Membaca sejarah itu bagai mempelajari sikap dan usaha untuk bertahan, laksana menyiapkan suluh untuk melihat lubang yang menjayakan kegagalan insan terdahulu.
Kelak anda akan tahu apakah erti kebijaksanaan dan kemuliaan, sikap anda akan dimegahi ramai merentas masa demi masa hingga ke akhirnya.
Soalan serius: Kenapa artikel terakhir (perang Portugis, Belanda dan Johor-Riau) seolah-olah klimaks sesebuah cerita? Belek-belek terus habis. Teruja tak habis lagi.
Baiduri Segala Permaisuri amat elok dibaca oleh mereka yang berminat tentang sejarah nusantara pra-Kesultanan Melayu Melaka, dalam bentuk penyampaian yang kontemporari. Artikel demi artikel, Cik Srikandi mengupas dan menyampaikan fakta-fakta dan tafsiran sejarah yang banyaknya 'membetulkan' fakta-fakta sejarah yang telah sedia terserap oleh rakyat Malaysia umum melalui ringkasan mata pelajaran sejarah di sekolah, ataupun buku-buku yang telah diselenggara dengan informasi yang kekurangan bukti atau artifak asalnya.
Oleh kerana saya bukan pelajar sastera, sejarah (khususnya sejarah nusantara) bukanlah forte saya, jadi saya tak nak komen banyak tentang info dalam isi kandungannya. Mungkin sebab saya tak baca koleksi catatan pertama Cik Srikandi (Emas Para Dapunta dan Maharaja) maka ada artikel yang terus masuk ke isi tanpa pengenalan yang berstruktur kemas. Contohnya, berkenaan dokumentasi kewujudan kerajaan Melayu dipecah-pecahkan kepada beberapa artikel yang berselerakan, yakni di awal buku (yang menerangkan asal usul nama 'Melayu') dan di hujung-hujung buku (yang mencatit bukti bahawa 'Melayu' telah disebut di dalam teks Ptolemy, batu bersurat Chenla, serta catatan sami Yi Jing (adakah sama dengan I Ching, biksu China m.s. 85?)
Oleh kerana buku ini merupakan koleksi catatan daripada blog Cik Srikandi sendiri, saya memahami bahawa artikel-artikel tersebut terbit dalam bentuk karangan yang tidak berkesinambungan. Tetapi kalau diterbitkan dalam bentuk buku, mungkin saya lebih selesa jika artikel-artikel ini dirumpunkan mengikut tema umum atau kategori (seperti buku Semoga Tuhan Merahmati Sains oleh Asif A. Khushaini yang menyusun informasi sains kepada 7 kelompok atau bab). Mungkin saya boleh habiskan buku ini dengan lebih cepat sekiranya artikel-artikel ini disusun mengikut tema/bab tersendiri ataupun sekurang-kurangnya disusun mengikut kronologi. Maka tidaklah saya keliru membaca tentang Pedang Qala'i keluaran kerajaan Kalah pada abad ke-3 Masihi selepas membaca tentang Jim Thompson diculik Malay Big Foot pada tahun 1967.
Cik Srikandi juga pedas orangnya (mungkin tak sepedas beberapa buku keluaran Dubook) jadi kalau anda selama ini terima sejarah bulat-bulat tanpa mengkaji, habislah anda terkena sindiran Cik Srikandi. Namun apa yang membuatkan saya rasa kurang selesa membacanya adalah sindirannya. Bukan bererti saya termasuk dalam golongan yang terima sejarah bulat-bulat tanpa mengkaji, tetapi gaya menyindir dan merendahkan pembaca yang ingin belajar sesuatu menghilangkan konsentrasi dan memudarkan minat pembaca untuk belajar sejarah.
Ketiadaan liputan sejarah Borneo membuatkan saya kecewa. Mungkin sejarah Borneo tidak sepenting sejarah Thailand, Arab dan China. Sayang, sebab sebagai anak Borneo, saya rasakan bahawa sejarah saya tersisih daripada 'kebanggan sejarah tempatan' yang diuar-uarkan Cik Srikandi.
