Mencari Suci berkisah tentang seorang hamba kepada Tuhannya dalam mencari kebenaran. Tuhan tidak menjadikan manusia hanya sekadar untuk memenuhi buana ini tanpa apa-apa sebab. Ada hamba Tuhan yang patuh akan pesanan-pesanan yang disampaikan melalui wahyu dan para Utusan, dan ada juga hamba Tuhan yang tersasar lorong jalan kehidupannya yang kemudiannya mencari jalan pulang apabila dilanda musibah.
Itulah yang terjadi kepada Fazrul, seorang pemuzik muda yang terlalai dalam dunia punk. Setelah sedar daripada koma akibat kemalangan, dia mulai menyedari akan hakikat yang kehidupannya sudahjauh terpesong. Bermula dari situlah Fazrul mula mencari jalan kebenaran. Namun, dia telah tersilap memilih arah panduan dalam pencariannya. Dia terjebak dalam lingkaran fahaman Syiah dan berhasrat untuk membuang akidah Ahli Sunah Wal Jamaah.
Antara kecintaan kepada Ahlul Bait dan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang mana akhirnya jalan kebenaran yang ditemukan oleh Fazrul? Mencari Suci akan memberikan jawapannya.
"Mencari kembali makna dalam hidup, berhijrah, berjalan dalam gelap untuk mencari terang".
Sebuah cerita tentang penghijrahan diri. Sebuah kisah tentang mencari Jalan kebenaran. Cerita dimulakan dengan kisah kehidupan seorang pemuda yang jauh terpesong dari agama dan mempersoalkan kewujudan Tuhan. Selepas terlibat dalam kemalangan yang membunuh 3 rakannya, telah membawa dia kepada titik keinsafan yang merubah arus hidupnya yang kemudiannya membuatkan dia mula mendekati dan mendalami agama. Tetapi, dalam pencarian mendalami agama, dia menghadapi cabaran dalam memilih fahaman atau aliran agama dan ini membawanya hampir-hampir untuk menganuti fahaman Syiah.
Novel ini menarik untuk dibaca kerana ia membawa perbincangan dan pendebatan antara Ahli Sunnah Waljamaah dan Syiah. Novel ini secara keselurahannya mampu mendedahkan kita serba sidikit tentang Syiah dan kenapa aliran itu tidak boleh diterima. Pokok pangkal novel ini adalah untuk menjelaskan kepada kita, dalam pencarian agama, kita perlu guru yang betul agar tidak tersesat kemudian hari.
Kisah Fazrul yang dulunya dibuai dengan hidup mengikut prinsip kepala sendiri dan penuh kejahilan, mencari kebenaran dalam beragama selepas terselamat dalam kemalangan yang meragut nyawa semua rakannya dalam kemalangan ngeri. Bagaikan diberi peluang kedua untuk hidup, Fazrul yang mula disapa cahaya taubat, mengikut ibu dan ayahnya pulang ke kampung. Namun, di sinilah dia tersilap langkah dan terjebak dalam lingkaran fahaman Syiah yang dibawa Naim, sahabat lamanya sendiri.
Hampir keseluruhan buku lebih memfokuskan perdebatan antara aliran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan fahaman Syiah. Babak perbahasan antara Ustaz Azam dengan Naim dalam buku ni membawa kita faham secara lebih ringkas, kenapa Syiah itu sesat dan mesti dibanteras sehabis mungkin. Lebih-lebih lagi tentang Imam 12, hadis Ghadir Khum dan Hadis Haud yang telah dipesongkan dalam fahaman Syiah untuk membengkokkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Buku ini membawa mesej yang jelas bahawa ajaran-ajaran sesat seperti ini pasti akan terus cuba mencucuk akidah masyarakat dan memesongkan mereka dari jalan yang benar sekiranya kita sendiri kurang penghayatan dalam agama, memilih guru yang salah dan suka bertaklid buta. Di samping hal-hal ini, saya juga cukup percaya, peranan ibu bapa dalam membentuk peribadi anak antara faktor penting dalam mengelakkan mereka mudah terperdaya dengan fahaman-fahaman yang meragukan.
Jalan ceritanya disusun dengan baik walaupun isu yang dibawa itu sedikit berat kerana melibatkan aliran akidah. Saya cukup suka bagaimana penulis menceritakan kembali hujah-hujah mematahkan fahaman Syiah dengan jelas dan ringkas tapi masih cukup teliti, menunjukkan penulis benar-benar mengkaji permasalahan ini. Bagi sesetengah orang, mungkin gaya penulisannya akan kelihatan membosankan, tapi bagi saya sendiri, ia sudah cukup memuaskan :)
Akhir kata, ingatlah, dalam mencari kebenaran, dapatkanlah daripada guru/sumber yang benar, jangan hanya mudah terpukau dengan kata-kata seseorang yang penuh dengan gaya serta retorika yang memuaskan nafsu sendiri sahaja.
Buku Mencari Suci karya saudara Pitri ini bagi aku menarik bagi penggemar scene underground dan dalam pada masa yang sama disulamkan dengan spiritual yang lebih bagi mengenali, mempelajari dan mengkaji masalah ataupun konflik yang terjadi di dalam islam.
First impression aku bila tahu buku ni wujud aku ingat sama macam karya Marco Ferrarese Nazi Goreng but this book actually tak sama langsung seperti yang digembar-gemburkan oleh sekalian manusia.
Ya memang pada mulanya plot cerita lebih kepada satu scene ataupun budaya underground yang hidup berdasarkan ideologi dan hidup berdasarkan logik hakiki akan tetapi Mencari Suci ialah satu karya yang lebih membentangkan hujah-hujah yang sering digunakan oleh golongan Mazhab Ahlul Bait iaitu Syiah dalam meracuni fikiran masyarakat melayu yang secara ratanya menganuti Ahli Sunnah Waljamaah untuk mengikuti ajaran mereka. Fakta ataupun hujah yang dikemukakan oleh saudara Pitri amat meyakinkan dan sekaligus membantah hujah-hujah ataupun soalan-soalan yang sering diperdebatkan oleh kedua-dua Mazhab.
Buku ini tak berat dan hujah-hujah yang dipersoalkan senang untuk dihadam.
Bagi aku, orang yang akan baca buku ni (yang tahu pasal boots Dr. Martens) ialah budak-budak scene underground macam Oi, Punk dan lain-lain. Kalau dorang baca sebab tertarik dengan grafik kulit buku la..
Persepsi dari tajuk dan gambar pada kulit buku memang boleh agak, kisah 'hijrah' daripada perkataan 'suci' tu, sebab boots tu sendiri menggambarkan scene yang dianggap negatif oleh orang kebanyakan.
Gaya/laras bahasa yang penulis gunakan boleh kata agak formal dan kadang-kadang ada tempat ada bau kepuitisan dalam berbahasa.
Sedangkan kisahnya ialah pasal budak punk, yang aku gambarkan macam geng dalam filem SLC Punk. Aku pelik juga, cerita pasal budak punk, tapi bahasa sebegitu formal. Dialog juga boleh dikatakan terikut dengan cara penceritaan penulis.
Tapi, bila aku teruskan baca, rupanya pasca-klimaks kisah ni sangat memerlukan formalitas dalam berbahasa. Sebab ada hujah dan penjelasan tentang sirah dan seumpamanya.