Pada tahun 2112 Masihi, manusia akan melupakan Tuhan. Agama dipakai seperti persalinan sutera – setiap orang memakainya mengikut agenda peribadi, terlihat suci dan mewah sekali. Asyik sekali manusia berbalahan, - sehinggalah pada tahun 2060 Masihi, Gempa Mega dan TsunamiRaya menjadi anarki teragung, memusnahkan peta dunia yang kita kenal hari ini. Sebahagian dariAmerika Syarikat tenggelam. Malaysia sudah terhapus ditampar Gempa Mega dan Tsunami Raya yang berjujukan; hanya tinggal sebuah dataran besar, diberi nama neo-Kuala Lumpur yang ditadbir oleh Tuan Presiden maha haloba.
Razieff adalah neo-Human yang didatangi mimpi tentang Tuhan. Anak tunggal saintis neo-Human Mama Juwita, dia berkelana menemui Buhaira’, seorang ulama tunggal neo-Human yang masih hidup untuk mempelajari suatu rahsia agung.
Sejarah adalah roda dan penghukum tegar kepada yang melupakan. Nafsu manusia yang terdidih bergumpal menjadi amukan perang di akhir zaman, sebelum menunggu Isa al-Masih. Ada rahsia di antara Buhaira’ dan Tinta Pujangga, juga tentang Bahtera Nabi Nuh yang akan menyelamatkan mereka. Mungkinkah Suatu Hari Nanti, Manusia Akan Melupakan Tuhan?
Setiap kali aku dengar perkataan saifai, aku akan bayangkan betapa lurus dan kakunya garis dan angle robot2 besi yang sejuk dan keras. Tapi bila baca buku ni, aku jumpa sisi lembut saifai itu. Bahasa yang digunakan sangat lembut, dan sungguh melayu.
Ya, itulah buku ini. Sebuah buku saifai yang sains dan melayunya diadun sebati. Bersama-sama beberapa perlambangan yang hampir serupa dengan kisah2 dalam alquran dan kitab2 yg lain.
Antaranya, Parr Ezekiel dan Melissa mengibgatkan aku pada hadis satu dalam hadis 40. Belalang robot yang sama dengan kisah nabi Musa. Tasik terbelah airnya. Tuan Pemerintah dan Kubah Gemawannya seperti Allah dan arasyNya. Kisah Judas dan Isa. Dan banyak lagi. Dan banyak lagi.
Satu karya yang aku akan suruh (paksa) semua orang baca mulai saat ini. Period.
Oh, dan typo dalam buku ini banyak. Hampir menjengkelkan aku.
Saya selalu skeptikal dengan penerbitan sai fai tempatan. Tetapi Fahmi Mustafa, bakat muda yang membuktikan dia berbeza. Beliau mengadun sejarah, sastera di dalam genre sai fai dengan indah. Ada beberapa bahagian yang perlu dibaca dengan terbuka.
Ya, pada penghujungnya; 'suatu hari nanti, manusia tidak akan melupakan Tuhan.'
Buku ini bukan tidak bagus sebab mendapat rating kurang dari aku. Malahan aku juga setuju dengan seorang pembaca ketika bercerita mengenai naskah ini bahawa Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan adalah sebuah naskah yang punyai potensi yang sangat tinggi dan besar untuk menjadi salah satu buku terbaik tahun ini. Cuma tiada perhatian yang diberikan buatnya untuk menjadikan naskah ini sebuah naskah yang paling, paling, paling bagus 2016!
Aku tak suka tengok kaver buku ni! Maaf~
Bab typo - aku tidak kisah sangat mengenai hal berkenaan. Aku cuba untuk pandang sebelah mata.
Cuma ayat yang kerap kali diulang oleh Fahmi di dalam naratifnya agak menjengkelkan. Mungkin pada aku saja. Mungkin juga itu trademark untuk buku ini. Tapi aku rasa, lebih baik jika hanya diletakkan di awal dan di hujung narasinya sahaja. (Maaf, itu sekadar cadangan amatur saya!)
