Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Ayah Chik) mendapat pendidikan awal di Rusila, Marang sebelum menjejakkan kaki ke Sekolah Agama Marang. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Beliau menerima pendidikan agama, bahasa Arab, dan politik daripada ayahandanya sendiri, iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhammad yang bertugas sebagai guru agama dan imam di Masjid Rusila.
Selepas itu, Ayah Chik melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah, Arab Saudi pada tahun 1969–1973 dan berjaya memperoleh Ijazah BA Syariah. Seterusnya, beliau berhasil menggenggam Ijazah MA di Universiti al-Azhar, Mesir dalam pengkhususan Siyasah Syar‘iyyah selepas berjaya menamatkannya dalam tempoh dua tahun, iaitu dari tahun 1974–1975.
Di samping itu, Ayah Chik juga telah memperoleh Ijazah Sanad daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani pada tahun 1983. Beliau istiqamah mengajar di Masjid Rusila, Marang dan telah mengkhatamkan pengajian Tafsir al-Quran sebanyak dua kali dalam tempoh 40 tahun, bermula dari tahun 1976 sehingga kini.
Berbekalkan laptop peribadi, beliau aktif menulis buku, artikel, khutbah termasuk laman web dan blog. Antara karya beliau adalah Inilah Akidah Islam, Beriman kepada Allah, Beriman kepada Rasul, Beriman kepada Malaikat dan Kitab, Beriman kepada Hari Kiamat, Beriman kepada Qada dan Qadar, Islam dan Demokrasi, Ramadan: Tetamu yang Dirindui, Islam: Adil untuk Semua, Bagaimana Islam Memerintah Negara, dan banyak lagi.
Beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (SSMT) yang membawa gelaran Dato' Seri oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-39.
Bermula talaqi dengan penulis di masjid rusila pada 31 mei 2024 bersamaan 22 zulkaedah 1445 hijrah
Khalifah Umar melantik Ubaid bin Masud (Panglima) yang bukan dari kalangan sahabat kerana beliau yang pertama tampil menyahut seruan jihad ke Parsi.
Besarnya bendera perang Parsi dijahit oleh kulit harimau, panjang 12 hasta dan lebarnya 8 hasta.
Panglima Islam Al-Muthanna meminta tentera Islam tidak berpuasa (Ramadhan 13 Hijrah) supaya lebih kuat untuk berperang (diizinkan syara') melawan Parsi.
Al-Muthana mengakui kesilapan strategi memotong tali jambatan menyebabkan tentera musuh lebih garang berperang demi menyelamatkan nyawa.