“Saya tak begitu mengurus masa saya; saya sebaliknya menjana lebih masa.”-Daud Bakar-
"Saya ada 25 jam sehari" merupakan karya kedua oleh Dr. Daud Bakar selepas Shariah Minds in Islamic Finance. Beliau merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia kewangan Islam di Malaysia mahupun dunia. Merupakan CEO Amanie Group, sebuah syarikat penasihat syariah global. Beliau juga merupakan bekas pengerusi Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM).
Saya mengenali beliau semenjak pengeluaran buku beliau yang pertama itu, Shariah Minds. Agak terlambat sebenarnya untuk pelajar Bisnes (Muamalat) yang sepatutnya lebih awal mengenali cendekiawan Muslim yang terlibat dalam industri ini.
“Saya Ada 25 jam Sehari” merupakan buku yang lebih bersifat motivasi dan pengurusan. Jika di kedai buku, kita boleh meletakkannya di rak Self Help. Bukanlah ini buku yang wajar bagi mereka yang ingin mendalami kewangan Shariah meskipun ia ditulis oleh seorang tokoh dalam bidang tersebut. Sebaliknya, penulisan Dr. Daud ini lebih bersifat ‘diari’. Ia tidak juga menceritakan secara terperinci kaedah-kaedah pengurusan masa, akan tetapi ia mempamerkan kaedah-kaedah tersebut melalui pengalamanya sebagai penasihat Syariah global.
Buku ini wajar dihadam oleh sekalian masyarakat yang terdiri daripada pekerja bank, penjawat awam, mahasiswa, pensyarah, pengurus syarikat, atau sesiapa yang menjurus dalam dunia industri yang melibatkan pekerjaan yang maha banyak. Dan semestinya juga mereka yang terlibat sebagai penasihat Syariah di bank-bank dalam negara atau luar. Saya kira, tiga sebab untuk kita tidak boleh untuk tidak mengambil endah buku ini ialah;
1. Bahasa yang mudah
Bahasa yang mudah membuatkan isinya mudah digarap dan lebih bersifat universal. Universal dalam erti kata semua lapisan masyarakat mampu untuk membacanya. Ia tidak memerlukan kemahiran bahasa yang tinggi dan latar belakang ilmu yang mendalam dalam sesuatu bidang. Juga, membaca buku ini tidak memerlukan tempoh masa yang panjang untuk menghabiskannya, sebabnya sebab diatas juga; bahasa yang mudah.
2. Idea-idea bernas
Banyak teori-teori yang diutarakan oleh Dr. Daud itu dilihat amat berguna contohnya ulasan beliau mengenai masa khususnya pada hujung Bab 1 dalam Teori Masa yang Penuh Misteri dan Bab 2: Mampukah Kita Hidup Tanpa Masa (dan Roh)? Dalam banyak muka surat seterusnya lebih kepada kaedah-kaedah untuk menggunakan masa yang sebaiknya. Misalnya, perihal Mesyuarat 30 Minit, Pendekatan Pintasan, Strategi Diam-diam Ubi dan banyak lagi.
3. Muhasabah akan pengurusan masa kita
Dalam buku ini, Dr. Daud banyak melontarkan kerugian dan keterbelakangan kita dek kerana gagal menguruskan masa dengan baik. Sebarang pekerjaan yang kita lakukan akan menjadi tidak produktif dan efisien. Ia bantu untuk kita menilai semula kaedah pengurusan masa kita sehari-hari. Kita mampu mengaitkan bagaimana pengurusan masa seharian kita dengan impian yang ingin kita capai dalam hidup. Adakah pengurusan masa kita selama ini mampu mencapai siapa yang kita mahu jadi suatu hari nanti? Disebalik seseorang tokoh, sering terdapat nilai diri yang amat mementingkan pengurusan masa, demikian mereka boleh berjaya dalam kehidupan.
Selamat Membaca!