Himpunan 15 cerpen dengan tema cinta / romantik terpilih yang terbit di antara tahun 2000-2015.
"Api tidak lagi membakar. Air tidak lagi membasah. Tanah tidak lagi menyawai. Angin tidak lagi mengudarai. Semua kehilangan sifat dan zat kerana satu – cinta!" -Syair Bunga dan Pasir , SM Zakir-
"Perasaan itu hanya sebesar guli; cuma ia cantik mengilau – dengan spektrum warna pelangi yang halus bagai benang songket. Waktu ia melantun, cahayanya berekor – bagai pelangi, dan bunyinya lembut serta indah sekali. Tiap kali ia jatuh ke lantai, nadanya bagai not piano yang menyusun irama balada; manakala tiap kali bergesel pada dinding, bunyinya merengek bagai biola; nyaring tapi merdu." -Tiba-tiba Cinta pun Lenyap Entah ke Mana, Zainal Rashid Ahmad-
"Tukasmu, aku perempuan berjiwa besar dan jelita. Berjiwa besar kerana aku pengembara. Cantik kerana mataku. Kau langsung memelukku, melafaz kata-kata ortodoks ini; I love you!" -Tahun depan di Jerusalem, Azman Hussin-
Sekumpulan cerpen (2000-2015) yang memaparkan satu tema yang hebat yakni cinta. Cerita cinta boleh diukirkan seribu satu cara dan pelbagai gaya cerita kerana cinta itu sendiri merupakan satu tema yang luas untuk diperkatakan; tidak tertakluk cinta antara dua manusia sahaja.
Dari tema cinta padang pasir S.M. Zakir (yang saya anggap cerpen terbaik di dalam antologi ini) sehinggalah cerpen cinta realisme magis Zainal Rashid Ahmad. Saya beri 4.5 bintang untuk naskhah ini untuk mereka yang telah berusaha 'menyiram' cerpen-cerpen yang penuh wacana supaya terus bugar dan subur bagi memperkayakan bahan bacaan yang berkualiti untuk generasi baharu.
15 naratif dalam tema cinta dan perhubungan; yang janggal dan rapuh atau terpaling agung, terhalang kerana keluarga, darjat dan akidah atau dipisah sempadan jarak— agak klise tapi alur cerita tiap satunya sangat cermat dan agak menarik sebab setiapnya tak hanya tertumpu kepada konflik cinta semata; ada antaranya bersifat adventur dengan latar sejarah dalam pertempuran politik dan kuasa, kejatuhan empayar dan peperangan. Leka sungguh dengan laras bahasa para penulis yang mewah kosakata dan pandai mencantum emosi dalam perspektif dan fragmen nostalgia setiap watak.
Kesemua cerpennya aku suka tapi ada beberapa yang jadi kegemaran utama— dua cerpen bersambungan karya Saharil Hasrin; Cinta Antara Api Al Quds dan Cinta Di Dasar Al Quds (tentang dua jiwa berlainan agama di bumi Palestine), Syair Bunga Dan Pasir tulisan SM Zakir (merentas definisi cinta ala Laila-Majnun di tanah Najd dalam redup pohon tamar dengan latar pertelingkahan puak), dua cerpen cinta tak kesampaian karya Faisal Tehrani; Irisan-Irisan Mimpi (sureal dan agak sedih) dan Rindu Ini Luar Biasa (suka subplotnya yang mengangkat tema sastera dan perjuangan bahasa; “Kalaupun langit runtuh, bahasa Melayu masih bernama di bumi kita ini. Hanya kiamat yang akan memusnahkan bahasa paling romantis dalam dunia ini.”) dan Cinta Menyala Di Constantinople tulisan Fahd Razy (helaian surat cinta dari sebalik tembok Theodosius dalam kemelut ekonomi dan kuasa di Turki).
Sebuah kompilasi yang bagus kalau nak cuba baca atau memang gemar dengan kumpulan cerpen. Lagipun hampir kesemua cerpen pernah tersiar di akhbar/majalah atau penyertaan untuk penulisan hadiah sastera jadi diksi bahasanya sedap dibaca, agak puitis dan klasik dengan struktur cerita yang sangat kemas. 5 bintang untuk naskhah ini!
“Aku bagaikan seekor helang emas yang kepatahan sayap ketika menyongsong angin mengejar kapal cintamu di kala-kala sengketa ini. Aku tidak tahu di daerah sepi mana aku telah rebah.”
Himpunan 15 buah cerpen berkisar tentang cinta, tapi dalam bentuk yang lebih meluas, dilemparkan dalam subjek keamanan dan perjuangan serta penuh makna Islamiah. Barisan penulis hebat dan cerpen yang pernah tersiar di dada akhbar dan majalah, serta memenangi anugerah.
Apa yang memakukan saya untuk terus menatap antologi ini, selain barisan penulis yang sememangnya besar di dunia sastera, kepelbagaian teknik penulisan dan tema yang di bawakan. Setiap cerpen ada keistimewaan tersendiri, diolah penuh gaya dan elegen mengikut gaya setiap penulis sekaligus memberikan identiti tersendiri.
