Salah satu magnum opus karya Hamka yang wajib dibaca oleh semua pencinta sejarah Islam. Buku ni mengambil masa selama 22 tahun (1939-1961) untuk disiapkan dan karya asalnya mempunyai 4 jilid. Tapi untuk versi keluaran PTS Publishing ni, kesemua jilid tu digabung menjadi satu buku dengan lebih daripada 1000 muka surat. Buku ni mengandungi 7 bahagian dan dibahagikan kepada beberapa tajuk kecil. Jadi, pembacaan tidak akan terlalu meleret. Dari segi bahasa, mungkin akan ada sedikit kesukaran sebab buku ni merupakan teks asal (bahasa Indonesia) dengan sedikit penambahbaikan. Tapi konteks yang nak disampaikan tu masih boleh diterima dan difahami dengan baik. Walaupun buku ni adalah edisi kemaskini, masih terdapat banyak kesalahan ejaan yang ketara.
[Bahagian 1: Keadaan Tanah Arab]
Dalam bahagian ni, Hamka memperkenalkan kita tentang keadaan geografi di Tanah Arab serta bagaimana Tanah Arab itu dibahagikan berdasarkan politik. Hamka juga memperkenalkan kepada kita tentang bangsa yang ada di Tanah Arab yang berketurunan Saam (Semites). Seterusnya, diceritakan salasilah bangsa-bangsa Arab dan raja-raja zaman silam sebelum kedatangan Islam. Bahagian salasilah ni agak kompleks sebab banyak nama-nama yang berulang. Ditambah pula dengan tahun yang tak disertakan.
[Bahagian 2: Kedatangan Muhammad]
Bahagian 2 menceritakan keadaan di tanah Arab sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW dan apakah agama dan kepercayaan yang dianuti oleh kebanyakan orang Arab pada ketika itu. Diceritakan juga secara ringkas riwayat hidup Nabi Muhammad SAW sehingga kewafatan baginda. Perbincangan paling kritikal dalam bahagian ini ialah ajaran bawaan baginda yang merangkumi setiap aspek kehidupan seperti kedudukan wanita, perhambaan, hukum-hukum dalam Islam serta politik dan sosial mengikut acuan Islam.
[Bahagian 3: Kerajaan-Kerajaan Islam]
Selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW, penyebaran syiar Islam diteruskan menerusi khalifah. Seiringan dengan itu, banyak kerajaan-kerajaan Islam mula ditubuhkan. Antara kerajaan-kerajaan Islam yang diceritakan termasuklah Khulafa Ar-Rashidin, kerajaan Bani Umaiyah, kerajaan Bani Abbasiyah, kerajaan-kerajaan Islam di Andalusia, Afrika, Mesir, Syam dan Semenanjung Arab.
[Bahagian 4: Perkembangan Agama Islam ke Negeri-Negeri Timur]
Islam juga berkembang ke negeri-negeri di bahagian Timur atau Asia Tengah seperti Iran, Afghanistan dan Mongolia. Tapi, bahagian ini lebih berfokus kepada Islam di Iran. Bermula daripada kerajaan Parsi, kemudian dijajah oleh kerajaan Mongol sehinggalah jatuh bangun kerajaan Safawiyah.
[Bahagian 5: Perkembangan Agama Islam di India dan Afghanistan]
Seterusnya, Islam juga berkembang di negara-negara Asia Tengah dan Asia Selatan seperti India dan Afghanistan. Sebelum kedatangan Islam di India, sudah wujud hubungan antara kerajaan-kerajaan di India dengan bangsa Arab. Sedikit demi sedikit pengaruh Islam meresap ke dalam kerajaan-kerajaan di India. Antara penggerak utamanya ialah kerajaan Mongol. Setelah kejatuhan kerajaan Mongol, bangsa Afghan pula menguasai kawasan sekitar. Boleh dikatakan negara Afghanistan itu adalah antara negara yang paling lasak menghalang pengaruh kuasa luar seperti British dan Soviet Union.
[Bahagian 6: Daulat Osmaniah]
Setelah runtuhnya kerajaan Abbasiyah di Baghdad dan naiknya bangsa Mongol dan Tartar, boleh dikatakan tiada lagi sebuah Kerajaan Islam yang besar dan dapat menjadi tumpuan harapan Dunia Islam. Negeri-negeri Islam berpecah, bahkan wilayah Islam itu sendiri terlalu luas. Kemudian, muncullah kerajaan Uthmaniyah yang dapat mengembalikan kegemilangan Islam sebelum ini. Bahagian ni menceritakan tentang kerajaan Uthmaniyah dari masa kebangkitannya sehinggalah kejatuhannya pada awal abad ke-20.
[Bahagian 7: Perkembangan Agama Islam di Nusantara]
Dikatakan Islam mula tersebar di Nusantara pada abad ketujuh Masihi. Islam juga dikatakan disebarkan melalui pedagang-pedagang Arab yang berdagang di Nusantara. Sehinggalah tertubuhnya kerajaan Islam pertama di Nusatara iaitu Kerajaan Samudera-Pasai pada abad ke-13/14 Masihi. Selepas itu, muncullah kerajaan Islam yang kuat iaitu Kerajaan Melaka. Jatuhnya Kerajaan Melaka ke tangan Portugis bukan bermakna Islam juga jatuh, malahan syiar Islam disebarkan melalui kerajaan Islam yang lain seperti Aceh, Demak dan Johor. Selepas itu, kerajaan-kerajaan inilah yang menjadi benteng untuk menghalang pengaruh dan peluasan agama Kristian daripada kuasa-kuasa Barat seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Sepanyol.