Buku ini menyentuh perkara-perkara yang kadang-kadang kita tak sedar pun kita buat. Lebih teruk lagi kalau kita sedar dan tahu, tapi sengaja buat. Dah namanya pun manusia. Tapi ini bukan alasan untuk terus ‘mengumpul harta’ yang tidak baik itu ya.
Kita carilah pahala, walaupun dari sekecil-kecil tindakan kita. Contoh? Kalau dalam poket kita ada RM50.20, mana yang kita bagi? Kita kata kita bagi 20 sen. Kalau kita bagi 20 sen, yang masih tinggal RM50. Agaknyalah mana satu milik kita? RM50 yang masih tinggal atau 20 sen yang diberi itu? 20 sen.
Ingat, kita adalah apa yang kita beri. Bukan apa yang kita miliki. Inilah pahala buat kita. Kita buang ‘harta yang tidak baik’ itu, gantikan dengan yang baik-baik sahaja. Okey?
Masa nak beli hari tu, aku berkira-kira antara tiga buku. Tanya pendapat kakak, ketiga-tiganya dia tak berminat sangat.
"Kalau ceramah dia, memang sedap dan best. Tapi penulisannya, tak tahulah."
Kesudahannya, aku ambil dua buku termasuk buku ini.
"Tak perlu kaya harta untuk ke SYURGA. Tapi perlu kaya jiwa kalau mahu tinggal di sana."
Dalam buku ini, banyak diolah berkenaan amal dan perkara-perkara yang sering kita buat dalam kehidupan kita. Perkara yang kita lihat remeh tetapi sebenarnya mendatangkan impak yang besar terhadap prestasi ibadah kita.
Paling utamanya, bagaimana kita mengemudi hati. Hati kita tu kalau baik, baiklah kita. Tetapi kalau buruk, maka buruklah kita. Bukan senang nak jaga hati. Bila hati dah mula keras, lagi sukar kita nak lembutkan semula.
Menariknya, kalau kita baca buku ini, seolah-olah kita tengah dengar Ustaz Elyas berceramah. Gaya bahasanya dan nadanya. Seolah-olah tergiang-giang di telinga. Bahasa yang digunakan cukup mudah difahami berserta huraian yang disertakan dalil-dalil.
Bab demi bab pula dihuraikan mengikut peringkat kehidupan. Dari perubahan diri, kemudian keluarga dan seterusnya didikan terhadap anak-anak.
Pokok pangkalnya, nak masuk neraka senang je. Nak masuk syurga memang sukar. Tapi jika kita tahu rahsianya, inshaAllah dimudahkan jalan kita ke syurga.
Tajuk buku "20 Sen untuk ke Syurga" yang ditulis oleh Ustaz Elyas Ismail itu sendiri sudah menarik perhatian saya ketika saya sedang membelek buku-buku di perpustakaan. Pada mulanya, saya tertanya kenapa 20 sen untuk ke Syurga? Bagaimana? Adakah kerana bersedekah 20 sen setiap hari? Untuk mencari jawapan, saya pun membuat keputusan untuk meminjam buku ini.
Dalam buku ini, ternyata bukanlah tentang sedekah sahaja. Ia lebih meluas, melibatkan kehidupan seharian kita. Ustaz Elyas Ismail menjelaskan secara terperinci dalam tulisan yang penuh santai dan mudah difahami mengenai muhasabah diri dari aspek amal jariah, pertuturan (lidah), taubat, perasaan, akhlak dan sebagainya. Ketika saya membaca buku ini, secara tidak langsung saya turut ikut bermuhasabah diri kerana setiap isi kandungan di dalam buku ini membuatkan saya sedar dan mula berfikir tentang kekhilafan yang telah saya lakukan tanpa saya sedar sebagai seorang muslim, anak, rakan, masyarakat. Dari bacaan ini, saya mula mendapat sedikit sebanyak ilmu yang perlu saya amalkan, serta pelajari demi manfaat pada masa depan.
Antara quotes yang masih memberi impak mendalam kepada diri saya adalah terletak di muka surat 29 : "Iman Ghazali berkata, "Cukuplah kamu disebut sebagai anak derhaka bila ibu kamu yang bertanya khabar tentang kamu."". Singkat, padat, menusuk, meledak.
Kesimpulannya, dengan penyampaian yang penuh santai ini, ia mampu memberi kesan yang membuatkan masyarakat bermuhasabah diri. Saya sangat suka dengan perkongsian setiap topik di dalam buku ini kerana ia relevan untuk membantu lebih ramai anak-anak muda dalam bermuhasabah diri dan membentuk akhlak yang lebih baik.
Mahabbah thabi’iyyah Cinta yang tabi’ iaitu cinta pada makan, cinta pada tidur dll.
Mahabbah syafaqah wa rahmah Cinta yang timbul dilandasi rasa sayang dah kasih. Cinta pada ibu bapa, cinta ibu bapa pada anak.
Mahabbah sahbah Cinta kasih seorang sahabat.
Mahabbah ‘ubudiyyah Cinta paling cinta. Cinta pada sang Pencipta. Cinta yang bersifat kehambaan.
Surah Al Baqarah ayat 222 “Sesungguhnya Allah sangat mencintai orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri”
“Mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, mensia-siakan orang yang mencintai adalah berbahaya”
Agak lambat aku menghabiskan pembacaan buku ni.. Buku ni banyak mengajar aku tentang erti sebenar sabar, ikhlas, bersyukur, rasa macam bagus (bajet bagus), tentang hati dan banyak lagi.. Terlalu banyak pengajaran didalamnya.. Sekiranya korang ingin cari sesuatu yang hilang dalam diri, elok lah baca buku ni.. Sangat recommended...
Gaya penulisan dan penyampaian yang mudah difahami.. Paling penting isi kandungannya sangat memberi makna...
(15/1/2025)✓ Buku ni banyak memberi pengajaran. Dapat membuka mata saya sebagai pembaca tentang pelbagai perkara tanpa saya sedar. Mengambil masa untuk memahami dan mendalami maksud-maksud isi di dalam buku ni. Telah mengubah prinsip saya tentang sesuatu perkara yang selama ini saya fikir perlu ikhlas dahulu.
Bacaan santai. Bahasa mudah untuk difahami. Tapi saya mengambil masa yang agak lama untuk memastikan saya memahami sedalam mungkin ilmu yang terkandung di dalam buku ini.