MENERUSKAN PERJALANAN mengandungi 12 buah cerpen yang ditulis sejak tahun 1972 yang keseluruhannya memperlihat dan membicarakan kehidupan masyarakat khasnya wanita di dalam negara yang sedang membangun. Nilai-nilai baharu dan tradisi bertembung, lalu menimbulkan konflik. Watak-wataknya terdiri daripada wanita yang berazam untuk maju sebagai pelajar, pendidik, penulis, pegawai dan sebagainya. Namun, mereka menghadapi berbagai-bagai cabaran dalam "meneruskan perjalanan" ke pulau cita-cita.
Datuk Dr. Zurinah Hassan is National Literary Laureate of Malaysia. She is the 13th writer and the first female writer to be conferred the tittle of Sasterawan Negara at a ceremony held on 26th of April 2016. The award is the highest award given to a writer in Malaysia.
Prior to this Zurinah Hassan had received Southeast Asian Writers Award (SEA Write Award in 2004 and Sunthorn Phu Poets Award, 2013.
Kumpulan cerpen 70an dan 80an yang menarik. Tertarik dengan gaya penulisan penulis yang santai, bahasa yang tersusun dan penceritaan kisah harian yang berkaitan dengan sosial dan moraliti, adat, perhubungan dan agama. Pelbagai konflik yang ada pada setiap isi cerpen, aku tertarik dengan isu pandangan umum terhadap kaum lelaki dan perempuan yang diketengahkan penulis pada hampir setiap cerpen beliau (hal yang diungkit sejak dari dulu). Ulasan dan isi hati watak cerita sedikit sebanyak bagi pro dan kontra yang buat aku berfikir sendiri. Lagi pula isu perbezaan tanggungjawab dan kepentingan siapa lebih utama-- lelaki atau perempuan-- pada setiap cerpen beliau seakan relevan juga dengan masa sekarang.
Aku suka cara penulis luahkan emosi setiap watak, elaborasi yang padat dan penyampaian yang kemas dengan alur cerita selari dengan persekitaran babak. Setiap cerpen ada istimewanya sendiri, tak dapat nak pilih yang mana aku paling suka. Aku teringat Anita yang berkebolehan, bijak dan berazam tinggi namun kecewa dengan persepsi sekitar tentang diri dia, tentang Abang Kamal yang lama tak pulang ke kampung dan hanyut dengan cita-cita sendiri, tentang Tijah yang tahu dia bakal menjadi seperti ibunya satu hari nanti, juga catatan dan nukilan harian perempuan-perempuan yang menemukan kepayahan dan takdir hidup. Suka juga dengan pengakhiran cerita pada setiap cerpen. Buku nipis yang berbagi pelbagai perasaan.
Kumpulan cerpen pertama tulisan SN Dato' Zurinah Hassan yang saya baca. Walaupun kesemua cerpen ini ditulis tahun 70-an dan 80-an, namun ianya seolah tidak ketinggalan dek zaman.
Isu-isu yang diangkat adalah isu-isu biasa tentang wanita, yang wujud sejak dahulu dan ternyata masih ada releven hingga kini. Isu tentang perjuangan isteri dan ibu, yang mengurus rumah dan kerjaya, kisah tentang wanita yang mahu jadi luar biasa, tidak mahu hanya tunduk kepada adat dan kebiasaan, isu tentang pendidikan untuk wanita, isu tentang pandang masyarakat kepada wanita.
Semuanya disampai dengan bersahaja, dengan bahasa yang mudah, dengan plot yang begitu biasa.
Tapi Dato' Zurinah ini sentiasa ada keunikan dalam menyampaikan hati wanita yang paling dalam. Selalu rasa sangat mengena dengan jiwa. Untuk seorang isteri, ibu yang ada anak kecil hatta untuk yang belum berkahwin sekalipun, kumpulan cerpen ini menyentuh semuanya.
