Hubungan antara kedua-dua penyair terkemuka, iaitu Rosli K. Matari dan Allahyarham Rahimidin Zahari (RZ) diketahui dalam sejarah kesusasteraan di tanah air sebagai guru-murid. Dalam rentang tempoh sepanjang lapan tahun, 1985–1992, Rosli tekun mengasuh kreativiti RZ bermula dari usia remaja RZ pada 17 tahun sehingga usia mudanya 24 tahun. Buku ini memuatkan esei “Selamat Berangkat, Muridku” yang cukup menyentuh perasaan, merakamkan kenang-kenangan Rosli sepanjang bersama allahyarham RZ semasa asuhan kreativiti awalnya itu. Turut dimuatkan juga ialah kertas kerja Rosli bertajuk “Apa Saya Ajar RZ?” Yang mendedahkan beliau mengajarkan 17 aspek kreativiti kepengarangan puisi kepada RZ. Menariknya, kesemua aspek ini ialah pengkaedahan yang belum lazim dalam kreativiti umum penulisan puisi. Koleksi tulisan ini sebagai ingatan dan kenangan beliau pada muridnya yang sangat menusuk dan menyayat hati, jika kita renungi dan hayati secara mendalam. Demikian kasih seorang guru kepada muridnya. Untuk selama-lamanya, Allahyarham RZ akan sentiasa terpahat dalam ingatan dan kenangan kita. Sumbangan dan jasa baktinya kepada bidang kesusasteraan serta kesenian dan kebudayaan tanah air tersangat besar dan tiada ternilai.
Rosli K. Matari, antara penyair terpenting angkatan 80-an Malaysia. Pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1988/89, hadiah utama dalam Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1990, 1991, 1992, 1993, serta hadiah penghargaan pada tahun 1995, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 1996/1997, hadiah penghargaan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)-ExxonMobil 2011, HSPM 2010/2011, hadiah utama dalam HSKU-ExxonMobil 2012, HSPM 2012, Penghargaan Karyawan Kelantan 2013, dan HSPM 2013.
(Biodata dalam Tidakkah Kita Berada Di Sana?)
Dalam puisi mutakhir di tanah air, Rosli K Matari, berserta Rahimidin Zahari, Moechtar Awang dan Rudi Mahmood antara penyair berwibawa selepas Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, Kemala serta Latiff Mohidin.
Puisi Rosli K Matari, meski jarang muncul dalam media massa, memenangi banyak hadiah seperti Hadiah Sastera Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).
Kumpulan puisi pertamanya, Nun Bulan pada tahun 2011 membuktikan sifat tekun dan cermat memperhalusi kreativiti kepenyairannya. Ia terbit sesudah 33 tahun menghadirkan diri dalam ranah sastera, sejak puisi pertamanya tersiar dalam Dewan Sastera pada tahun 1978, ketika berusia 17 tahun.
Rosli K Matari tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan kelahiran itu, tetapi beliau tidak gelojoh untuk cepat memiliki kumpulan puisi. Dunia kepenyairan seolah-olah jalan panjang bagi dirinya.
Sejumlah puisi bernilai tinggi termuat dalam kumpulan ini sebahagian besarnya belum tersiar, tersimpan dan diperhalusinya sekian lama. Karyanya mengangkat tema besar mencakupi ketuhanan, kemanusiaan dan peperangan.
(M Arif dalam Jalan Panjang Seorang Penyair, Berita Harian (BH), 17 Mac 2015)
Penyair, Rosli K Matari, sempat berkongsi pengalamannya membina bakat kepenyairan dan jalur kepengarangan bersama-sama pengarang lain terutama anak kelahiran Kelantan dalam pertemuan dengan beliau di Kubang Kerian, Isnin lalu.
Ada hubungan istimewa antara anak muda generasinya ketika itu yang memiliki jiwa berkobarkobar untuk menjadi penyair dan menyuburkan ranah puisi tanah air.
Bersama penyair yang lebih berusia daripadanya, Abdulhadi Muhamad, mereka saling membaca dan menilai puisi yang dihasilkan, lalu memberikan markah kepada karya berkenaan.
Malah, dua pengarang itu sering ke acara puisi dengan berbasikal ketika Rosli masih remaja, sambil mengelek fail yang berisi karya yang bertulis - malangnya fail itu tertinggal, lalu dibakar oleh tukang sapu - sehingga ia menjadi sekian banyak pengalaman yang melahirkan mereka sebagai penyair pada hari ini.
Begitu juga kisah beliau dengan penyair lain seperti Rudi Mahmood yang lama menyepi tetapi apabila muncul pada ranah puisi pada tahun lalu, masa seolah-olah tidak berbekas atau menghakis kehebatan puisinya atau Azmi Yusoff yang akhir-akhir ini kembali rancak mengirimkan puisi.
Beliau sempat mengimbau Allahyarham Mustafa Jusoh yang ranah puisi dan drama Kelantan seolah-olah berpusat pada tokoh itu pada hayatnya selepas Allahyarham Abdul Aziz HM meninggalkan kita.
(Nazmi Yaakub, Pertemuan Bersama Penyair Kelantan, Sedarkan Khazanah yang Kian Hilang, BH, 5 Februari 2015)
NUN Bulan karya Rosli K Matari hadir pada ranah sastera tanah air agak lewat berbanding usia kepenyairannya yang menjangkau 33 tahun sejak puisi pertamanya tersiar di Dewan Sastera pada 1978.
