Buku ini sekadar pembicaraan umum dan ringkas tentang asas-asas faedah dan pemikiran Melayu yang berteraskan Islam. Kandungannya merupakan peluasan dan pengolahan semula bahan kuliah penulis untuk kursus wajib di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, iaitu Falsafah dan Logika Melayu. Sebahagian besar bahan, terutama yang berkaitan dengan falsafah, didasarkan bab-bab awal tesis doktor falsafah penulis tahun 1997. Bab tentang logika sebahagiannya berdasarkan mimeograf Hashim Musa (2004) yang berjudul "Logika", iaitu salah satu bahan asas kursus Falsafah dan Logika Melayu yang pada waktu itu dikendalikan oleh beliau, di samping buku Pemikiran Kritis oleh Lok Chong Hoe (1984).
Pada asasnya, buku ini mengupas aspek konsep asas falsafah dan logika serta memperlihatkan penerapan falsafah dan logika dalam beberapa ranah kehidupan dalam tamadun Melayu. Penerapan itu dengan jelas dapat dibaca dalam bab yang membicarakan aspek falsafah pendidikan dan implikasinya dalam sistem pendidikan di negara ini. Selain itu, diusahakan juga, dengan cara yang ringkas dan terbatas, gambaran falsafah dan logika Melayu dalam beberapa contoh karya persuratan Melayu, yang berbentuk prosa dan juga yang berbentuk puisi.
Buku ini telah dioleh oleh penulisnya daripada tesis PhD beliau. Saya kira sekiranya pembaca sedang mencari bacaan asas dalam memahami falsafah dan pemikiran Melayu berteraskan Islam, maka pembaca boleh bermula dengan buku ini.
Pada awalnya penulis hanya menulis kembali falsafah sejarah, lebih kepada Yunani, kerana dari situlah beradaban falsafah dimulakan. Banyak juga aku boleh refresh dari situ. Sebab lama dah tinggal Sophie's World.
Apa yang menarik bila penulis menyentuh bab Logika. Sesetengah logika yang dibahaskan aku sudah pelajari dalam subjek Discrete mathematics waktu diploma dahulu. Dalam buku ini juga terdapat lebih banyak perkara logika yang menarik diulaskan dan dicerahkan.
Bab-bab akhir tidak kurang menarik kerana membahaskan perkaitan Melayu dan falsafah. Rupa-rupanya benar kata Tongkat Warrant "... melayu ini kaya falsafah/ kias kata bidal pusaka/ akar budi bersulamkan daya"
Sesuai dengan tajuk ia tentang ASAS falsafah & asal pemikiran Melayu. Untuk lebih pencerahan tentang pemikiran Melayu boleh sambung baca buku Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu tulisan (syarahan) Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Kebanyakannya diambil sebagai rujukan dari buku tersebut. Saya juga suka bila dapat membaca Syair Perahu oleh Hamzah Fansuri yang terkandung dalam buku ini. Salah satu contoh yang jelas asas falsafah & logika Melayu bersumberkan Islam.
DUA bintang kerana antara bab, kadang-kala hilang kesinambungan, kerana buku ini seolah-olah lebih kepada kumpulan esei dengan setiap bab mewakili hal yang seolah-olah mempunyai kaitan tetapi boleh berdiri dengan sendiri.
Beberapa bab awal lebih menumpu kepada sejarah falsafah Barat dan Islam, sebelum pengarang melihatnya dalam konteks tempatan tetapi terselit bab Logika ketika membincangkan falsafah pendidikan dan persuratan Melayu.
Falsafah dan logika Melayu dalam persuratan pula agak tipis dengan sebahagian besar bab itu dipenuhi dengan syair Perahu dan Gurindam 12.
Bagaimanapun, buku ini memudahkan kita untuk melihat sejarah falsafah Barat secara sepintas lalu, selain membuka pintu pengetahuan terhadap proses pengislaman ilmu dan kekayaan persuratan Melayu.
Buku ini memberi gambaran tentang perkembangan falsafah bermula di barat dan bagaimana ideologi dan dogma tersebar di seluruh dunia. Selain itu, aspek falsafah pendidikan di Malaysia turut disentuh. Secara keseluruhannya, penulis ingin mengetengahkan aspek keislaman yang menjadi kerangka alam Melayu dari segi pensejarahan.