Overall, Baiduri Segala Permaisuri ialah sebuah buku yang informatif.
Baiduri Segala Permaisuri merupakan satu kompilasi catatan Cik Srikandi berkenaan sejarah di bumi Melayu pada zaman silam. Catatan-catatan dalam buku ini boleh tahan mind-blowing & intriguing juga. Namun aku ada beberapa masalah yang boleh tahan besar dengan buku ini sehingga ia mengganggu pembacaan aku, antaranya adalah sumber rujukan yang tidak kemas. Sepanjang pembacaan aku, aku asyik terpikir "Mana dia tahu benda ni? Mana dia dapat benda ni?" Aku tak expect pun penulisan ni 100% seperti penulisan akademik, tapi bagi aku, kalau Cik Srikandi nak yakinkan orang orang yang buta sejarah yang Cik Srikandi sering sindir dalam penulisan ini mahupun orang yang celik sejarah, bukankah kekemasan sumber rujukan itu perlu dititikberatkan? Aku memang pantang sikit hal-hal rujukan ni, maaflah T___T
Cara penulisan Cik srikandi pun membuatkan aku terganggu juga. Aku tak pasti aku yang terlalu dungu atau memang ada sesetengah tulisan didalam ini yang rumusan atau pembuktiannya tidak cukup menyakinkan pun. Mungkin sebab Cik Srikandi nak buku ini nampak hip dan ringkas kot supaya boleh masuk dengan anak anak muda. Entahlah, cuma mungkin lebih baik jika Cik Srikandi dapat huraikan lagi dengan lebih terperinci bagi jelas apa sebenarnya yang Cik Srikandi nak sampaikan huhu. Dan terakhir sekali yang aku paling tak selesa ialah Cik Srikandi ini terlalu sinis & aku dapat merasakan ada nada 'holier than thou' dalam penulisannya. Iya, kita paham Cik Srikandi geram dengan anak anak muda yang buta sejarah, geram dengan sejarawan yang kononnya liberal yang selalu merendah-rendahkan sejarah di bumi Melayu, namun bila selalu diulang ulang nada sindiran tu, aku jadi letih.
Tapi overall, buku ini terselamat dari diberi satu bintang saja sebab fakta fakta dalam tu sangatlah power dan masa baca tu aku macam 'wow Melayu power nak mampus,' terutamanya bab pedang dan angka sifar tu, fuh.
Selain daripada penyingkapan-penyingkapan sejarah Asia Tenggara, saya tidak berasa terangkat bontot dengan isi-isi yang disampaikan minah ini. Sajak-sajaknya teruk. Saya baca pun jadi bingung.
Selain itu, banyak sumber bacaannya tidak disenaraikan dengan kemas. Atau kekadang juga tidak ada. Kekadang terasa seperti kita mahu bertanya, mana dia dapatkan sumber-sumber ini? Di universiti dulu tidak diajarkan citation kah? Bukankah ini tulisan akademik? Kalau jika ia dipertahankan dengan hujah bahawa ini bukan, maka buku ini tidak perlu dipandang serius pun.
Ada juga saya berasa seperti, eh, yakah? Dengan bukti-bukti minimal, CS selalu membuat rumusan yang terburu-buru. Ada masanya kita tidak nampak hubungan yang jelas pun antara satu premis kepada satu premis yang lain: oh ini tamadun kita! oh ini sumbangan pribumi! dll dll dll. Ya ya ya tapi saya sebagai pembaca tidak berasa begitu yakin dengan penemuan anda. Mungkin lebih banyak titik yang perlu disambungkan supaya idea-ideanya tampil jelas dan berhubung-kait. Faham tak? (habislah Johan, sekarang kau ialah anak melayu yang tak bangga dengan sejarah nenek-moyang).
Sikap defensif Cik Srikandi juga memualkan. Saya mengerti sekiranya CS berasa jelek dengan anak-anak muda yang tidak menghargai sejarah atau sarjana-sarjana yang tak bersependapat dengannya (bukankah mereka layak disalib?), tapi sikap menyalahkan itu-ini dengan nada agresifnya berkali-kali tanpa jemu merendahkan lagi martabat buku ini. Daripada dua bintang yang diletakkan pada awal, saya titipkan satu.
