbang sehingga cinta yang murni terserlah keasyikan dan keindahannya di celah-celah perang yang senantiasa tegang, suspens, dan cemas. Diperlihatkan kepada kita betapa rakyat yang beraneka bangsa, keturunan, agama, dan budaya, dalam tempoh-tempoh perang itu, beraneka juga pembawaannya-ada yang angkuh dan gasar, ada yang rendah hati tetapi berani, dan tidak kurang ada yang patriotik dengan cara mereka sendiri.
Tetapi jauh daripada semua itu, Sebalik Yamashita dan Percival membawa suatu perutusan yang signifikan demi melahirkan keinsafan kepada seluruh umat manusia-tentang rapuhnya manfaat peperangan; tipisnya maksud kemegahan; celarunya erti kemenangan-berbanding dengan kemusnahan,kesulitan, dan keperitan hidup yang dideritai manusia, yang tidak dapat dikukur dengan perasaan apa-apa pun jua.
Shaari Isa berasal dari Bedong, Kedah. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Sungai Petani, kemudian mengikuti kursus perguruan di Kirkby College, Liverpool, England. Sekembalinya beliau berkhidmat sebagai pengajar di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Pada tahun 1962, beliau dihadiahkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Victoria University of Wellington, New Zealand dan memperolehi Ijazah B.C.A. (Accountancy) dan Diploma di dalam bidang pentadbiran perniagaan. Beliau seorang akauntan bertauliah dan biasa berkhidmat di Kementerian Pendidikan, kemudian di UUM sebagai pengawal kewangan/bendahari, dan di UIA sebagai pensyarah di dalam bidang Perakaunan. Pada tahun 1994 sekali lagi beliau ke luar negara bagi melanjutkan pengajiannya. Beliau pulang pada tahun 1998 apabila selesainya suatu penyelidikan di dalam bidang perakaunan dan dianugerahkan ijazah Ph.D. oleh University of Waikato, Hamilton, New Zealand.
Beliau telah menghasilkan 25 buah buku, akademik serta kreatif, terdiri daripada 10 buah novel, buku-buku perakaunan, perdagangan, cerpen serta beberapa artikel di dalam jurnal perakaunan di dalam dan di luar negara.
Kini beliau berkhidmat sebagai pensyarah di UM di dalam bidang perakaunan.
Saya terlalu ingin menyukai buku ini. Saya mengharap agar buku ini adalah novel sejarah dalam sastera Melayu yang kita semua tunggu-tunggu. Namun sebaik membaca perenggan pertama, saya tahu, kita terpaksa menunggu lagi.
Masalah utama saya dengan buku ini adalah pemilihan sisi cerita yang disampaikan. apakah gunanya menceritakan tentang "kesukaran" (baca: percintaan yang dihalang krisis peperangan) hidup watak-watak Eropah dan Australia di Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua?
Sebagai sebuah novel Melayu, saya fikir lebih baik buku ini mengangkat keperitan hidup penduduk Tanah Melayu sebagai fokus utama. Jika saya mahu membaca tentang apa yang dilalui oleh orang lain, saya lebih senang membaca buku-buku dalam bahasa asalnya, atau juga buku-buku terjemahan. Orang lain tidak memahami pandangan alam dan pengalaman kita - bukankah ini tanggungjawab kita untuk menulis tentang bangsa dan negara kita?
Masalah lain saya dengan buku ini adalah believability atau kepercayaan. Pada saya, sebuah novel sejarah sejarah tidak perlu menampilkan tokoh atau figur sebenar secara jelas. Sebaliknya peristiwa-peristiwa sejarah boleh disampaikan dengan lebih baik melalui watak-watak fiktif yang terlibat atau terkesan secara langsung atau tidak langsung dengan peristiwa-peristiwa berkenaan.
Oleh itu, saya tidak kagum dengan nama-nama tokoh/figur yang bersepah di sana-sini kerana perbualan dan perbuatan mereka belum cukup meyakinkan. Bukan mudah membina perwatakan, terutama sekali berdasarkan sosok sebenar. Selain kajian mendalam, pengarang juga harus benar-benar kenal perwatakan tokoh-tokoh ini.
Masalah ketiga - terlalu berfakta. Sebagai sebuah novel, fakta harus cair sebagai plot.
Sungguh, saya mahu menyukai buku ini. Tetapi saya tidak mampu.
