Sambil baca, sambil terbayang karakter-karakter ini berada dan sedang berlakon di layar perak zaman skrin hitam putih! Terutama pada cerpen Samseng. Mungkin benar begitu gaya samseng pada zaman itu??
Untuk cerita Perempuan Gusti, hhhmmm...terfikir juga saya, pada waktu itu sudah adakah anak gadis semoden dan seberani Fatimah?? Mungkin ya, mungkin tidak (hanya karakter rekaan), atau itu gambaran penulis akan anak gadis pada masa akan datang (pada zaman milinium sekarang ini, memang sudah terbukti).
Rumah Kosong pula adalah gambaran pada kegeringan dan kekosongan jiwa Wan dalam pencarian memiliki kasih sayang. Rumah Wan yang besar mewah itu seperti tiada erti kerana yang dia sangkakan cinta itu, hanya mengintip dari tirai kamar.
Buku dengan cara penulisan orang lama ini boleh dijadikan bahan rujukan bagaimana penulis-penulis mapan bermain dengan kata-kata, dan gaya bahasa yang teratur. Rasanya sudah tidak ramai penulis-penulis baru sekarang ini bisa berkarya dengan gaya bahasa sedemikian.
Saya bertuah dan bersyukur kerana buku ini dihadiahkan sendiri kepada saya oleh pewaris Pak Hamzah. Rasanya sudah teramat lama saya tidak membaca dalam Bahasa Melayu, kerana saya kurang meminati cara penulisan yang moden. Namun buku ini berjaya menambat hati saya, kerana cara penulisannya hampir sama dengan cara mantan guru Bahasa Melayu saya di sekolah dahulu (sudah hampir 30 tahun tu) mahukan daripada karangan kami, iaitu gaya penulisan orang lama.
Harap-harap pewaris atau bekas murid-murid Pak Hamzah dapat mengumpulkan karya-karya beliau yang lain untuk dibukukan.