Bagaimanapun kumpulan yang menghimpunkan 52 puisi ini, memiliki perwatakan tersendiri sehingga tidak mungkin terapung-apung dalam lubuk puisi tanpa menimbulkan gelombang puitisnya.
Ini kerana Rosli K Matari tidak berlebih-lebih dalam menuang fikir, memilih diksi dan membentuk puisi tetapi membaca puisinya menjadikan kita merasakan karyanya tepat untuk mengungkapkan pemikiran dan perasaan kepenyairan yang mendalam.
1. Saya tidak banyak membaca mengenai kepengarangan seseorang, dalam buku atau majalah sastera, jadi ini kali pertama tahu mengenai hubungan guru-murid antara Rosli K. Matari & Allahyarham Rahimidin Zahari (semoga Allah mengampuni segala dosanya). Rasanya sangat sesuai gandingan mereka berdua sebagai guru dan murid. Persahabatan yang terjalin kelihatan begitu manis dan harmoni.
2. Bahagian pertama buku ini menceritakan mengenai peribadi Rahimidin Zahari seperti yang dikenali oleh gurunya, dan yang kedua mengenai proses kreatifnya melalui bimbingan gurunya itu, Rosli K. Matari.
3. Teknik-teknik mencipta sajak yang dihuraikan oleh Rosli K. Matari, yang pernah beliau ajarkan kepada Allahyarham Rahimidin Zahari, bagi saya sangat berguna untuk diaplikasikan. Bertuah Allahyarham Rahimidin Zahari dapat berguru dengan beliau.
4. Buku ini mengalir baik sekali, ditambah kerana penguasaan bahasa pengarang yang memang seorang sasterawan - boleh selesai dalam beberapa jam. Tak ada typo dan kesalahan editorial langsung!
5. Bukan senang mahu jadi orang hebat. Pembentukannya bertahun-tahun. Allahyarham berguru dengan Rosli K. Matari selama 8 tahun. Dalam apa-apa bidang pun, di belakang kelahiran seseorang tokoh, tentu ada gurunya. Tanpa guru, sehebat mana pun seseorang, dia tidak akan berjaya mendaki ke puncak tertinggi. Atau kalaupun dapat mendaki, tidak akan setinggi sepatut dengan potensi sebenar.
Terlalu banyak kenangan yang bergumpal dalam diri seorang Rosli K. Matari dan sebahagiannya tertumpah dalam buku ini yang akhirnya jatuh ke dalam hati kita. Pengalaman menggurui Rahimidin Zahari ini memang tidak akan terulang dalam episod lain - tidak kerana Rahimidin sudah pun meninggalkan kita dan tidak juga Rosli akan menemui anak murid sebaiknya.
Memang kita merasakan pada satu tahap, Rosli tidak dapat melepaskan Rahimidin seolah-olah pengarang, penyair dan budayawan itu miliknya tetapi bukankah perasaan itu juga yang banyak dirasai oleh kenalan lain? Malah, kita akan mengakui Rosli memang memiliki sebahagian sejarah yang diwarnakan oleh Rahimidin.
Rahimidin, Penyair Sebagai Teman merupakan satu catatan kenang-kenangan oleh Rosli K.Matari terhadap Rahimidin yang pernah mendapat asuhan langsung darinya ketika mula-mula Rahimidin ingin belajar cara menulis sajak. Rosli selalu menasihati Rahimidin agar tidak terlalu mengangkatnya sebagai guru kerana pernah dia mendengar cakap-cakap yang memedihkan jiwanya, bahawa sumbangan dalam mengajar Rahimidin tidaklah seberapa. Namun selepas pemergian anak muridnya ini, umum mengetahui kisah sebenar yang patut menjadi panduan kepada semua agar lebih berhati-hati dalam bicara. Pada Rosli, Rahimidin memang seorang yang genius. ‘Apa-apa pun, kita tetap mengagumi kreativiti RZ, menikmati puisinya bagai delima ranum, bagai mencium bunga harum. Bahkan untuk selama-lamanya, seluruh puisinya adalah bagai samudera luas untuk diselami, dicari marjan dari dasarnya. (Hal. 104)’
Sepatah kata Rosli dalam Prakata cukup membayangkan betapa besarnya kesan kehilangan Rahimidin kepada dunia sastera. “Sumbangan jasa baktinya kepada perkembangan dunia kesusasteraan dan juga terhadap kesenian serta warisan kebudayaan di tanah air tersangat besar dan tiada ternilai.”
Kalaulah buku ini disunting dengan lebih baik, ia dapat menjadi buku yang sangat bermakna dalam mengenali kepengarangan arwah, hubungan persahabatan, serta didikan puisi Rosli K. Matari. Kertas kerja dan esei Dewan Sastera yang termuat boleh dirangkum dan dibagikan mengikut bab yang lebih padat.
Namun, saya berterima kasih atas penerbitan buku ini kerana saya tidak sempat mengenali arwah secara peribadi. Semoga rohnya damai di sana dan puisi-puisi beliau (dan gurunya) terus dinikmati.
Dalam usaha berguru dengan Allahyarham Abang Rahimidin, banyak sungguh masa yang terlepas atas desakan kerja dan pelbagai alasan lagi. Ketika mengulit naskhah ini, betapa kini rasa terlalu rugi melepaskan peluang depan mata. Al-Fatihah.