Ayah masih berdaya. Dia begitu hebat memerah keringat biarpun sedar kedaifan kudrat. Ayah semakin dipanjat usia namun kedegilannya menjadi punca kepada kepetahannya menabur keringat. Sesungguhnya perasaan seorang ayah itu sukar diduga sekalipun cuba diselami oleh anak-anak sendiri...
AZIZI HJ.ABDULLAH (Hj. Azizi bin Hj. Abdullah) dilahirkan di Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda Kedah, pada 4 April 1942. Mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Bukit Meryam dan Sekolah Melayu Kota Kuala Muda, Kedah sehingga darjah enam. Kemudian belajar di Sekolah Agama Dairatul Maarif Al-Wataniah,Kepala Batas Seberang Perai. Azizi mula menulis ketika di sekolah agama, kira-kira dalam tahun 60-an.
Adalah AMAT wajar naskah ini dibaca bersekali dengan naskah Ayah Bonda kerana segala kekelabuan dan kekeliruan akan dijelaskan dalam naskah ini.
Sebenarnya (mengikut cikgu di sekolah itu), naskah inilah yang sepatutnya dijadikan kajian teks untuk subject yang diambil oleh murid-murid. Tetapi dek kesukaran mendapatkan naskah ini di mana-mana perpustakaan, hasilnya naskah Ayah Bonda dijadikan gantian. (Aku sendiri mendapatnya di Public Library) Dan sebenarnya aku sendiri amat bersetuju jika naskah ini yang dipilih... bukan judul yang satu lagi. Dan sesungguh dan sebenarnya, naskah ini lebih senang 'digoreng' ketika menjawab soalan di dewan periksa kerana:
i) Ketebalannya ii) 'Cuaca'nya clear, darjah penglihatan sejauh 15km... tidak kelabu dengan asap jerami. iii) Penuh emosi... hingga aku sendiri bermandikan air mata (jadilah, sekadar menyejukkan hati dek kepanasan melampau hari ini.... Celcius berdarjah 37).... dan naskah yang berjaya menyentuh jiwa dan rasa pembaca akan lebih mudah melekat di kepala (faktor utama untuk menconteng kertas jawapan)
Dia ayah yang selalu mengerti dan aku anak yang tidak pernah memahami.....
Ayahanda berkisarkan keegoan seorang LELAKI; antara si ayah dan Aku. Apa sahaja yang dilakukan oleh si Ayah semuanya tidak kena di mata Aku. Ironinya, hanya Aku yang berani membantah dan menegah apa yang dilakukan si Ayah. Mungkin kerana Aku anak bongsu, kedegilan Aku sama sahaja arasnya dengan kepongahan Ayah.
Dan... sesungguhnya; aku x mampu nak mereview naskah ini daripada perspektif seorang pembaca yang tidak punya apa-apa. Cuma, jika kamu berpeluang mencari naskah ini... bacalah. Lihatlah bagaimana penulis ini mencorakkan sebuah cereka sedemikan rupa. Penuh dengan hukum kemanusian, pengajarah dan falsafah tanpa mengenepikan nilai2 sastera.
Mungkin....
Kamu juga akan jadi seperti aku selepas membaca naskah sebegini. Darjah keghairahan untuk membaca kembali membara... dan menyala-nyala.
Dan.... kamu akan mula 'memilih' naskah yang hendak/perlu/mahu dibaca. Bukan sekadar berpandukan kepada kulit luar atau judul semata-mata, apatah lagi naskah yang sengaja di-LE-kan sesuka hati sesedap rasa.
Dan.... kamu akan akur bahawa, bukan tajuk yang memainkan peranan utama untuk me-laku-kan sesebuah naskah. Bukan adegan bilik tidur (dengan bedroom voice atau bedroom act) untuk meng-kualiti-kan sesebuah naskah. Its more than than. Lots more than that.