Bila aku dah habiskan baca buku ni, fikiran aku mula menerawang untuk travel ke selatan Thai. Banyak sejarah tentang bangsa Melayu yang masih belum discover sehinggalah sekarang.
Ada sesetengah cerita ni macam dibiarkan tergantung meninggalkan persoalan-persoalan yang berpusing-pusing dalam minda aku. banyak nama-nama yang aku masih keliru. lastly, buku ni aku sangat enjoy membaca. 2 hari je dah habis. lepas ni aku nak baca rentaka sekalian bijasura pulak.
Maksud peribahasa di atas lebih kurang sama dengan pepatah Inggeris yang berbunyi, 'Don't judge a book by it's cover'. Kerana apa saya masukkan peribahasa tersebut dalam ulasan ini? Sebagai peringatan. Peringatan buat diri supaya jangan menilai isi buku melalui kulitnya. Haha.
Jujurnya saya tertarik untuk membeli dan membaca buku ini apabila melihatkan kulit buku (dan juga sebab terfaktab buat jualan selamat tinggal) ini yang nampak gah dan tajuknya yang agak menarik. Pada mulanya saya sangkakan buku ini bergenre fiksyen, seperti cerita hikayat-hikayat lama tetapi rupa-rupanya bukan. Buku ini adalah catatan tentang sejarah Tanah Melayu oleh Cik Serikandi.
Saya tidak ada masalah malah lebih gemar dengan buku bergenre fakta terutamanya sejarah. Namun saya ada masalah dengan buku yang bergenre fakta tetapi susunan fakta dan bukti tidak disertakan atau sangat kurang. Ketika membaca buku ini, saya juga menghadapi kesukaran untuk memahami sesetengah cerita sejarah (dan juga puisinya?) yang dihamburkan oleh Cik Serikandi. Mungkin Cik Serikandi cuba menjadikan tulisannya lebih 'cool' dengan membuang beberapa disiplin penting dalam penulisan fakta supaya lebih senang (?) difahami oleh anak muda.
Tetapi, terus terang saya katakan cara tersebut agak tidak sesuai untuk genre sejarah. Sejarah memerlukan bukti dan fakta serta rujukan yang kukuh. Bukan sekadar andaian. Saya tidak ada masalah dengan beberapa andaian dan pandangan Cik Serikandi mengenai sejarah Tanah Melayu, tetapi biarlah hujah tersebut disokong dengan rujukan yang kukuh. Jika tidak ianya tidak ubah seperti teori-teori konpirasi. Haha.
Di dalam catatan ini juga, Cik Serikandi menemplak beberapa sejarawan 'liberal' yang banyak berkiblatkan pandangan barat dalam menafsirkan sejarah Tanah Melayu, terutamanya dalam isu Hang Tuah. Cik Serikandi menggelarkan mereka sebagai golongan yang kurang membaca dan mengalami 'denial syndrome'. Hujah Cik Serikandi yang mengatakan Hang Tuah bukan mitos dengan hanya menyebut wujudnya perkataan 'laksamana' dalam dokumen Ryukyu merujuk pada Hang Tuah bagi saya agak lemah dan tambah pula cara kritikan Cik Serikandi itu tidak kena bilamana sejarawan yang dimaksudkan membentangkan hujah secara akademik (juga dibukukan) tetapi dibalas secara 'malas' (?) malah selebihnya penuh sindiran sahaja. Cik Serikandi juga turut mempertikaikan bahawa Barat itupun mengangkat cerita King Arthur dan Merlin sehingga banyak dibuat pementasan teater serta drama bersiri. Perlu diingat bahawa mereka mengangkat cerita King Arthur dan Merlin sebagai hikayat dan mitos, tidak pernah dianggap sebagai sejarah.