Cerpen kegemaran saya ialah cerpen yang mengisahkan tentang perbezaan perjuangan hidup dua orang wanita. Tak ingat pula tajuknya kerana saya menulis ulasan ini di luar rumah dan bukunya tertinggal di rumah. Seorang menjadi wanita biasa dan yang seorang lagi menongkah arus melawan dan menyumbang. Yang menatijahkan wanita yang melawan dan menyumbang itu diuji dengan tidak berjumpa dengan jodohnya, dikutuk, difitnah dan dicaci. Tetapi yang seorang lagi hidup tenang, biasa dan bersahaja.
Kumpulan cerpen seperti ini pasti mampu memberi aspirasi buat semua kita, golongan wanita. Terima kasih SN Dato' Zurinah Hassan.
Kumpulan cerpen yang ditulis pada tahun 70-80an namun masih relevan hingga kini. Setiap cerpen dalam naskhah ini mengangkat beberapa isu dan dilema yang sering dihadapi oleh golongan wanita. Antara kisah yang diketengahkan ialah kehidupan sebagai suri rumah yang sering tidak diiktiraf walaupun ia juga melelahkan, dilema bercinta dengan suami orang, cita-cita yang terpaksa dikuburkan dan juga isu pendidikan.
Dalam cerpen yang paling aku gemari, Anita, penulis mengetengahkan kisah bagaimana wanita yang hebat dan penuh cita-cita selalu tidak disenangi oleh masyarakat. Wanita hanya akan selamat jika sifat dan cita-citanya biasa biasa dan sederhana saja. Cerpen Seperti Ibu juga menimbulkan rasa pedih di hati apabila Tijah sedar yang bila dia besar dia akan jadi seperti ibunya dan abangnya akan jadi seperti ayah yang serba-serbi lebih tahu daripada ibu.
Sangat kagum dengan kebolehan penulis dalam menyampaikan isi hati wanita dengan bersahaja namun tetap menyentuh jiwa kerana dekatnya ia dengan realiti kehidupan wanita masa kini. Semua orang wajib baca naskhah ini. Rating sebenar: 4.5 bintang.
Sebuah buku kumpulan cerpen yang memaparkan dilema, penyesalan dan pergelutan hidup wanita. Merangkumi kisah-kisah seperti wanita yang terpaksa melepaskan cita-cita hanya untuk menjadi seorang suri rumah yang tidak dihargai, seorang wanita yang mengalami kesukaran untuk mencapai kehendaknya dan juga kepayahan yang dilalui oleh wanita bekerjaya. Tema utama kebanyakan cerpen banyak mengetengahkan ketidakseimbangan cabaran dan halangan dalam kehidupan yang dilalui oleh wanita sekiranya dibandingkan dengan lelaki, sepertimana dalam cerpen Perjalanan Sendiri yang menunjukkan sepasang suami isteri bekerjaya yang mana si suami hanya perlu menyiapkan diri sendiri untuk pergi bekerja, sementara si isteri sebaik sahaja bangkit dari tidur perlu menanggung beban fikiran memikirkan setiap hal sehingga ke perincian yang kecil tentang urusan makanan suami dan penjagaan anak-anak di samping perlu membuktikan dirinya mampu menyeimbangkan diri antara menjadi seorang ibu dan juga pekerja yang efisien di tempat kerja. Turut dipaparkan bagaimana seseorang wanita sentiasa dihantui dengan pandangan dan tanggapan yang tidak memberikan kebebasan untuk dia berjaya dan seterusnya kesukaran menerima pengiiktirafan dan penghargaan dalam pencapaian yang selayaknya diberi.
Selain itu, diselitkan juga komentari mengenai pandangan kolot masyarakat yang menjadi salah satu penghalang kemajuan bangsa dan dalam pada masa yang sama turut mengkritik kemodenan zaman yang melampau tanpa pedoman yang boleh merosakkan hidup.
Sebuah bacaan yang disarankan untuk dibaca yang banyak mendedahkan kepedihan, keperitan dan konflik dalaman yang dilalui kebanyakan wanita yang berlaku dari dahulu dan masih lagi tidak berubah sehingga ke hari ini.