Kekadang aku rasa watak-watak di dalam ini membebel dan sedang berceramah. Syukur bahasa Fahmi sangat baik membuatkan aku seronok untuk terus menyelak helaian seterusnya!
Apa-apa pun moga encik penulis akan terus maju di dalam dunia penulisan ini!
Kalau anda mencari sebuah cerita saifai kombat yang menggunakan laras bahasa klasik (?) dan berunsur jihad fi sabilillah gitu, saya cadangkan buku ini.
Cabarannya, anda kena meletakkan imajinasi anda jauh di hadapan. Bukan sikit-sikit punya jauh, jauhnya sampai melepasi 1511H (Kombat), 'dunia' yang ada sekarang ini sudah tidak wujud, dan manusia tidak mengenal lagi alif lam lam ha.
SUATU HARI NANTI MANUSIA AKAN MELUPAKAN TUHAN TERBITAN: SIMPTOMATIK PRESS IMPRIN: THUKUL CETAK SDN BHD PENULIS: Fahmi Mustaffa GENRE: Sains Fiksyen (saifai) Tajuk paling panjang dan menarik novel melayu yang pernah dibaca. Mematikan deria mengenali penulis sewaktu membacanya. Penulis berbakat yang sudah memperkenalkan diri dengan novel debut LAKNAT terbitan Fixi, menjadi kontroversi kerana ada cuplikan hubungan songsang homoseksual. LAKNAT adalah novel ‘bestseller’ untuk pembaca matang yang belum mengenali Fahmi Mustaffa. Kata pembukaan dari Azida Ishak yang digelar Puteri Saifai Malaysia itu sendiri sudah menyakinkan bahawa SHNMAMT menjanjikan sesuatu yang menarik. Novel 32 bab ditambah satu Epilog ini apabila dibaca seolah olah membaca puisi indah yang panjang penuh cerita yang saling kait mengait. Indah sekali garapan bahasa kuno dan baru yang diguna pakai. Setiap helaian 408 mukasurat tidak disia siakan oleh penulis. Terma terma fizik, kimia dan biologi dimanipulasi dengan baik tanpa melupakan jalan cerita yang mendebarkan gambarannya. Diutarakan sifat sifat manusia neo dan manusia proto, sesekali perlian pada sifat manusia di tahun 2016 setelah terjadinya Mega Gempa dan Tsunami Raya. Penulis membawa pembaca ke daerah 2100 dengan bijak sekali, sambil memperkenalkan watak watak penting yang akan membuatkan kita tertanya tanya apa kaitan mereka masing masing. Kaitan mereka disusun dengan baik sekali. Tidak menggelirukan. Pembaca akan menjadi sedikit kaget dengan aktiviti aktiviti Neo Human. Proses Pelupusan Tuhan, Isratin (gabungan Israel dan Palestin), Alif Lam Lam Ha dan lain lain kejutan. Watak watak Mama Juwita, Tinta Pujangga, Cincip, Syed Borhan, Razief, Isa tidak boleh kamu sebagai pembaca terlepas begitu sahaja. Rangkuman sifat sifat neo human dari Jaafar dan lain lain akan dapat kamu nikmati sambil berkhayal. Sewaktu membaca pengulas berdoa berat agar tidak dihomosekskan watak Isa dan Razief. Ya, saya berdoa berat kerana takut ia akan memusnahkan jalan cerita, pengulas juga jadi terbawa bawa sebenarnya. Setiap bab disertai dengan tajuk dan madah madah indah dari manusia proto. Salah satunya: Why reproduce when you know the world is ending? – Ben Lerner. Ini menjadikan novel SHNMAMT lebih istimewa. Sambil sambil membaca kamu yang tidak matang akan pasti menuduh Fahmi Mustaffa sedang bergolak jiwa dalam pencarian Tuhan, namun dia ada jawapannya di penghujung cerita. SHNMAMT seharusnya dibaca dengan hati yang lapang terbuka, sambil menikmati gabungan sains dan fiksyen. Saya ulangi INDAH SEKALI gabungannya. Sesekali penulis akan mencuri ruang untuk berjenaka apabila dia menggambarkan jalinan watak dan watak. Beliau bijak sekali memberi visual saat saat genting peperangan