Pun begitu saya harapkan agar penulisan Cik Serikandi selepas ini jika ianya tentang sejarah, silalah menulis 'citation' supaya pembaca dapat membezakan antara fakta dan pandangan Cik Serikandi. Untuk akhirnya, ingatlah bahawa rakyat dan bangsa yang mempunyai jati diri adalah yang tidak berbohong akan sejarahnya demi dipandang tinggi oleh orang lain.
Buku ni temanya berat.Tapi tu bukan bermaksud kau tak perlu baca buku yang genre macam ni.Berat,tapi semua adalah fakta sejarah yang kita perlu tahu.Kalau dah tahu,tak de lah kau rasa yang idea penjajah tu semua betul.Tak..Dalam buku ni,kita akan tahu kehebatan nenek moyang kita Bangsa Melayu.Bak kata penulis,sejarah kita bukanlah sesempit dari Perlis ke Sabah dan selepas Melaka diislamkan.Sejarah kita..Jauh lebih lama dari tu.Dan kita akan terkejut kalau kita tahu siapa nenek moyang kita yang sebenarnya.Penting bagi kita mengkaji sejarah supaya khazanah kita ni tak pergi ke bangsa dan negara lain.Orang-orang luar tu semua siap gebang kata warisan dengan tempat tu semua berasal dari mereka.Yang kita?Emm..Tengok je lah
Selepas siap baca buku Emas Para Dapunta,memang tulisan Cik Srikandi punyai aura misteri dan daya penarik yg tersendiri..sebab tu aku sambung baca buku Baiduri Segala Permaisuri ni..tapi seperti yg dinyatakan Cik Srikandi dlm bab awal buku ni,untuk buku ni pendekatannya lebih serius berbanding sbelum ni. Memang benar, ia begitu serius sehingga anda terasa sendiri keseriusan itu. Kandungan dlm buku ni lagi padat dan banyak, juga meluas sehingga ke Eropah. Buku ni bagus dibaca untuk kita ketahui sejarah kaum Melayu dari dahulu lagi, beratus-ratus tahun dahulu, sbelum era Melaka. Memang kajian beliau sangat bagus dan boleh membuka minda kita dan menambah ilmu sejarah dlm diri kita
Tulisan kedua dari Cik Srikandi yang saya baca selepas Emas Para Dapunta dan Maharaja. Untuk buku Baiduri Segala Permaisuri, penulis meneruskan kesinambungan tentang asal usul bangsa Melayu di pelusuk Asia Tenggara. Jika Emas Para Dapunta dan Maharaja penulis lebih mengetengahkan kepada hubungan di antara bangsa Melayu dengan bangsa Khmer (Kemboja) ketika era pemerintahan Srivijaya, untuk Baiduri Segala Permaisuri penulis mengajak pembaca untuk mengenali istilah (bahasa) Melayu yang digunapakai suatu ketika dahulu. Malah penulis mengemukakan bukti-bukti bahawa bahasa Melayu punya hubung kait dan persamaan dengan bahasa serantau yang lain (pada waktu tersebut) sekaligus menafikan bahawa bangsa Melayu baru wujud (dengan secara tiba-tiba muncul) ketika zaman pemerintahan Parameswara di Melaka.
Kehebatan bangsa Melayu juga tidak mampu disembunyikan lagi dengan penemuan meriam kerajaan Melayu Singgora (Songkhla) di England yang mana secara realitinya kebanyakan bangsa Melayu di Malaysia khususnya tidak sedar akan kewujudan kerajaan terdahulu ini. Dengan penemuan baru tapak arkeologi di Sungai Batu, Kedah, maka semakin kuatlah bukti bahawa bangsa Melayu bukanlah calang-calang. Fakta menunjukkan bahawa tapak arkeologi Sungai Batu merupakan sebuah tapak tamadun manusia tertua di Asia Tenggara. Malah dengan penemuan tinggalan kapal-kapal purba di sekitarnya mengatasi umur kapal-kapal purba dunia yang lain seperti Kapal Vasa, Sweden (dibina abad ke-17) dan Kapal Mary Rose, England (dibina abad ke-16).
