Novel pertama yang ditulis oleh Tuan Haji Mohd. Affandi Hassan—pertama kali diterbitkan pada tahun 1993 oleh Tiga Puteri. Novel ini begitu langka sekali untuk didapatkan kerana tidak lagi diterbitkan. Sekalipun ada sebagai novel terpakai, ia dijual pada harga yang begitu tinggi. Maka, usaha Akademi Jawi Malaysia (AJM) menerbitkan semula novel ini dengan reka bentuk baharu (kecil dan mudah dibawa ke mana-mana) dan lebih mempesona, bertambah pula harganya berpatutan, sangatlah wajar dipuji. Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada AJM atas penerbitan semula Aligupit!
Berkenaan novel: Aligupit, andai dibaca secara terbalik ialah Tipugila (menurut tuan penulis pada bahagian awal novel). Dan saya setuju pada bagaimana judul ini ditetapkan sedemikian rupa. Tipu dan gila; kedua-dua sifat ini mengalir dan meresap pada karya ini. Bermula daripada pembinaan plot, watak-wataknya dan wacana yang terkandung di dalamnya. Tipu dan gila; dua sifat yang menunjangi ranah politik. Segala kebejatan dan salah laku yang diamalkan dalam politik, tiada boleh tidak—perlu kepada tipu; menipu rakyat dengan janji-janji, menipu dalam kerja dan perlu juga kepada gila; gila kuasa, gila harta, gila takhta, gila benda dan segala macam gila. Maka, tipu dan gila yang menjadi pengamalan politik dilakarkan semula dengan cukup baik oleh tuan penulis.
Membaca novel ini kadang-kadang membuatkan kalian akan tertawa sinis kerana peristiwa-peristiwa yang dimuatkan benar-benar berlaku. Bahkan, ada yang telah kalian tahu secara nyata! Hanya sahaja ia tidak dibicarakan di ruang umum kerana akan mencelakakan mereka yang berada dalam dunia politik. Maka, keberanian tuan penulis menulis semula (baca: melondehkan) salah laku dalam dunia politik, kemudian mengadunnya pula dalam bentuk cerita agar mampu dibaca oleh semua, amatlah perlu dipuji. Demikian kerana, pertama, beliau bukan sekadar merakam semula salah laku ini, namun mengkritik ia dengan terbuka dan sinus. Kedua, beliau berjaya mengapungkan salah laku ini sehingga terpancar sifatnya yang jelik dan hina, tatkala orang ramai beranggapan ia adalah salah satu perkara yang telah menjadi budaya. Misalnya, berkenaan ‘budaya padang golf’: “Di padang golf banyak keputusan penting negara dibuat. Di padang golf juga rakyat harus mendengar amanat penting untuk kemajuan mereka. Padang golf ... Tempat bermain dan menentukan untung nasib negara dan rakyat.” (h. 126-7) Begitu sinis Aligupit menyindir budaya ini—memadai ‘budaya padang golf’ ini menjadi bukti bahawa masih wujud tembok pemisah yang begitu tebal antara pemimpin dan rakyat. Yang marhaen, rata-ratanya tidak pernah pun menjejakkan kaki ke padang golf. Ironinya, di padang golf-lah, kehidupan rakyat dibentuk oleh para pemimpin.
Menariknya lagi, setiap watak dalam novel ini tiada nama, hanya gelaran sahaja. Seolah-olah menggambarkan kepada kita bahawa, setiap individu yang berada dalam dunia ‘gilatipu’ atau ‘tipugila’ ini sama sahaja sikapnya, sehingga tiada keperluan untuk menisbahkan mereka pada nama. Watak sama, perilaku sama. Maka, apa keperluan nama? Bukankah bunga berwarna merah dengan tangkainya yang berduri, meski wujudnya hingga beratus-ratus dalam sebuah taman, masih juga akan digelar sebagai ‘bunga ros’, tanpa nama yang khusus untuk setiap bunga? Melainkan ada yang gila… menamakan setiap bunga: bunga ros satu, bunga ros dua, bunga ros tumbuh mekar, bunga ros layu dan semisal dengannya.