Kumpulan cerpen yang menjadikan wanita sebagai watak utama. Setiap cerpen bercerita mengenai perkara-perkara yang dialami oleh wanita dalam kehidupan seharian. Pertembungan tradisi, perkahwinan, tanggungjawab, stigma, konflik dalaman, perubahan peribadi, nilai keibuan, adat dan resam.
Cerpen ini ialah suara-suara wanita yang tenggelam dalam adat dan tanggungjawab. Sungguh baik dibaca oleh semua, terutamanya lelaki yang kurang mengerti kepayahan menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.
Namun, pengajaran terbesar yang aku peroleh ada dua: (1) Betapa besar jasa ibu, dan betapa celakanya anak-anak yang tidak mengenang mereka. Ibu ialah wira yang tidak didendang. (2) Budaya yang diwarisi dalam menetapkan tugas hakiki seorang wanita dan lelaki tidak diadun bersama dengan agama. Hingga akhirnya melahirkan para misoginis yang merasakan lelaki itu pemimpin mutlak dan mengabaikan tuntutan agama bahawa wanita itu perlu dimuliakan!
Juga, aku rasa ditampar pada bab "nenek". Aku kongsikan petikan: "Seperti aku, semua anak dan cucu nenek telah menjadi orang-orang sibuk kerana mereka ialah orang-orang penting. Bukankah ini yang nenek doakan siang dan malam ketika merentas hutan bakau, meranduk hutan menerung satu masa dahulu? Bukankah doa nenek dan Tuk Ayah telah termakbul?"
Tidak semua kejayaan dan kemegahan itu memberi kebaikan. Ada kalanya ia kembali memakan diri. Walau bagaimanapun, terima kasih Datuk Dr Zurinah Hassan atas karya ini.
BUKU PKPD Mukim Jeram: Meneruskan perjalanan oleh SN Zurinah Hassan 1987 (Edisi cetakan 2016)
Himpunan cerpen yang ditulis oleh Sasterawan Negara sejak tahun 1972. Jadi, suasana penceritaanya berlatarkan di zaman itu. Bertemakan feminisme, secara keseluruhannya mengangkat isu dan dilema wanita pada ketika itu. Nilai-nilai baharu dan tradisi bertembung lalu menimbulkan konflik. Watak-watak yang dicipta mewakili suara hati kaum yang diangkat namanya di dalam Al-Quran, wanita. Mereka menghadapi berbagai-bagai cabaran dalam meneruskan perjalanan ke pulau cita-cita. Antara cerpennya :
1. Catatan di meja Makan- catatan kehidupan seorang penulis wanita selepas bergelar ibu.
2. Siti Hawa dan pengembara yang singgah- Pilihan wanita, antara kebebasan dan kehidupan yang damai.
3. Kelahiran - Keajaiban menjadi ibu.
4. Bunga dan air mata - Kehendak wanita antara kejujuran dan ego.(complicated)
5. Dari hari ke hari - Kejujuran dan hipokrit. Tersepit antara naluri dan nasib melahirkan kejujuran yang hipokrit atau hipokrit yang jujur.
6. Anita - Dilema wanita yang berkebolehan dan berazam tinggi.
7. Menanti suria pagi - Pendidikan anak perempuan. Antara adat dan keperluan perempuan.
8. Perjalanan sendiri - Perangai wanita perlu bergantung kepada diri sendiri untuk memaju diri.
9. Nenek - Naluri wanita yang dihujung usia.
10. Seperti Ibu - Kasta lelaki dan perempuan yang dicipta oleh adat.
11. Pulangnya pemuja ombak - Seni perlu bertuhan. Kebebasan perlu panduan.
12. Menutup sebuah diari - Seni dan naluri jangan sampai menghancurkan dir sendiri dan orang lain.
Luar Naratif :
Wanita complicated. Itulah cop rasmi kaum Hawa yang melekat di lubuk sanubari kaum Adam. Mari kita selami sedikit.
