Perasaan ingin tahu yang berada di kemuncak telah membawa Hairil ke suatu daerah ganjil sehingga sahabatnya, Zahid turut terjebak dalam kancah yang cuba diselesaikan olehnya sendiri.
Tanpa terduga, kejahatan yang wujud semasa zaman kegemilangan bapa kandungnya telah memburu Hairil sebagai ganti pertumpahan darah.
Muncul Umar, yang bergelar Panglima Hitam sebagai pelindung dan penghalang kematian Hairil- atas nama janji- juga rahsia besar yang tidak mungkin diceritakan.
Semarak Kezaliman, nama yang digeruni oleh seluruh pendekar perlahan-lahan membawa kehancuran ke atas bumi tersembunyi ini. Tujuannya satu- memaksa keturunan yang belot kepadanya menjadi pewaris nama yang agung!
Maka Inkrima yang membawa kepada kemusnahan sengaja dicipta agar menjadi sebab perpecahan manusia.
Apakah mungkin Inkrima itu ‘dijinakkan’ oleh Hairil? Atas nama cinta dan dendam, keduanya membawa kepada kemusnahan. Antara Tuah dan Semarak Kezaliman, tetap yang menderita itu... dia!
Terkadang perasaan itu perlu untuk dikorbankan....
Sebuah novel bergenre thriller - fantasi keluaran Alaf 21. Best, penuh dengan elemen2 aksi pertempuran yg diceritakan dengan detail. Dunia fantasi multiverse yg direka juga menarik teorinya. Plot banyak juga diselit dengan elemen2 dakwah yg sampai ke hati. Plot twist yang cuba disampaikan pun tak terjangka. Akhirnya, cerita ditamatkan dengan dengan open ending yg boleh diterima (cerita disambung dalam novel kedua - Seteru).
Mengisahkan tentang Hairil (juga digelar Tuah) yg memasuki sebuah dunia di dimensi lain melalui sebuah portal untuk menyiasat asal usul dirinya. Tanpa sengaja, kawan baiknya iaitu Zahid turut memasuki dunia itu bersamanya. Teknologi di dunia itu lebih maju berbanding teknologi di Bumi, tetapi penduduknya masih mengekalkan budaya seperti pada zaman medieval Melayu dahulu kala. Di dunia itu; dia mendapat beberapa rakan dan sekutu - seperti Panglima Hitam, Puteri Raihani Ashiqin, dan Jebat. Dalam masa yg sama, ramai pahlawan berpaksikan kejahatan seperti Zarkasyi, Roman Secetra, Noir, Bagan, dan Pawang Jumaiji turut memburunya untuk mendapatkan satu kuasa terpendam dalam dirinya. Hairil harus belajar mengawal kuasa misteri itu untuk menyelamatkan dunia itu dari kumpulan2 jahat yg ingin menguasai dunia itu...
Korban merupakan novel pertama kepada penulis yang bernama Arifful Baqi. Impresi saya ketika membaca dan menamatkan pembacaan saya adalah saya dapati novel Korban ini mempunyai kesan pengaruh yang amat kuat dari animeNaruto. Saya juga dapati bahawa gaya penulisan Arifful Baqi ini menjadikan Ramlee Awang Murshid sebagai inspirasi dan contoh apabila penulis menerapkan unsur dakwah di dalam penulisan ayat-ayat yang diolahnya. Apabila saya menyentuh mengenai Naruto,references atau rujukan terhadap animasi dari jepun itu tidak dapat dinafikan apabila terdapatnya babak-babak di dalam novel Korban yang mengingatkan saya kepada babak-babak di dalam animasi tersebut. Sebagai contoh,adegan lompatan dari satu pokok ke pokok yang lain dan kesan kemusnahan akibat letupan pertempuran di tengah-tengah hutan. Watak utamanya sendiri dipengaruhi oleh watak Uzumaki Naruto. Inkrima yang terdapat di dalam diri Hairil/Tuah adalah mirip dengan Naruto yang memiliki Musang Berekor Sembilan di dalam badannya.
Sejujurnya,saya tidaklah mempunyai masalah dengan hal ini. Saya juga tidak menuduh penulis melakukan plagiat. Tidak salah untuk mengambil sesuatu sebagai inspirasi untuk membentuk asas penulisan seseorang penulis. Cuma,secara peribadi,saya mengharapkan beliau dapat mempersembahkan karyanya dengan lebih asli dan unik mengikut gayanya yang tersendiri. Namun demikian,saya juga memahami ini merupakan karyanya yang pertama. Sudah tentu wujud kekurangannya. Dari segi plot dan jalan ceritanya juga agak pincang dan berserabut. Ada beberapa babak yang saya fikirkan adalah lebih baik dijelaskan secara terperinci. Latar belakang cerita Korban adalah unik. Dunia fantasi yang direka penulis seperti dunia di dalam cerita Naruto yang diMelayukan. Namun demikian,saya fikir adalah lebih baik sekiranya penulis menyediakan beberapa muka surat di dalam ruangan khas untuk menerangkan serba sedikit mengenai dunia ceritanya. Adalah baik juga sekiranya peta disediakan.
