Buku ini mengadungi lima buah karangan, oleh lima orang tokoh terkenal yang bersyarah tentang golongan intelektual dan peranannya. Mereka ialah: Usman Awang, seorang sasterawan Malaysia ternama yang lebih dikenali apabila membaca sajak-sajaknya yang mudah, indah akan tetapi sangat berisi; Pramoedya Ananta Toer, pejuang dan novelis agung Indonesia yang pernah ditahan selama 10 tahun di Pulau Buru tanpa bicara; Rustam A Sani, ahli akademik serta pengkritik sosial yang pernah diiktiraf sebagai intelek awam penting di Malaysia; Ahmat Adam, juga seorang ahli akademik, yang mengkhusus dalam bidang sejarah; dan Syed Husin Ali, seorang ahli akademik dan ahli politik yang dihormati umum.
Buku ini juga mengadungi beberapa sajak berkaitan oleh Usman Awang dan Otto Rene Castillo, seorang penyair Amerika Latin yang terkorban di tanahairnya dalam perjuangan menentang pemerintahan kukubesi yang didukung oleh limperialisma Amerika Syarikat.
Dato' Usman Awang (12 Julai 1929 - 29 November 2001) adalah seorang Sasterawan Negara Malaysia yang dikurniakan gelaran tersebut pada tahun 1983. Terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrant, beliau adalah seorang penyair dan ahli drama yang prolifik ketika hayatnya. Usman Awang juga dikenali dengan nama Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., Zaini dan mungkin lain-lain. Dalam tahun 1991, beliau telah di anugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Sultan Perak Darul Ridzuan yang membawa gelaran Dato’.
Pada tanggal 29 November 2001, pada bulan Ramadhan, beliau meninggal dunia setelah lama menghidap penyakit jantung. Beliau ketika itu berusia 72 tahun.
Usman lahir di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, pada 12 Julai 1929. Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya ke Usman Awang. Ibunya bernama Halimah, telah meninggal dunia sewaktu beliau kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang mencari& menjual rotan pada waktu musim tengkujuh.Usman melalui alam kemiskinan semasa alam kanak-kanaknya yang menyebabkan beliau hanya mampu belajar setakat darjah enam sahaja.
Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang hanyalah setakat Darjah 6 Sekolah Melayu sahaja. Kemiskinan tidak membenarkannya mengecap kejayaan dengan lebih jauh dalam bidang pendidikan walaupun dia sangat gemar membaca dari kecil lagi. Bersekolah di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus Darjah 6.
Ketika Jepun menjajah Malaya bermula pada tahun 1942, Usman Awang adalah seorang anak tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama 6 bulan di Singapura. Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Taliair Segamat. Kemudian beliau memasuki Botai iaitu pasukan polis Jepun, tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah.
Usman Awang menjadi anggota polis bila Inggeris kembali memerintah semula pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, beliau berhenti dan berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan, kemudian menjadi pemberita. Sesudah itu bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang.
Pada tahun 1952, Usman Awang mendapat tawaran bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu. Pada tahun Malaya mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur. Usman Awang turut serta berhijrah dengan memegang jawatan yang sama. Dalam tahun 1961, beliau terlibat dalam peristiwa pemogokan Utusan Melayu. Akibatnya beliau berhenti dan menganggur seketika.
Pada tahun 1962,Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan pertamanya adalah sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi pengarang untuk majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Jawatan yang disandang beliau ketika itu ialah Pegawai Penyelidik Kanan. Usman kemudian di tukarkan ke Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982 beliau menjadi ketua bahagian ini sehingga bersara pada bulan Julai 1985.
Selepas bersara dari Dewan Bahasa Dan Pustaka, Usman Awang bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat. Antaranya ialah Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina. Sementara itu dalam tahun 1991, beliau di lantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan. Perlantikan ini di sifatkan oleh beliau sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses pembentukan satu bangsa Malaysia. Jawatan ini di pegang hingga tahun 2001. Selain itu beliau dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank mulai 1991 hingga 2001.