Ayahanda Azizi Haji Abdullah Dewan Bahasa & Pustaka 364 m/s
"Seorang bapa boleh memahami perasaan dua belas orang anaknya tetapi amat malang dua belas orang anaknya tidak mampu memahami perasaan seorang bapa".
Ayahanda Genap 97 tahun
Karya Azizi Abdullah yang mengetengahkan persekitaran & latar belakang sekitar tahun 60an - 80an, bertempat di Kota Kuala Muda & Kulim Kedah. Gaya penceritaan disorot melalui kaca mata seorang anak lelaki yang beradu keegoaan dengan seorabg bapa yang hayatnya hampir 97 tahun.
Plot cerita agak mendatar tapi mampu membuatkan aku emosional sepanjang menghabiskan naskah ini. Dengan imiginasi, aku cuba meletakkan diri dalam situasi anak lelaki ayahanda yang cuba untuk memahami apa yang berada dalam kepala seorang lelaki tua. Semakin cuba di fahami, semakin rumit.
Dan aku tidak dapat mengelak untuk berasa simpati dengan perjuangan ayahanda mengekalkan fungsi seorang imam tua, mengekalkan budaya kepedulian masyarakat serta menghargai ilmu agama. Hampir menangis bila mengenangkan keadaan ayahanda tersengguk-sengguk gian membaca kitab lama kepada jemaah yang hampir tiada, kesetiaannya mengukir patah perkataan dalam tulisan jawi pada buku latihan bertemankan kopi o pekat pada setiap masa yang terluang.
Naskah bermisi sosial yang amat disarankan untuk pembacaan insan bergelar anak. Ironinya, kasih sayang yang ditonjolkan seorang ibu berbeza dengam seorang ayah. Ayah selalu mendokong anaknya daripada belakang dan punya cara tersendiri menunjukkan rasa cinta pada si isteri.
Aku harap sentiasa punya kesempatan untuk mengulang baca karya ini sekerap mungkin sebagai penghargaan kepada seorang ayah dan moga tidak lupa apa yang ada di dalam hati "ayahanda".
Naskah yang meruntun emosi seorang anak yang seringkali menumpukan kekacauan jiwanya tanpa melihat sisi manusiawi seorang bapa. Seringkali melontarkan kenyataan tanpa mengira bapanya juga mempunyai jiwa dan perasaan. Penulis berjaya membawa saya untuk memahami sisi lembut seorang bapa yang seringkali dilitupi ketegasan beliau. Naskah ini membuat saya berfikir, apakah benar saya memahami perasaan bapa saya atau mungkinkah bapa saya juga seperti watak di dalam novel ini.
“Terampunkah dosaku jika aku berteleku di depan orang tua ini meminta ampun?”
Sebuah dialog yang membawa saya ke satu sudut, memikirkan tentang diri.
Novel ini ditamatkan dengan dialog daripada ayahanda yang saya kira ringkas tetapi sangat menusuk kalbu.
