Tidak ada tujuan lain penulisan kitab sirah yang benar dan tidak ada maksud lain pembacaan naskhah salinan kehidupan Rasulullah SAW, melainkan untuk cinta kita pada Sayyidina wa Maulana wa Shafi'ina Muhammad SAW bertambah-tambah yang tidak ada hujungnya kerana kecintaan pada Baginda bukan saja melebihi ibu bapa, bahkan diri sendiri. Justeru apakah ada penghujung cinta sebegitu?
Kalau begitu kitab ringkasan yang disusun oleh alim yang ranum ini boleh diletakkan antara ringkasan dalam bahasa Melayu yang terbaik. Penyusunannya dibuat secara bertema dengan mengemukakan tema yang perlu diketahui dan menjadi persoalan kepada umat Islam khususnya di negara ini.
Cinta dan rahmat Nabi kepada umatnya tidak ada perbandingan sehingga pada saat Malaikatul Maut datang menjemput pun, Baginda masih menanti khabar gembira untuk umatnya. Kerana cinta itu, bahkan kerana Nur Baginda menjadi awal kejadian, maka cinta kita tidak boleh berhenti. Maka menatap keagungan Baginda pada naskhah sebegini (selain tentu salawat dan amal soleh serta keimanan) antara yang dapat mendalamkan cinta kita.
Persoalan yang sering mengganggu tumpuan masyarakat turut dijelaskan secara ringkas tetapi mencukupi seperti dakwaan abtar atau terputus nasab (yang dimulakan musyrikin Makkah dan diteruskan tanpa sedar oleh golongan yang menafikan adanya keturunan Baginda), tuduhan oleh penuduh yang hina terhadap perkahwinan Baginda, kewafatan Baginda kononnya disebabkan racun wanita Yahudi (sedangkan ia berlaku bertahun-tahun sebelum kewafatan, manakala Nabi pula sihat walafiat), salah tanggap terhadap makna Nabi Muhammad sebagai manusia sehingga merasakan seperti insan biasa, isu kemaksuman Nabi sejak kecil dan salah tafsir dallan sebagai sesat yang berhubung pada ayat al-Quran tentang Baginda serta khususiyyat Nabi yang adakalanya ditambah oleh kelompok literal dalam menafikan sebahagian hukum khilafiyah.
Buku ini sebenarnya boleh dijadikan bacaan yang merentas usia daripada anak kepada dewasa termasuk bahan mengipukkan cinta kepada Rasulullah dalam diri sendiri dan keluarga, sekaligus patut menjadi salah satu kitab yang ada di perpustakaan masing-masing di rumah.