1. Pengalaman yang jarang dapat dirasai oleh kebanyakan kita - hanya yang berjiwa kental dan berani dapat menempuh sebuah perkahwinan yang luar biasa dengan suami yang luar biasa.
2. Sebahagian besar turut berisi pengalaman kembara ke negara-negara Afrika, first-hand experience yang julung-julung juga dialami orang Malaysia, wanita pula!
3. Bangga kerana melalui sebuah universiti bernama UIAM, bangsa-bangsa Islam saling dapat berkenalan dan menambah keturunan yang istimewa, sudah tentu akan mempererat persaudaraan Islam di mana-mana.
4. Budaya Melayu yang memberi ruang kepada wanita untuk berkecimpung di luar arena rumah tangga, walaupun wanita masih perlu banyak berkorban untuk menyokong prinsip-prinsip tradisional yang masih dipegang oleh ketua keluarga.
5. Berisi humor sepanjang-panjang pembacaan, ayat-ayat terus kepada poin yang ingin disampaikan, gaya bahasa yang orang-orang muda sekarang tidak bosan sebab tidak ada banyak lapisan makna dan metafora. Boleh baca dalam masa beberapa jam sahaja.
6. Ada beberapa kesalahan yang boleh dielakkan jika suntingan tidak terlalu tergesa-gesa, misalnya mengenai pandangan Prof Syed Naquib al-Attas mengenai ilmu, iaitu 'knowledge is the arrival (wusul) of the soul at the meaning of a thing....' Ini boleh dirujuk dengan mudah di dalam Internet.
7. Kalau semua gambar warna macam lebih menarik juga. Mungkin boleh dipertimbang untuk cetakan edisi terbaru?
8. Ada pro dan kontra kahwin dengan orang asing. Lengkap dengan senarai semak pulak tu :)
Dari sudut teknikal, tatabahasa Inggeris agak berterabur. Sedikit-sebanyak mengganggu pembacaan. Perenggan terakhir Bab 6 (m/s 112) tergantung. Ayat tak habis. Entah apa kesudahan cerita.
Dari sudut gaya penceritaan, humor Puan penulis sangat berkesan. Bersahaja dan ternyata bukan dibuat-buat. Geli hati saya membaca kesanggupan Puan penulis terjun keluar dari kenderaan awam setiap kali terdetik di hati perasaan akan dibawa lari pemandu Afrika.
Bab-bab awal agak menyentuh emosi. Terutama sekali rasisme (Bab 3) yang dihadapi anak baka kacukan Puan penulis. Sebagai rakyat Malaysia, saya malu betapa mentaliti menilai warna kulit masih menular dalam masyarakat. ‘Cerah’ itu cantik dan baik. ‘Gelap’ itu buruk dan jahat.
Rentak penceritaan bertukar ceria bermula Bab 4 bila mana pembaca dibawa mengembara ke bumi Uganda dan kawasan sekitar. Resam budaya dan kehidupan masyarakat diceritakan penuh terperinci sekali. Banyak kejutan menarik di sini.
Sisi negatif paling mengganggu jiwa ialah kekerapan munculnya perkataan n*gro sepanjang buku. Judul buku, usah cakaplah. Sensationalisme barangkali. Meskipun rasional penggunaan perkataan n*gro ada dijelaskan, saya tetap sukar menerima.
Sesungguhnya, matlamat tak menghalalkan cara. Dalam apa jua konteks, perkataan tersebut tetap menghina. Seiring dengan populariti buku ini, tak mustahil perkataan tersebut akan sentiasa melekat dalam minda masyarakat.
Kalau tidak, mudah saya berikan buku ini empat bintang.
Ditulis oleh ahli akademik dengan pengalaman selama 20 tahun berkahwin dengan lelaki Afrika. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan cara penulis yang agak savage dan cabul tetapi aku suka. Sebabnya, jika ditulis dengan gaya formal, mungkin orang tak tertarik untuk baca. Jadi penulis menggunakan tajuk catchy, lawak dan bahasa remaja agar kita tidak kebosanan. Bagi aku, ini menunjukkan penulis jujur. Tak acah-acah suci.
Buku ini bermacam-macam emosi aku alami. Sedih (bab anak jadi mangsa buli di sekolah sebab berkulit hitam), marah (bab perempuan Melayu tak tahu malu bercakap tentang saiz ‘kau faham-faham je la’ suami penulis), kecewa (dengan ustaz Melayu yang sepatutnya orang pertama mengamalkan apa yang dia ajar), gembira (bila penulis diberi penghormatan untuk mengetuai perbincangan tentang wanita di Afrika - seluruh ahli keluarga mertua penulis bangga dengan beliau).
