Zahari Affandi atau nama sebenarnya, Asari Ismail, mendapat pendidikan awal di di Sekolah Kebangsaan (SK) Pahi, kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah (SM) Sultan Yahya Petra, Kuala Krai. Beliau mengikuti Penulisan Kreatif dan Deskriptif di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Diploma Books Publishing di Boston University, Amerika Syarikat pada tahun 1980.
Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Melayu, pengelola Ruangan Sastera di Mingguan Malaysia dan majalah URTV sebelum meninggalkan Utusan Melayu pada tahun 1982.
Beliau membuka syarikat penerbitan sendiri, iaitu Citra Publishing Sdn Bhd yang mengurus kerja pracetak bahan penerbitan untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Di samping itu, syarikatnya juga menjalinkan usaha sama penerbitan dengan DBP dan Pemodalan Nasional Berhad (PNB) bagi penerbitan majalah.
Sehingga kini beliau telah menghasilkan hampir 30 buah novel dan puluhan cerpen. Sementara belasan cerpen pula menerima pelbagai hadiah sayembara. Cerpen Anak Gembala dan Memori Seorang Tua pula dijadikan Teks KOMSAS Bahasa Melayu untuk Tingkatan 4 dan 5 (2011-2-16).
Judul buku: Pelabuhan Yang Ditinggalkan Penulis: Zahari Affandi Terbitan: Nusa Centre Cetakan / Tahun terbitan: Cetakan kedua / 2022 (Cetakan pertama: Teks Publishing, 1985) Tempoh baca: 23 Julai 2022 (01.30 petang ~ 08.00 malam)
Ulasan: Penamat yang merabakkan hati. Plot yang tersusun cantik dengan rasa yang berombak. Bahasa mudah, ringkas tetapi pengulangan dan penekanan pada satu-satu keadaan – seperti perwatakan watak, pertuduhan, dan penegasan prinsip hidup, membuatkan cerita ini meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa yang membaca. Ibarat tusukan tombak yang bila ditarik perlahan, luka di dalamnya terus terasa dalam tempoh yang panjang.
Pelabuhan Yang Ditinggalkan, kisah Pak Tua dengan prinsipnya yang berbeza daripada orang kampung dan mungkin juga masyarakat umum. Padanya, hak itu perlu dipertahankan walaupun terpaksa menumpahkan darah. Hak berupa harta yang dicari. Hak negara yang perlu dipertahan daripada pengkhianatan. Hak maruah keluarga yang tidak boleh dipandang remeh walau sesetengah orang memperlekeh.
Dia bangga bila Lamin, anaknya menakik kaki haiwan orang kampung, sehingga ada yang mati dalam keadaan ngeri bila mana haiwan itu merosakkan tanaman mereka. Seinci pun hasil titik peluhnya disentuh, diceroboh, akan dipertahan walaupun orang menganggap dia tidak berperikemanusiaan. Bukan dia yang buat, tapi si anak yang masih kurang akal. Dan, dia bangga dengan anaknya.
Latar belakangnya sebagai perajurit negara, jelas. Prinsipnya tidak mengenal saudara jika menyarung wajah pengkhianat. Namun, biar dia yang menghukum, bukan orang lain. Zahari Affandi, membentuk watak Pak Tua dengan jitu perasaan, prinsip pegangan, dan memperlihat susuk lelaki yang mementingkan keluarga. Walau dipandang gila kerana asyik membawa parang ke sini sana, asyik mengugut hendak menetak sesiapa yang mengganggu harta dan keluarganya, asyik membentak marah pada anak bernama Jali yang merambu, tetapi … semua itu kerana sayang. Semua itu kerana dia nampak natijah pada setiap keadaan.
Hubungan adik beradik di antara Lamin, Jali dan Lela (anak-anak Pak Tua) walaupun pada awal seakan jauh, tetapi di pertengahannya sangat rapat dalam cara yang dinukil menyayat. Jali duda yang bercerai, lalu hidup seperti tidak ada hala tuju, anak Pak Tua yang kedua ini, telah menetak orang yang mengintai adiknya Lela ketika si adik mandi di perigi. Lamin, si abang sulung pula, dalam diamnya, mengarah bunuh orang yang menumpahkan darah Jali selepas peristiwa tersebut. Setitis darah saudaranya walau si saudara tidak apa-apa dan masih mampu mempertahankan diri, malah mempertahan adik perempuan mereka, tetap akan dibalas nyawa. Mereka tidak menilai nyawa, selagi hak dan maruah keluarga diinjak, maka … darah balasannya.
Pak Tua, bangga. Anak-anaknya, dikatakan mewarisi keperwiraan dirinya. Yang mempertahan hak walau terpaksa menumpah darah. Tidak dikisah kata orang tentang keluarganya. Cerita ini juga menyelitkan kisah cinta Lela dan Johari. Di sini, saya melihat hubungan pasangan seringkali mengalami salah faham bila tidak berterus-terang di antara satu sama lain. Sedangkan, masing-masing saling menyayangi dan setia. Hanya kerana latar belakang keluarga yang punya sejarah hitam, yang mereka tidak mahu diketahui pasangan, yang takut andai itu memalukan, mereka cuba melepaskan ikatan cinta.
