Siapa yang tidak suka muda? Orang muda – cantik, segak, cergas, lincah, aktif, bertenaga dan bebas meneroka apa sahaja. Waktu mudalah permulaan segala transformasi diri. Ingin menjadi seperti itu, seperti ini, seperti dia, seperti orang itu dan macam-macam lagi. Sehingga akhirnya, lelah mencari identiti yang tiada kesimpulannya. Mengapa? Cantik sudah, segak sudah, bijak sudah, cergas dan lincah pun sudah. Tetapi, mengapa masih mencari-cari atau masih ingin meniru identiti lain? Remaja mesti mempunyai jiwa yang kuat untuk menghadapi pancaroba hidup. Untuk itu, iman perlu disuburkan selalu. Hidup remaja mestilah dipenuhi dengan program membina dan memperkuatkan iman. Program maksiat dan kemungkaran hendaklah dijauhi. Jika tidak, terimalah akibatnya. Remaja akan menderita dengan pelbagai masalah jiwa. Percayalah, tidak akan ada ketenangan tanpa mengikuti program Islam. Sering dipesankan agar kita beribadah sebanyak-banyaknya sehingga kita merasa letih dan tidak ada daya lagi untuk melakukan maksiat. Dunia tempat berpenat dan berjihad. Akhirat nanti tempat nikmat untuk berehat.
Pahrol Mohamad Juoi memulakan pengajian di sekolah kebangsaan Sungai Rokam, Ipoh dan kemudian ke sekolah Menengah Sultan Abdul Halim Jitra, Kedah. Walaupun berkelulusan dalam bidang Teknologi Makanan UiTM, namun sejak 1985 lagi beliau telah bergiat dalam bidang penulisan khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam. Ini dibuktikan dengan komitmennya sebagai wartawan, pengarang dan akhirnya Ketua Pengarang kepada beberapa buah majalah bercorak Islam sejak tahun 1986 hingga 1995.
Pernah menjadi Ko-kaunselor Yayasan Nurul Yaqeen pada tahun 1997/98, namun minat sebenarnya tetap dengan bidang penulisan. Sejak itu hingga kini, komitmennya dalam penulisan diteruskan dengan menjadi kolumnis kepada beberapa buah majalah seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Falsafah, Minda, majalah I dan Anis.
Selain itu juga beliau aktif menulis lirik-lirik nasyid bagi kumpulan nasyid Tanah Air seperti Hijjaz, Rabbani, Raihan, Inteam, UNIC, Saujana, Mestica, Firdaus, Saffone, Nowseeheart dan lain-lain. Antara lirik nasyidnya yang popular ialah Sumayyah, Suci Sekeping Hati, Mendamba Kasih, Siti Khadijah, Cinta Zainab, Setanggi Kasih, Zinnirah, Umar Al Khattab, Salehuddin Al Ayubi, Ratu Syahadah dan lain-lain lagi. Beliau juga menghasilkan skrip bagi rancangan TV antaranya Raudhah (ASTRO). Menjadi Pengacara dalam rancangan Islam di RTM.
Kini beliau adalah Pengarah dan Penyelidikan Modul merangkap Pengurus besar Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. sebuah syarikat perunding dan latihan yang terlibat dalam program latihan bagi agensi-agensi kerajaan, badan-badan korporat dan syarikat-syarikat swasta. Pengalamannya menjelajah negara-negara ASEAN, Uzbekistan, Pakistan, Turki, Jepun, China, Jordan dan Mesir menambah kematangannya dalam bidang penulisan dan latihan.
Hingga kini beliau telah menulis beberapa buah buku dari pelbagai genre penulisan. Antaranya: Melawan Arus (antologi cerpen), Jendela Hati (antologi Sajak), Turki: Iktibar Sebuah Empayar (kembara), Ideologi Kamal Ataturk dan kesannya terhadap Turki (politik), Tentang Cinta (remaja), Dua hati Satu Rasa, Untukmu yang Tersayang, Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau Kurang Zikir. Terkini, beliau juga adalah ketua editor majalah SOLUSI keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd.
Jujurnya ini buku pertama tulisan Ustaz Pahrol yang saya baca walaupun sudah banyak buku beliau di pasaran.
Sudah beli sekitar dua tahun lepas, tapi baru tergerak mahu baca. Mungkin sebab ianya menyentuh soal pemuda, buat saya ingin membaca belaian kata Ustaz Pahrol.
Membaca buku ini saya tidak hanya fokuskan kepada isinya sahaja, tapi saya melihat dan belajar bagaimana seorang penulis prolifik dalam genre pembangunan diri ini menulis dan menyusun katanya.
Saya menganggap segala nasihat ini datang dari seorang ayah yang telah melalui usia muda dan tentunya tahu di mana lubang yang tak patut dipijak dan jalan mana yang patut dielak.
