Suatu ketika dahulu, Nabi Musa pernah mempersoalkan sama ada Tuhan itu tidur ataupun tidak? Beliau mengambil satu bekas kaca. Beliau pegang dan tidak dibiarkan jatuh. Tetapi beliau tertidur dan bekas kaca itu pun terlepas, jatuh dan pecah.
Sekiranya bumi seperti bekas kaca ini, dan Tuhan itu tertidur semasa menguruskannya, maka hancurlah segala-galanya. Betulkah?
Kita selalu menganggap yang Tuhan itu lawannya hantu. Hantu itu juzuk jahat, Tuhan itu juzuk baik. Macam Yin Yang. Perlu ada dua-dua, barulah seimbang. Benarkah?
Solat berkiblatkan Kaabah, maknya kita solat sembah Kaabah? Sekiranya begitu, adakah Tuhan berada di Mekah?
Alhamdulillah, selesai bacaan buku pemula tahun ini.
Akrab Dengan Tuhan.
Buku ini ditulis oleh Ust Mohd Zawawi Yusoh dan Amira Hariyati Ruzaidi, terbitan PTS tahun 2010. Saya suka buku ini. Penerangan jelas walaupun isi ringkas tetapi padat. Banyak sekali analogi yang bersesuaian dikemukakan menjawab persoalan mengenai Allah dan Islam. Masya Allah.
Buku ini mengupas 11 bab seperti Siapa Tuhan?, Kenal Tuhan, kenal kita, Tuhan Yang Satu?, Di Mana Tuhan?, Ada Apa Dengan Manusia, Tuhan dan Manusia, Tuhan itu Adil, Ujian Tuhan adalah Tanda Kasihnya, Yakini Tuhan, Hidayah Suluh Kehidupan dan Mencari Cinta.
Fitrah merasa diri bertuhan itu wujud dalam semua hati manusia.
Sebagai hamba Allah, kita patut bersyukur dan mengimani keesaan-Nya. Oleh sebab itu, setiap daripada kita adalah pendakwah. Ramai orang takut dengan istilah ini. Namun kita boleh menjadi pendakwah dengan mulakan dengan diri sendiri. Menunjukkan akhlak yang baik dan menerangkan keindahan Islam dengan baik.