“Aku nak ke masjid. Di sana rumahku. Aku harap Tuhan saja yang tak benci padaku. Aku harap ibadatku tak kenal tua”
Novel ayahanda seperti sebuah diari dari mata fikiran seorang anak terhadap bapanya. bapanya yang sudah mencecah umur 97 tahun yang sudah kehilangan isterinya, yang meninggal dunia pada umur 87 tahun. Seorang anak bongsu yang dikatakan untung nasib, bekerja dibandar, rumah batu, punyai kereta, ada isteri dan anak perempuan. Fiil bapa yang banyak meluangkan banyak masa di masjid dan juga seorang imam tua di kampungunya. Dulu isterinya jaga makan minum, tahu suaminya pergi masjid akan letakkan makanan di depan pintu masjid serba tua dan usang. Cuma bila ketiadaan isterinya, tugas diambil oleh kakak sulung, sediakan makan minum. Hantarkan makanan, sama ada dihantar sendiri atau minta cucu-cucunya jadi tukang hantar. Tabahnya kakak sulung menjaga bapanya dan perangai menyamai sikap emak mereka, walaupun ada masa tidak setuju tetapi didiamkan sahaja kerana lelaki itu ialah suami/bapa mereka. Abang dan kakak anak bongsunya hanya kerja kampung, tidak hidup sesenang anak bongsu. Anak bongsu (penulis) boleh dikatakan bagi pendapat saya, lebih pada pendapat sendiri dan perasaan sendiri. Memang betul dia ingin menjagakan bapanya namun kehadiran bapanya seolah tidak dapat diterima oleh isterinya terutamanya. Paling menarik penulis menggelarkan isterinya "singa betina". Di kampung lain sikapnya, dirumah sendiri lain sikapnya. Isterinya tidak merasakan kehadiran bapa mertuanya lebih menyusahkan kerana bapa mertuanya suka keluar ikut sesuka hati untuk pergi ke surau yang tidak jauh di rumah. Lalu sanggup sorokkan kunci rumah dan ada kalanya tutup lampu walaupun tahu, bapa mertuanya mahu membaca kitab ata Al-Quran. Isterinya tiadalah menghambur caci makian, cuma banyak bersungut didepan suaminya. Saya rasa bapa penulis mahu mengikut rentak kehidupan keluarga penulis tapi jiwanya tidak dapat terima, terasa dikongkong. Jika tidak, masakan bapanya sanggup "lari" dari rumah penulis, balik ke rumah sendiri dengan naik bas sendiri. Bapanya suka menulis, setiap hari akan ditulis dan buku disimpan dalam laci berkunci. Seperti saya jangkakan, bapanya menulis diari dari mata fikiran dari seorang tua bergelar bapa dan menceritakan sikap setiap anaknya dari sulung ke bongsu. Bapanya ada 12 orang anak! Dugaan yang menimpa pada bapanya, bila para jemaah tidak dapat terima khutbah bapanya yang masih old fashion. Anak bongsunya meluahkan isi hati supaya bapanya melepaskan jawatan sebagai jurunikah dan imam masjid. Reaksi bapanya sungguh neutral sehingga saya rasa, bapanya telan sahaja kah? Tapi sebenarnya hati bapanya terluka dalam. Kehadiran imam muda tidak dapat menyaingi "kehebatan" imam tua yang punyai pengalaman menjadi imam. Menjadi imam bukan sekadar imam sahaja .. apa tidaknya, imam muda sentiasa memandang ke arah imam tua seolah mengetahui sama ada apa yang dibaca itu adalah betul! Saya bukan seorang yang sempurna dan saya punyai ibubapa yang akan menjadi tua sedikit masa lagi. Cuma saya tak pasti saya mampu menjaga mereka esok nanti, hanya Allah yang tahu. Cuma saya berdoa agar saya tidak melayan ibubapa saya seperti kain buruk. Sebab satu hari, saya akan jadi tua juga. Peringatan pada diri sendiri, menjaga orang tua amat besar pahalanya, tidak hanya pada ibubapa sahaja tapi pada atuk dan nenek. Saya faham menjaga mereka amatlah remeh dan leceh tambah lagi dengan sikap mereka yang mudah merajuk dan terluka. Tidak lupa juga, ingatan semakin hari semakin kurang. Buku ini memang highly recommend! Jika anda baca tidak merasa apa-apa walaupun sekelumit ..
p/s: maaf jika review ini ke arah emosi .. ini cuma pendapat yang muncul dalam minda.
Sungguh tak menyesal membaca novel Ayahanda tulisan Arwah Azizi, namun rasa kesal dan terkilan begitu tebal. Kesal kerana keadaan seperti yang dihadapi bapa, rasa saya begitu berleluasa, pada waktu itu, apatah lagi sekarang. Terkilan kerana saya sendiri telah terlepas nikmat yang satu itu, menjaga abah diwaktu tuanya, melayani kerenah abah yang mungkin begitu sensitif mengharapkan pengertian anaknya, merasakan usapan tangan abah di kepala, melihat senyum bangga abah bila cucunya berkeletah... saya tidak dapat nikmat itu. Semoga lebih ramai dapat membaca naskah ini dan sedar, abah kita, sayangkan kita melebihi segalanya, mampukah kita membalas setba sedikit?