Plot ceritanya memang sangat, sangat menarik! Bukan hanya membentang kisah hidup dengan gambaran hidup manusia di kampung, malah pemikiran mereka yang membuatkan kita membedah pemikiran sendiri - di takuk mana pemikiran kita dengan isu yang sama. Seperti karya sasterawan negara Keris Mas, Usman Awang dan Shahnon Ahmad, penulisan Zahari Affandi juga terkandung sinis terhadap para pemimpin, ahli politik, masyarakat umum dan generasi muda masa kini. Malah, penulis ini seperti memiliki pengalaman menjadi tentera yang mempertahan negara. Ada babak yang mengingatkan saya kepada karya Usman Awang berjudul Tulang-tulang Berserakan yang menceritakan tugas polis hutan yang menjadi hamba pegawai Inggeris.
Isu pemilihan jodoh dengan latar belakang hitam turut dinaikkan. Isu kemiskinan wanita yang ditinggalkan suami tanpa berita, lalu terjebak dengan pelacuran juga menjadi inti penceritaan. Isu pelajar universiti menggadai tubuh demi kehidupan mewah juga, disentuh. Isu kejayaan anak-anak berlatar belakang cerita hitam ibu ayah juga menjadi prinsip penceritaan bahawa ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Cuma, cara itu amat menyakitkan. Kebenaran itu pahit. Kejujuran itu, perit. Tetapi, itulah kehidupan.
Saya suka ayat ini: ‘Peluru senapang perajurit zaman dulu setiap butirnya dikira dengan setiap biji kepala musuh, bukannya hanya syok-syok tembak-tembak patung kaku di depan umum kemudian dengar tepukan. Target perajurit zaman Pak Tua dulu bukannya patung kaku yang dibuai angin, tapi tubuh musuh!’
Ayat yang penuh semangat, penuh matlamat. Apa lagi yang lebih penting dalam hidup ini jika bukan matlamat?
Rentak cerita juga membuatkan saya tak senang duduk. Cemas dengan setiap babak yang dinaikkan. Dan … ia berakhir dengan sebak, tetapi sesuatu yang mengangkat darjat dan mendedah kasih sebenar seorang abang yang bertegas akan menghapus pengkhianat walaupun darah daging sendiri.
Pak Tua dan Jafar, adiknya, bersatu dalam kolam darah akibat manusia yang buta memerintah. Jatuh cinta dengan jalan cerita ini berkali-kali.
Sejujurnya....saya baca cepat cepat sebab gaya penulisan bukan selera saya. Naratif setiap watak meleret dan tiada perkembangan. Ceritanya pula maaf sangat membosankan. Kisah komunis, melawan musuh, akibat peperangan, penjajahan dan penindasan pada kaum wanita dan perlian pada kerajaan bercampur-aduk pening. Kisah percintaan Lela dan Jo...entah kenapa cringe hahahaha. Tiba-tiba sahaja Lela jadi rebel sebab nak tolak Jo. Tak pasal-pasal lahai. Sampai saat malas dah nak fikir persoalan yang dibawa penulis.
Tarikh beli: 11 Jun 2022 (reruai Nusa Centre, PBAKL 2022) Tarikh mula baca: 30 Mei 2023 Tarikh tamat baca: 5 Jun 2023
Novel yang menceritakan tentang kehidupan Pak Tua - seorang bekas perajurit yang dikatakan gila oleh orang-orang sekeliling. Pak Tua dan isteri, Senah mempunyai tiga orang anak - Lamin, Jali dan Lela.
Lamin, Jali dan Lela masing-masing mempunyai perwatakan yang berbeza. Lamin - seorang askar, Jali - seorang penganggur dan Lela - seorang penuntut universiti. Watak-watak sampingan turut diserikan dengan watak Jo - kekasih Lela dan Faiz, rakan sebilik Lela di universiti. Kisah cinta Jo dan Lela yang memudar kerana rahsia keluarga masing-masing menambah konflik di dalam novel ini.
Rentetan demi rentetan peristiwa akhirnya mengheret keluarga Pak Tua terpalit dalam satu tragedi menyayat hati.
Jalan cerita novel ini pada mulanya agak mendatar, namun semakin dibaca, semakin terasa debar dan kejutan yang tidak disangka-sangka.
Babak-babak berkenaan watak-watak yang bertemu semula dan mempunyai kaitan antara mereka dijelaskan dan disusun dengan baik, umpama kepingan susun suai gambar. Apabila disusun, tercantum molek serta menjawab persoalan pembaca mengenainya.
Usai membacanya, penamat novel ini memberikan satu ruang kosong di relung jiwa pembaca. Ruang kosong yang terhasil dengan persoalan-persoalan yang wujud dalam novel ini - isu pelacuran - baik dalam kalangan masyarakat atau mahasiswa, kemiskinan, dan kisah hitam lampau yang merencatkan perhubungan masa hadapan.
Semua ini terbentuk menjadi satu ragam realiti kehidupan yang berjaya dikupas dengan sangat jitu oleh penulis.
Kisah Pak Tua seorang, seorang pesara askar yang pernah berjuang menentang komunis, etc dalam mengharungi kehidupan bersama isterinya bersama 3 orang anaknya.
Buku ini banyak menyatakan kebenaran atau memerli orang yang mempunyai jawatan, salah guna kuasa, menindas, etc.
Serious best buku ini. Tak pasti kenapa den tak pernah tau pasal penulis ni.