"Saya tidak malu untuk memberitahu; telah dilahirkan sebagai OKU penglihatan. Sedari kecil saya sangat pendiam dan selalu mengasingkan diri kerana diejek oleh teman-teman sepermainan. Semuanya telah saya harungi dengan tabah. Saya dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang boleh dikirakan miskin; lantai berdindingkan buluh, beratap rumbia dan cuma diterangi lampu geslin".
OKU di Malaysia tiada masa depan. OKU sedang berhadapan dengan halangan-halangan paradigma / persepsi dan sistem asas / sokongan sedia ada. Kalau ada OKU yang tidak mampu bertahan, adalah lebih sesuai untuk mereka berhijrah ke luar Negara. Ia mungkin pilihan terbaik. Namun amat perlu disedari jika OKU terus berjuang, itu merupakan hal yang sangat terhormat.
Antara buku terbaik pernah dibaca, bahkan lebih baik dari buku pertama beliau. Berharap buku ketiga beliau yang akan terbit nanti akan lebih baik lagi dari buku kedua. Layout, cover, kertas, font, ketebalan buku ini sangat memuaskan. Ini adalah suatu hal yang sangat fundamental kepada buku. Jangan dengar atau tak perlu beli buku orang yang tak pentingkan hal luaran. Kerana bukan semua orang ada masa untuk menjenguk buku, apatah lagi buku kita. Bukan kita sahaja yang menulis buku dalam dunia ini. Jika betul serius nak jadi penerbit buku, buatlah betul-betul. Jangan main-main. Kalau nak main, sila bermain di tempat lain. Dan jangan bazirkan masa orang lain dan wang orang lain untuk bersolidariti terhadap hasil kerja kita yang halai-balai.
Bagaimanapun itu semua masih tentang hal-hal luaran. Bagaimana pula dengan isi? Juga sangat baik dan memuaskan. Pengarang menulis dari isi hati. Jarang kita nak mendengar dan membaca buku sebegini. Kita dapat rasakan seperti sedang berbicara atau mendengar keluhan dan kesahan, resah-gelisah dan buah fikiran pengarang. Pengarang berbicara dari lubuk hatinya terdalam, sedang menunggu kata dari Tuhan.
Kita harus juga ucapkan beribu terima kasih kepada penerbit sekaligus penyusun, yang menyusun buku ini -catatan2 di FB- menjadi sebuah buku yang sangat baik sekali.
Gelap Mata membuka mata aku tentang isu yang berkaitan dengan golongan OKU. Ironinya aku baru tersedar tentang perkara ini yang sering kali kita yang dianggap 'sempurna' memandang perkara ini remeh sekali. Saudara Rosli mengkritik dan menerangkan suasana yang berlaku dalam komuniti OKU walaupun tidak rinci tetapi cukup sekadar membuka minda para pembaca. Penulis mengajak pembaca khususnya, rakyat Malaysia umumnya memberi pandang baru tentang makna OKU bukan sekadar simbol simpati tapi sebagai makhluk ciptaan tuhan yang hidup bersama-sama. Dalam buku ini ada menceritakan tentang pengalaman saudara Rosli ketika melintas jalan yang dibantu oleh seorang pelancong Jerman. Pelancong tersebut hairan kenapa rakyat Malaysia tidak peduli dengan golongan OKU seolah-olah seperti makhluk yang jijik dan keadaan ini jauh berbeza di Jerman di mana orang awam berebut-rebut ingin membantu Sang OKU melintas jalan.
Tidak hairanlah mengapa Jerman mengacapi nikmat yang melimpah ruah sejak akhir-akhir ini dek kerana kefahaman mereka terhadap ilmu. Begitulah janji Allah kepada sesiapa sahaja yang meninggikan ilmu, tidak kira Isalam atau bukan Islam. Menurut Syed Naquib Al Attas, kefahaman ilmu yang tinggi mendorong seseorang itu kearah kebenaran dan berlaku adil. Jika dilihat kembali kepada sejarah, terdapat juga Nabi yang mempunyai masalah OKU spt Nabi(gagap), Nabi Ya'akub (buta) dan Nabi Ayub (penyakit aneh). OKU bukanlah ganjil dalam sejarah manusia. Malah Nabi Muhammad sendiri pernah memberi amanah kepada sahabat yang buta dan cacat untuk menjaga Madinah.
Barat pula telah membuktikan yang OKU juga mampu memberi sumbangan kepada tamadun manusia seperti Albert Einstein, Leonardo Da Vincci, Stephen Hawking dan juga Stevie Wonder. Barat memberikan contoh kepada kita yang OKU bukanlah manusia yang hanya layak disimpati tetapi di hormati haknya. Itulah yang diterangkan dan apa yang dicitanya untuk Malaysia yang lebih baik. Rosli telah memulakan gerakan politik OKU bangkit bertujuan untuk memperjuangkan hak-hak komuniti OKU terutamanya dari segi kebajikan dan ekonomi bukan sahaja dari segi bantuan malah meliputi hal-hal pekerjaan, pendidikan dan sebagainya. Gerakan ini merupakan langkah awal bagi menyedarkan rakyat Malaysia tentang hal mereka yang perlu dititik beratkan.