Kesimpulannya,saya masih menyukai karya Arifful Baqi ini. Minat saya untuk mengikuti penulisan beliau timbul selepas membaca novelet beliau di dalam yang bertajuk Manipulasi. Insya-Allah,saya akan terus mengikuti perkembangan beliau dan akan membaca novel sekuel kepada Korban iaitu Seteru.
Ini karya Arifful Baqi yang pertama aku baca. Disebabkan minat dengan genre aksi dan thriller, aku dapatkan buku ni. Puas mencari sebenarnya tapi tak jumpa-jumpa. Akhirnya secara tak sengaja aku nampak novel ni di rak sebuah kedai buku nun jauh di utara. Ada satu je. Terus aku beli.
Korban adalah sebuah novel aksi + fantasi yang mengisahkan seorang pemuda bernama Hairil dan sahabatnya Zahid yang mengembara ke satu dunia lain dan pada masa yang sama cuba merungkai persoalan asal-usulnya.
Kekuatan novel ni pada aku adalah pada babak-babak aksi pertempurannya. Rasa macam baca komik pun ada. Banyak pengaruh animasi jepun macam Dragonball dan komik-komik kependekaran dari China. Penulis mesti peminat tegar komik dan anime. Apa pun, jalan ceritanya bagus. Penulis berjaya membawa pembaca berimaginasi. Novel yang sarat dengan aksi dan pengajaran ni ada sambungannya. Tak sabar pula nak baca. Huhu...
Perjalanan cerita yang tersusun, Lenggok bahasa yang mudah untuk dihadam juga unsur fantasi yang dilakar dengan baik menjadikan naskhah ini merupakan sebuah karya yang berjaya bagi saya. Tidak ada babak yang meleret. Itu satu bonus.
Bila berbicara tentang kisah seperti ini, sedikit sebanyak saya akan TER ye.. akan membandingkan dengan naskhah tulisan RAM. Namun, penulis berjaya mewujudkan identiti beliau yang tersendiri. Tidak kelihatan bayang RAM dalam novel Korban ini. Tahniah buat penulis! Saya kira novel ini pasti ada kesinambungannya memandangkan babak akhir seperti tergantung di situ.
Review Sha, novel ini sangat ohsem.. Semangat persahabatan, kekeluargaan dan percintaan berjaya diadun menjadi resepi yang ohsem.. Membaca Korban membuatkan jiwa gundah gulana, pilu dengan penderitaan Umar dan Hairil. Hanya kerana dendam, pertelingkahan demi pertelingkahan.. Yang tidak berdosa menjadi mangsa.. Bagaikan pentas lakonan dan mereka boneka Semarak Kezaliman.. Semakin dipendam semakin banyak nyawa yang tergadai.. Pengembaraan yang sangat ohsem.. Allah juga tempat pergantungan yang satu.. Mencari asal, membawa Hairil ke dunia lain.. Mengembara bersama Hairil terasa singkat, namun pengakhirannya masih panjang.. Misteri tak terungkai antara watak dan penamat masih jauh..
Erkkk. Tak TAMAT pun rasanya. Gigih baca sebab nak tau apa punca semuanya jadi. Tak tau gak sampai kesudah. Frusttt. Ke aku yang tak paham? Tapi rasanya memang tak habis lagi kan cikgu? Kan? Kan? Ada sambungan kan?
Kalau la aksi pertarungan tu di terangkan secara detail mesti lagi best. Maybe sebab neh buku 1st penulis kot. Kita try lak buku baru baru dia nanti ada peningkatan tak. Hehehehe. Tahniah cikgu!!
Buku ini membawa kita menyelami dunia manipulasi permainan seorang watak jahat. Seolah-olah semua watak lain hanyalah bidak yang digerakkan mengikut arahan si jahat yang licik merancang.
Menariknya, apabila sampai ke penghujung cerita, kita bukan sahaja disajikan dengan permainan plot twist dari kejahatan, tetapi juga dari kebenaran.
Membaca Korban memang menuntut kesabaran kerana ceritanya padat dan sarat dengan misteri.