Tetap, beberapa cerpen berjaya memberi impak tersendiri, buat saya, antaranya: 1. Menjadi Perempuan by Hafizah Iszahanid 2.Bara Sang Suri by Zaniffa Azzura Abdullah 3. Syair Bunga dan Pasir by SM Zakir
Beberapa yang lain ada kelebihan tersendiri, tetap menarik andai di baca. Tetap, mampu menggerakkan sedikit nurani untuk lebih prihatin.
Cerpen-cerpen cinta terhebat dihimpunkan dengan niat membetulkan persepsi cinta dalam karya sastera. Ternyata, cerpen-cerpen ini bukan cerpen cinta biasa. Ada beberapa cerpen yang mungkin sukar ditangkap oleh pembaca yang kurang biasa dengan karya sastera, kerana teknik yang digunakan akan terperinci dan sophisticated (realisme magis misalnya).
Banyak yang tragik. Paling suka cerpen bersambung karya Saharil Hasrin Sanin iaitu Cinta antara Api Al Quds dan Cinta di Dasar Al Quds. Walaupun dapat diagak tentang apa tapi sangat meninggalkan kesan kepada diri.
Buku ini adalah kumpulan cerpen tentang cinta tapi ia bukan seperti cinta-cinta yang ada pada sesetengah novel. Cintanya, cinta yang bermakna. Saya, sungguh tidak betah dengan cinta dan tidak begitu mempercayai magisnya. Tapi buku ini mengembalikan jiwa itu.
Saya selalu menginginkan kisah cinta akan ditamatkan dalam keadaan tragis atau salah seorang watak utamanya mati. Dan keinginan itu ada pada buku ini.
Tapi selepas membaca buku ni, saya berfikiran ada cinta perlukan pengakhiran yang indah dan ada cinta perlu ditamatkan dengan pedihnya rindu juga pelajaran.
Mahu tahu, buku ini berjaya memecahkan empangan airmata yang telah lama bertakung. Sungguh pilu.
Cerpen Faisal Tehrani dalam buku ini sekali lagi membawa aku kepada Bahasa Melayu dan sekaligus mengingatkan aku tentang bacaan semalam iaitu Surat-surat Dari Maninjau. Begitu juga dengan Cinta Menyala di Constantinople dan cinta-cinta berkenaan dengan Tanah Palestin.
Cerpen-cerpen yang tidak membuatkan aku mual tentang cinta. Terima kasih
Kalau yang diharapkan ialah cerita cinta drama pukul 7, boleh lah tutup buku ni, sebab anda tak akan jumpa cerita macam tu dalam koleksi ni. Setiap satu cerpen adalah unik dan kaya bahasa. Kadang terasa sangat tinggi sehingga perlu baca dua tiga kali, tapi itulah kecantikan Bahasa Melayu. Sarat dengan mesej yang pelbagai dan bermakna, yang dikatakan cinta ( seperti antara kekasih kepada kekasih) hanyalah 'salt and pepper'.
CW: elemen erotika
Cerpen kesukaan peribadi, yang saya berikan 5 bintang: - Irisan-irisan Mimpi (Faisal Tehrani) - Menjadi Perempuan (Hafizah Iszahanid) - Bara Sang Suri (Zaniffa Azzura Abdullah) - Cinta di Dasar Al-Aqsa (Saharil Hasrin Sanim) - Cinta Menyala di Constantinople (Fadh Razy)
Aku bukan seorang yang meminati cerpen sastera. Umumnya kerana terlalu complicated and kadang-kadang susah untuk aku fahami plot sesuatu cerpen itu. Dalam naskah ini, aku meminati cerpen ke-3, yang mana membuatkan hati aku tersentuh dengan pengakhiran cerita cinta yang aku tak dapat gambarkan. Cerpen yang selebihnya aku kurang tumpukan perhatian kerana kebanyakannya berkisar kisah cinta Palestin. Bukan aku tidak menyokong saudara seIslam di Gaza, cuma aku perlu lebih banyak variasi tema cinta itu sendiri. Keseluruhannya, naskah ini boleh dibaca sebagai santapan minum petang.
Banyak cerpen yang sedap dibaca, malangnya ada banyak kesalahan ejaan (biasanya orang sebut sebagai typo bersepah), dan pada cerpen Faisal Tehrani ada muka surat yang dicetak dua kali, ugh ini semua benar-benar mencacatkan pembacaan.
15 cerpen cinta romantik yang dihimpunkan dalam 1 buku. Cinta terhadap bahasa, cinta terhadap negara, agama, rupa dan sebagainya. Cinta boleh menjadi suci juga boleh menjadi kotor. Cinta buat kita bahagia, malah ada juga yang menderita kerana cinta 🌸
Terpukau dengan keindahan bahasa yang diguna oleh semua penulis cerpen. Jalan cerita juga tidak klisé, bahkan ada yang memang tak terjangkau langsung.
Cuma agak terkejut dengan babak-babak asmara (yang selalunya digunapakai oleh penulis Barat) dalam beberapa cerpen yang hanya sesuai untuk pembacaan 18 tahun ke atas.
Siapa je tak suka cerita cinta? Ada cinta terlarang, cinta dalam peperangan, cinta yang sakit, cinta jauh, cinta yang menipu dan lain-lain. Tapi semua seronok dan bukan semata-mata kerana cinta.