Persoalan wanita di era 70-an dan 80-an. Adakah wanita tiada masa depan di dalam bidang sastera? Secara adat dan tradisinya (pada ketika itu mungkin) wanita apa pun pendidikannya diciptakan untuk menjadi suri rumahtangga. Lalu, menyelitkan satu tanggungjawab khusus menjaga rumahtangga. Menguruskan kehidupan keluarga dan mendidik anak-anak menjadi penghalang bagi seniwati dalam bidang sastera.
Namun, sebenarnya itu bukanlah memandulkan kesenian yang dimiliki mereka. Kata pujangga menyatakan bahawa kesenian itu berpindah dari keghairahan terhadap sastera menuju keindahan mengurus rumah tangga. Termasuklah menikmati keindahan mendidik dan membesarkan anak-anak di depan mata. Naluri yang hanya hadir setelah berumahtangga.
Saya teringat akan satu tulisan SN A. Samad Said menulis 'mengapa Salmi Manja berhenti menulis'. Pak Samad sendiri hairan mengapa isterinya berhenti menulis dan meninggalkan bidang sastera untuk membesarkan anak-anak. Menurut beliau, mungkin kesilapan beliau tidak begitu meransang untuk terus Salmi Manja terus berkarya. Keresahan rumahtangga yang tidak diurus dengan cemerlang membantutkan bakat seni Salmi Manja.
Saya temui laporan di google bahawa Dewan Sastera pernah mengeluarkan wawancara yang menjelaskan mengapa Salmi Manja berhenti menulis. Sesiapa yang ada sumbernya boleh kongsi dengan saya. Saya masih teruja untuk mencari jawapan yang sudah hampir 3 tahun saya cari. Di dalam tulisan Pak Samad tidak menyatakan sebab yang jitu atau saya gagal memahami bait-bait seniman agung itu. Apa yang penting, saya masih ingin mencari wawancara itu.
Kebebasan gaya barat menjadi persoalan seterusnya. Barat mempromosikan kebebasan yang kononnya dicandu oleh agama, adat dan tradisi. Namun kebebasan itu gagal menemui kebahagiaan hakiki. Saya nukilkan analogi oleh bonda di dalam karyanya. Biarlah tidak seperti ikan di lautan luas yang bebas berenang. Biar seperti ikan di dalam kolam. Melihat tebing kolam bukan sebagai kongkongan tetapi sebagai kepungan yang mengepung air dan kolam adalah kediaman.
Adakah wanita tidak boleh menjadi lantang? Lantang bersuara, berjuang untuk pendidikan, berkhidmat untuk negara, mendidik masyarakat, menegur adat dan melawan tradisi. Hal ini dilema penting perempuan terutama apabila menjadi lantang dan berdepan 'netizen' yang bertindak sebagai lidah rasmi adat dan tradisi. Betapa complicated untuk menumpulkan mata pedang yang dipanggil 'orang mengata'.
Citra wanita punya beberapa jalur. Oh, tidak. Sebenarnya kedua-duanya, lelaki dan wanita. Sama ada lemah, sederhana atau kuat. Tiada dosa menjadi kuat. Kuatnya lelaki, kuatnya wanita tidak sama. Kekuatan keduanya saling menguat bukan untuk perbandingan dan pertandingan. Ada perkara yang lelaki lemah untuk lakukan perlu kepada kekuatan wanita. Begitu juga sebaliknya, ada perkara yang perempuan lemah untuk lakukan perlu kepada kekuatan lelaki.
Selain itu, pendidikan untuk anak perempuan jangan direndahkan kepentingannya dengan batas jantina. Kedua-dua anak lelaki dan perempuan perlu dibenarkan bercita-cita tinggi berpandukan agama dan nilai-nilai kemanusiaan. Manusia yang berbudi dan berjasa.
Ibu salah satu dari keajaiban dunia yang tidak tertafsir oleh logik-logik manusia. Namun, terkandung ibrah yang menginsafkan. Naluri keibuanlah sebenarnya sebagai jawapan kepada mengapa wanita bekerjaya. Juga jawapan mengapa wanita meninggalkan kerjaya walaupun kerjaya yang besar.