Namun, semua persoalan yang timbul membuatkan saya sanggup bertahan hingga ke helaian terakhir. Malah, saya sendiri tidak sabar menantikan sambungan kisah ini dalam buku seterusnya, Seteru.
Novel ini menggabungkan elemen fantasi dengan sains dan teknologi. Ada aksi, pengembaraan rentas masa, serta perjalanan ke pelbagai dimensi.
Latar kebanyakan plot pula berada di dunia lain yang mirip zaman Melayu pertengahan, namun bukan di bumi manusia.
Setiap lapisan cerita dipenuhi dengan plot twist, misteri, konflik kuasa dan kekeluargaan.
Watak hero pula… memang buat saya geram dengan tindakannya. Tetapi ada benarnya kata dia — jika dari awal tidak berahsia dan berterus terang, mungkin dia sudah lama duduk diam-diam di bumi.
Rahsia yang terlalu banyak menjadikan perjalanan cerita lebih rumit, tetapi juga lebih menarik.
Antara momen paling saya ingat ialah kemunculan watak si Perancang segala masalah.
Namun, kisah terhenti di situ, menyebabkan pembaca terpaksa menunggu Seteru untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya.
Secara ikhlas, saya berharap buku Korban dan Seteru dapat diberikan nafas baharu dengan rekaan kulit yang saling berkait agar kedua-duanya lebih menyerlah sebagai satu siri. Ceritanya sangat menarik, penuh potensi, dan wajar diberi apresiasi yang lebih besar.
Babak aksi yang padat. Pelbagai jurus dan teknik digunakan dengan nama-nama gerakan yang beraneka. Betul-betul mengingatkan saya pada komik-komik yang dibaca ketika zaman sekolah dulu.
Penulis banyak juga guna kiasan dan bahasa berlapik. Menambah indah susunan ayat dan penceritaan.
Semakin hampir penamat cerita, semakin banyak persoalan terjawab. Tapi dalam masa yang sama membuka ruang untuk pertanyaan-pertanyaan lain pula. Jadi marilah kita sambung buku seterusnya — Seteru.
I like the language and the writing style. The plot is okay but it would better if you remove the "puteri" character. I don't like her character but i love the story. Thus, solid 3 starts from me.
Hairil dan Zahid terjebak ke dunia lain akibat dari rasa ingin tahu. Dan di situlah Hairil mula membongkar satu per satu rahsia tentang dirinya. Dia juga turut diburu beberapa pihak kerana inginkan sesuatu yang ada di dalam dirinya. Muncul juga Panglima Hitam sebagai pelindung Hairil di dunia tersebut.
SH pening membaca dialog dalam naskah ini. Bercampur aduk dialog moden dan klasik. Dunia yang mereka pergi adalah dunia yang masih mengamalkan budaya pemakaian dan pertuturan klasik meskipun teknologi tetap canggih. Untuk Hairil dan Zahid memang mereka akan menggunakan dialog moden tetapi seharusnya watak-watak dari dunia tersebut menggunakan dialog klasik tetapi sangat bercampur dalam naskah ini.
Nama Semarak Kezaliman sangat kena dengan perwatakannya. Memang sangat zalim. Dan sangat licik dalam mengatur segala strateginya. Yang sekecil-kecil perkara pun boleh dia rancang untuk membangkitkan kemarahan di dalam hati seseorang.
SH sukakan persahabatan antara Hairil dan juga Zahid. Walaupun ada bermasam muka, bertengkar dan berlawan mulut namun mereka tetap saling membantu dan menyokong di antara satu sama lain.
Novel ini sangat sempurna. Dalam gaya bahasa melayu. Cara ia diterangkan dan kiasan yang digunakan. Juga tiada babak tidak penting ditambahkan membuatkan jalan cerita semakin menarik.
Buku ini juga terkandung ilmu agama yang dapat mengingatkan kita untuk belajar agama dan sangat bijak untuk selitkan di dalam buku ini.
Jadi, buku ini bergenre fantasi fiksyen. Pertama kali saya membaca fantasi dalam dunia zaman tradisional Melayu. Dan ia ditulis dengan sempurna.
Banyak juga elemen mengejutkan yang saya tak jangka. Dan terdapat banyak babak yang sedih yang berjaya menjatuhkan air mata saya.
Pada babak pergaduhan atau peperangan di terangkan dengan baik sekali. Saya dapat bayangkan setiap aksi yang diperlakukan.
Watak kegemaran saya dalam buku ini adalah Panglima Hitam. Seorang yang penyabar. Walaupun pernah berdendam dan menyesali apa yang dilakukan dalam hidupnya, dia berusaha untuk menolong Hairil supaya tidak terpesong dengan inkrima di dalam badannya.