dan saat saat watak menemui ajal, tidak ada rasa malu dipihak penulis, itu adalah kelebihannya supaya tampil lebih ikhlas bercerita. Pembaca akan termanggu memikirkan tentang Nostradamus yang dipenggal kepala. Kata kata penyedap bahawa Tuhan itu adalah Artis. Pertanyaan tentang syurga ‘terpakai’, begitu juga dengan frasa frasa ulangan sebagai teknik penulisan digunakan penulis dengan baik sekali. Pembaca akan merasakan sesuatu apabila melewatinya. Untuk genre seperti ini, kita tidak akan dapat lari dari sifat sifat curang, pembelotan, rahsia, rampasan kuasa, kehebatan individu dan sejarah lampau yang ditekankan sebagai kuno. Suasana hasil imaginasi penulis sangat dikagumi antaranya kenangan lalu di Havard, Jaafar sebagai bekas metroseksual, kebaya kenangan dan banyak lagi. Pengulas tidak akan sekali kali memberikan sinopsis cerita dalam ulasan ini, kerana merasakan bahawa sekiranya kamu pembaca tegar yang meminati genre saifai atau kalau bukan sekalipun harus mendapatkan buku ini. Penerbit pula harus tahu bahawa buku ini ada nilai nilai layak dicalonkan untuk Bookerz Prize Asia. Buku ini harus diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris. Dibaik pulih silap ejaan yang sangat minima. Ditukar kulitnya. (yang sedia ada sudah menarik, cuma wajah Pyan Habib itu sangat dikenali).
Sebuah karya saifai yang bagi aku agak lain daripada yang lain. Semacam kontroversial tapi kalau dibaca dengan hati yang terbuka pembacaan kau akan tenang sampai ke akhir kisah. Elemen kemelayuan dan islam dipaparkan penulis namun dengan cara yang unik dan punya sedikit kelainan. Pada awal cerita agak slow dan aku terhenti-henti membacanya tapi apabila dah sampai ke tengah, jalan ceritanya semakin mendorong aku untuk terus membaca. Bagus cerita ni walaupun bagi aku ada sesuatu yang kurang. Tak teruja sangat membacanya tapi nak tau kesudahan ceritanya bagaimana. Semoga suatu hari nanti manusia memang tidak melupakan tuhan.
Karya seterusnya dari novelis Laknat, dari Fahmi Mustaffa seorang novelis yang berani mengangkat isu atau tema yang jarang diangkat, seperti LGBT dalam novel Laknat terbitan FIXI. Kali ini dalam novel terbitan Simptomatik Press, Fahmi bersurah tentang manusia-manusia yang suatu masa nanti akan melupakan Tuhan. Pendekatan dalam novel ini agak berlainan sedikit dari novel sebelumnya iaitu di mana novel kali ini bertemakan futuristik -bila dibaca seolah terkesan dengan 1511 Kombat karya Faisal Tehrani, tetapi dengan lenggok Fahmi sendiri. Beliau mengadunkan isu-isu ketuhanan ke dalam pertempuran dua golongan. Isu bangsa juga disentuh secara halus dan sipi. Isu ketuhanan ini jika ditinjau, terdapat juga dalam novel Laknat, yang kembali disentuh secara serius lagi metaforikal dalam karya beliau ini.
Wow. Penggunaan bahasa Melayu klasik campurannya buat aku kagum. Bagaikan membaca sebuah hikayat walaupun latarnya di masa hadapan. Manusia sentiasa dengan sikap tamaknya. Sampai sanggup berbunuhan antara satu sama lain demi kuasa. Berlagak Tuhan walaupun sebenarnya kerdil.
Jujur cakap, salut dengan penulisnya yang mengadunkan elemen sejarah, ketuhanan dan sains dalam cerita ini secara natural. Penggunaan bahasa ala-ala hikayat dalam dialog juga menarik. Ideologi nampak macam rumit, tapi penulis pandai memudahkan penyampaiannya menjadi suatu yang mudah difahami (lagi-lagi orang yang 'slow' macam aku hikhik).