Membaca kisah-kisah ini menginsafi insan untuk menghargai peranan wanita. Tidak merendah-rendahkan martabat wanita. Jangan dijunjung adat yang membunuh cita-cita tinggi wanita. Di samping itu, tidak membiarkan wanita terbang bebas tanpa pedoman.
Buat para wanita, teruskan perjalanan. Selamat Hari Wanita.
Terkesan sekali. Cerpen-cerpen yang ditulis merungkai realiti hidup golongan wanita di Malaysia. Antara tema-tema yang diketengahkan adalah percanggahan nilai-nilai tradisi dan moden, ketidaksaksamaan jantina, impian, cinta, cita-cita dan tanggungjawab kommuniti. . Saya merasakan cerita-cerita ini mendalam kerana watak-watak yang jelas akan kemahuan mereka tetapi terpaksa manghadapi banyak halangan dan penindasan. . Cerpen-cerpen yang paling saya suka - 1. Siti Hawa dan Pengembara yang Singgah - Seorang perempuan memilih masa depan bersama seorang lelaki stabil dan mengucapkan selamat tinggal kepada kekasih lama, seorang pengembara. 2. Dari Hari ke Hari - Aktivis wanita muda terperangkap dalam hubungan yang sudah tidak serasi dengan lelaki yang tidak memahaminya. 3. Anita - Ouish, ini paling sedih. Seorang cikgu yang bekerja keras dituduh berbuat begitu kerana dia seorang andartu tidak berkahwin. 4. Seperti Ibu - seorang anak perempuan melihat betapa terbatasnya kehidupan si ibu yang memikul beban rumah dan tidak dapat menggapai dunia luar. . Akan saya beli dan baca karya-karya beliau yang lain. Penting bagi kita mendekatkan diri dengan karya tempatan. Banyak lagi khazanah sastera yang ingin saya dapatkan yang boleh mengajar kita erti menjadi rakyat Malaysia.
Himpunan cerpen-cerpen yang sangat bernilai dan bermakna bagi diri seorang wanita. Banyak cerpen di dalamnya seolah-olah refleksi terhadap diri sendiri.
Kumpulan cerpen yang berkisarkan kehidupan seorang wanita dalam kehidupan seharian khasnya. Penggunaan bahasa yang santai dan mudah difahami walaupun cerpen ini berlatarbelakangkan pada tahun 70-an dan 80-an.
Cerpen-cerpen ini masih relevan untuk dibaca kerana isu yang dipertengahkan masih menjadi bual bicara pada masa kini seperti isu perempuan yang berkahwin lambat, perempuan yang bekerjaya, isu suri rumah, isu jurang yang berbeza antara pelajar di kampung dengan pelajar di bandar dan perbezaan isu sentimen jantina diantara lelaki dan wanita.
Jurang komunikasi pada zaman dahulu juga dapat dilihat dengan perutusan surat menyurat untuk berkomunikasi diantara satu sama lain.
Koleksi yang santai dan berbaloi untuk dibaca!
"Lebih menyedihkan apabila aku mendapati pekerjaan sebagai suri rumah ini, walaupun amat sukar dan mencabar, tidak pernah mendapat pengiktirafan dari segi intelektual mahupun dari segi artistik."
"Adalah tidak adil membandingkan perempuan-perempuan dulu dengan perempuan-perempuan sekarang. Perempuan-perempuan dulu sudah dibawa ke dapur sejak kecil. Kami sekarang dihantar ke sekolah. Jarang-jarang sekali dapat membuat kerja dapur. Kemahiran kami tidak akan sama."
"Bukan adat perempuan bangsaku untuk tidak menyediakan minuman untuk tetamu. Bukan adat adik ipar bangsaku untuk tidak mengajak saudara-saudara iparnya makan malam. Bukan adat seorang isteri bangsaku untuk tidak menghormati ibu dan saudara tua suaminya."
Ini merupakan buku pertama SN Datuk Dr Zurinah Hassan yang saya baca dan terkesan dengan setiap penceritaannya.
Isu yang diketengahkan dalam kumpulan cerpen ini sangat relevan pada hari ini sedangkan karya beliau sudah berada di pasaran sejak 1987 iaitu 34 tahun yang lalu.