Terlalu banyak sebenarnya penemuan yang saya sendiri pun tidak akan sedar kewujudannya sekiranya saya tidak cakna dan membaca apatah lagi dengan kekurangan bahan maklumat yang sepatutnya diuar-uarkan kepada rakyat Malaysia. Saya mengharapkan badan-badan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal ini untuk sentiasa mengemas kini maklumat sejarah ‘kita’ yang saya kira cukup berharga untuk kita simpan dan diteladani. Jika bukan kita sendiri yang menjaga dan memuliharanya, siapa lagi?
Sejarah Melayu bukan sesempit dari Perlis sehingga Sabah. Sejarah Melayu bukan bermula dari zaman Kesultanan Melaka atau kedatangan Agama Islam. Islam melengkapkan lagi sikap berdikari dan kesusilaan bangsa Melayu,sepertimana catatan era dinasti Sui lama sebelum kedatangan agama Islam yang suci:
".…mereka menganggap tangan kanan sebagai suci dan tangan kiri sebagai tidak suci. Mereka mencuci setiap pagi, membersihkan gigi mereka dengan kepingan kecil kayu, dan tidak gagal untuk membaca atau membaca doa mereka… "
Sebab itu mereka memilih agama Islam kerana agama ini mengajarkan kesusilaan yang sesuai dengan jiwa mereka.
---------------
Its mind blowing! Bangsa yang tidak mengenal sejarahnya, bangsa yang hilang identitinya. Sekarang ini, kita sebagai generasi alaf baru mesti bangkit untuk memperkasa jati diri bangsa Melayu khususnya. Generasi lama yang dididik bawah British perlu diketepikan supaya generasi kini yang terbuka dengan pemikiran baru perlu bangkit untuk mempertahankan bangsa ini.
Alhamdulillah... selesai. Buku yg tak boleh baca langkau muka surat. Terima kasih kerana terlahirnya buku ini.. semangat patriotic terasa membara. Sudah membaca buku 'emas' dan kini 'baiduri'. Menuñggu yg seterusnya.
I really adore Cik Srikandi's knowledge! How the hell she can dig and dive into such historical findings!
Paling best bila dia sound orang yang buat buat buta sejarah. Mengekek aku gelak. kahkahkah!
Tapi tu la, penulisan dia agak tidak ada kesinambungan dengan each other macam jump jump gitteww. but I understand it was her notes, some like catatan, so faham la kot sebab apa dia macam lompat sana lompat sini.
Lagi satu, bila baca buku ni kome jangan malas, bila Cik Srikandi ada mention any names or facts, you can also google it. Kiranya tulisan Cik Srikandi ni is like a door to a new knowledge la. You can open each doors,one after another and the most precious thing for me is bila you tahu something new you will utter "ohhh woow"
Buku ini menceritakan tentang banyak hal-hal sejarah yang menarik dan tidak diceritakan secara terperinci semasa belajar di sekolah. Banyak fakta yang memang sukar untuk dihafal semuanya jika baca sekali lalu. Antara perkara yang saya dapat belajar serba-sedikit ialah tentang asal-usul orang Thai, sejarah kedatangan Portugis dan kemudian Belanda ke Melaka, kepentingan bahasa Melayu dan asal-usul bahasa Melayu, kecanggihan senjata pada zaman kesultanan Melayu, sebab penyumbang kepada kejatuhan Melaka, asal perkataan 'Melayu', kepakaran orang Melayu dahulu di laut, dan banyak lagi. Fakta-fakta di dalam buku ini ada yang lebih kurang sama dengan buku Dunia Melayu yang pernah saya baca dahulu dan ini meyakinkan saya akan ketepatan hujah-hujah yang dikemukakan.
Seronok. Itu yang aku rasa sepanjang membaca buku ini. Aku rasa seperti kanak-kanak kecil yang baru tahu sesuatu dan semua itu di luar jangkaanku. Cuma penulis jangan laa selalu memperbodohkan orang lain. Bila selalu sangat, rasa menyampah pula.
penceritaannya agak santai dan ber plot, meningkatkan rasa ingin tahu, sampaikan saya teruja dan sanggup berusaha utk memiliki hampir semua karya cik srikandi yg lain. menyedarkan saya akan betapa pentingnya sejarah kita.