Ada orang usulkan bahawa "gambar-gambar hitam-putih, kan seronok kalau berwarna macam muka surat akhir buku ini". Mungkin penulis letak hitam-putih untuk kurangkan kos cetakan. Kalau semua muka surat berwarna, harga buku (RM15) perlu dinaikkan. Bila buku lebih mahal, orang mungkin teragak-agak nak beli. Bila orang teragak-agak, dia tak rasa mahu beli makanya.. ilmu tidak disampaikan.
Bukan setakat ilmu tak sampai. Malah, niat penulis untuk membina sekolah di Afrika terbantut sebab royalti buku ini akan diguna untuk membina taman ilmu di sana.
Sebenarnya buku ini dipinjam dari Resource Centre, tapi nak belilah buat koleksi. Mana tahu ada 10 - 20 sen masuk dalam batu-bata sekolah di Afrika sana.
Kisah anekdot atau memoir yang menarik. Banyak perkara baharu yang didapati daripada buku ini.
Meminjam kata-kata Dr Mohamad Noor Mamat - Buku ini Santai tetapi maksudnya Sampai.
Buku ini membuatkan banyak persepsi tentang mereka yang berkulit hitam, dicampakkan jauh-jauh. Bak kata penulis - Bilal tu berkulit hitam tapi ahli Syurga. Suami penulis berkulit hitam berbanding orang Melayu yang mahu dijodohkan dengannya, tetapi dia bekas pelajar dari universiti Timur Tengah dan seorang hafiz. Jadi, apa masalahnya? Sengih saja sambil membaca. Rasa kena jentik.
Memang diakui kesilapan meletakkan generalisasi terhadap mana-mana kumpulan manusia. Seharusnya ada bukti dan fakta yang menyokong sebelum membuat sesuatu kesimpulan terhadap apa-apa perkara pun.
Perkongsian maklumat tentang latar negara-negara di Afrika disampaikan dengan baik. Lebih banyak ilmu didapati daripada buku ini berbanding buku Geografi.
Malah analisa penulis tentang mengapa negara mereka masih kurang maju juga diutarakan dengan cukup baik dan boleh diguna pakai dan boleh diambil iktibar di negara kita.
Hanya penampilan gambar hitam putih yang membuatkan bintangnya kurang satu. Dari sudut pengisiannya, saya berikan 5 bintang.
Sungguh saya tidak tahu macam mana hendak menggambarkan buku ini secara total tapi jari ini masih gatal hendak menaip. Oya, along saya membaca minda bawah sedar saya sendiri mengantikan N.... kepada pak Hitam, coz it will sounds a bit polite. Kerana ada di sebahagian tempat bahasa yang digunakan mungkin agak "kasar" tapi saya agak memahami dengan hala tuju penulis.
Dari sudut bahasa, penulisan ini maybe may sounds a bit lepak and relax and this are the amazing partnya sebab pencerita tidak mahu pembaca rasa terbeban dengan bahasa yang puitis at the same time bersesuaian dengan konsep anekdot kehidupan.
Kepercayaan terhadap sesuatu pendapat atau perkara itu tidak dapat diubah dengan hanya bertindak mengikut kekerasan. Bak kata Dr Maza, pemikiran hanya boleh dihapuskan dengan pemikiran juga.
Thanks to the penulis coz along the way saya banyak sengih memajang even sometimes saya dapat merasakan ini adalah luahan ketidakpuasan hati penulis terhadap manusia sejagat di sekeliling yang mostly very skeptical and narrow minded seperti saya.
Di awal pembacaan aku jadi segan apabila penulis bercerita terpaksa meminta maaf on behalf of masyarakat Malaysia kepada suami kerana masyarakat kita lebih memandang rupa... Hati jadi sedikit sebak apabila anak2 penulis seakan dipulaukan di sekolah.. Konklusianya, memang orang kita cukup rasis bila berhadapan dengan isu sebegini...
Di pertengahan, hati dah jadi kembang kuncup apabila penulis menceritakan penerimaan keluarga mertua tiap kali balik kampung suami. Aku rasa penulis sangat bertuah kerana sangat disayangi dan dihargai oleh keluarga suami. Penulis juga membawa pembaca mengembara di bumi Afrika dengan bahasa yang santai dan terkesan seolah2 kita yang sedang membaca turut bersama penulis disana...