Karya pertama Azizi Abdullah yang saya baca. Mengisahkan POV anak bongsu (anak ke:12) dengan fiil ayahnya. Tipikal ayah yang degil, senyap dan suka buat keputusan sendiri menjadikan si anak cepat naik darah. Anak-anak yang lain lebih senang untuk buat tak kisah. Malang bagi 12 orang anak yang gagal memahami perasaan bapanya. Semoga kita tak tergolong dalam kumpulan itu.
“Seorang bapa boleh memahami perasaan 12 orang anaknya tetapi amat malang 12 orang anak tidak mampu memahami perasaan seorang bapa.”
Sejujurnya setelah menamatkan novel ini, saya sendiri sukar memahami fiil ayahanda di dalam cerita ini. Berlatarkan kampung kecil di Kedah, karya ini menyoroti kisah hidup seorang bapa tua berusia 97 tahun yang dinaratifkan oleh anak lelaki bongsunya. Kehidupan si bapa adalah seputar di surau, beribadah dan membaca kitab, serta di meja tulis menulis hikayat di buku-buku latihan dengan tulisan jawi. Walaupun umurnya hampir seabad, kudratnya masih kuat, malah kecintaannya kepada aktiviti memancing sukar dibuang.
Penceritaannya agak perlahan, banyak naratif imbas kembali digunakan untuk meggambarkan memori pahit manis bersama si bapa. Ayatnya juga pendek-pendek namun perbendaharaan katanya luas. Emosi yang diterapkan juga sememangnya menusuk ke jiwa pembaca.
Banyak babak yang akan membuatkan pembaca berasa sebak dan simpati dengan si bapa. Betapa teguhnya pendirian si bapa untuk membaca kitab bersama anak jemaah walaupun tidak ramai lagi yang mahu hadir ke surau. Bagaimana kentalnya jiwa tua itu melayari hidup setelah pemergian si isteri. Juga, bagaimana degilnya pendirian yang mahu ikut turun ke sungai memancing bersama anaknya pada usia sedemikian. Pada hemat saya, anak-anak si bapa ini tidaklah seteruk mana, mereka hanya inginkan bapa mereka berehat di rumah, tidak menyusahkan diri dengan kerja-kerja lain, namun jiwa si bapa meronta ingin memerah keringat, dan masih degil ingin melakukan semuanya. Sungguh, amat sukar menduga sikap si bapa.
Benarlah seperti petikan kata si bapa di awal tadi. Hendak kata si bapa tidak sayang, tidak juga, namun daripada kelakuannya sukar sekali ditafsir. Begitulah, sayang ayah bukanlah seperti sayang ibu yang biasa tampak terzahir.
Sekiranya anda mencari karya yang bisa meruntun jiwa dan menghambat keegoan, bacalah novel ini dan selamilah sendiri jiwa ayahanda.👍🏻
Sapa yg belum baca..bacalah. Tak rugi pun. Sgt bagus..buat aku sebak dan mengalirkan airmata. Aku termenung selepas membaca. Jujur aku kata aku ulang baca buku nie lebih dr sepuluh kali. Sungguh tak bosan.
Dapat buku ni sebagai hadiah hari jadi masa sekolah rendah. Memang menarik dan sangat menyentuh perasaan. Tapi sayang buku ni dah hilang entah ke mana. Sesiapa tahu mana nak dapatkan balik buku ni sila bagitahu ya.