Cuma aku tak tahu kalau ini sekadar masalah peribadi, tetapi aku cenderung sesat dalam jalan cerita. Antara punca yang membuat aku jadi begitu adalah pengulangan ayat sama yang berkali-kali, dan semacam ada 'pertelagahan' antara mahu letak suara penulis terhadap suatu situasi atau penceritaan situasi semata-mata. Ini amat jelas sewaktu babak perang.
Tetapi aku masih anggap naskhah ini amat menarik dibaca. Mind-boogling, in fact. Entah kenapa, aku teringatkan anime Ergo Proxy (yang aku tak habis lagi tonton ceritanya) semasa menghadam cerita ini.
I'm in awe with the Fahmi's wide knowledge. Like damn, man. I need to do a lot of reading myself in order to write something like this in the future. Hahaha!
Sci-fi dystopia? Entah kenapa pada permulaan pembacaan, aku nak pembacaan naskah ni rasanya seperti pembacaan 1984 oleh Orwell. Tapi aku tak dapat feel tu.
Aku rasa macam berdosa sikit bila baca bait-bait ayat "...yang tidak bertuhan ini..." ataupun "..yang tidak berpencipta.." walaupun bahasanya cantik tapi aku rasa agak keterlaluan pengunaan perkataan 'maha' dalam penulisan ini. Tiba-tiba menjadi takut kalau apa yang berlaku dalam SHNMAMT ni akan betul-betul berlaku.
Aku kagum dengan 'world building' cerita ni, tapi agak bosan kerana pembinaan dunianya boleh dikatakan perlahan. 150 muka surat pertama aku masih tak nampak arah tuju plot. Teknik ulangan, walaupun aku faham, untuk mewujudkan elemen dramatik, tetapi bila diulang dengan terlalu kerap, sangat menjengkelkan. Aku skip yang ulang-ulang tu.
Kalau anda minat saifai, boleh baca ni, sebab tiada rasa pelik (rasa macam kau tengok filem superhero melayu tu).
Aku beli buku ni di kedai fixi Sunway Putra Mall. Itupun tinggal satu. Memang betul-betul rezeki aku walaupun keadaan buku ini macam sudah dibelek-belek banyak kali tapi yang penting bagi aku adalah isinya.
Momentum: 4.5/5. Buku tebal tapi tk terasa payah untuk habiskan baca. Tingkat Bahasa: Bahasa klasik yang dimodenkan. Sesuai untuk remaja dan dewasa Ulasan: Saya sangat berpuas hati dengan karya FM ini. Gaya penulisannya sungguh menarik, dengan jalan cerita seolah2 fiksyen islamik. Jalan cerita pada saya biasa2 saja, menghampiri cerita sepertimana karya FT : 1511H Kombat. Tapi tingkat bahasa yg diguna pakai dlm karya ini pada saya tinggi lagi berjiwa klasik (yang dimodenkan) dan yang paling penting tidak langsung berasa bosan. Ada sesetengah perenggan ataupun ayat saya ulang baca semata2 ingin menghayati keindahan bahasa yang digunakan penulis. Dengan gaya bahasa yang sempurna untuk cerita seumpama ini (walaupun tiada ‘strong message’ hendak disampaikan), ‘thumbs up’ untuk penulis FM. Semoga berterusan hasilkan karya yang lebih hebat sesuai dengan kematangan usia. Ulang Baca: Ya. Difilemkan: Tidak. Disclaimer: Saya hanya membuat ulasan berdasarkan ilmu saya yang masih sempit dan terbatas. Lebih kepada pandangan peribadi dan bukan untuk umum. Background pendidikan bukan dalam bidang sastera, jadi sesuatu bacaan yang terlalu berat sasteranya sehingga terlalu payah untuk difahami akan saya nilai sekadarnya, tepat menurut hati dan akal saya. Setiap pandangan saya yang menampakkan sisi negatif atau kelemahan terhadap sesuatu tidak melambangkan lalu menjejaskan kredibiliti sebenar penulis ataupun yang berkaitan dengannya.