Dalam watak-watak ini juga, akan sentiasa wujud ‘orang luar’ yang mempersoalkan tindakan setiap watak; tiada yang terkecuali. Sama ada dirinya seorang wartawan, Y.B. atau pakar psikologi, mereka akan dihambat dengan ‘orang luar’ ini yang muncul dan menghilang secara tiba-tiba. Di akhir cerita, pembaca barangkali akan bingung, adakah budak kecil itu ‘orang luar’ atau ‘suara’ yang sering mengganggu mereka? Namun, andai novel ini dibaca dengan konsep wacana dan cerita seperti yang digagaskan oleh Persuratan Baru (seterusnya PB), persoalan ini tidak akan timbul sebenarnya. Dalam PB, ‘cerita’ dibezakan dengan ‘wacana’; wacana lebih tinggi kedudukannya berbanding cerita. Wacana ialah pasak utama yang terkandung di dalamnya pemikiran atau konsep ilmu yang benar, manakala cerita hanya wadah untuk mengalirkan wacana. Perkara ini berbeza daripada karya-karya sastera lain yang menampilkan cerita semata-mata, malahan hampas dan nihil pula intinya. Merujuk kembali kepada persoalan yang diajukan tadi dan penerapan pembacaan berasaskan PB, pembaca tidak akan bingung dan mencari-cari identiti ‘suara’ tersebut kerana ia hanya berperanan sebagai cerita, sebaliknya tumpuan akan diberikan kepada persoalan-kritikan yang dilontarkan oleh ‘suara’ tersebut kerana wacana-nya terkandung di situ.
Banyak lagi yang boleh diulas berkenaan Aligupit, namun saya merasakan bahawa sebaiknya kalian sendiri sahaja yang menjamahnya.
Tambahan: menurut saya, novel-novel Tuan Haji Mohd. Affandi Hassan perlu dibaca kesemuanya. Barulah kemudian akan tergambar dengan begitu nyata, ‘khutbah-khutbah’ beliau secara terangkum berkenaan nilai-nilai seperti keadilan, kebenaran dan kejujuran. Puncak ‘khutbah’ beliau, bergema dengan begitu lantang pada Pujangga Melayu. Karya-karya beliau wajar diamati oleh generasi kini, terutamanya ketika segala kemungkaran, dalam apa jua bidang sekalipun: pentadbiran, politik, kewartawanan dan keagamaan, telah diterima sebagai budaya dan tiada pula yang berani menyanggahnya. Dan, Aligupit merupakan titik mulanya. Dipersilakan nikmati dan hadam segala pemikiran yang terkandung dalam karya-karya Tuan Haji Mohd. Affandi Hassan. Sungguh, kalian tidak akan menyesal.
Aneh rasanya dengan novel Aligupit. Ia mudah dibaca, namun bisa Tuan Mohd. Affandi Hassan terus menyengat fikiran saya.
Hal-hal kuasa yang dinaungi mereka terus memberi izin rakyat menjadi bodoh supaya mereka kekal merakus. Bagi saya perkara yang amat menakutkan dalam Aligupit, apabila mereka menolak kesedaran diri dan cuba pula menutup mata kesedaran rakyat. Jika tidak dapat, jalan paling akhir ialah dengan mematikannya.
Menyentuh permainan politik wang, kemajuan materi dan pembangunan jiwa kapitalis itu sudah biasa bagi saya. Cuma uniknya dengan Aligupit ia tidak tinggal untuk membantai penglibatan media massa! Ya, pengarang lenyek lumat idea inventing reality media yang sering berpura-pura bebas. Kita jangan lupa media tidak pernah langsung didakwa atau dikecam padahal ia lagi teruk lompat parti dari ahli politik!
Selain itu, saya kagum pada pengarang tanpa belas mengkritik segala yang rapat dengan gila kuasa. Ini yang sewajarnya bagi saya. Jadi tidak kira siapa atau sudut mana pun, perlakuan cabul yang dilakukan mereka wajib dilondehkan. Air liur orang yang menipu, bikin derita. Hasil kerja si tamak harta pula, mengambil hak insan lain.
Saya kira tidak akan ada novel satira yang menjemukan dan Aligupit salah satu darinya. Inilah karya satira yang kekal bernyawa untuk kita cekap menilai, berani mempersoal dan melawan.
It begins the way politicians always do: with pointless meetings and long-winded talk. At first the repetition felt boring, then it clicked…that’s how satire works, like a chorus that drills the tune into your head.
Affandi strips bare the unqualified and pretentious elites, haunted by voices of conscience they can never silence. Some hints are so sharp you know exactly who he’s pointing at.
What looks like monotony is really a mirror. This book forces you to sit with the fraudulence of power until it becomes unbearable.
Novel pertama karangan Mohd. Affandi Hassan. Gaya penulisan novel ini mempunyai persamaan dengan karya-karya cerita pendek oleh pengarang sebelum ini. Jelas, novel ini berbentuk satira, memberi kritikan sosial terutamanya kepada politik tanah air.