Momentum: 3.5/5. Tahap teruja untuk meneruskan bacaan hingga tamat sedang2 saja. Tingkat Bahasa: Sastera sederhana. Sesuai untuk pembaca matang. Ulasan: Saya kagum dengan ilmu pancing dimiliki penulis sehingga mampu diterjemah dalam karya ni dengan penuh jaya dan mengujakan. Paling menarik bila si bapa menunjukkan skil baca pasang surut air pada anaknya. Saya bukan kaki pancing, jadi sekadar penilaian saya yang tidak seberapa, saya anggap ilmu memancing yang disampaikan oleh penulis adalah ilmu orang2 lama. Benar2 hebat. Selain dari ilmu pancing yg disaji, perkara lain yang disentuh terutama konflik anak terhadap bapanya pada saya biasa2 saja. Sungguh pun begitu karya ini agak hebat berkat ketinggian ilmu alam oleh saudara penulis, mengingatkan saya pada Pak Sako yang juga miliki kelebihan yang sama dalam setiap penulisannya. Ulang Baca: Ya. Terutama dibahagian melibatkan skil2 memancing dengan tujuan bertukar fikiran dengan geng kaki pancing. Difilemkan: Tidak. Disclaimer: Saya hanya membuat ulasan berdasarkan ilmu saya yang masih sempit dan terbatas. Lebih kepada pandangan peribadi dan bukan untuk umum. Background pendidikan bukan dalam bidang sastera, jadi sesuatu bacaan yang terlalu berat sasteranya sehingga terlalu payah untuk difahami akan saya nilai sekadarnya, tepat menurut hati dan akal saya. Setiap pandangan saya yang menampakkan sisi negatif atau kelemahan terhadap sesuatu tidak melambangkan lalu menjejaskan kredibiliti sebenar penulis ataupun yang berkaitan dengannya.
Naskah ini terlalu lambat untuk aku habis kan. Ceritanya yang agak perlahan tapi menangkap ghairah aku. Naskah ini menceritakan tentang seorang lelaki, Seorang ayah, Seorang suami, Seorang imam dan Seorang yang sangat tua di kampung tersebut. Segalanya di campur dalam satu cerita. Ianya Mengajar aku menjadi Seorang anak lelaki, Seorang ayah, Seorang anak dalam mendepani hal dan karenah sama ada untuk Seorang anak, ayah, suami juga masyarakat. Naskah ini boleh Mengajar pembaca dalam segala situasi Watak. Semuanya boleh diambil teladan dan pelajaran dalam mendepani kehidupan kerana kita tidak lari dari segala Watak yang ada dalam novel ini. Jadilah Seorang yang memahami sama ada kita ayah atau anak. Menjadi ayah bukan mudah. Menjadi anak yang memahami itu juga bukan mudah. Memahami, keegoan,mentaati semua ini perlu kita seimbangi. Buku yang Memberi aku banyak pelajaran untuk menjadi ayah yang baik juga anak yang baik.
Alhamdulillah, saya baru selesai membaca buku bertajuk ayahanda ini. Sudah lama saya tidak membaca novel seperti ini. Gaya penulisan yang sungguh menarik. Ini semua di sebabkan oleh meseg baik yang hendak di sampaikan oleh Tuan Azizi Haji Abdullah. Kisah tentang kasih seorang ayah, kesetiaan isteri pada suami, kasih hamba pada Tuhannya juga minat mendalam seseorang kepada kesukaannya.
Serius saya katakan. Setalah berputus asa dengan novel-novel yang berada di pasaran satu masa dahulu, saya kini bangkit kembali membaca sehingga lewat 3.20 pagi bagi membaca novel ini. Novel ini ada roh. Membina jati diri, membawa kita muhasabah diri.
Berlatarbelakangkan di sebuah perkampungan di Kedah, Ayahanda berkisar tentang seorang ayah yang dijaga oleh anak-anaknya setelah kematian isterinya. Penulis menggunakan sudut pandang 'aku' yakni anak bongsu dalam keluarga tersebut dalam menggambarkan perwatakan ayah tersebut.
Gambaran ayah tidak banyak dijelaskan secara dialog, namun lebih kepada gerak tubuh, perilaku atau fiil. Bagi saya itu tanda hebatnya penulis menggambarkan perkara sebenar tentang seorang lelaki bernama ayah. Begitulah ayah, banyak diam, berbicara bila perlu, banyak memerhati dan sebagainya.