Saya boleh klasifikasikan buku ini sebagai recap/ulangkaji pelajaran sejarah kerana plot ceritanya bermula dari Yamashita berdiri di dek kapal perangnya sehinggalah kemenangan berpihak kembali kepada Percival. Buku yang padat dengan susunan watak kena dengan tajuknya — Sebalik Yamashita dan Percival; ada berjuta jiwa yang tersiksa. Buku ini luahkan satu per satu suara jiwa yang merana itu.
Saya tak kedekut bintang untuk usaha menovelkan sejarah berkenaan negara agar lebih dekat dihati pembaca. 5/5!
Saya menamatkan pembacaan buku ini dengan rasa puas hati. Buku ini termasuk dalam kategori 'fiksyen sejarah' yang berlatar belakangkan perang dunia kedua secara amnya dan penaklukan kuasa Jepun ke atas Tanah Melayu khasnya.
Ada dua perkara yang saya belajar melalui buku ini: 1. fakta sejarah - banyak fakta yang tidak saya ketahui sebelum ini disebabkan saya jarang membaca buku sejarah (sejarah merupakan satu subjek yang paling saya tidak suka waktu sekolah dulu). Melalui buku ini, baru saya kenal siapa Yamashita dan Percival. Mungkin saya pernah jumpa nama-nama ini dalam buku teks sejarah ketika sekolah dulu tapi nama-nama itu sudah luput dari ingatan. Disebabkan banyak fakta sejarah dan tarikh-tarikh penting yang disebut dalam buku ini, maka ia boleh dijadikan sebagai buku rujukan sampingan untuk pelajar dan pengkaji sejarah. Contohnya, bom atom pertama telah diuji di Alamogordo (gurun New Mexico) pada 16 Julai 1945.
2. kesan peperangan - perang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan samada kepada pihak yang menang atau kepada pihak yang kalah. Memang jadi abu, kalah jadi arang. Itulah yang berlaku ketika Jepun menakluk Tanah Melayu. Banyak kematian dan kerosakan harta benda berlaku. Yang mati bukan sahaja tentera yang berjuang malah orang awam yang tidak berdosa juga turut menjadi mangsa. Yang hidup setelah perang selesai juga menjadi trauma dan sedih dengan kehilangan harta benda dan orang-orang yang tersayang.
Buku ini berjaya membuatkan saya benci kepada tentera Jepun yang menakluk Tanah Melayu pada waktu itu. Mereka sangat kejam. Mereka tidak ada perasaan belas kasihan. Yang menentang, akan dipancung kepala. Ramai orang awam yang terbunuh apabila tentera Jepun menjatuhkan bom-bom di tempat-tempat awam seperti di Pulau Pinang. Selepas mereka berjaya mengambil alih kuasa, tawanan perang yang terdiri dari tentera dan orang awam dikerah membina jalan kereta api dengan diberi sedikit makanan. Ketua-ketua tentera pula dipenjara sementara pemimpin-pemimpin komunis anti-jepun telah disiksa untuk mendapatkan maklumat. Pada mata saya, mereka sangat tamak. Mereka bukan sahaja menakluk Tanah Melayu dan Singapura, malah pada waktu yang sama mereka mengebom Singapura, mereka juga telah mengebom Pearl Harbor. Banyak negara yang mereka jajah. Alasannya negeri mereka yang kecil tidak dapat menampung peningkatan jumlah penduduk mereka yang ramai walhal mereka ingin membolot harta dan kekayaan negeri yang mereka tawan. Mereka mengumpul sebanyak-banyak harta yang terdiri daripada jongkong emas dan barang-barang berharga yang lain untuk dibawa pulang ke Jepun.
Disebabkan kerakusan tentera Jepun, Amerika Syarikat telah membina bom atom dan bom ini telah dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki untuk melumpuhkan kekuatan tentera Jepun. Dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki, maka tentera Jepun terpaksa menyerah kalah. General Yamashita ditangkap dan dibicarakan di mahkamah tentera. Walaupun beliau tidak mengaku salah, General Yamashita didapati bersalah dan dihukum mati.
Yang membuatkan buku ini lebih menarik adalah kisah-kisah cinta yang diselitkan antara fakta-fakta sejarah. Cinta tiga segi antara Hazel, Richard dan James. Cinta sepenuh hati antara Lily dan Terry. Cinta mereka melalui pelbagai ujian dan dugaan disebabkan peperangan.