Buku ini mempamerkan kekuatan, ketelitian dan ketokohan Prof. al-Attas dalam ilmu pengkajian manuskrip/makhthūthat. Manuskrip yang berasal daripada Jerman ini asalnya diberikan oleh sepupu Prof. al-Attas iaitu Prof. Ungku Aziz pada tahun 1984 kepada beliau supaya beliau dapat melakukan kajian terhadap manuskrip ini.
Disebabkan kesibukan dan kekangan masa untuk melakukan kajian dengan lebih terperinci (yang memerlukan penulis mencari manuskrip asal, mengembara dan mengesahkannya di Netherlands), penulis akhirnya berjaya menyudahkan tahqīq terhadap manuskrip ini pada tahun 1987 dengan memakan masa hanya sekitar empat bulan. Perancangan sudah tentulah memakan masa beberapa tahun sejak beliau menerima mansukrip ini.
Tidak hairanlah Institut Netherlands yang kecil bangunannya di Zamalek, Mesir ini mempunyai koleksi bahan bacaan yang sangat langka, penting dan menarik! Di situ jugalah saya pertama kali dapat membelek naskhah fizikal yang berjilid-jilid seperti Arabic-English Dictionary karangan Edward William Lane, Mu'jam al-Mufahris oleh Wensick (dalam Bahasa Jerman) dan The History of Arabic Literature oleh Fuat Sezgin (dalam Bahasa Jerman).
Secara umumnya, buku ini terbahagi kepada dua bahagian: i) Bahagian pendahuluan dan ii) Bahagian teks asal manuskrip berbahasa Arab (dalam format faksimile) serta terjemahannya dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.
Pada bahagian pendahuluan, penulis menyorot beberapa manuskrip lain yang wujud sekitar abad ke-17 seperti Burdah al-Busiri dan Hikayat Seri Rama. Namun setelah diselidiki dengan teliti, manuskrip Aqaid an-Nasafi simpanan ahli filologi Jerman ini, Andreas Mullerus Greiffenhagius merupakan yang tertua sekali kerana ia ditulis pada 10 Februari 1590 (abad ke-16).
Prof. al-Attas mula menyatakan rasional tarikh tersebut dari sudut reka bentuk fizikal manuskrip tersebut, tarikh yang tertera pada akhir manuskrip, latar sosiobudaya (octennial cycle & twelve year cycle method yang diamalkan oleh Orang Siam, Cambodia, Cina dan Jepun) serta falsafah (ilmu-ilmu agama Islam seperti mantik, usul, fiqh, al-Quran, Hadith & tasawwuf telah pun diajar pada waktu itu) yang mewarnai atmosfera tanah Melayu pada zaman tersebut.
Apa yang meyakinkan Prof. al-Attas lagi ialah apabila beliau dapat mengesan beberapa kejanggalan pada tulisan dan pembarisan yang dilakukan oleh Muller. Walau bagaimanapun, ia tidaklah menjejaskan kepakaran dan kredibiliti pemilik manuskrip tersebut kerana menurut penulis, matan Aqaid an-Nasafi ini mula terkenal di Eropah bukanlah bermula pada abad ke-18 oleh Wensick dan Cureton, tetapi ia telah diperkenalkan ke sana terlebih dahulu oleh Muller pada abad ke-17.
Kemudian, barulah Prof. al-Attas mula memberikan sinopsis terhadap teks Aqaid an-Nasafi tersebut sebelum meluncurkan teks berbahasa Melayu matan tersebut, terjemahan Prof. al-Attas dalam Bahasa Inggeris, senarai perkataan Arab yang ada dalam teks terjemahan Bahasa Melayu tersebut, faksimile manuskrip asal dalam Bahasa Arab dan diakhiri dengan teks Bahasa Arab dan terjemahan Bahasa Melayu pada sebahagian manuskrip tersebut yang tidak selesai diterjemahkan.
Jelas sekali untuk mengkaji sesebuah manuskrip, seseorang itu perlu menguasai sejarah, sosiobudaya masyarakat dan berkemahiran lebih daripada tiga bahasa. Prof. al-Attas sendiri mahir Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu selain mengetahui Bahasa Latin dan Bahasa Jerman seperti yang pembaca dapat kesan melalui pembacaan buku ini.