Sebuah penulisan yang santai tetapi cukup hebat dalam menyampaikan kisah-kisah harian yang mampu menyedarkan bahawa kita sudah begitu selesa dengan idea 30 tahun yang lepas.
Antara isu yang diketengahkan dalam kumpulan ini ialah wanita yang tersepit dengan cita-cita dan pandangan masyarakat, wanita yang tidak pernah berhenti berjuang mencintai keluarganya, wanita yang ingin memajukan diri tetapi direndah-rendahkan oleh masyarakat, wanita yang terpaksa berada pada noktah yang sama dengan ibunya dan wanita yang luar biasa tetapi tetap dipandang enteng oleh orang lain.
Cerpen kegemaran saya ; Anita, Menanti Suria Pagi dan Pulangnya Pemuja Ombak.
Untuk lelaki yang ingin memahami perjuangan yang dihadapi oleh ibu dan wanita; buku ini istimewa buat kamu.
Untuk wanita yang ingin mencari semangat juang daripada wanita lain; buku ini juga istimewa buat kamu.
Aku suka dengan semua cerpen yang berada di dalam ini. Paling suka pada cerpen pertama. Mula mula membaca lagi sudah membangkitkan rasa seperti amarah dalam diri aku. Bukan kepada penulis tetapi lebih dalam mendalami isi cerita tersebut. Banyak mengisahkan tentang hal hal kewanitaan.
Jika ditanya pada saya apakah perempuan itu lemah, sukar untuk saya akui bahawa perempuan itu lemah.
Masakan bisa dikatakan perempuan itu lemah jika dia mampu berhempas pulas bertarung dengan kematian demi memastikan terlahirnya anak yang dikandung sembilan bulan. Tidak terkira pula sakit-sakit badan semasa anak masih dalam kandungan.
Masakan bisa dikatakan perempuan itu lemah jika matahari tidak sempat memancarkan cahaya, dia sudah terpacak di ruang memasak supaya suami dan anak-anaknya tidak kebuluran. Dan akan melepaskan lelah cuma setelah selesai tugas hakiki bagi seorang perempuan.
Masakan bisa dikatakan perempuan itu lemah jika dia mempunyai semangat, azam dan wawasan untuk memastikan masyarakatnya terbela daripada belenggu kemiskinan. Demi membantu masyarakat mendapat bantuan pendidikan memisahkan pemikiran bahawa itulah takdir kehidupan.
Masakan bisa dikatakan perempuan itu lemah jika dia sepatutnya dia diberikan kebebasan memilih hidup bercita-cita. Jangan mematikan impian seorang perempuan hanya kerana ego manusia kiri dan kanan. Jika dia bercita-cita, dia mampu meredah segala onak dan duri.
Tidak mampu untuk saya katakan perempuan itu lemah.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Himpunan 12 cerpen yang berkisar tentang persepsi dan konsep masyarakat terhadap tanggungjawab sebagai seorang wanita.
Wanita yang terpaksa mengorbankan minat dan kerjaya kerana tuntutan sebagai isteri dan ibu lebih mendesak.
Wanita yang cerdik, berwawasan jauh, berdikari dan berusaha membawa perubahan di dalam masyarakat dikatakan membuat perangai, kaki ampu dan sebagainya kerana tidak berkahwin.
Wanita yang diharapkan bermacam-macam oleh keluarga dan masyarakat sedangkan orang lelaki sebayanya mempunyai peluang untuk membuat pelbagai perkara seperti merantau, fokus pada kerjaya, lambat berkahwin dan sebagainya.
Ada macam-macam kisah rakyat marhaein wanita yang kita boleh relate dengan kehidupan harian.
Walaupun bahasanya mudah dan tidak berbunga-bunga tetapi kita boleh faham luahan hati penulis tentang kisah wanita yang dipaparkan melalui penulisannya.
