Novel MUHAMMAD AKHIR ini ialah satu kisah tentang personaliti seorang yang berkelakuan ganjil seperti yang dicerminkan oleh watak Muhammad Akhir - watak utama dalam novel ini. Bagi orang Islam yang tidak pernah mengerjakan salat tahajud dan uzlah, kisah ini macam cerita khayalan. Tetapi bagi mereka yang mengamalkan penyembahan Allah S.W.T. lebih daripada sekadar salat wajib, puasa, zakat dan haji - kisah-kisah dalam novel ini adalah biasa sahaja.
Pertama kali membaca sebuah novel yang secara terang-terangan memperincikan sifat seorang insan yang alim, warak, zuhud (dan sewaktu dengannya) tanpa di paksa-paksa. Perwatakan yang hampir sempurna bagaikan mencipta seorang individu yang dicari-cari mutakhir ini, yang mengajak ke jalan kebenaran, membetulkan kebiasaan yang menyimpang, memberitahu tanpa menggurui, mengajar dengan penuh hikmah tanpa perlu membuka kitab yang tebal-tebal. Muhammad Akhir kiranya insan istimewa muncul pada manusia yang sesat, berada dalam puncak kejahilan tetapi boleh dibawa keluar untuk mendalami Islam dan kembali kepada mentauhidkan Allah dengan sebenar kefahaman. Sesekali terasa menggigil membaca perwatakan Muhammad Akhir yang serba sempurna, sambil cuba mencari apakah wujud insan seperti itu dewasa ini?