Kecewa sikit bila dapati buku 139 mukasurat ini agak berat untuk saya. Buku ini dimulakan dengan :
- pendahuluan oleh Syed Husin Ali, - ucapan SN Usman Awang kpd pelajar Malaysia dan Singapura pada 1970, - petikan ceramah Pramoedya Ananta Toer di Universitas Indonesia Jakarta, - artikel Prof Emeritus Dr Ahmat Adam 1989 - Artikel Rustam A. Sani
Saya masih boleh hadam tulisan SN Usman Awang (magis!) namun artikel seterusnya agak berat. Cuma mata saya terbuka kembali bila Rustam A. Sani menyebut:
"Dengan kata lain, Malaysia sesungguhnya merupakan a nation without nationalism, jauh sekali daripada merupakan sebuah bangsa yg telah dapat merealisasikan suatu ideology pembentukan bangsa yg unggul." ms 125.
Terus saya membaca kembali Pendahuluan oleh Syed Husin dan rasa seperti puzzle berjaya dicantum semula. Keempat-empat artikel berjaya dirumus dan ditambah saranan oleh beliau.
Intelektual tidak semestinya seseorang yang berpendidikan tinggi. Bahkan ia merupakan seseorang yang mempunyai pengetahuan yang sentiasa dikembangkan. Ia pemikir yang mengembangkan idea, menggunakan ilmu untuk mengkaji, menganalisa dan merumuskan segala perkara dalam kehidupan manusia, mengenal kebenaran serta kebebasan, dan berani berjuang menegakkannya. -Usman Awang-
Bacaan yang sangat memuaskan minda. Saya suka artikel Usman Awang dan Pram. Seperi idea-ideanya banyak yang sama. Mereka pemikir yang mendahului zaman.
Sejarah Nusantara oleh Dr Adam juga sangat banyak manfaat.
Sajak yang penuh bermakna di akhir buku.
Saya yang hanya suri rumah, juga terasa ingin berperanan untuk ummah!
Buku ini mengumpulkan lima tulisan (juga ucapan yang ditranskrip) para intelektual tanah air (termasuklah seorang intelektual dari negara jiran, Pramoedya Ananta Toer) berkenaan hal-hal yang berlegar dalam cakupan “intelektual”.
Terlebih dahulu, sebelum memahami peranan kelompok -intelektual- ini, sayugia menjadi satu kewajiban untuk mentakrif dahulu siapa itu intelektual. Kelima-lima intelektual ini memberi pengertian yang cukup baik, sebelum melanjutkan perbincangan mereka berkenaan hal-hal lain yang bersangkut dengannya.
Kelima-lima intelektual ini merupakan jambatan kepada peralihan zaman, yakni pengamatan mereka lahir daripada dua pertembungan ledakan waktu: terdahulu dan kemudian. Buku ini juga seharusnya diulang–baca dan dijadikan bahan diskusi generasi terpelajar (terutamanya kelompok mahasiswa) agar mereka tidak mabuk dalam khayalan akademik semata-mata, sebaliknya memahami akan apakah peranan sebenar mereka dalam kancah masyarakat. Selayaknya tulisan dan ucapan mereka ini perlu dicermati oleh generasi kini yang kelihatan semakin keliru dengan siapa yang seharusnya digelar intelektual.
---
Ulasan buku kali ini akan dilakukan sedikit berbeza, yakni bukan sekadar merumuskan isi buku secara umum, namun menghuraikan setiap tulisan dengan lebih terperinci. Walau bagaimanapun, tulisan almarhum Syed Hussein Ali pada permulaan buku tidak akan dihuraikan kerana tulisan beliau merumuskan keempat-empat tulisan intelektual yang lain.
(1) Usman Awang
Tulisan Usman Awang ini merupakan ceramahnya pada tahun 1970, di Malaysia Hall, London. Beliau memberikan takrifan intelektual dengan cukup jelas, namun yang paling utama -pada pandangan saya- ialah keberanian dalam memperjuangkan kebenaran.