Di pengakhiran, penulis telah memasukkan analisa yang dibuat tentang mengapa negara2 Afrika masih mundur dan beberapa musuh utama bagi wanita membuatkan aku angguk2 geleng2 mengiakan isi yang dibentangkan oleh penulis...
Apa pun pada pendapat aku Dr Hayya Bilal ni sangat bertuah dan seorang yang sangat luar biasa.
Last but not least, satu benda yang aku rasa tentang buku ni ialah kawin dengan warga asing ni memang memerlukan kos yang besar.. Ialah takkan selamanya kita nak ikat kaki suami tak nak bagi diorang balik kampung kot, sebab kos untuk balik kampung tu tersangat la besar. Dan takkan la dalam seumur usia perkahwinan kita tu, suami hanya nak balik kampung sekali kan? Mestilah berkali-kali dan kos balik kampung tu menjadi berganda2 nilainya...
So, berkahwin dengan warga asing ni bukan hanya sekadar nak berseronok dapat melancong keluar negara selalu, atau pun untuk mendapatkan anak2 yang lain wajah dari anak2 kawan kita saja, tak pun bukan sekadar nak bagi 'glamor' saja.. ada kos yg besar yang perlu difikirkan sebelum kita membuat keputusan se'besar' itu.. :)
Buku pengetuk, penyedar buat kita orang Malaysia. Buat orang Melayu terutamanya. Untuk kebanyakan yang suka bersikap stereotaip, memandang sinis dan rendah, bersifat perkauman terhadap bangsa lain; buku ini dituliskan untuk anda. Untuk saya.
Tiada bangsa yang sempurna. Itu benar. Namun tidak semua yang hitam itu kotor, dan yang putih itu suci. Kadangkala, disebalik yang gelap itulah tersimpan sesuatu yang berharga, sesuatu yang sangat manis. Laksana buah manggis.
Begitu jugalah kisah bagaimana penulis ini bertemu jodoh dengan suaminya kini, jejaka yang berasal dari Uganda, Afrika. Alhamdulillah tahniah untuk mereka. Usia perkahwinan mereka sudah menjangkau 20 tahun kini (sehingga buku ini ditulis). Ternyata, keperibadian yang ada pada suami beliau ini susah juga untuk ditemui pada lelaki-lelaki di Malaysia. Tetap ada, namun susah ditemui.
Suka dengan gaya penulisan penulis. Terus-terang, tidak berselindung, tanpa berbasa-basi. Beliau tidak malu mengakui beliau juga berfikiran tipikal sepertimana orang Melayu yang lain lama dahulu. Suka memandang rendah bangsa Afrika ini, menganggap kebanyakannya suka melakukan jenayah, penipu, pandai berkata manis memikat wanita dan sebagainya. Penulis sama seperti kita. Tidak suka untuk ambil peduli, cuba belajar untuk mengetahui.
Penulis bijak merencanakan penceritaannya mengikut sela-masa dengan bab-bab yang berlainan. Dari masa muda yang membentuk keperibadiannya, waktu perkenalannya dengan si suami, serta alam perkahwinan mereka seterusnya. Membawa ke 'balik kampung' pertama kali di Afrika, serta pandangan hidup beliau selepas beberapa tahun menyelami adat & budaya orang sana dan sebagainya.
Bab ke penghujungnya lebih menarik. Beliau merangkumkan pandangan beliau terhadap bangsa Afrika ini dari lawatannya ke negara mertuanya di Uganda, serta lawatan ke negara jirannya Kenya itu. Semua kisah pedoman yang baik & buruk beliau simpulkan di sini, serta bagaimana harapan beliau terhadap benua yang berpotensi besar ini jika dibangunkan kena dengan caranya, kena dengan cara pemikiran & mentaliti penduduknya sendiri. Perbandingan baik buruk antara bangsa kita & mereka, serta perkara yang boleh kita teladani juga ada penulis nukilkan.
Antara topik menarik, berkenaan perihal menyesuaikan diri dengan budaya masing-masing selepas berkahwin. Agak mencuit hati & membuka mata. Kisah perbezaan mazhab yang perlu diraikan, perihal makan durian dan laksa, belalang goreng, pisang lenyek, kisah penulis menjadi panel jemputan buat memperkasakan golongan wanita disana, dan lain-lain lagi. Jika anda ingin ke Kampala, Uganda dan Nairobi, Kenya satu hari nanti, buku ini juga boleh dijadikan rujukan ringkas.