Persoalan yang bermain di dalam novel ini adalah adakah bilangan anak yang ramai mampu menjaga ayah yang satu? 😢
Rasa sedih bila baca buku ni sama macam aku baca Seorang Tua di Kaki Bukit. Mengingatkan aku pada seseorang. Bukan abah aku yang semestinya. Bila wujud bapa yang tua dan terlalu teguh pendiriannya membuatkan aku bersyukur yang aku ada abah. Abah yang tiada tolok bandingnya.
Tapi kalau aku dalam keadaan anak2 tu macam mana? Apa yang harus aku buat. Yang penting aku takkan tinggikan suara pada abah atau mak. Kenapa tak boleh bersabar dengan kerenah mereka? Sebab itulah syurga tu di bawah telapak kaki mereka. Hormat.
Kisah yang sungguh menyayat hati. Membuatkan aku berfikir sejauh mana baktiku pada orang tua ku? Sejauh mana aku memahami mereka? pada yang belum baca, sila baca...
Karya ketiga Azizi Haji Abdulllah yang saya baca sesudah Seorang Tua di Kaki Gunung dan Memoir Seorang Guru. Namun, Ayahanda-lah yang paling teruk di antara sekalian tiganya. Entah apa nilai yang cuba ditampilkan oleh penulis. Hampas dan tiada nilai!
Setelah membaca karya penulis yang ketiga, saya mendapati bahawa memang ada semacam kegemaran penulis untuk mengetengahkan watak utama sebagai seorang lelaki yang tua; perangainya buruk, penuh dengan sifat angkuh dan bongkak, tiada kasih sayang, bodoh, jumud dalam beragama, merasakan dirinya sentiasa benar dan segala macam sifat yang buruk.
Seperti mana saya benar-benar jelik dengan manusia sebegini di alam nyata kerana kebodohan dan keangkuhannya sentiasa menyusahkan ramai orang, sebegitu jugalah benci saya dengan watak-watak dalam karya penulis.
Dalam novel ini, 'ayah' daripada kaca mata seorang anak bongsu yang diangkat ‘kononnya’. Di bahagian kulit belakang buku pula dinyatakan bahawa seorang ayah sanggup berkorban demi anak-anaknya kerana kasih sayangnya kepada mereka, namun tidaklah mampu ia diungkapkan melalui kata-kata, melainkan hanya dengan perbuatan dan diharapkan oleh si ayah agar anak-anak mampu memahami alasan di sebalik perbuatannya.
Namun, sayang sekali, tiada langsung peristiwa yang menyorot kepada perkara ini sepanjang penceritaan! 'Ayah' dalam novel ini, seperti yang telah saya nyatakan sifat-sifatnya di atas: perangainya buruk, penuh dengan sifat angkuh dan bongkak… dan seterusnya.
Yang paling saya benci ialah apabila beliau lebih gemar berada di surau sehingga kurangnya masa dengan keluarga, bahkan mengabaikan isteri sendiri. Tanpa menafikan bahawa memang ini seolah-olah ‘sifat kebiasaan’ lelaki tua yang gemar ke masjid, namun apabila watak ini diangkat dalam novel, ia hanya mencerminkan kejumudan dan kebodohan orang dalam beragama.
Si anak bongsu juga berkongsi sifat yang sama. Dirinya membenci ayahnya dan sentiasa bersangka buruk. Jelik dan jijik sungguh sifat anak sebegini. Sudahlah menggelar isterinya sebagai ‘sapi betina’! Ya Rabb, suami apakah ini?!
Ayat yang paling saya benci dalam novel ini ialah “ya Allah! Bapa akukah itu?”. Entah apa keperluan ayat ini. Sudahlah diulang banyak kali tanpa maksud yang jelas.
Benar-benar novel yang jelik, hampas dan tiada nilai. Karya terakhir beliau yang saya ingin baca ialah Kawin-Kawin supaya penilaian saya terhadap karya beliau adil dan objektif. Sebatas ini, tiada karya penulis yang bermanfaat pada pandangan saya.