Satu sikap lagi yang penting menurut beliau ialah sikap hidupnya (intelektual) – lahir daripada pendiriannya. Bilakah sikap hidup ini terpancar? Tatkala dirinya berhadapan dengan pelbagai pertentangan, di situlah ia diuji, di manakah dia meletakkan dirinya? Maka, daripada hal inilah, intelektual itu mestilah mereka yang mengenal masyarakat; bersendi dan berintegrasi bersama mereka agar keputusannya tidak “berjiwa borjuis”.
Perkara lain yang saya menarik dan berkesan ialah sanggahan beliau terhadap isi buku Revolusi Mental. Adalah jahil, untuk menjadikan beberapa kes terpencil sebagai contoh umum, kemudian dijadikan ia pula seolah-olah perkara yang harus dicontohi.
Misalnya, apabila kita melihat seorang individu berjaya hasil ketekunan dan usaha, kita begitu mudah mencapai kesimpulan bahawa memadai dengan usaha dan ketekunan, semua orang boleh berjaya. Tidak, ia tidak semudah itu! Masih banyak perkara-perkara lain yang harus ditinjau seperti pendidikan, latar belakang, sistem masyarakat dan seumpamanya. Mudahnya: persekitaran.
Perkataan Usman Awang ini mengingatkan saya pada satu kalimat hikmah, “If wealth was the inevitable result of hard work and enterprise, every woman in Africa would be a millionaire” oleh George Monbiot.
“...Bagaimana halnya dengan sejuta atau sepuluh atau seratus juta yang lain?” (h. 43), persoalan ini diungkapkan oleh Usman Awang. Perkara yang lebih kurang sama juga disebutkan dalam satu bab daripada buku, The Art of Thinking Clearly, bahawa kita perlu melihat kepada realiti yang sebenar. Misalnya, apabila ada yang mengatakan bahawa menulis buku itu mudah dan boleh dicapai. Tanyakan semula, dalam 1000 orang yang telah mulai menulis, berapa ramaikah yang bukunya laris di pasaran, atau sekurang-kurangnya pernah diterbitkan? Maka, yang perlu menjadi kayu ukur di sini, bukanlah kejayaan perseorangan, tapi masyarakat!
---
(2) Pramoedya Ananta Toer
Pak Pram menghabiskan sebahagian daripada kehidupannya di penjara, malahan magnum opus beliau, Tetralogi Bumi Manusia juga dihasilkan di balik jeriji besi sana. Beliau merupakan seorang pemikir yang berjuang melalui mesin ketik.
Penulisan (teks ceramah) beliau dimulakan dengan memerihalkan kesan penjajahan ke atas Dunia Ketiga, dan yang paling membekas ialah: “mentaliti bangsa jajahan” – satu negara yang dijajah selama berabad lamanya barangkali merdeka secara fizikal, namun sifatnya masih terbelenggu dengan perasaan rendah diri. Hal yang sama juga disebut oleh Ibnu Khaldun dalam karyanya, Mukaddimah, yakni bangsa yang kalah (dijajah) akan sentiasa merasakan budaya mereka yang menang (penjajah) lebih unggul.
Pak Pram kemudiannya mentakrifkan intelektual sebagai kaum yang menempatkan nalar (pertimbangan akal) sebagai kemampuan pertama yang diutamakan untuk memahami kebenaran dengan penalarannya. Senada dengan Usman Awang, beliau juga menekankan peri pentingnya keberanian intelektual, bahkan ia sejalan dengan kelahiran bangsa Indonesia – keberanian revolusioner. Kaum intelektual dianggap sebagai Brahmin moden oleh beliau (dalam kasta Hinduisme, ada empat lapisan – dimulakan dengan yang paling tinggi: (1) Brahmin, (2) Ksyatria, (3) Vaisha dan (4) Shudra).
Beliau turut menyeru agar dibangunkan kesepakatan Dunia Ketiga; sebuah gagasan untuk berhadapan dengan Dunia Barat. Yang dimaksudkan oleh beliau, bukan sekadar pengistilahan atau penyatuan secara fizikal semata-mata seperti yang dilaungkan dalam frasa Global South/Asia-Africa-America Latin, tetapi sebuah peradaban dan kesatuan bahasa, dan ini yang lebih utama!