Perjuangan memartabatkan hak OKU masih panjang dan berliku di hadapan. Terus terang saya katakan, OKU sebenarnya baru berada dalam fasa 'mempromosi' isu terpencil di tengah khalayak awam. Ada banyak lagi agenda yang belum selesai. Masyarakat awam belum lagi sedar kewujudan hak OKU. Mereka masih angkuh dan sombong untuk memahami, apa lagi menghayatinya. Sistem sokongan pula msih dalam fasa teori dan wacana. Ahli politik baru sahaja tersentak dari lena kekuasaan yang panjang. Agamawan belum lagi membuka kitab mencari-cari fatwa, OKU sendiri sedang sedang bertanyakan soal kehebatan potensi diri kurniaan Tuhan - excerp Gelap Mata.
Di dalam buku ini Rosli, seorang OKU penglihatan sedang menghasut. Menghasut supaya anda yang 'sempurna' menyedari hak-hak OKU. Juga supaya golongan OKU bangkit memperjuangkan hak mereka dari penyisihan. Agar bersedia menjadi agen mengubah masyarakat berkaitan OKU.
Aku mengenali nama Abang Rosli Ibrahim melalui buku ketiga beliau, Masharakat Chantek dan video-video tentang beliau di laman Instagram Kawah Buku. Gelap Mata berkisarkan pengalaman sendiri penulis, seorang OKU yang mengalami masalah penglihatan dalam mengungapkan segala jerih dan payah dalam mengharungi dunia dan tribulasi yang tak adil pada hari ini.
Melalui Gelap Mata, penulis banyak menyampaikan hasrat hati dan objektif, misi dan visi kewujudan OKU Bangkit pada 2012. Kewujudan OKU Bangkit untuk mempertahankan keperluan golongan OKU dalam membangunkan nilai insani dan taraf kehidupan mereka sejajar dengan manusia-manusia yang lain. Bahkan, ia merupakan perintis jalan dalam mengangkat suara-suara orang kecil yang bergelar OKU yang sering pihak kerajaan bersikap tuli dan pekak dalam menjaga dan memelihara hak-hak orang OKU.
Bukan itu sahaja, stereotaip dan stigma masyarakat terhadap golongan OKU, ibu bapa OKU, anak-anak OKU dan keluarga OKU yang menjadi satu sifat parasit yang melahirkan dogma yang kian membarah pada hari ini. Usaha-usaha pihak kerajaan dalam membendung stereotaip dan suatu pendidikan advokasi dalam menghapuskan sisi pandangan yang buruk terhadap OKU berada di tahap yang agak kecewa. Malah, boleh dirumuskan bahawa mahasiswa partisan yang berada di dalam kelompok ahli politik yang bertindak dan mempunyai kuasa dalam menggubal dasar serta polisi seperti MKM, SiswaPas, UmnoSiswa dan sayap mahasiswa MUDA tidak berpencak dalam membangkitkan keperluan OKU sebagai wahana utama yang memerlukan solusi yang tuntas. Malah, perlu diwujudkan satu biro OKU dalam menyuarakan permasalahan mereka.
Kepincangan dalam membuat polisi dan dasar tanpa melibatkan masyarakat OKU secara total sangatlah tidak beretika. Mana mungkin suatu polisi dan dasar itu dirangka dan dilaksanakan tanpa melibatkan golongan sasaran tesebut.
Golongan OKU bukan sahaja memerlukan elaun dan pemberian wang saku pada setiap bukan. Mereka memerlukan suatu usaha yang mampu memberikan suatu keterjaminan terhadap kehidupan mereka. Peluang pekerjaan seperti digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan mengenai 1% OKU akan ditempatkan di syarikat dan pelbagai sektor. Stereotaip agamawan yang melabelkan mereka sebagai ‘hati terang’ merupakan satu pelabelan yang bersikap tidak bertanggungjawab. Mereka tidak memerlukan label itu untuk teruskan hidup. Mereka memerlukan suara-suara agamawan untuk mengangkat nasib mereka dan ketegasan agamawan dalam memangkinkan suatu usaha perubahan ke arah yang lebih baik. Hal ini dapat dilihat dalam manifesto PAS Terengganu pada PRU 13 yang seolah mengambil sikap lepas tangan dalam mengangkat suara golongan kecil ini.
Satu inisiatif kerajaan perlu wujudkan dalam merangka polisi dan dasar dalam membantu golongan OKU untuk menyara kehidupan mereka tanpa bergantung harap kepada orang lain. Mereka memerlukan kehidupan yang setara seperti manusia-manusia ‘sempurna’ yang lain. Dilayan sama rata, malah boleh hidup tanpa segan silu dengan tiadanya stereotaip dan dogma tentang kekurangan OKU.
Secara keseluruhannya, Gelap Mata merupakan tulisan daripada hati Abang Rosli dalam mengangkat suara OKU. Mereka seringkali diinjak oleh kaca mata masyarakat yang memandang serong terhadap golongan seperti ini. Apa beza Yunani yang menghapuskan golongan OKU seperti membakar dan membunuh mereka ini dengan masyarakat harini yang memainkan sentimen dan stereotaip yang buruk terhadap OKU?
Naskhah ini berjaya menyebabkan aku termenung dan hiba dalam merenungi nasib golongan OKU. Perit kehidupan dan jerih penat mereka membanting tulang di samping mencari rezeki dan ditunggang oleh golongan dangkal dan haloba di samping perlu meneruskan kehidupan mereka dengan mencari rezeki bagi menyara kehidupan mereka seharian