Novel ini berkisahkan hubungan antara anak bongsu (lelaki) dengan bapanya. Tetapi pada awal penceritaan juga diselitkan tentang kisah si ibu yang kemudiannya meninggal dunia terlebih dahulu. Watak anak bongsu ini dilihat sukar memahami kehendak bapanya. Kesukaran itu semakin bertambah dengan sikap bapanya yang tidak banyak bercakap dan meletakkan anak bongsu ni dalam keadaan tertanya-tanya. Peranan anak bongsu ini sebagai watak utama dapat dilihat apabila banyak ketidakpuasan hati dan permintaan disuarakan kepada si bapa berbanding abang atau kakaknya yang lain.
Saya agak keliru dengan 'timeline' penceritaan novel ini pada awalnya kerana banyak juga 'flashback' oleh anak bongsu. Tetapi kekeliruan ini semakin berkurang menjelang bab-bab penghujung. Selain itu, susah juga nak faham bila masuk bab berkaitan aktiviti memancing- aktiviti yang sangat digemari oleh bapa dan anak bongsu tersebut.
Saya tertarik dengan perkataan-perkataan Bahasa Melayu yang telah digunakan dalam novel ini. Ada perkataan yang biasa digunakan sebelum ini, dan tak sangka perkataan tersebut wujud dalam rekod DBP. Contohnya pongah dan rosyom.
Kisah Ayahanda nukilan Allahyarham Azizi Hj Abdullah menampilkan perspektif si anak tentang perilaku ayahnya seorang warga emas berumur 97 tahun yang mempunyai pelbagai karenah luar jangka yang agak sukar difahami oleh anak-anaknya yang lain. Sungguhpun mempunyai ego yang agak tinggi, sinikal dan sering disalah anggap oleh orang sekeliling sebagai seorang yang kurang ekspresif dalam mengungkapkan kasih sayang sebagai bapa dan suami dalam keluarga, si anak adakalanya memahami perilaku ayahnya sebagai seorang yang kuat agama dan sudah mahir dengan ragam kehidupan, meskipun agak tercabar dengan tindakan ayahnya yang tiba-tiba. Si anak juga belajar untuk memahami perasaan si ayah dengan mencuba mengajak si ayah untuk tinggal sebumbung bersama si anak sekeluarga, akan tetapi disebabkan kesihatan si ayah yang agak kurang terjaga dan sikapnya yang kekampungan, perkara tersebut tidak disenangi oleh keluarga si anak. Kesudahan cerita terungkap dengan luahan si ayah yang terbuku terhadap anak-anaknya.
"Seorang bapa boleh memahami perasaan dua belas orang anaknya, tetapi amat malang dua belas orang anak tidak mampu memahami perasaan seorang bapa." Ayahanda, genap 97 tahun.
Buku ini berkisar dari sudut pandang seorang anak bongsu yang dibahasakan sebagai 'Aku' berdepan dengan kedegilan ayahnya yang berumur 97 tahun. Turut dimuatkan kisah-kisah lampau menggambarkan bagaimana suramnya hubungan dua beranak ini.
Sebagai pembaca, geram dan marah. Rasa nak tampar je si 'Aku' yang tak nampak setiap pengorbanan bapa nya, malah asyik berburuk sangka, berdendam pada ayahnya.
Tapi sebagai seorang anak, saya akui beginilah sifat, fiil seorang anak. Terlalu banyak membina alasan dan mementingkan diri apabila hal bersangkut paut dengan orang tua. Ye, saya juga tidak terkecuali.
Buku ini membuka mata saya kadang ayah ini lebih banyak diam, tapi pengorbanannya lah yang paling besar demi si anak hidup senang.
Membaca novel ini seolah-olah menampar diri berpuluh kali. Ternyata…emosi turut sama bergelumang dalam menghabiskan pembacaan novel ini.