---
(3) Prof Emiritus Ahmat Adam
Beliau menilai intelektual daripada kaca mata sejarah: peradaban yang pernah bangun-runtuh di Nusantara, kesemuanya saling menyumbang kepada kegiatan intelektual – sedari zaman Hindu-Buddha sehingga munculnya kesedaran nasionalisme.
Membaca tulisan Prof, seolah-olah saya melihat perkembangan perabadan-intelektual, yang kebanyakannya dipacu oleh agama (pada fasa awal) dan kemudiannya beralih kepada kesedaran bernegara. Secara halus juga, tulisan Prof menyedarkan saya bahawa pengetahuan sejarah saya sangat cetek dan tempang.
Dirumuskan tulisan beliau: zaman Kediri pada Kerajaan Airlangga (abad ke-11); kegiatan intelektual berkembang, ditandai dengan kesusasteraan, misalnya dengan penghasilan Bharatayuddha, kemudian berterusan hingga ke kerajaan Majapahit (abad ke-13) dan Sriwijaya (akhir abad ke-13). Zaman kegemilangan Hindu-Buddha ini kemudiannya lebur bersama-sama kejatuhan kerajaan Sriwijaya, digantikan dengan penyebaran Islam ke gugusan pulau-pulau Melayu.
Suntikan unsur-unsur rasionalisme (usah disamakan pengertian rasionalisme Barat dengan rasionalisme secara umum) dan intelektualisme dalam Islam pula memperkayakan lagi tinggalan khazanah daripada pengaruh sebelumnya. Antara peranan Islam terhadap kegiatan inetelektual ketika itu ialah menjadikan Bahasa Melayu, bukan hanya sebagai bahasa kesusasteraan, bahkan berkemampuan menggendong pemikiran filsafat.
Penyebaran Islam berkembang di Kepulauan Sumatera (Pasai dan Aceh), merentasi Semenanjung (Melaka) hingga ke Kalimantan (Brunei). Pusat pengajian Islam juga mengalami perubahan, yakni dari Pasai (terulung di alam Melayu pada abad ke-14 hingga abad ke-15) ke Aceh. Kala di Acehlah, lahirnya seorang pujangga Nusantara (kebanyakan tulisan menggelarnya sebagai penyair, namun saya berpendapat sebaliknya, melihatkan kepada luasnya pengaruh tasawuf Wujudiyah yang diasaskan oleh beliau, berkembang sehingga merentasi kepulauan Jawa), Syeikh Hamzah Fansuri. Nama-nama intelektual/pemikir lain sekitar abad ini ialah Syeikh Syamsuddin al-Sumtrani (anak murid beliau), Syeikh Nuruddin ar-Raniri (karya masyhur beliau ialah Bustanus Salatin, Taman-Taman Raja) dan Raja Ali Haji di Riau (Tuhfat al-Nafis).
Kemudiannya, kegiatan intelektual ini gersang selama beberapa tahun. Puncanya? Islam terpasung dalam tangan (jangan difahami tangan secara harfiah seperti sebahagian kelompok ya) raja-raja. Ia terbatas hanya dalam hukum-hakam dan senada dengan selera raja-raja. Hinggalah kemudiannya sekelompok golongan intelegensia mendapat Pendidikan Barat dan terdidik dengan politik, ekonomi, pentadbiran dan sosial kolonial – Islam itu berubah sifatnya.
---
(4) Rustam A. Sani
Beliau merupakan seorang sarjana, pemikir dan anak kepada Ahmad Boestamam (pendiri Parti Kebangsaan Melayu Malaya–PKMM). Saya berpendapat bahawa tulisan Rustam sebagai pelengkap kepada tulisan-tulisan lain dalam buku ini. [Buat kalian yang pernah membaca perihal perjuangan kiri pada bibit-bibit awal kemerdekaan, tulisan beliau ini merumuskannya kembali dengan lebih teratur.]