Rangkuman kata-kata beliau tidak mengajar-ngajar tapi lebih kepada mengajak, itulah teknik penulisan yang benar dan berkesan. Tidak saya jumpai kata-kata ‘kau itu kau ini’ yang saya rasa agak kasar dalam mengajak seperti lambakan buku-buku motivasi dan ‘sentap’ hari ini. Demikianlah bahasa yang diajarkan oleh ‘bapa’ kita ini.
Walau isinya ada didapati di beberapa tempat wujud pengulangan, ianya masih boleh diterima. Satu-satu nasihat yang penting mestilah diulang-ulang dengan bahasa yang berbeza, supaya ia lekat dalam minda pembaca untuk diamalkan.
Hati yang telah menempuh rencam dunia ini adakalanya perlukan rehat & rawat untuk pulih semula, dan rehatnya adalah dengan solat dan zikir kepada ALLAH. Itulah RnR hati kita.
Kalaupun kita dipandang rendah, apa yang hendak dirisaukan sangat. Kita bukanlah "kita yang dinilai oleh orang lain", tetapi "kita yang dinilai oleh diri sendiri dan dinilai oleh Allah.
Alhamdullilah, sedikit sebanyak buku ini dapat membantu menyedarkan saya yang lalai dan terlupa.
Alhamdulillah, akhirnya selepas dua tahun, saya berjaya untuk habiskan buku ini. Perkongsian ini bukanlah "review" untuk komen tentang buku ini, tapi apa yang saya rasa semasa baca buku. Dalam menghabiskan buku ini, beberapa kali saya mengalirkan air mata. Mungkin kerana terjentik dengan isi buku setelah sekian lama "menyorok" dari orang ramai. Mungkin juga masa untuk memulih kembali Luka yang lama. Mungkin juga asbab buku ini, akan mengembali kembali semangat yang telah lama hilang entah kemana. Semoga dengan asbab buku ini, mampu lagi mengetuk jiwa-jiwa lain terutamanya remaja agar terarah ke arah halatuju hidup yang sebenarnya.
Sebuah catatan nasihat buat umat islam terutamanya. Tenaga muda kerap dikerah untuk perihal dunia. Urusan dunia sememangnya memenatkan jiwa dan hati kita. Lalu kita harus merehatkan hati yang penat itu dengan Zikir kepada Allah.Lakukan amalan yang menghubungkan kita Allah termasuklah Solat, tilawah alquran dan wirid. Hati juga kadangkala ditimpa sakit. Hati sakit dan luka kerana dosa. Lalu ia perlu dirawat dengan taubat kepada Allah. Inilah rangkuman nasihat dalam buku ini. Kita sentiasa muda untuk memperbaiki diri dan mengaut kebaikan.
Buku ini terbahagi kepada 3 bahagian.
Bahagian pertama:Identiti anak muda.
Nasihat buat kita untuk sentiasa memperbaiki diri. Memanfaatkan hidup kita dengan kebaikan terutamanya masa muda. Orang muda banyak tertipu dengan masa mudanya yang digunakan mengejar segala isi dunia sehingga terlupa untuk merawar hati yang penat dan mengubati hati yang luka serta sakit.
Bahagian kedua: Mencari cinta
Ustaz Pahrol merungkai perihal cinta yang didominasi oleh orang muda dan remaja. Cinta tiada salahnya. Cinta punya disiplin. Sama ada kepada tuhan, manusia dan diri sendiri. Cinta itu naluri suci manusia namun dikotori aturan dan tatatertib yang berpandu Syara'. Ustaz Pahrol mengajak kita mengikuti garis panduan dalam bercinta.
Bahagian Ketiga:Peribadi dan perilaku Nan indah
Nasihat dan saranan bagi memantapkan peribadi seseorang muslim.Peribadi yang luhur dan hubungan sesama manusia.Akhlak yang perlu dijaga ketika bertutur kata, bergurau dan bermuamalat.Pada bab ini lebih mengajak kita untu muhasabah diri kita semula.
Membaca buku ini serasa seperti sedang mendengar nasihat dari orang tua kita.
Karya² Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang sentiasa menyentuh lembut jiwa² yang sedang lelah dengan ujian kehidupan.
Di ending buku ni, Ustaz ada masukkan Firman Allah:
"Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada. Dan janganlah kamu membelakangkan seruan-Ku dengan terus melakukan dosa."
(Surah Hud 11:52)
Allahuakbar, part Allah kata "Allah hantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada" memang betul² menyentuh hati aku.
Cuma dalam buku Ustaz kali ni, ada bahagian² yang diulang-ulang ayatnya. Tapi takpa.
And aku suka jugak, cara ustaz tamatkan buku ni dengan ayat sebegini yang buatkan aku rasa kita semua hamba Allah yang mencari redha-Nya. Ayatnya berbunyi begini:
"Anggap sahaja buku ini sebagai satu perkongsian kecil antara saya yang daif ini dengan para pembaca yang budiman. Mengajak, bukan mengajar. Kita hakikatnya adalah sama. Sama-sama berperanan sebagai musafir yang sering kelelahan dalam kehidupan dunia yang penuh ujian ini.