Jika anda suka menggelarkan orang Afrika dengan pelbagai gelaran, anda perlu cari buku ini. Jika anda suka menggelarkan apa-apa bangsa selain bangsa anda juga dengan pelbagai gelaran menghina, anda lebih dari perlu untuk membaca buku ini. Tepat ke muka kita.
Best ke tak buku ni? Baca non stop dari selepas subuh sampai pukul 1 tgh hari (stop jugalah sbb basuh baju sidai baju, balas mesej, update page... Hehe) aku pun bagi 4 bintang tanpa waswas, ko rasa?? Sangat menarik. Seakan dpt membayangkan mcm movie setiap kisah yg diceritakan. Maklumlah, aku kan penulis, daya imaginasi masih bagus hehehe. Ttiba terasa nak pergi afrika, kenya, entah bila la dpt pergi, kan? Aku harap ada sambungan. Lebih tebal, lebih byk gambar.. Hehehee. Ada beberapa perkara terkena batang hidung sendiri. Tapi bukan persoalan si gadis2 gatal tu, cuma tanggapan aku orang negro ni susah nak jumpa yg baik. Sama sangat seperti Puan Penulis fikirkan. Tapi selepas membaca kisah ini, terinsaf sendiri. Kalau nak tahu apa yg buat aku insaf, korang bacalah ya. Sebab salah satunya, sebahagian royalti buku akan disumbangkan utk projek membina sekolah di sana. Dan aku sukaaa sangat tentang 5 musuh wanita yg paparkan dlm buku ini. Dan saya suka penulis ada sentuh pasal mazahab dan jawapan setuju dgn si suami yg dia ikut 'mazahab Rasulullah'. Bagi aku, buku ini dlm kategori, Wajib Baca.
Perkongsian penulis hal-hal tentang suaminya seorang "negro". Hal adab, budaya dan keluarga masyarakat kulit hitam di Kenya. Pengalaman terus, tidak ada perantara. Real!
Apa yang dilalui/diceritakan oleh Hayya Bilal, sangat tepat dengan realiti. Skeptikal masyarakat (dalam hal ini, orang Melayu/Malaysia) apabila disebut "negro". Mentaliti yang sudah terpasak lama, sangat sukar untuk diubah.
Saya juga seperti itu.
Cuma semenjak membaca buku "Wachaa The Adventure", pandangan saya sedikit berubah dengan stereotype yang sering dimomokkan dengan manusia keturunan Africa. Jahat betul. Dan Hayya Bilal mengukuhkan lagi "pandangan terpesong" saya itu.
Terima kasih, kerana mengajar.
Semoga kalian kekal bahagia dunia akhirat.
Buat masa ini, saya masih kagum dengan keluarga suami beliau mendidik. Anak bujang berumur 20 tahun, disuruh ibu membasuh baju tetamu (termasuk yang kecil) tanpa ada bantahan (yang nyata). Hubungan antara menantu-mertua juga dijaga. Budaya menghormati yang tua sangat cantik.
Untunglah masih di kelilingi masyarakat yang masih kaya budi!
Buku yang santai tapi 'panas telinga' bila baca satu persatu perkara yang diluahkan oleh penulis. Rasa tertampar juga dengan sikap kita yang tanpa kita sedar telah melakukannya sejak berzaman. Namun itulah kenyataan yang sukar untuk kita akui. Perlu baca, baru faham apa maksud aku. Walaupun hanya 138 muka surat, banyak perkara yang aku pelajari dari karya ini. Tak sabar nak baca karya yang seterusnya. Terima kasih Kak Jem/Dr Jamilah!
Hari ni saya sempat mengembara ke Uganda dan Kenya. Seronok perjalanan mengembara dengan buku kali ini, tak terfikir akan sampai secara imaginasi di benua Afrika! Hahaha
Laki Aku Negro: Kau Peduli Apa? ini merupakan anekdot pengalaman penulis, Dr. Hayya Bilal, yang bersuamikan lelaki kulit hitam dari Uganda. Sayat hati membaca liku-liku awal penulis menadah tohmahan hanya kerana bersuamikan lelaki Negro. Masyarakat sering meletakkan pandangan sinis dan negatif terhadap individu berkulit hitam, seolah-olah warna kulit menentukan akhlak dan peribadi seseorang.