Sudah sarat perbincangan-perbincangan sebelumnya dengan takrifan, peranan dan fungsi intelektual, namun semuanya ini akan menjadi sia-sia andai tidak dituntaskan. Maka, dalam hal ini, tulisan Rustam menghubungkan intelektual dan pembinaan negara-bangsa (nation-building). Saya sendiri -secara peribadi- melihat bahawa ia adalah puncak keintelektualan dalam negara kita; membentuk/mengharmonikan gagasan negara-bangsa (dalam konteks Malaysia terutamanya) yang gagal dituntaskan, walau sudah hampir 70 tahun negara kita mengecapi kemerdekaan.
Tulisan Rustam Sani juga menyorot sedikit sejarah tradisi intelektual Melayu (ditakrifkan sebagai tradisi pemikiran yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai perantara) seperti penulisan Ahmat Adam. Menurut beliau, penyerapan tradisi yang sedia ada diambil daripada Hindu, Islam dan Barat. Tanpa menafikan bahawa Islam ialah sumber yang penting dalam tradisi ini, dampak besarnya masihlah hanya terbatas pada aspek hukum dan ritual, berbanding pemikiran dan falsafah. Walaupun Rustam menerima -hujah- kajian Prof Syed Naquib al-Attas terhadap karya Ar-Raniri dan Hamzah Fansuri, namun menurutnya, ia hanyalah satu permulaan Islam ke dalam korpus Melayu dan hanya bersifat eksperimental.
Sepintas lalu, beliau turut menyentuh zaman kolonial, namun yang menjadi tumpuan dalam tulisannya ialah berkenaan pembentukan negara-bangsa dan nasionalisme Melayu.
Perlu jelas bahawa gerakan nasionalisme atau menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu dipelopori oleh golongan tani-desa. Maka, terdapat dua blok yang wujud pada zaman tersebut: (1) pimpinan nasionalis dan (2) atasan-elit Melayu. Walaupun tempikan kemerdekaan dilaungkan oleh kelompok yang pertama, status quo orang Melayu ketika itu – pemerintahan, pemikiran dan pendidik masih tercengkam dengan tradisi, walhasil idea mereka sukar diterima oleh orang kebanyakan.
Formula kompromi politik (formula “Perikatan”) – milik elit Melayu pula gagal dalam membentuk negara-bangsa yang jelas apabila dasar ekonomi yang dirangka sekadar memenuhi kepentingan kapitalis metropolis. Yang lebih utama ialah formula ini lebih memberi tumpuan kepada hal-hal pentadbiran dan percaturan politik, sehingga membungkam idealisme politik dan cita-cita nasionalisme.
Kekacauan ini akhirnya diwarisi oleh kita selepas kemerdekaan. Ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan Tanah Melayu ketika itu ialah “nation without nationalism”.
Di hujung penulisan Rustam, beliau menyeru agar jalur-jalur pemikiran yang pernah wujud dalam nasionalisme Melayu kembali ditafsir semula secara intelektual demi membentuk semula bangsa Malaysia yang lebih sempurna. Seruan ini tentulah, buat para intelektual!
Ceramah Usman Awang untuk pelajar pada tahun 1970 masih lagi relevan untuk diulang baca pada tahun 2017.
Defini intelektual ialah tanpa batas dan ukuran,apakah mereka berasal dari sekolah, pondok ataupun universiti.
Peranan intelektual ialah mengenal masyrakat dan sistemnya dengan sedalam-dalamnya, melihat dengan sikap kritis segala sebab dan akibat.
Intektual harus mengintegrasikan diri dengan kehidupan rakyat itu sendiri,mengenal harapan dan cita-citanya, menyerapkan duka laranya, bernafas dan bercakap dengan nafas dan bahasa rakyat!
p/s: habis baca di Malam merdeka yang ke - 60.
Selamat Hari Merdeka!Semoga kita semua merdeka dalam erti kata yang sebenar.
Peranan Intelektual merupakan himpunan tulisan kritikan ke atas perkara yang bersangkut paut dengan hal-hal intelektualism oleh 4 orang penulis iaitu Usman Awang, Pram, Ahmat Adam dan Rustam Sani. Sementara Syed Husin Ali memberikan ulasan dan kesimpulan terhadap penulisan keempat-empat orang penulis tersebut.