Teringat salah laku dan silap sewaktu berbicara atau bertingkah laku dengan ibu bapa. Tertanya-tanya sendiri…apakah aku juga seperti watak si anak bongsu dalam novel ini? Moga diampunkan segala kesalahanku terhadap kedua ibu bapaku.
Sebagai seorang anak…naskah ini wajib dimiliki. Ambillah seberapa banyak iktibar daripadanya. Timbalah segala yang baik daripada novel ini. Jangan diamal yang keruh daripadanya. Benarlah..ibu bapa mampu menjaga seberapa anak sekalipun; namun seramai mana anak - belum tentu dapat menjaga ibu bapanya yang satu itu.
Ya Allah…ampuni dosa kedua ibu bapaku Sihatkan tubuh badan kedua-duanya Kasihi ibu bapaku sebagaimana keduanya mengasihi kami adik beradik semasa kecil Masukkan kedua-duanya ke syurgaMu tanpa hisab Amin..
Al-Fatihah buat Allahyarham Tuan Hj Azizi bin Abdullah.
Tuan Azizi Haji Abdullah memaparkan gejolak emosi dalaman seorang anak yang berusaha untuk berbakti kepada bapanya yang sudah tua namun seringkali berasa serba salah antara betul atau salah. Hal ini kerana reaksi si bapa kadangkala memberinya tanda seolah-olah bapanya tidak menghargai apa yang dia cuba lakukan.
Perwatakan ayahanda dalam novel ini mirip sekali dengan kebanyakan ayah yang mana pengertian ibadah itu dekat dengan jiwa. Umum mengetahui si ayah adalah imam di surau kampung dan sering membaca kitab. Apabila orang kampung sudah tidak berminat untuk mendengar ceramah beliau, yang difikir mereka bahawa itu adalah cara orang-orang lama, bapanya tetap teruskan bacaan kitab seperti biasa tanpa kenal lelah.
Pembawaan perwatakan ayahanda dari mata seorang anak memang terasa jauh di sudut sanubari kerana sampai bila-bila pun seseorang anak itu tidak akan mengerti perasaan ayahnya yang lebih banyak melakukan sesuatu atas sebab yang hanya dia sendiri sahaja yang tahu.
pengarang seorang yang pandai mengadun cerita yg berlaku seharian dalam masyarakat.Dalam novel ini pengarang ingin mengingatkan anak2 betapa hati orang tua perlu di fahami dan menyantuni mereka semasa mereka telah tua.Golongan rentan sepatutnya dijaga fizikal dan hatinya.betullah kata bapa:"Rumahmu bukan duniaku".Seperkara lagi pengarang ingin mengingatkan kita jangan jadikan ibu bapa seperti bola.Semasa dia sihat dan kita masih kecil dia direbut dan didakap seperti bola ragbi tak mahu dilepaskan tapi setelah mereka menjadi golongan rentan jangan pula dia dijadikan seperti bola sepak di tendang ke sana ke sini.Ingatlah mereka adalah ladang pahala untuk kita.beruntunglah mereka yang masih ada ibu bapa dan dapat berbakti kepada mereka hingga ke akhir hayatnya.al fatihah kepada kedua ibu bapa kita sama ada yg telah tiada atau yg masih hidup.ameen
Membaca kisah ini membuatkan diri berfikir andai hari-hari begini tiba, bagaimana aku melaluinya? Mampukah aku jadi anak yang baik? Membaca buku ini bagai menampar pipiku agar aku sedar dan perlu tahu dan segera bertindak. Hargailah mereka selagi mereka masih ada. Usia mereka semakin hari semakin meningkat. Masa akan terus berlalu. Dan penamatnya juga kita tidak tahu. Moga Allah jadikan aku dan pembaca anak yang soleh dan solehah dan dapat berbakti kepada ibu bapa dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Setiap kita pasti akan diuji. Terima kasih penulis. Moga Allah merahmatimu atas segala penulisan yang mengalirnya peringatan dan nasihat.