Buku yang menghimpunkan pelbagai kisah menarik insan-insan yang dalam mereka mencari erti sebenar sebuah kehidupan & penciptaan, mereka menjumpai & berjaya kembali kepada jalan kehidupan yang fitrah, iaitu Islam. Kebanyakan kisah ini terjadi di Indonesia, dan di penghujung buku, sedikit kisah dari luar negara.
Saya bersetuju dengan banyak ulasan lain berkaitan buku ini. Kisah besar mereka ini ringkas kebanyakannya. Jika lebih mukasurat untuk setiap kisah perjuangan mereka, pasti ianya lebih menginspirasi & lebih banyak boleh kita dipelajari.
Menyelusuri kisah-kisah manusia terpilih ini, pasti kita yang sedia Muslim dari lahir ini akan merasa malu dengan diri sendiri. Sepanjang hidup mereka puas mencari, namun kita pula seperti tidak ambil peduli. Tidak ambil kisah akan nikmat terbesar yang dikurniakan di dalam hidup kita, iaitu nikmat iman & Islam.
Membaca cerita mereka ini tidak dapat tidak kita perlu mengambil teladan bagaimana mereka berusaha untuk mencari & cuba meningkatkan tahap keimanan mereka ketika masih baru lagi dengan Islam. Datang dari pelbagai latar belakang keluarga & agama (yang kebanyakannya taat dengan agama lamanya), semestinya pelbagai dugaan & cabaran yang mereka hadapi. Apa yang lebih menyedihkan, ada yang mengharunginya berseorangan tanpa sokongan keluarga & teman disisi.
Pelbagai situasi periksa & perbaiki juga boleh kita masyarakat Muslim umumnya & para pendakwah khasnya pelajari dari buku ini, demi meningkatkan lagi kerja dakwah kita untuk berkembang dengan lebih efektif. Kisah mualaf yang berpakaian lusuh dihalau dari masjid antara yang boleh kita jadikan iktibar. Begitu juga dengan kisah seorang Yahudi yang telah mengIslamkan ramai orang, hanya kerana seorang tua yang tiada apa-apa.
Bagaimanapun, ini tetap naskhah yang bagus hasil usaha dari pihak yang bertanggungjawab & pihak penerbit. Semoga buku seterusnya yang terhasil akan lebih tebal lagi 😊