"Ingatlah, perjalanan hidup ini ialah perjalanan hati bukan perjalanan kaki. Jika hati kuat, sihat dan bertenanga, segalanya akan jadi indah & mudah."
buku ni ada orang bagi. biasa dah, buku ustaz pahrol ni memang bahasa agak berat. sampai bila nak baca buku ringan je kan? so bila dah berat tu, tiap ayat tu kadang kena baca berkali sebab nak fahamkan ayat. fuhh.. disebabkan itu, aku ambil masa macam sebulan. eh. dua bulan. eh.. berbulan-bulan buku ni sebelah bantal aku. konon bila buku tu sebelah bantal, boleh la termotivasi nak baca bila baring-baring. tapi.. bukak je.. terus ngantok. masyaallah.. buku yang bagus untuk pengisian jiwa.
'Kalau kita gagal pula, bagaimana? Kita tidak sakit jiwa. Kita yakin Allah yang menggagalkan kita. Allah tahu kita telah berusaha. Jadi apabila digagalkan, tentu ada hikamh yang tersembunyi. Kita kembali kepada konsep yang sudah kita bincang awal-awal tadi, bahawa kita ini hamba dan layak diuji.
Muda bukanlah sekali dan disebabkan bukan sekali ia perlu dijaga dengan penuh rapi. Muda yang terjadi tidak akan sama sekali berulang seperti sebelumnya. Penulis RnR Hati ini cuba mengajak penonton untuk bermuhasabah tentang diri dan kehidupan telah dilalui selama ini di samping penulis turut memuatkan tentang hukum hakam dan tauhid kejadian serta ilmu fekah yang harus dipelajari...
Pada mulanya, hati teragak-agak untuk membeli kerana fokus buku ini lebih ke arah jiwa remaja, walhal empunya diri sudah dewasa :). Pun begitu, nasihat agar hati direhatkan dan dirawat melalui pembacaan naskah ini memang berbaloi. Segala apa yang dituturkan boleh dikongsi bersama rakan-rakan remaja di sekeliling kita. Ada juga bahagian di dalam buku ini yang boleh diguna pakai untuk semua peringkat umur amnya, dan bagi pendapat saya penulisan ini juga boleh dijadikan sebagai inspirasi teks khutbah pada hari Jumaat.
Ringkasnya, buku ini dibahagikan kepada tiga; Identiti Anak Muda, Mencari Cinta dan Peribadi dan Perilaku Nan Indah. Penulis berjaya membahagikan dan mengaitkan 3 topik utama di dalam penulisan beliau. Topik ini sememangnya berkait rapat dengan orang muda, bahkan semua yang masih berjiwa muda walaupun secara fizikalnya tidak sebegitu rupa. Penulis memberi fokus kepada apa yang patut kita lakukan di dalam kehidupan, bagaimana hendak mencapai apa yang diimpikan dan tidak membuang masa di waktu kita masih segar untuk mengejar sesuatu.
Penulis tidak pernah gagal dalam menyentuh hati saya dengan gaya penulisannya yang sangat ikhlas, jelas dan terang. Penulis tidak perlu berkias atau menggunakan pendekatan perlian sepertimana pendakwah lain gunakan di dalam penulisan mereka. Itu yang paling saya suka dalam hampir kesemua penulisan Ustz Pahrol yang sempat saya baca. Moga Ustaz Pahrol terus maju jaya dalam penulisan.
Dan anda di luar sana yang meniti alam remaja atau baru sahaja melangkah ke peringkat awal dewasa, anda harus baca dan hayati apa yang cuba disampaikan di dalam naskah ini, moga Allah merahmati segala usaha kita ke arah mendekatiNya.
This book realize me about how important we as a teenager for managing our time before its too late. This book reminds me a lot of sweetness blessings from Allah and how to create the relationship with Him closely without waiting our old-time.
3) Identiti Anak Muda, Mencari Cinta, Peribadi dan Perilaku Nan Indah.
4) Setiap bab mempunyai beberapa topik.
5) Antara topik yang menarik : Muda Saat Terbaik Dekati Allah, Masa Itu Nyawa, Hati-hati dengan pedang masa.
6) Bagi aku buku ini agak berat untuk dihadam sebab tu aku ambil masa yang agak lama untuk baca buku ini.
7) Walaupun isinya agak berat tapi tetap bermanfaat.
8) Himpunan nasihat untuk jiwa yang mungkin sedang penat @ tenat.
9) Memang tak rugi baca buku ini.
10) Bawalah hatimu berlari. Jika penat berehatlah. Kemudian berlarilah lagi. Walau penat, jangan sekali-kali berhenti. Di sini memang tempat berpenat, di sana nantilah tempat kita berehat !