Saya membeli buku Anarkis ini pada 7 Februari 2011 di Kedai Buku Popular Selayang Mall pada pukul 4:04 petang. Saya tertarik untuk membeli buku ini kerana saya pernah membaca ulasan mengenainya di beberapa buah blog di internet.
Anarkis merupakan sebuah novel thriller yang padat dengan aksi-aksi yang mendebarkan. Novel ini mengisahkan Sarjan Awai Anak Gamung sebagai watak utama. Perjuangannya untuk menegakkan kebenaran dan membersihkan nama baiknya menjadi intisari utama pengkisahan novel ini.
Pada pendapat saya,novel ini merupakan sebuah novel yang menarik. Amat jarang sekali,terutamanya pada hari ini,kita dihidangkan dengan sebuah novel yang padat dengan aksi-aksi yang bersifat 'thriller'. Malah,pada pertama kali saya membaca buku ini,saya seperti sedang membaca novel aksi Inggeris yang dimelayukan! Malah,aksi-aksi yang mendebarkan dan menarik seperti adegan tembak-menembak dan pertempuran lebih banyak menghiasi penceritaan novel ini. Berani untuk saya katakan hampir 100% tiada kisah cinta di dalam novel ini,tidak seperti novel-novel bahasa Melayu yang lain.
Namun begitu,terdapat beberapa perkara di dalam penceritaan novel ini yang pada hemat saya mempunyai sedikit kelemahan. Sebagai contohnya,terdapatnya sindrom pengaruh 'Rambo' di dalamnya. Hal ini dapat diperhatikan apabila dengan seorang diri sahaja,Awai berjaya menumpaskan beberapa orang musuhnya pada satu malam sahaja. Hal ini pada saya agak kurang logik.
Namun begitu,saya tetap beranggapan kelemahan ini tidak menjejaskan mutu persembahan cerita yang cuba disampaikan oleh penulis novel ini secara keseluruhannya. Sebaliknya,saya amat mengalu-alukan lebih banyak karya yang seperti ini. Malah,saya difahamkan,penulis ini juga telah menerbitkan dua buah buku yang merupakan kesinambungan dari novel Anarkis ini iaitu Kudeta Intro dan Kudeta Klimaks.
Saya mencadangkan kepada sesiapa yang berminat dengan novel aksi,sila dapatkan novel ini di pasaran. Anarkis sememangnya sangat berbaloi untuk dijadikan bahan bacaan kepada mereka yang dahagakan novel aksi sepertinya yang ditulis di dalam bahasa Melayu dan tidak rugi dijadikan koleksi untuk menghiasi rak buku anda. :)