Usman Awang mengkritik peranan intelektual agar lebih membumi serta dekat dengan masyarakat. Pram pula fokus kepada peranan intelektual dalam Dunia Ketiga. Ahmat Adam menulusuri peranan intelektual dalam sejarah Nusantara manakala Rustam Sani mengkritik pembinaan negara bangsa Malaysia yang menurutnya sangat dangkal pemikiran intelektual dan visi politiknya.
Selain Syed Husin Ali yang menulis tentang mukadimah buku ini, keempat-empat penulis menulis tentang intelektual. Usman Awang dalam tulisannya mengharapkan para intelektual memainkan peranannya dalam keadaan negara baru merdeka, Ahmat Adam memerihalkan bagaimana golongan intelektual muncul di alam Melayu dan Rustam A.Sani memberi rumusan bagaimana tiadanya peranan intelektual menjadikan misi membentuk satu nation dalam negara Malaysia masih gagal, katanya pemerintah hanya mentadbir bukan membentuk masyarakatnya. Cuma Pramoedya Ananta Toer yang saya gagal faham apa yang dibualkannya. Menarik bahawa selepas acara Pram berbual di depan mahasiswa universiti dia disoal pemerintah.
Hampir setiap tahun makalah ini diulang-ulang supaya mengingatkan kembali apa peranan intelektual kepada masyarakat. Berusaha menjadi intelektual, menjadi intelektual dan berperanan sebagai intelektual. Sesuai untuk mahasiswa/i dan intelektual. Sesekali terasa tergelincir dari landasan, buku ini sentiasa menyegarkan kembali peranan intelektual.
Agak lama untuk saya menghadamkan buku ini.Buku ini sangat merunsingkan fikiran dan mengusarkan jiwasaya jika mengaitkan dengan realiti hari ini.Namun ini bacaan ilmiah yang wajar kita tekuni.Ideanya masih boleh diguna pakai.
Apa yang saya terkesan adalah ucapan Usman Awang pada tahun 1970 di London yang boleh dikaitkan dengan masalah masalah yang wujud di Malaysia terutamanya isu rasisme dan yang masih terkongkong dalam kaum,negeri dan etnik masing masing.
Buku ni genre berat.Tapi kalau kau nak jadi orang yang berilmu,kau mesti mula baca buku yang genre macam ni.Aku tak kata baca buku ringan tu tak boleh.Tak,aku sampai sekarang baca lagi novel-novel romantiko de amor tu,tapi dalam sebulan tu pastikan minimum sebuah genre berat yang kau baca.Ada 5 penulis yang bagi pendapat dalam buku ni iaitu Usman Awang/Tongkat Warrant,Pramoedya Ananta Toer,Ahmat Adam,Rustam A.Sani dan Syed Husin Ali.Aku rekomen buku ni untuk dibaca sebab kau akan berfikir di luar kotak sikit.Banyak sebenarnya,bukan sikit..Hehehe..Ulasan aku update kat blog je.Kat sini mcm x kena.Ulasan aku panjang ✌️
Intelektual itu tidak memerlukan syarat berijazah di Universiti. Tidak memerlukan kepada pelbagai gelaran dihadapan nama baik Doktor, Professor, Professor Madya, hatta Emeritus sekalipun.
Kerana akhirnya ilmu itu untuk siapa? Untuk masyarakat. Ini sebenarnya sikap intelektual. Menggunakan akal dan nalar yang tinggi, menghabiskan masa sepanjang hidupnya menuntut ilmu, buat siapa?
Buat masyarakat. Penambahbaikan (Islāh) dan perubahan (tajdid) masyarakat.
Peribadinya, saya cadangkan agar disilang rujuk dengan buku
Edward W. Said - Representations of the Intellectual Thomas Sowell - Intellectual and Society Julien Benda - The Treason of the Intellectuals Richard Hodstadter - Anti-Intellectualism in American Life Steve Fuller - The Intellectual Azhar Ibrahim - Bahasa dan tantangan intelektualisme