Novel ini memuatkan cerpen-cerpen yang mengetengahkan pelbagai isu yang melibatkan wanita termasuk jurang pemikiran, analogi-analogi yang diserap ke dalam budaya masyarakat yang secara tidak langsung terlihat seakan mengekang pergerakan/lonjakan wanita, pandangan-pandangan masyarakat, peranan-peranan hakiki yang adakalanya dianggap remeh dari sudut pandang lelaki dan amalan dahulu yang dibawa menyusuri zaman.
Syabas buat penulis kerana hadirnya naskah kecil ini (walaupun bacaannya tidak terlalu membebankan dan santai) telah berjaya memperlihatkan pelbagai cabaran yang ditempuhi oleh seorang wanita bermula kelahirannya sehingga akhir hujung usianya.
Saya menyukai kesemua cerpen dalam naskah ini. Kesemua cerita (12 buah cerpen) di dalamnya mengisahkan perjalanan hidup 12 orang wanita yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang. Suri rumah, penuntut universiti, penulis, pegawai, pendidik dan lain-lain. Kesemua kisah di dalamnya mengangkat kekuatan dan pemikiran wanita pada tahun 70an-80an.
Saya tenggelam dalam pengisian berinspirasi dan berpedoman lagi berkhasiat yang dihidangkan oleh 12 buah cerpen ini dan ketika menutup buku, saya sendawa kekenyangan.
Buku ini penuh dengan luahan suara perempuan yg sejati nya di uji dengan emosi/perasaan. Sebagai perempuan kebiasaannya diuji dengan emosi yg berat. Kata orang bukan perempuan salah, tapi semuanya menjadi serba salah.
Setelah selesai pembacaan kesemua cerpen, sy berfikir berat juga utk menerima sejatinya itulah hakikat sebagai wanita; bercita cita apa pun akhirnya akan berkhidmat untuk keluarga tercinta
Cerepen karya Zurinah Hassan sangat perlu dibaca oleh kaum Lelaki supaya lebih memahami sisi wanita yg rumit dijelaskan terutama seorang Ibu & Isteri.
Buku kedua yang paling saya suka dri koleksi edisi malaysia membaca. Ia adalah buku yang wajib dibaca dan dimiliki para wanita dari pelbagai peringkat umur. Koleksi cerpen-cerpen dalam meneruskan perjalanan membawa satu tema yang sama iaitu tentang wanita.
Benarkah wanita perlu bodo bodo? Sampai tahap manakah wanita boleh bercita cita tinggi? Benarkah kecantikan itu aset utama wanita? Benarkah wanita moden itu lebih baik dari wanita kampung?
Koleksi cerpen SN Zurinah Hassan amatlah releven hingga ke hari ini. Untuk lelaki yang ingin memahami hati wanita. Buku ini sesuai untukmu. Untuk wanita yang ingin memahami bagaimana wanita2 dahulu berjuang dengan cara mereka sendiri. Buku ini juga untuk kamu.
Kisah-kisah masyarakat dan kisah-kisah wanita 70-an dan 80-an. Kisah ini dinukilkan sebelum tahun 2000-an tetapi Zurinah Hassan mampu membawa dan mengangkat isu-isu kritikal ini ke sebuah cerpen untuk diketengahkan.
Sebuah lagi buku yang temanya malar segar. Ditulis pada 70an-80an tapi isunya masih berlaku hingga sekarang - tentang expectation yg diberatkan ke atas perempuan (khususnya bangsa Melayu), kerja rumah, mak mentua, karier, kehamilan dll.
Meneruskan perjalanan kisah realiti yang dihadapi wanita disebabkan tradisi dan kebiasaan. Sedih membaca serba-salah wanita dalam hidup sama ada bujang mahupun berkeluarga. Cerpen-cerpen ini pernah disiarkan dalam majalah DBP tahun 80an dan 90an. Isunya masih wujud era ini walaupun ada sebahagian wanita hidup dengan lebih baik dan bahagia sekarang ini.
Cerpen-cerpen yang mengetengahkan pengalaman perempuan berdepan patriarki yang membunuh potensi dalam ranah sastera, kerjaya dan pendidikan secara umumnya. Segar untuk zaman cerpen-cerpen ini ditulis.