Seronok menelunsuri buku ini, banyak membuka jendela minda saya kepada perkara baharu terutama tentang budaya, adat resam serta kehidupan di Uganda.
Sepanjang pembacaan, ada tiga perkara yang baru saya tahu:
1. Panggilan Negro adalah perkataan yang kasar dan tidak beradab. Perkataan ini melambangkan penghinaan dan merendahkan martabat seseorang.
2. Budaya keluarga suami penulis - bapa mentua tidak boleh bercakap dengan menantu perempuan. Dan begitu juga, menantu lelaki tidak bercakap dengan emak mentua. Jika ada sebarang mesej hanya akan disampaikan melalui anak mereka sendiri kepada pasangannya.
3. Warga Afrika tiada kad pengenalan diri (IC) seperti Malaysia. Sewaktu proses memohon passport pula, pegawai akan menemuduga dengan bertanya siapa awak, tinggal di mana, suku kaum apa. Malah pegawai imigresen turut menguji dengan bertanya dialek suku kaum yang dinyatakan.
Menarik tau buku ni! Tapi sebenarnya ada juga rasa sedih yang menyelinap terutama keadaan hospital yang dhaif sewaktu penulis membawa anaknya untuk dirawat kerana serangan asma. Apatah lagi, sekolah di sana juga dalam keadaan uzur - ada kanak-kanak yang memakai baju sekolah koyak rabak dan tidak berkasut 🥺😢
Buku pertama tulisan Dr Hayya Bilal ini menghiburkan hati sambil memberi manfaat melalui pandangan dan kisah hidup beliau. Membaca buku ini membawa kita menyelusuri soal cinta dan jodoh, kelainan budaya dan cara hidup antara warga Malaysia dan Afrika.
Selesai membaca buku ni, meninggalkan kesan seperti sedih, gembira yang mendalam terhadap diri dan rasa bersyukur dilahirkan dan hidup sebagai seorang rakyat Malaysia.
Penulis menggarap isu berkenaan sentimen dan stigma yang terpaksa beliau hadapi semasa dan selepas berkahwin dengan seorang suami yang digelar sebagai Negro. Ini bukan sahaja terkena pada penulis, bahkan tempias yang sama diterima seperti kutukan dan makian kepada anak-anaknya.
Perbezaan demografi, sosiobudaya serta geopolitik di antara negara suaminya (Uganda) dan Malaysia sangat berlainan. Bahkan, orang di sana sangat kagum dengan budaya kita di Malaysia.Apa kita sebagai rakyat Malaysia tidak mensyukuri nikmat hidup di Malaysia?Tepuk dada tanya selera.
Secara tuntasnya, hitam tak selamanya hitam, begitu juga putih tak selamanya putih. Hidup kita ibarat ombak, ada pasang surutnya. Hidup bukan untuk bertongkatkan langit.Sesekali terbang seperti burung, turun ke tanah untuk lihat kembali asal usul kita untuk belajar erti bersyukur.
Superb! Sangat menarik! Membaca naskhah ini terasa seperti sedang bersila sambil menongkat dagu, mendengar penulisnya bercerita. Terasa seperti menonton dokumentari National Geographic pun ada. Bahasanya santai dan friendly tetapi bermesej.
Banyak ilmu dan kesedaran disampaikan. Sesetengahnya isu yang tidak terluah oleh segelintir dalam kalangan kita tetapi dikupas dengan beraninya oleh penulis. Syabas!
Ada satu bahagian kecil sahaja yang saya kurang faham. Yang itu nanti akan saya tanyakan kepada penulisnya.
Tajuk buku ni boleh mengundang kontroversi. Namun ia hanya #sarcasm buat orang yang selalu memandang negative terhadap orang-orang dari benua Afrika yang kerap dipanggil "Negro" (termasuk aku la!).
Dr. Hayya Bilal ini pertama kali aku jumpa ketika menghadiri kursus Penulisan Buku Umum Pertama. Beliau turut hadir sama. Kisahnya, beliau juga merupakan penulis buku Dari Bilik Pengetua yang selalu dibaca oleh anak-anakku.
