Buku ini adalah himpunan soal jawab bersama Dr. Rozaimi. Ianya wajar dimiliki oleh semua, kerana Dr. Rozaimi memberikan hujah yang sangat luas dalam membicarakan isu-isu berkaitan fikah dan lain-lain.
Antara yang menarik adalah; :: Bolehkah sabun mengantikan tanah untuk menyucikan najis mughallazah? :: Apakah perbezaan antara Fikah dan Usul Fikah (Fikah)? :: Adakah salah mengamalkan ajaran daripada mazhab lain selain mazhab Imam asy-Syafi‘i? :: Adakah menyiram air di pusara seperti yang lazim dilakukan oleh sesetengah masyarakat Melayu kini ada sumbernya dalam Islam? :: Apakah dalil solat hajat dan solat taraweh?
Serta banyak lagi persoalan menarik yang dijawab oleh Dr. Rozaimi.
Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tasek, Ipoh dan Sekolah Menengah di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh. Berangkat ke Jordan pada tahun 2001 untuk menyambung Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Mu'tah, Jordan. Bekerja sebagai guru sandaran di Sekolah Raja Perempuan Taayah Ipoh pada tahun 2006. Berkhidmat di Majlis Agama Islam Perak sebagai pegawai zakat pada tahun 2007. Pada tahun 2008, dilantik menjadi tutor di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI. Telah menyambung pengajian Sarjana Hadith di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) pada tahun 2008 seterusnya menyambung pengajian peringkat PhD di University of Jordan pada tahun 2011 di bawah tajaan UPS dan tamat pengajian pada 1 Disember 2014. Dilantik menjadi pensyarah kanan di UPSI pada tahun 2015 dan tahun 2019 telah dilantik menjadi Profesor Madya di universiti yang sama. Beliau sekarang ditugaskan menjadi Ketua Jabatan Pengajian Islam di Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI. Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.
Buku ini merupakan buku kedua dari siri pencerahan oleh Dr. Muhamad Rozaimi Ramle. Judul buku ini menggambarkan masalah yang mengakar dalam masyarakat Islam, terutamanya masyarakat Melayu.
Secara keseluruhan, buku ini menjelaskan beberapa kekeliruan yang sering dimomokkan dengan momokan Wahabi. Hampir keseluruhan momokan tersebut ternyata salah, kerana kurangnya pendedahan mengenai keluasan Islam, terutamanya dari sudut fiqh. Isu hadis dhaif dan hadis palsu masih juga mencari perhatian yang dibincangkan di dalam buku ini.
Banyak perkongsian yang membuka minda. Maklumat-maklumat baru yang menarik. Tahniah buat penulis, kerana ada kesungguhan membuka lembaran perspektif baru dalam kita beramal.
Ya, ada beberapa perkongsian yang mencabar amalan kita; tapi benarlah seperti penulis sebutkan, jika perbezaan atas sebab ijtihad maka raikan lah. Jika perbezaan atas sebab akidah maka betulkan lah.
Namun demikian, penyampaian secara keseluruhan masih banyak boleh diperbaharui. Memandangkan ini tulisan beliau kedua, ia dimaafkan. Namun, untuk terus menjadi ulamak besar, beliau perlu lebih berhikmah dan bersabar dalam dakwah.
Insya Allah, bagi umat yang meraikan ilmu, akan jumpa cahaya-cahaya. Mendengar lah dari banyak guru, supaya kita kenal agama, bukan taksubkan guru.