Orangnya nampak sederhana namun fikirannya tajam dan sentiasa sahaja melontarkan soalan-soalan yang akan membuatkan kita berfikir. Dan ya, beliau seorang yang straight to the point. Pertama kali melihat beliau dalam kursus tersebut, terfikir juga "siapa makcik ni?" 😂🤣 Tetapi bila aku tengok seperti ramai yang kenal beliau, aku fikir tentulah beliau ni 'somebody'. Nampak catatan kecil "bukan PhD beli" pada kulit buku tu? Haha. Itulah dia Dr..Hayya Bilal yang lebih dikenal dengan panggilan "Kak Jem" ni.
Dalam buku ini beliau menceritakan secara ringkas tentang pertemuan dengan suaminya, seorang warga Uganda, yang telah dikahwini lebih 20 tahun. Beliau juga membawa kita 'balik kampung' suaminya buat pertama kali dengan menggambarkan apa yang ada di sana, makanannya, kehidupan masyarakatnya dan persekitaran di sana. Beliau juga menyentuh tentang masalah yang perlu dihadapi kerana berkahwin dengan warga Afrika, berserta nasihat kepada gadis-gadis (dan juga isteri orang!) yang berhasrat hendak berkahwin dengan mereka.
Bukan dokumentari, tetapi lebih kepada gaya bercerita dengan bahasa yang santai. Ada masanya aku ketawa sendiri, ada masanya pula berasa geram dan marah. Hanya dari pembacaan ini saja aku dapat merasakan betapa bertuahnya kita kerana Malaysia termasuk dalam kategori negara sedang membangun, berbanding negara-negara Afrika yang kebanyakannya masih ketinggalan dari segi ekonomi.
Pengajaran pertama: Baru aku tahu Afrika tu sejuk 🙈🙈🙈 Pengajaran kedua: Afrika, sama macam India dirosakkan oleh penjajahan. Bumi subur tapi rakyat tiada usaha memakmurkan. Pengajaran ketiga: Buku ni best. Rasa macam sama-sama ikut Kak Jem balik Uganda. Pengajaran keempat: Tak baca buku ni rugiiii.
Dah lama nak baca buku ini. Bila nak order kat penulisnya asyik tertangguh saja. Sungguh Allah izinkan beli terus dan dapat otograf yang best!
Sebenarnya sejak aku tahu Nabi Adam diturunkan di Afrika dan Hawa diturunkan di India, serta kisah Ratu Balqis dari Benua Afrika dan kisah Nabi Musa dari bumi Mesir, aku ada satu pertanyaan yang agak kontroversi.
Gelak dulu.
Soalannya: Apa perasaan orang-orang yang bajet geli kat orang berkulit hitam ni, bila dibangkitkan di syurga berkulit macam orang-orang Wakanda.
Wakakaka!
Wa tanya lu 🙈🙈🙈
p/s: Tips menyaring dari Kak Jem: Jangan lupa tanyakan tiga soalan ini: setahun berapa kali khatam al-quran? Solat lima waktu atau tidak? Apa visi dan misi bagi membina keluarga.
Aku suka pendedahan mengenai erti kemanusian yang ingin di berikan oleh penulis. Tetapi perlukan lebih penjelasan, lebih details lagi, dan lagi banyak. Lagi.
Emosi ada, jalan cerita mengenai sesuatu sudah ada tetapi tak details sangat.
Aku, seakan - akan emosi kerana buku ini mungkin satu dalam seribu yang menceritakan apa itu, kenapa dan bagaimana “negro” itu sendiri. Tetapi hanya senipis ini. Geram je.
Terima kasih untuk buku ini. Aku belajar sesuatu daripada buku ini. Terima kasih sangat-sangat.
It changes my perspective towards african. This book make me realize that i had a narrow minded by thinking that all african in Malaysia are bad, rough and dangerous to be near of.
My forever favourite quote from this book would always be when the author persuaded her children that being bullied at school for ‘being different’ from others:
“Billal bin Rabah yang kulit gelap pun masuk syurga”
This entire review has been hidden because of spoilers.
Sentap membaca pengalaman penulis menghadapi sikap rasis di negara sendiri. Sentap berganda apabila difikirkan, mungkin diri sendiri pun akan ada tanggapan pertama yang sama kalau berjumpa mereka sebelum membaca naskhah ini.
Jika buku 'Biaq Pi Lah' membawa kita berpuluh tahun ke belakang, buku ini pula membawa kita mengembara beribu batu ke benua Afrika yang saya tidak pernah terfikir langsung.
Ia memberi perspektif baru kepada saya tentang Afrika. Info yang dikongsi sangat membuka minda.
Aku selalu sahaja membaca updates Dr. Jamilah Jaafar (Hayya Bilal) lewat dinding facebooknya. Walau updates dan catatan di muka buku itu cuma sekadar cerita tentang aktiviti harian.
Tulisan ini, membuka mata aku tentang bahagian dunia yang lain. Membuka pandangan aku tentang benua Afrika yang aku kenal lewat National Geography dan dokumentari yang ada di kaca tv.
Demi Allah, Aku tidak pernah sekalipun menganggap panggilan Negro atau Niger itu satu penghinaan. Seperti mana orang Bangladesh yang kita panggil Bangla, Orang Indonesia yang kita gelar Indon. Pada aku, gelaran Negro itu adalah sekadar tanda kenal seseorang itu dari Afrika (sudah semestinyalah bertumpu cuma kepada yang berkulit hitam)
Demi Allah, Sangka aku juga, benua Afrika itu adalah antara tempat yang terpanas di muka bumi. Dan ternyata aku khilaf.
Aku sukakan tulisan ini, kerana aku melihat sesuatu dari sudut yang berbeza. Aku melihat bagaimana rasis, double standard dan skeptikalnya masyarakat kita tentang perkahwinan campur antara dua budaya yang berbeza.
Bahkan, aku kembali berfikir; bagaimana ya seorang anak kecil yang suci fitrahnya punya perasaan rasis?
Rasisnya hinggakan; boleh meminggir dan mendera mental rakan-rakan kerana perbezaan. Bukankah perbezaan itu sesuatu yang perlu kita raikan?
Rasis dan skeptikalnya masyarakat kita itu, dari sang anak kecil hingga ke orang dewasa. Sedangkan Allah itu menjadikan masyarakat itu berbilang bangsa dan agama.
Aku melihat bukti kebijaksanaan Allah yang menciptakan manusia dengan berbangsa-bangsa.
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui. (Ar-Rumm : 22)
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (al-hujurat : 13)
Sebelumnya, kenapa buku ini aku pilih untuk diulit, kerana aku ingin tahu pandangan seorang wanita yang berkahwin dengan lelaki negro. Aku ingin memahami apa yang dilihat penulis pada seorang lelaki negro.
Pada aku, secara individunya; aku skeptikal dengan lelaki negro. Barangkali kerana kejahatan mereka terhadap wanita, dengan segala jenis scam dan pengedaran dadah yang dilakukan sehingga mengkambing hitamkan entah berapa ramai rakyat Malaysia.
Dan bila buku ini aku baca, fikiran aku mula terbuka sedikit. Dan kerana sekelompok warga Nigeria yang jahat; terus aku cop seluruhnya negro itu berperangai begitu. Masya-Allah.. ceteknya pemikiran.
Walhal, Bilal bin Rabbah itu, lelaki berkulit hitam. Sahabat nabi yang dijanjikan syurga dan suaranya sampai ke langit syurga sehinggakan malaikat menantikan laungan azan-Nya.
Dan buat Dr. Hayya Bilal, terima kasih kerana membawa saya mengembara ke benua Afrika. Terima kasih kerana mengetuk minda bawah sedar saya, untuk tidak terus menghukum dan pukul rata semua negro itu sama.
Terima kasih, atas satu pengembaraan yang membuatkan saya punya satu keinginan untuk mengembara ke sana. Melihat bumi Allah dari sisi yang lain dan mengambil ibrah darinya. Terima kasih kerana berkongsi dengan saya satu budaya yang berbeza. Terima kasih juga, kerana mengizinkan saya melihat sesuatu dari kacamata dan kotak pemikiran Dr.
Sesungguhnya, budaya dan tradisi bangsa lain itu sesuatu yang indah; seindah penciptaan manusia untuk mereka yang ingin berfikir.
Laki aku negro kau peduli apa? Tulisan Dr.Hayya bilal. Buku ini ditulis dengan gaya dan bahasa yang cukup santai , sangat menarik untuk dibaca walaupun ringkas tapi ber" informative". cerita beliau adalah campuran rasa yang pelbagai, kesal , sedih dan lucu.
Bukan mudah berkahwin dengan warna asing lebih -lebih lagi warga asing yang tidak diraikan - negro. Bila baca buku ini baru sedar banyak sebenarnya anggapan kita terhadap negro dan Africa sebenarnya salah ! Tidak semestinya dan tidak tepat ! Dan kadangkala persepsi kita terhadap bangsa kulit hitam ini menjadikan kita bertindak zalim dan rasis terhadop mereka.
Bab yang paling saya suka , ialah bila penulis sendiri menjelajahi Afrika semasa melawat ibu mertuanya, tulisan beliau menjadikan afrika itu indah dan menarik untuk diteroka , rasa macam nak datang sendiri dan melihat keindahan negara itu serta merasai sendiri hal-hal unik dan berbeza disitu . Perbezaan setiap bangsa adalah untuk diraikan dan untuk saling kenal baru lah kita dapat melihat betapa Allah itu maha berkuasa , maha bijaksana. Perbezaan bukan untuk dipertandingkan yang mana lebih mulia dan hebat , jika perbezaan yang tuhan cipta ini menjadikan kita rasa lebih hebat dari yang lain , maka kita sudah hilang rasa kehambaan. Bila baca buku ini , akan fikir banyak kali betapa teruknya persepsi dan sifat pukul rata kita terhadap orang negro , dan betapa teruknya pengetahuan kita terhadap negara Africa . P/s : Negro ialah kata yang kurang sopan untuk disebut .
Dek kerana terlupa bawa buku semasa bercuti ke Beijing, aku beli buku ni di klia. Sebab paling murah. Hanya RM15. Membaca sepanjang percutian di Beijing. Buku ni banyak mengingatkan aku pada Dr Salawati. Lecturer International Law di UKM yang juga berkahwin dengan lelaki Negro. And have this kind of guts. And outspoken too. Aku selalu percaya masyarakat Melayu banyak sangat taboo. Terutamanya berkenaan jodoh. Sedangkan jodoh kan rahsia Allah. Dan banyak je aku tengok perkahwinan berasaskan normaliti masyarakat Melayu yang meroyan hari-hari. Selaim dari itu, aku baru tahu Afrika tu sebenarnya benua yang ada 54 negara dalamnya. Selama ni aku ingat Afrika tu negara. Sebab tu lah Tuhan suruh mengembara kan. Lagi banyak kita mengembara lagi banyak kita tahu keadaan manusia dan betapa kayanya kuasa Tuhan dalam penciptaanNya.
Seperti harapan penulis yang dinyatakan di bahagian prakata, buku ini memang membuka mata hati.
Walaupun tulisannya santai, maksudnya memang sampai. Mungkin kerana ia adalah perkongsian jujur daripada pengalaman dan pengamatan penulis setelah lebih 20 tahun berumahtangga.
Beberapa kali juga aku tergelak sendiri ketika membacanya. Boleh tahan kelakar juga Dr. Hayya ini.
Bahasa yang mudah (dan jujur) membuatkan pembacaanku laju. Tidak sampai satu hari!
Buku ini sangat menarik kerana selain perkongsian pengalaman hidup, penulis juga banyak menyelitkan fakta-fakta dari sisi geografi, agama dan segala hal tentang bumi Afrika yang aku tidak pernah aku tahu. Sungguh, aku tidak sangka punca Sungai Nil terletak di negara Uganda!
Kombinasi travelog, pengalaman hidup dan sejarah. Ditulis secara santai berselang seli humor.
Kebiasaannya buku sejarah sangat berat untuk dihadam. Gaya penulisan begini sangat sesuai untuk menerap minat kepada sejarah buat pembaca yang tidak minat sejarah.
Banyak menjawab persoalan saya selama ini tentang cabaran perkahwinan rentas benua. Rupanya perlu tabah daripada sebelum kahwin hinggalah beranak pinak.
Ada tips bagi yang ingin atau bakal menempuhinya.
Dari segi estetik, kertas buku seumpama novel bahasa inggeris. Automatik otak saya merasa santai sepanjang pembacaan.
Tidak puas melihat gambar tidak berwarna bagi saya yang suka 'mengembara melalui buku'.
Buku ini sangat bagus. Memang banyak tempelak kepada orang melayu kita, walaupun penulis seorang melayu. Di sinilah kita dapat kenal bagaimana rupanya melayu itu.
Highly recommended. Elok beli kerana hasil duit buku ini penulis akan gunakan untuk membina sekolah di Afrika.
Membawa cerita segar dan membokar banyak perkara yang kita tidak tahu mengenai benua Afrika. Menyangkal tanggapan yang salah mengenai Afrika dan masyarakatnya. Wadah anti-rasis yang menyelak kebenaran. Penyampaian penulis bersahaja dan lucu.